Isnin, 21 April 2014

Latihan Rumusan

Murid-murid 4 Sains 1 yang dikasihi,
Sila buat latihan rumusan ini pada 24 April 2014 bersamaan hari Khamis. Terima kasih.

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah – langkah menanam minat membaca dalam kalangan pelajar dan faedahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebih 120 patah perkataan.

Amalan membaca dalam kalangan pelajar di negara ini berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Secara puratanya, pelajar membaca satu halaman buku setiap tahun. Hal ini menunjukkan bahawa tahap pembacaan para pelajar masih lemah. Memang kita akui, ramai pelajar yang membaca kerana desakan peperiksaan. Apabila peperiksaan telah tamat, tabiat membaca ini tidak diteruskan. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus bertanggungjawab dan berusaha untuk memupuk minat membaca khususnya dalam kalangan pelajar.

Minat membaca dalam kalangan pelajar dapat dipupuk oleh ibu bapa dengan cara menunjukkan model yang baik kepada anak – anak. Sikap ibu bapa yang sering membaca buku di hadapan anak – anak menyebabkan anak – anak mencontohi ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan bilik bacaan atau perpustakaan mini dan menyediakan pelbagai bahan bacaan yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

Selain ibu bapa, guru turut memainkan peranan dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan misalnya, guru hendaklah menekankan kemahiran asas iaitu membaca, mengira dan menulis. Dorongan daripada guru supaya pelajar berkunjung ke perpustakaan sangat penting. Semasa di perpustakaan, pelajar digalakkan membaca buku – buku yang berunsur ilmiah, membuat rujukan atau menyiapkan kerja – kerja sekolah yang belum selesai. Pihak sekolah juga boleh menyediakan “Medan Membaca” atau mewajibkan pelajar membuat ulasan terhadap sebuah buku yang mereka baca pada hari perhimpunan sekolah. Usaha ini penting kerana pelajar berasa bahawa membaca itu menyeronokkan.

Kempen – kempen yang dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang faedah membaca perlu dipergiatkan dari semasa ke semasa. Penggunaan kata – kata yang menarik seperti “Membaca jambatan ilmu”, “Hidup membaca, hidup bahagia’’ mampu merangsang minat pelajar untuk membaca. Pertandingan perbahasan, pidato dan bercerita di peringkat sekolah, turut menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar. Melalui pertandingan ini, pelajar yang muncul juara perlu diberi ganjaran sebagai motivasi agar terus membaca. Pembinaan pondok – pondok bacaan di kawasan sekolah yang dilengkapi dengan bahan – bahan bacaan seperti surat khabar lama, buku – buku cerita mampu menyemai minat pelajar. Sebagai contoh, ketika waktu rehat, sesetengah pelajar tidak ke kantin, jadi kesempatan ini mereka gunakan untuk duduk di pondok bacaan sambil membaca buku.
Pihak kerajaan turut berperanan dalam menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar. Kerajaan misalnya, boleh mengurangkan cukai import bahan bacaan bermutu yang diimport dari negara luar. Selain itu, penubuhan lebih banyak perpustakaan di tempat – tempat yang lebih strategik perlu disegerakan. Perpustakan bergerak juga perlu disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar. Kesimpulannya, minat membaca dalam kalangan pelajar hendaklah ditekankan di peringkat awal lagi. Peribahasa Melayu ada mengatakan, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama untuk menanam minat membaca dalam kalangan pelajar.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada: Semua pihak Membantu

Kanak – kanak Membaca: Pendidik, BIL. 18-2006)