Jumaat, 21 Ogos 2015

Keluarga bahagia

  PEMBENTUKAN KELUARGA YANG BAHAGIA BERGANTUNG PADA PERANAN AHLI KELUARGA.  BERIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG PERNYATAAN INI.                                              

              Marcapada, masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi  atas tanah datar ini. Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya bergantung pada satu pihak sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak bak kata peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ahli keluarga menggalas kewajipan yang dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.

            Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan sempurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain putih dan ibu bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah.

Selain ibu bapa, orang yang lebih tua seperti datuk dan nenek yang merupakan ahli keluarga juga harus mentarbiah anak-anak muda dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya ketimuran dalam sanubari  sejak berumur setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Datuk dan nenek sebagai ahli keluarga harus meluaskan skop pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan cucu dan cicit serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya mereka berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada datuk dan nenek selain ibu bapa. Datuk dan nenek juga perlu memastikan cucu dan cicit mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’.

Anak-anak – Abang, kakak dan adik sendiri sebagai ahli keluarga perlu memainkan peranan dalam pembentukan keluarga bahagia. Sebagai abang dan kakak mereka patut menjadi contoh dan teladan kepada adik-adik mereka. Hal ini demikian kerana adik-adik akan mencontohi tingkah laku mereka. Mereka perlu menjadi contoh teladan dengan menghormati orang yang lebih tua dan memberi kasih sayang kepada ibu, ayah, datuk, nenek dan siapa sahaja yang lebih tua. Sebaliknya adik juga berperanan dalam pembentukan keluarga bahagia. Apabila mendapati abang atau kakak terlibat dalam hal-hal yang kurang menyenangkan, mereka patut menjadi mata dan telinga kepada ibu bapa mereka. Perkara berkenaan perlu disampaikan kepada ibu bapa agar masalah berkenaan dapat diatasi dengan mudah sebelum menjadi lebih parah.

          Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ahli keluarga seperti ibu bapa, anak-anak dan datuk serta nenek, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat merupakan antara elemen penting yang dapat menentukan pembentukan seorang individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah sentiasa bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan mengadakan kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka.  Penduduk yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama keluarga mereka dapat menjalin semangat ukhuwah yang baik dengan penduduk setempat. Dengan ini ahli keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa.  Sudah menjadi fitrah dalam melayari bahtera perkahwinan ada masam manisnya kerana langit tidak selalu cerah. Oleh itu, masyarakat setempat hendaklah mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang bagi membendung krisis rumah tangga yang berlaku dalam kalangan jiran kita. Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang menghadapi konflik supaya berdamai demi kebaikan bersama terutamanya kepada generasi muda.  Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme.  Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia. 

            Jika dilihat dari dimensi yang lain, pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang setimpal dalam usaha membentuk keluarga bahagia.  Pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak keluarga.  Hal ini dapat menyedarkan dan menginsafkan orang ramai tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak yang didera.  Akta ini melindungi hak kanak-kanak sebagai individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia.  Ibu bapa akan mengambil inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan dan seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna.  Kerajaan juga mestilah menyediakan penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan keluarga bahagia. Hal ini merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk masyarakat madani pada hari muka.  Sebagai misalan, pemberian Anugerah Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek merupakan satu usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif. Ringkasnya, kerajaan memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan menjamin kehormanian masyarakat.


             Sebagai konklusinya, dapat disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ahli keluarga dalam usaha melahirkan keluarga bahagia. Sesungguhnya mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.”  Betapa tingginya darjat manusia yang sentiasa berbuat baik terhadap ahli keluarganya. Bertitik tolak dari sini, peranan ibu bapa dan ahli keluarga lain untuk melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Namun begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh pelbagai faktor. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang dan biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.

Tiada ulasan: