Isnin, 19 Mac 2012

LATIHAN KOMSAS_TINGKATAN 4

LATIHAN KOMSAS TINGKATAN 4_ CERPEN
Kepada anak-anak didik di tingkatan 4 Sains 2, sila buat latihan cerpen berikut dari 19 hingga 25 Mac 2012. Sebelum menjawab soalan-soalan berikut, cikgu berharap anak-anak akan membaca cerpen ISRAK dan PEMAIN CATUR. Jawapan hendaklah dalam bentuk perenggan dan ayat yang gramatis. Petikan cerpen tidak perlu disalin. Salin soalan dan jawab berpandukan jawapan yang disediakan dalam bentuk poin. Selamat menjawab.

CERPEN ISRAK
PRAKTIS 1
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Wow, lawanya!” Mikraj berteriak ketika melihat isi buah durian yang keemas-emasan itu.
Seperti biasa pilihannya ialah ‘kucing tidur’. Siti Hawa turut berebut dengan anak gadisnya itu. Tetapi, yang tua biar beralah. Panjang umur, esok lusa boleh rasa. Israk tidak menyentuh walau sedikit pun buah-buahan tempatan itu. Dia tidak berbangga merasai buah-buahan tempatan secara percuma, tidak seperti di kota. Israk sugul. Matanya seolah-olah memperli keadaan sekeliling. Hidungnya pula mengejek aroma buah-buahan di hadapannya.
“Israk, rasa ini,” Adam menghulur sepulur durian.
Bertambah muaklah Israk. Dia menolak dengan baik. Maklumlah di hadapannya kini seorang wira keluarga. Israk terpaksa berlakon untuk memenuhi kehendak wira itu.
“Dulu, buah dari kebun Wahlah yang menghantar pa menjadi seorang insan yang dominan. Pa bersyukur kerana Dia Yang Maha Kaya menganugerahkan rezeki seperti ini. Kalau tidak sudah tentu muka pa ini orang boleh jumpa di tapak binaan atau di ladang kelapa sawit.” Adam bersuara untuk menyedarkan Israk akan asal usulnya.
(Dipetik daripada cerpen Israk
oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah reaksi Israk sewaktu dihidangkan buah-buahan tempatan?
- Israk tidak menyentuh walau sedikit pun
- Israk sugul
- Matanya seolah-olah memperli keadaan sekeliling
- Hidungnya mengejek aroma buah-buahan tempatan
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kelebihan makan buah-buahan tempatan?
- berkhasiat
- murah
- segar
- mudah diperoleh
[3 markah]
(iii) Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan dan satu nilai daripada keseluruhan cerpen.
Nilai daripada petikan
- Nilai kesyukuran atas rezeki yang diperoleh – Bapa Israk bersyukur kepada Tuhan kerana dikurniakan rezeki
- Nilai tanggungjawab terhadap keluarga – Bapa Israk bertanggungjawab menasihati dan menyedarkan Israk akan asal usulnya
- Nilai menghormati orang tua – Israk menolak baik pelawaan ayahnya untuk makan durian bersama-sama keluarganya
Nilai daripada keseluruhan
- Nilai kasih sayang dalam keluarga – Wah amat menyayangi anak cucunya, sehingga sanggup menggunakan tenaga tuanya untuk menyelamatkan cucunya yang jatuh ke dalam sungai walaupun Israk selalu menyakiti hatinya
- Nilai ketabahan dalam menghadapi dugaan hidup – Wah amat tabah membesarkan anaknya tanpa kehadiran suami.
- Nilai keprihatinan terhadap perasaan orang lain – Mikraj amat prihatin akan perasaan neneknya yang terguris angkara abangnya
PRAKTIS 2
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Cekodok aje? Airnya pula macam air Sungai Kelang!” rungut Israk bagaikan tuan besar.
“Abang ni macam perempuan. Cerewet tidak semena-mena. Makan sajalah! Atau abang mati kebuluran.” Asap kemarahan dilepaskan sedikit demi sedikit.
“Buang masa saja tinggal di sini!” Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga Mikraj.
Bersarang perasaan geramnya di dalam hati apabila Israk beredar. Lagak Israk menewaskan orang yang berlagak. Dia masih belum sedar daripada mimpinya. Agaknya kalau ditimpa musibah baru dia akan sedar. Sudah terhantuk baru tengadah.
Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.
“TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.
Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar-mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.
(Dipetik daripada cerpen Israk
oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Mengapakah Israk dikatakan cerewet?
- Merunggut kerana dihidangkan cekodok sahaja
- Tidak puas hati dengan air minumannya
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya kita menyesuaikan diri apabila berada di tempat orang lain?
- Menghormati adat masyarakat setempat
- Rendah diri
- Mempelajari bahasa dan budaya
- Menghadiri / menyertai majlis-majlis yang diadakan
[3 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu lagi daripada keseluruhan cerpen.
Persoalan dalam petikan
- Soal ketidaksesuaian hidup di luar bandar – Israk berasa tidak selesa dengan keadaan hidup di rumah Wah.
- Soal keegoan anak muda – Israk merungut dengan hidangan cekodok dan air sewaktu berada di rumah Wah
[2 markah]
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
- Soal jati diri – Israk yang dibesarkan di Perth Australia tidak mempunyai jati diri ketimuran kerana persekitaran dan cara dia dibesarkan / Mikraj kukuh dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran
- Soal kasih sayang nenek terhadap cucunya – Wah menyayangi Israk walaupun cucunya itu amat ego dan melukakan hatinya
[2 markah]
PRAKTIS 3
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Jering tempoyak lagi!” rungut Israk.
Terkedu Wah mendengarnya. Hati Wah luruh sedikit. Wah berasa rendah diri, serendah mutiara di lautan. Dipandangnya al-Maidah di atas meja. Itulah yang dimakannya hampir saban hari. Israk sahaja yang tidak mengerti.
“Abang jangan cari pasal dengan saya. Kalau abang tak gemar, makan rumput. Harap belajar saja tinggi, tapi...”
“Tapi apa? Tapi aku bodoh?” Israk berang.
“Tengok tu. Membabi buta!” Mikraj mengherdik.
“Menyesal tinggal di sini.” Israk berkawad meninggalkan dapur.
“Kalau menyesal, baliklah KL! Tahukah abang cari bas? Beranikah naik bot tambang?” sempat juga Mikraj melepaskan peluru perli ke atma Israk.
Geram Israk memuncak. Dia mengganas dengan merentap langsir kuning raja Wah. Tupp! Dawai langsir terputus dan langsir menjilat lantai kayu merbau itu. Wah memandang Mikraj dan langsir silih berganti.
(Dipetik daripada cerpen Israk
oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah perasaan Wah selepas mendengar rungutan Israk tentang makanan yang dihidangkan di atas meja?
- Wah terkedu
- Hati Wah luruh
- Wah berasa rendah diri
[2 markah]
(ii) Sekiranya anda Mikraj, apakah yang patut anda lakukan untuk menyedarkan Israk daripada keegoan dirinya?
- Menasihati dengan berhemah
- Minta bantuan daripada orang yang lebih tua
- Berjumpa dengan kaunselor
[3 markah]
(iii) Huraikan satu perwatakan Israk yang terdapat dalam petikan dan satu perwatakan lagi daripada keseluruhan cerpen.
Perwatakan dalam petikan
- Seorang yang biadap – Dia menyindir akan makanan yang dihidangkan sehingga menyebabkan hati Wah terluka
- Degil – Dia tidak menghormati Wah sebagai neneknya walaupun dinasihati oleh Mikraj
[2 markah]
Perwatakan keseluruhan petikan
- Seorang yang ego dan sombong – Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung seperti jering dan petai
- Seorang yang insaf akan kesalahan diri – Israk sedar akan kesalahannya Setelah dia jatuh ke dalam sungai dan diselamatkan oleh Wah
[2 markah]
PRAKTIS 4
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Israk memandang Mikraj, Mikraj tunduk. Israk bangun, Mikraj berundur.
“Mengapa paksa aku? Aku bukannya nak jadi petani. Nanti aku bergelar ahli korporat.”
“Abang terlalu bangga, riak, ujub, sombong, bongkak, dan takbur! Kalau Allah tarik balik rezeki tu, macam mana? Abang jadi apa? Ahli keparat? Andai kata negara memajukan sektor pertanian, abang ke mana? Mungkin abang jadi ahli keparat yang memetik buah-buahan tempatan. Tak mustahil semua ini akan berlaku”
“Aku bukan kau. Kalau kau pergi, kau boleh cipta lima enam puisi. Tapi, kalau aku, ia hanya membuang masa. Lebih baik aku duduk di rumah saja.”
“Abang mahu jadi teruna yoghurt?” uji Mikraj.
“Lebih baik daripada kau yang liar tu,” sambung Israk membela diri sekali gus menggelapkan lagi warna merah di jiwa Mikraj.
“Kalau abang kata saya liar, abang tu lagi liar. Akar hati abang ke sana ke mari mencari kesalahan orang. Pucuk hati abang pula menari tanda riak, ujub, sombong, berlagak!” Bom radang Ghaza dilepaskannya.
“Hii, mengapa gaduh-gaduh ni! Adik-beradik tidak manis bertikam lidah. Kata orang tua-tua carik-carik bulu ayam bercantum jua akhirnya. Tapi, kamu berdua ni bila nak bercantum?” Wah mula masuk campur.
(Dipetik daripada cerpen Israk
oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Mengapakah Mikraj menyatakan bahawa Israk seorang yang liar?
- Israk sentiasa mencari kesalahan orang lain
- Hati sanubari Israk menebal dengan keegoan / riak, ujub, sombong, berlagak
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah cara untuk melahirkan remaja yang memiliki keteguhan jati diri?
- Mengikuti aktiviti persatuan belia
- Menyertai Program Latihan Khidmat Negara
- Menerapkan nilai-nilai murni
- Pegangan agama yang kukuh
[3 markah]
(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar masyarakat lagi daripada keseluruhan cerpen.
Latar masyarakat dalam petikan
- Masyarakat bandar yang sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampung - Israk merasakan ketidakselesaan sewaktu berada di rumah Wah
- Masyarakat yang sombong dan tinggi diri – Israk sering bertikam lidah dengan Mikraj kerana tidak biasa dengan keadaan di rumah Wah
[2 markah]
Latar masyarakat daripada keseluruhan cerpen
- Masyarakat yang menghormati orang tua – Mikraj amat menghormati Wah
- Masyarakat yang bertanggungjawab – Adam membiasakan anak-anaknya dengan kehidupan di kampung agar mereka tidak sombong dan lupa diri
- Masyarakat penyayang – Wah amat menyayangi cucu-cucunya
[2 markah]
PRAKTIS 5
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Wah pandang Israk. Israk tunduk malu. Wah selami kolam mata Israk, Israk tersipu-sipu. Mutiara mata Wah luruh, tetapi Israk tidak pula.
“Selamat juga cucu Wah ini,” kata Wah lembut sambil tangannya mengusap kepala Israk.
Israk menepis.
* * *
Rumah Wah riuh. Hawa menghidang makanan. Wah membasuh apa yang patut.
Mikraj menolong juga. Adam sudah hendak duduk. Israk? Hampir separuh hari Israk berkurung di dalam bilik. Makan tidak, minum tidak. Solat? Wallahualam.
Israk keluar dengan berbaju Melayu. Semua mata memandang Israk. Israk menarik kerusi, semua mata memandang kerusi. Israk duduk, semua mata terarah ke tubuh Israk. Israk mencedok nasi, semua mata memandang senduk nasi. Israk menimba gulai, semua mata memandang mangkuk gulai. Israk bersuara, semua memasang telinga.
“Wah, mana jering dan tempoyak?”
(Dipetik daripada cerpen ‘Israk’
oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah tindakan Israk selepas keluar dari biliknya?
- Israk menarik kerusi dan terus duduk
- Israk mencedok nasi
- Israk menimba gulai
(2 markah)
(ii) Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri anak-anak?
- Memberikan didikan agama secukupnya
- Menjadi suri teladan kepada anak-anak
- Menerapkan nilai-nilai murni
- Memberikan perhatian dan kasih sayang sewajarnya
[3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lagi daripada keseluruhan cerpen.
Pengajaran daripada petikan
- Kita hendaklah menginsafi kesalahan yang telah kita lakukan – Israk telah sedar akan kelakuannya terhadap Wah dan mula belajar kehidupan di kampung
- Janganlah kita menaruh sikap dendam terhadap orang lain walaupun mereka pernah melukakan hati kita – Wah menggunakan tenaga tuanya untuk menyelamatkan Israk walaupun Israk sering kali melukakan hatinya
[2 markah]
Pengajaran daripada keseluruhan petikan
- Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita – Mikraj sentiasa menjaga tingkah laku dan pertuturannya dengan Wah
- Kita mestilah mengetahui asal usul kita agar kehidupan kita selari dengan kehendak agama dan masyarakat – Adam membiasakan anak-anaknya dengan kehidupan di kampung agar mereka memiliki jati diri yang kukuh
- Kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang kita peroleh – Adam bersyukur terhadap rezeki yang dianugerahkan Tuhan kepada keluarganya
- Kita hendaklah pandai menyesuaikan diri apabila berada di tempat orang – Mikraj pandai menyesuaikan diri semasa berada di kampung / rumah Wah berbanding dengan Israk.
[2 markah]
CERPEN PEMAIN CATUR
PRAKTIS 1
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Uk berbisik suatu khabar buruk, kononnya Um tekun menelaah buku besar dan tebal mengenai permainan catur yang dibeli dengan harga mahal dari luar negara.
“Untuk apa?” Uj mengerutkan dahi. Dia benar-benar tidak senang dengan bisikan tersebut.
“Khabarnya Um mahu mengatasi kehandalan Uj.”
“Untuk apa?”
“Apalagi kalau bukan rasa hormat dan sanjungan keluarga?”
“Siapa Um yang hendak mengalahkan aku? Aku, Uj, sudah memiliki gelaran IGM. Engkau tahu kan, Uk?”
“Semua orang pun tahu. Um baru tiga tahun lalu berjaya meraih gelaran NM. Kemudian dengan pertolongan dan pengaruh Uj, barulah Um mendapat FM. Semua keluarga kita tahu, dia belum pun berjaya memiliki IM. Jadi siapakah Um kalau hendak menewaskan Uj pemilik IGM?” Uk menjadi batu api membakar perasaan Uj.
“Dia tidak sabar menunggu Abang Uj menyerahkan kuasa. Itulah hakikat yang sebenar.”
Dengan berang, Uj memaksa Um supaya mengadakan perlawanan secara terbuka di hadapan keluarga. Tujuannya cuma satu: untuk memperlihatkan bahawa Um masih terlalu mentah jika dibandingkan dengan dia. Dia masih wajar dihormati dan disanjungi. Perjalanan Um masih jauh jika dibandingkan dengan Uj.
(Dipetik daripada cerpen Pemain Catur
oleh Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berdasarkan petikan, nyatakan khabar buruk yang dibisikkan oleh Uk kepada Uj ?
- Um kononnya tekun menelaah buku besar mengenai permainan catur
- Um ingin mengatasi kehandalan Uj
- Um tidak sabar menunggu Uj menyerahkan kuasa kepadanya.
(2 markah)
(ii) Sekiranya anda Uj, apakah tindakan yang akan anda lakukan apabila mendengar berita yang disampaikan oleh Uk?
- menyiasat terlebih dahulu kesahihan berita tersebut
- memanggil Um untuk bersemuka
- bertanyakan hal yang sebenar kepada Um sendiri
(3 markah)
(iii) Huraikan satu perwatakan Uj berdasarkan petikan di atas, dan satu perwatakan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
Perwatakan Uj berdasarkan petikan
- Seorang yang bangga dengan kedudukannya, - dia berbangga dengan kemahiran bermain catur yang dimilikinya
- Seorang yang panas baran - Uj berasa berang apabila mendengar kata-kata Uk lantas memaksa Um mengadakan perlawanan secara terbuka.
[2 markah]
Perwatakan lain dalam cerpen
- Seorang yang bertanggungjawab dalam keluarga - Uj berusaha melatih adiknya Um bermain catur agar dapat meneruskan legasi keluarga mereka dalam permainan itu.
- Bersemangat tinggi - sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai, serta mahu menaikkan nama keluarganya setaraf dengan pemain catur ternama dunia.
- Pilih kasih - hanya mengagungkan adik-beradiknya yang pandai bermain catur sahaja untuk mewarisi penguasaan keluarganya.
[2 markah]
PRAKTIS 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Sebaik-baik duduk, sesuatu yang maha menyakitkan menyembur di bawah meja. Sebotol asid yang terkuis kaki Um tumpah. Um menggelupur dan meraung kesakitan. Seisi keluarga menjadi gempar, rutup dan ruwet.
Ibu yang sedih kian berasa tertekan dengan perbalahan anak-anak, menelan air mata hiba. Ibu tidak pernah mendidik anak-anak berkelahi dan bermusuh-musuhan untuk mendapatkan sesuatu. Angin sakit berbuku di hulu hati ibu. Kerana tidak tertanggung dengan kesedihan yang dipendam, ibu kejang kaki tangan serta seluruh badan bahagian kiri. Ibu diserang angin ahmar.
Us, Uk, Ul dan yang lain-lain menafikan apabila ditanya apakah mereka yang bertanggungjawab meletakkan botol asid itu di bawah meja?
Um menuduh Uj yang mengkhianatinya kerana takutkan kekalahan. Sementara Uj menuduh Um yang meletakkannya di situ dengan hasrat mencederakan Uj kerana tidak mahu dikalahkan.
(Dipetik daripada cerpen Pemain Catur
oleh Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berdasarkan petikan, apakah kesan perbalahan anak-anak terhadap keadaan ibu?
- ibu sedih
- berasa tertekan dengan perbalahan anak-anak
- menelan air mata hiba
- ibu kejang kaki tangan serta seluruh badan bahagian kiri / diserang angin ahmar
(2 markah)
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kita mewujudkan keharmonian dalam keluarga?
- Saling menghormati
- Saling memahami
- Saling mengasihi
- Bertolak ansur / bertoleransi
(3 markah)
(iii) Huraikan satu persoalan dalam petikan di atas dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen
Persoalan daripada petikan
- perpecahan dalam keluarga – Uj dan Um sanggup saling menuduh sesama sendiri tentang orang yang meletakkan asid di bawah meja
- sikap mementingkan diri sendiri – Sikap Uj dan Um yang tidak mahu mengalah dan mahu menang menyebab mereka bertelagah. Sedangkan hubungan mereka adalah sedarah iaitu adik-beradik.
[2 markah]
Persoalan daripada keseluruhan cerpen
- kepentingan sukan – sukan catur boleh memperkenalkan nama atau keturunan sesebuah keluarga
- kepentingan latihan dalam memantapkan sesuatu kemahiran – Um dan Uj berlatih bermain catur untuk memantapkan kemahiran dalam permainan catur
- peranan anak dalam meneruskan legasi keluarga dalam sesuatu bidang – Uj menurunkan kemahiran bermain catur kepada Um supaya Um mampu meneruskan kemasyhuran nama keluarga al-Hakam
- sikap batu api yang boleh memecahbelahkan keluarga – Uk memberitahu Uj bahawa Um tekun membaca buku tentang permainan catur untuk mengalahkan Uj
- tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa – Uj melantik dua orang doktor keluarga untuk merawat ibu mereka
- ketidakjujuran dalam tindakan – Uj melatih Um untuk mewarisi kemahiran bermain catur tetapi dia menjadi marah apabila mendengar khabar bahawa Um giat membaca buku tentang permainan catur
(2 markah)
PRAKTIS 3
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Kita ialah zuriat kebanggaan, kerana mampu meneruskan tradisi keluarga menjadi pemain catur yang disegani.” Uj memberi kuliah panjang kepada Um yang ketika itu masih muda remaja.
“Tapi Um tidak tahu apa-apa tentang catur. Um Cuma pandai main dam sedikit-sedikit. Dam haji dan dam apit. Itu saja.” Um merenung mata Uj yang tersorok di bawah cermin hitam yang dipakai Uj siang malam.
“Pandai main dam ialah permulaan kepada catur.” Uj menentang mata muda adiknya yang gemerlap dengan cahaya kepintaran.
Uj menggilap bakat Um dengan apa cara jua. Adik-adik lain tidak sesuai dengan jiwa Uj. Yang dia nampak Um sahaja punya bakat anugerah alam semula jadi. Um akan lebih mudah dibentuk. Tegal itu Uj hanya akan mengasuh Um. Diharap Um dapat menjadi tonggak keluarga menggantikannya apabila dia tiada nanti. Adik-adik yang lain boleh saja diketepikan. Um bertuah kerana diberi hak mutlak berbuat begitu. Itulah hak keistimewaan Uj sebagai ketua keluarga yang dihormati.
Dipetik daripada cerpen Pemain Catur
oleh Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Kemukakan dua sebab Uj ingin menggilap bakat Um dalam permainan catur.
- Um mempunyai bakat semula jadi dalam permainan catur.
- Um juga mudah dibentuk / dilatih
(2 markah)
(ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga usaha yang perlu diambil untuk menggalakkan lebih ramai golongan remaja melibatkan diri dalam permainan catur.
- Sekolah menganjurkan lebih banyak pertandingan catur.
- kerajaan boleh mengadakan kempen berkaitan catur kepada masyarakat.
- Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam permainan catur melalui sokongan dan galakan.
( 3 markah)
(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar masyarakat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
Latar masyarakat dalam petikan
- masyarakat yang bercita-cita tinggi untuk menjulang kegemilangan keluarga dalam permainan catur - Uj yang berusaha membimbing adiknya, Um untuk menguasai permainan catur bagi menyambung tradisi kegemilangan keluarga mereka dalam permainan catur.
- masyarakat yang berpecah-belah dalam keluarga akibat perbalahan - perbalahan antara Um dan Uj dalam permainan catur sehingga keluarga mereka berpecah-belah.
- Masyarakat yang mahir dalam permainan catur - keluarga Uj.
- Masyarakat yang bangga dengan keturunan - Uj yang seringkali menceritakan kehebatan keluarganya dalam permainan catur kepada Um.
- Masyarakat yang kaya-raya - Uj dan adik-beradiknya menggaji dua orang doktor untuk merawat ibu mereka yang sakit
(2 markah)
PRAKTIS 4
Baca petikan di bawah kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Sumpah tidak begitu, Uj. Mengapa Um mesti melawan abang? Um, bagi Abang Uj cuma seperti David the Gnome dalam siri kartun Awang Kenit itu. Um sebenarnya sedang memikirkan sesuatu. Biarpun muka dan mata Um merenung buah-buah catur yang berwarna hitam dan putih ini, tetapi Um tidak di situ. Fikiran Um melayang jauh. Um memikir bagaimana hendak mengubati ibu yang sedang menderita sakit darah tinggi.”
“Ibu? Itu tugas doktor memikirkannya. Kita sudah gaji dua orang doktor keluarga. Kita bayar saja bil yang disuakan nanti. Apa perlu Um memikir? Um bukan seorang doktor.” Kemarahan Uj yang cuba disimpan dan disembunyikan terjengul juga. Derai bahang suaranya melibas telinga Um.
Uj tahu. Begitu juga Us, Uk, Ur dan seluruh adik-beradik serta saudara-mara daripada institusi keluarga besar dan unggul yang di bawah penerajuan Uj. Uj memang amat menyenangi Um. Um ditatang dalam dulang emas, kata Us yang terasa dikuak ke tepi untuk memberi laluan kepada Um mengatasi semua abang-abangnya yang lain. Um dididik dengan sepenuh kudrat. Apa saja yang tidak diajarkan kepada Um. Termasuk ilmu bermain catur yang menjadi kebanggaan keluarga.
Dipetik daripada cerpen Pemain Catur
oleh Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah bukti yang menunjukkan bahawa Uj melayan Um dengan baik berbanding adik-beradiknya yang lain?
- Um ditatang dalam dulang emas
- Um dididik dengan sepenuh kudrat
- Um diajarkan semua ilmu termasuk ilmu bermain catur.
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk menghargai jasa seorang ibu?
- Sentiasa menunjukkan kemesraan kepada ibu
- Sentiasa taat dan patuh kepada ibu
- Sentiasa menjaga dan mengambil berat kebajikan ibu
- Mendoakan kesejahteraan ibu
[3 markah]
(iii) Jelaskan satu nilai yang anda peroleh daripada petikan dan satu nilai daripada keseluruhan cerpen.
Satu nilai daripada petikan
- Nilai keprihatinan seorang anak terhadap ibunya - Um prihatin terhadap penyakit darah tinggi yang dihidapi oleh ibunya.
- Nilai tanggungjawab seorang anak terhadap ibunya - Uj telah menggaji dua orang doktor untuk merawat penyakit yang dihidapi oleh ibunya.
[2 markah]
Satu nilai daripada keseluruhan cerpen
- Nilai keberanian dalam menyahut cabaran - Um berani menyahut cabaran abangnya, Uj untuk bertanding dalam permainan catur.
- Nilai kegigihan untuk mencapai sesuatu matlamat - Um telah gigih berusaha dengan menelaah buku tentang permainan catur bagi mencapai hasratnya untuk menjadi pemain catur yang terkenal.
- Nilai kasih sayang sesama adik-beradik - Uj menyayangi adiknya Um.
[2 markah]
PRAKTIS 5
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Nama keluarga kita patut dilakar semula di papan catur. Biar kita dapat duduk sebaris dengan Gary Kasparov, Paul Keres atau Mir Sultan Khan. Dunia lebih kenal kepaada Bobby Fischer, atau Alexander Alekhine dan Anatoly Karpov sebagai juara catur abad lalu, tetapi tiada nama al-Hakam.”
Um mengangguk. Tangannya mengurut janggut yang sejemput.
“Sekarang, tanggungjawab kitalah untuk menampilkan kegemilangan keluarga. Jika bukan kita siapa lagi? Takkan kita hendak mengharap Boris Spassky pula?”
Um yang sudah dirasuk semangat kegemilangan bangun. Disaksikan mata sih ibu, Um menggenggam erat tangan Uj sebagai ikrar taat setia untuk berjuang bersama menjulang nama al-Hakam yang pernah menjadi juara catur terbaik dunia sebelum kurun ke-17, biarpun tiada siapa mengenali nama tersebut sebelum ini. Uj menarik tangan Um lalu mendakap Um dengan erat sekali.
(Dipetik daripada cerpen Pemain Catur
oleh Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Berdasarkan petikan, mengapakah Um berazam untuk menjulang nama al-Hakam kembali?
- untuk menampilkan kegemilangan keluarga mereka
- menjulang nama al-Hakam yang pernah menjadi juara catur terbaik dunia sebelum kurun ke-17
(2 markah)
(ii) Nyatakan tiga faedah yang diperoleh seseorang jika menceburi permainan catur?
- dapat mengisi masa lapang.
- dapat mengharumkan nama keluarga
- dapat mengharumkan nama negara
- membantu mengasah daya pemikiran
- menjadi punca pendapatan
- mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial
(3 markah)
(iii) Huraikan satu pengajaran dalam petikan di atas dan satu pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
Pengajaran dalam petikan
- Kita haruslah berusaha dengan gigih untuk memperoleh kejayaan dalam hidup - Uj berusaha mengajar Um dalam permainan catur untuk mengembalikan kegemilangan keturunan al-Hakam.
(2 markah)
Pengajaran daripada keseluruhan cerpen
- Kita haruslah sayang-menyayangi antara adik-beradik - Uj sangat menyayangi adik bongsunya Um.
- Kita haruslah berani menghadapi cabaran dalam kehidupan - Um berani menyahut cabaran Uj supaya berlawan catur dengannya.
(2 markah)

Latihan ini diambil daripada Modul Sinergi yang dihasilkan oleh guru-guru dari Sabah. Terima kasih.