Isnin, 10 November 2008

Sila klik link di bawah untuk mendapatkan peraturan pemarkahan Peperiksaan Pertengahan Tahun Negeri Melaka.
Skema PPT

Ahad, 9 November 2008

Latihan untuk SPM 2008(Soalan Negeri Melaka_Pertengahan Tahun)


Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor kecenderungan masyarakat terhadap makanan segera dan kesan-kesan pengambilan makanan segera. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Di Malaysia, kini terdapat pelbagai jenis restoran makanan segera boleh didapati dengan mudah dan mendapat tempat di hati pengunjung. Sebut sahaja hidangan makanan segera barat, pastinya nama seperti Kentucky Fried Chiken, A & W, Pizza Hut, McDonald’s, Marrybrown, Burger King, dan pelbagai rangkaian restoran segera yang tumbuh seperti cendawan. Pertumbuhannya secara tidak langsung banyak memberi manfaat kepada pengembangan ekonomi di negara ini. Di samping dapat melahirkan banyak usahawan tempatan, malah turut membuka peluang pekerjaan, dan mengurangkan pengangguran.

Penampilan restoran yang berkonsepkan segera dan menawarkan khidmat layan diri sentiasa menerima kunjungan daripada berjuta-juta pelanggan di setiap rangkaian restoran ini. Pengambilan makanan segera sebenarnya terhasil daripada permintaan masyarakat yang sudah sebati dan terlalu sibuk dengan kehidupan seharian mereka. Gaya hidup moden yang semakin meningkat menyebabkan manusia lebih cenderung menikmati makanan di restoran berjenama terutamanya makanan segera. Tidak ketinggalan juga ibu bapa kini berkunjung ke restoran makanan segera dengan alasan didesak anak-anak mereka. Kanak-kanak tersebut hanya memikirkan kesedapan makanan tanpa menyedari kesannya terhadap kesihatan.

Pengambilan makanan segera begitu tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia antaranya disebabkan oleh langkah agresif syarikat pengusaha restoran makanan segera khususnya melalui strategi pengiklanan. Memang tidak dinafikan bahawa iklan memainkan peranan penting dalam usaha mempromosikan produk atau perkhidmatan dengan harga yang berpatutan. Namun, sebenarnya ada faktor lain yang tidak kurang menarik perhatian pelanggan. Selain mempelbagaikan menu yang disaji, tarikan utama restoran makanan segera ialah keselesaan, kebersihan, dan suasana lebih eksklusif. Harganya pula berpatutan, serta perkhidmatan cepat dan mesra. Dalam usaha memantapkan imej rangkaian “restoran untuk keluarga”, ada juga yang turut menganjurkan program menarik bagi tujuan meningkatkan pasaran produknya seperti menyediakan ruang taman permainan kanak-kanak dan kaunter pandu masuk, di samping memperkenalkan produk dan pilihan makanan yang sesuai dengan selera untuk semua peringkat usia. Satu lagi faktor yang menyebabkan masyarakat ketika ini lebih bertumpu pada makanan segera ialah masa. Hal ini demikian kerana majoriti ibu bapa bekerja dan kebanyakan mereka akan tiba di rumah hanya selepas matahari terbenam.

Sehubungan dengan itu, langkah mengharamkan iklan makanan segera bukan penyelesaian mutlak kepada masalah yang diperkatakan. Banyak pihak juga menyokong dan tidak kurang juga memberi pandangan bernas untuk menangani isu ini. Pada dasarnya langkah ini disambut baik dengan harapan dapat membentuk rakyat lebih sihat. Sama ada iklan makanan segera diharamkan atau tidak, tetapi yang paling penting ialah kesediaan masyarakat untuk berubah kerana pilihan ada pada diri setiap individu.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Makanan Segera: Menyingkap faktor daya tarikan, oleh Haji Samat Buang, Fokus SPM, Mei, 2007)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata memberi pandangan bernas. [2 markah]

(ii) Nyatakan kelebihan-kelebihan restoran makanan segera yang terdapat di negara ini.

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, adakah wajar pengharaman iklan makanan segera dalam media

massa dilakukan? [4 markah]

Soalan 2(b) Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Daneng, cikgu meminta maaf jika menyinggung perasaanmu. Cikgu perlu berterus terang. Daneng perlu meneruskan pelajaran sampai SPM, sampai menara gading. Kau bijak, Daneng. Gunakanlah kebijaksanaanmu itu, mungkin untuk membantu kaummu. Setakat ini, cuma ada lebih 50 atau 60 orang sahaja, mahasiswa kaummu di universiti.”

Daneng merenung jauh ke tengah danau biru..

”Cikgu kasihan melihat cara hidup masyarakatmu.”

“Cikgu menganggap kami miskin, bukan? Bukan sahaja cikgu, ramai orang luar yang simpati akan kami. Tetapi konsep miskin itu tidak ada dalam kamus kami. Seluruh hutan dan belantara ini, danau dan tanah ini, milik kami bersama, milik kami sejak berzaman. Hutan ini tidak membenarkan sebarang kekurangan kepada kami.” Daneng bersuara dengan agak serius.

Kekaguman mengisi benak Jo sekali lagi melihat kepetahan anak muridnya itu berpidato. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Daneng memang bijak dan mempunyai masa depan yang cerah jika diberi peluang. Keinginan untuk meneruskan niatnya terus membara..

“Tentu sekali! Belantara ini sememangnya satu anugerah. Tetapi dunia sentiasa berubah. Kemajuan menerpa manusia. Suka ataupun tidak, manusia perlu bergelut dan menyesuaikan diri dengan perubahan itu ketika disapa kemajuan. Jika tidak, manusia itu menempah kepupusan.”

( Dipetik daripada cerpen Lambaian Malar Hijau oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam Antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Mengapakah Cikgu Jo bersungguh-sungguh memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya? [2 markah]

(ii) Hutan belantara sememangnya anugerah Tuhan yang paling berharga. Pada pendapat anda, mengapakah pentingnya hutan kepada semua mahkluk Tuhan di muka bumi ini?

[3 markah]

(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ini. [4 markah]

Soalan 2 (c) Prosa Klasik

Kata sahibul hikayat, ada berapa lama antaranya maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan lalu ke darat: dan segala orang di pantai itu banyak mati, dilompati oleh todak itu. Jika kena dada, terus ke belakang jika kena leher dan pinggang, terus ke sebelah. Maka tidaklah dapat orang berdiri di pantai itu, lagi banyak mati. Maka gemparlah orang berlarian ke sana sini, semuanya mengatakan, “Todak menyerang kita. Banyaklah sudah mati orang kita dibunuhnya.”

Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah lalu keluar diiringkan oleh segala para menteri, sida-sida, hulubalang sekalian. Telah datang ke pantai maka baginda pun hairan melihat perihal todak itu, barang orang yang dilompatinya itu tiada selamat. Maka makin banyak orang mati ditikamnya oleh todak itu. Maka baginda pun menitahkan sekalian orang berkubukan betis; maka dilompati oleh todak itu terus ke sebelah. Adapun todak itu seperti hujan rupa datangnya, orang mati pun terlalu banyak.

Maka pada antara itu berkata seorang budak. “Apa kerja kita berkubukan betis ini? Kita perdayakan diri kita demikian ini jika kita berkubukan batang pisang alangkah baiknya”.

Telah didengar oleh Paduka Seri Maharaja, maka titah baginda. “Benarlah seperti kata kanak-kanak itu.”

( Dipetik daripada Kezaliman Membawa Padah dalam Antologi Kerusi,

Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Gambarkan keadaan ketika peristiwa serangan todak di Singapura. [2 markah]

(ii) Apakah reaksi Paduka Seri Maharaja apabila baginda tiba di pantai? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah ganjaran yang sesuai diberikan kepada budak

tersebut? [3 markah]

Soalan 2 (d) – Petikan Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

ANAK LAUT

Segar angin laut

mengembalikan rindunya pada kolek

bagai buih kecil terapung di air

menjaring sedikit rezeki

dan sisik ikan

kulit ketam

kepala sotong

dan

kaki udang yang bersimpati

Seperti kolek terdampar di pasir

menampakkan urat jalur-jalur tua

anak laut itu sudah dapat menerka

langkahnya hampir tiba

pada muara Pencipta.

RAHIMIDIN ZAHARI

Antologi Anak Laut, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.

(i) Berikan maksud rangkai kata menjaring sedikit rezeki. [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk meningkatkan taraf hidup

nelayan di negara kita? [3 markah]

(iii) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak di atas. [4 markah]

Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[30 markah]

Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambah, menukar imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa.

(i) angkat sumpah

(ii) angkasa lepas

(iii) bahan rujukan

(iv) pucuk pimpinan

(v) negara jiran

(vi) kereta peronda

[6 markah]

(b) Tukar ayat bersusunan biasa di bawah kepada ayat bersusunan songsang tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Pelancong asing tidak akan menetap lebih lama di Malaysia sekiranya tiada produk pelancongan yang menarik.

(ii) Para petani perlu berusaha memanfaatkan tanah terbiar bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

(iii) Pencemaran sungai timbul disebabkan sikap individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah.

[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kerajaan telah meletakkan komitmen yang tinggi untuk mempastikan agar pengurusan sumber hutan akan terus dilakukan secara mampan.

(ii) Kempen Cegah Jenayah polis bandaraya akan dijalankan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai bagi kemudahan mereka berinteraksi secara terus.

(iii) Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dimulakan dengan perarakan masuk kontingen yang mewakilkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Tok Penghulu mengingatkan anak-anak buah di kampungnya supaya mengawasi tindak-tanduk golongan yang cuba mengaburi mata orang ramai.

(ii) Seorang wanita dihalakan ke mahkamah atas tuduhan menipu seorang jurujual dan juga turut didakwa memiliki empat kad kredit palsu.

(iii) Ibu bapa, guru dan pelajar dipujuk mewujudkan hubungan yang baik kerana mereka saling perlu-memerlukan antara satu sama lain.

[6 markah]

(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.

(i) Anak-anak yang dilahirkan merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa. Oleh itu, tugas membentuk keperibadian anak-anak yang baik memerlukan usaha yang bermula sejak mereka masih kecil lagi.

(ii) Seorang peneroka dijatuhkan hukuman penjara setelah mengaku bersalah atas tuduhan merogol anak kandungnya sendiri. Menurut hakim, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung, tetapi telah merosakkan masa depan anaknya sendiri.

(iii) Tabiat berbelanja pada musim perayaan memang tidak dapat dielakkan. Sebagai pengguna, rancanglah perbelanjaan dengan bijak dan mengutamakan barangan mengikut keperluan. Berbelanjalah secara berhemat, jika tidak buruk padahnya.

[6 markah]

Soalan 4: Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel berikut:.

(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh.

(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof

(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said

(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari

(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain

(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah

(vii) Julia karya Abu Hassan Morad

(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad

(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang dapat dikaitkan dengan peringkat permulaan cerita novel tersebut.

[7 markah]

(b) Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan satu kepincangan masyarakat yang terdapat dalam setiap novel itu.

[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT