Jumaat, 20 Julai 2007

Bahasa Melayu SPM

Kepada calon SPM 2008. Bahasa melayu kertas 2. Soalan 1 - rumusan.
Calon digalakkan menulis dalam empat perenggan. Perenggan pertama ialah pengenalan, perenggan kedua ialah isi tersurat, perenggan ketiga ialah isi tersirat dan perenggan keempat ialah kesimpulan. Untuk bahagian pengenalan, calon dikehendaki menulis fokus pertama semula dengan menggantikan kata kunci yang penting. Sebagai contoh, sila rujuk arahan soalan berikut:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan buat satu rumusan tentang kesan-kesan aktiviti pembalakan dan cara-cara mengatasinya. Rumusan anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan. Dalam arahan ini, fokus pertama ialah kesan-kesan pembalakan. Kata kuncinya pula ialah kesan. Oleh itu, pengenalan rumusan ini berbunyi, Petikan membincangkan akibat pembalakan. Isi tersurat terdapat dalam petikan rumusan. Calon dikehendaki menulis minimum dua isi dan maksimum 6 isi. Isi tersirat ialah fokus kedua dalam arahan soalan, iaitu cara-cara mengatasi masalah pembalakan. Isi tersirat hendaklah pendapat calon sendiri. Minimum dua isi dan maksimum tiada had tetapi pastikan jumlah perkataan tidak lebih daripada 120 patah perkataan. Bahagian kesimpulan perlu ada satu cadangan dan kesan daripada cadangan tadi. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak hendaklah bekerjasama mengatasi masalah pembalakan supaya flora dan fauna dapat diselamatkan. Selamat mencuba.