Khamis, 30 Oktober 2014

Kerajaan perlu memperkasakan sektor pertanian.

Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh apabila sektor pertanian diperkasakan.

            Bak kata orang tua-tua, “Berbakti kepada bumi, bumi tidak pernah menipu”. Maksud di sebalik ungkapan tersebut menjelaskan bahawa kerja-kerja bercucuk tanam sudah pasti membawa hasil yang tidak mengecewakan. Kaitan peribahasa tersebut boleh dirujuk dengan aktiviti pertanian di negara ini yang memerlukan pemerkasaan semula setelah kerancakannya semakin malap akibat hambatan sektor-sektor lain terutama dalam sektor industri pembuatan. Sebagai sebuah negara yang dianugerahi Allah dengan kesuburan tanah-tanihnya, pihak kerajaan hendaklah meletakkan sasaran sektor pertanian dalam NKRA negara. Sebenarnya terdapat banyak habuan positif kepada semua pihak sekiranya sektor pertanian ini diperkasakan semula.

            Faedah yang pertama tentulah kepada pihak kerajaan sendiri apabila dapat mewujudkan suatu lagi saluran strategik untuk ekonomi negara. Pihak kerajaan dapat mengurangkan kadar pengaliran wang keluar kerana mengimport barangan makanan khususnya barangan pertanian. Statistik yang dikeluarkan dalam tahun 2013, sejumlah 30 bilion telah dibelanjakan untuk mengimport pelbagai jenis barangan makanan. Hal demikian amatlah ironi kepada sebuah negara seperti Malaysia. Sementara itu, sebagai suatu daripada maslahat tanggungjawab kepada rakyat, kerajaan dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat terutama yang tinggal di luar bandar. Pada hari ini, sektor pertanian terpaksa menerima penangan kuat daripada sektor-sektor lain sehingga keadaannya diibaratkan hidup segan mati tak mahu.

            Kumpulan yang kedua bakal memperoleh faedah tentulah sektor swasta yang mempunyai hubung kait perniagaan dalam bidang pertanian. Para peniaga yang terlibat secara langsung mengeluarkan input-input pertanian seperti pembekal jentera, pengeluar baja, racun dan biji benih akan dapat mengembangkan sayap perniagaan mereka dengan lebih meluas lagi. Jikalau selama ini syarikat-syarikat agro seperti BASF, ICI, sukar untuk mengembangkan produk mereka, namun apabila aktiviti pertanian kembali diperkasakan sudah tentu bidang pemasaran mereka akan berkembang. Dengan perkataan yang lain, semua syarikat yang ada hubung kait dengan produk pertanian bakal meraih untung daripada polisi kerajaan yang bersifat menang-menang dan mesra perniagaan seperti itu.

            Masyarakat tani ialah golongan sasar yang mendapat durian runtuh terbesar sekiranya dasar kerajaan yang lebih mesra pertanian benar-benar berlaku. Selama ini golongan tani yang dilihat sebagai komuniti kelas ketiga dalam strata masyarakat di Malaysia, sebaliknya apabila sektor pertanian kembali bernafas golongan inilah yang bakal menjadi entreprenuer dan pedagang yang mempunyai kuasa ekonomi terkuat. Kesuraman dalam sektor ini telah memberikan kesan yang amat negatif terhadap guna tanah selain turut terjadi penyelewengan ke atas tanah pertanian di seluruh negara. Belakangan ini, pengubahan status tanah pertanian kepada tanah industri dan tanah pegangan bebas semakin menjadi-jadi. Alasan utama yang diberi kerana wujud tanah terbiar dan tanah rang yang tidak diusahakan. Seharusnya, perkembangan negatif itu hendaklah dilihat sebagai suatu strategi untuk melenyapkan kuasa pemilikan tanah khususnya dalam kalangan rakyat tempatan, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

            Kalangan peniaga dan pedagang juga turut memperoleh faedah daripada prakarsa yang positif ini. Bidang perniagaan seperti eksport import akan memasuki fasa baru apabila Malaysia mula menjadi hub utama pengeluaran hasil-hasil pertanian. Bagi merancakkan lagi eksport, Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada eksport komoditi pertanian seperti minyak sawit dan getah sahaja. Pada masa ini kedua-dua bidang komoditi ini mula mendapat saingan hebat daripada negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Oleh itu, pemerkasaan sektor pertanian akan memberi ruang kepada bidang pertanian yang lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Langkah seperti yang diambil oleh kerajaan Perlis dalam menjenamakan pengeluaran mempelam Harumanis sepatutnya menjadi pembuka jalan kepada negeri-negeri lain. Oleh itu, motto Kementerian Pertanian dan Industri asas Tani dalam menjenamakan semula pertanian dengan logo, “Pertanian ialah Perniagaan” boleh memberikan nafas baru kepada semua pihak yang berkepentingan dalam sektor yang sangat dominan ini.

            Kesimpulannya, sektor pertanian memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan negara kita. Oleh itu anugerah Tuhan yang amat berharga ini wajar dimanfaatkan agar faedahnya dapat dirasai oleh semua pihak. Walaupun sektor petroleum dan pembuatan menjadi sumber kebergantungan ekonomi negara, justeru tidak salah sekiranya bidang pertanian turut menjadi pelengkap kepada seluruh kegiatan ekonomi di negara ini. Inisiatif yang paling penting, kita hendaklah melipatgandakan usaha dan menggemblengkan kepakaran kerana jika tidak dipecahkan ruyung, di manakan dapat sagunya?





Orang Kelainan Upaya (OKU) harus diberi peluang untuk berjaya.
Bincangkan pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.

                Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.

                Takrif OKU ialah insan yang kurang bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal sama ada dalam bentuk kecacatan fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak, cacat anggota, manakala cacat mental seperti ‘sindrom down’ dan tergencat akal. Mereka terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti golongan normal dek kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah diri, tersisih daripada arus perdana masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Pada hari ini jumlah OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga 4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan golongan tersebut tidak boleh dibiarkan meneruskan kehidupan dalam kedaifan. Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan hidup atas kudrat yang ada pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.

                Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU tidak mampu menguruskan kehidupan mereka sendiri hendaklah dikikis daripada minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan motivasi yang tinggi, golongan tersebut telah berjaya malah ada yang menjadi golongan profesional. Kemampuan personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim menjadi penasihat kepada beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma membuktikan golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang baik. Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa individu yang sudah berjaya itu, masih banyak OKU yang terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan untuk meneruskan hidup. Mereka bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat dan agensi tertentu yang ditugaskan, malah mereka tersisih juga daripada keluarga dan saudara mara sendiri.

                OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan mereka lebih berkemampuan mengatasi orang-orang yang normal. Mereka berjaya menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh, kulit, dan kemahiran tangan. Malang sekali semua usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah atas kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian. Dalam usaha membela nasib golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan sama ada oleh orang perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya orang normal pun memerlukan latihan yang intensif sebelum mereka boleh memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu diberikan perhatian yang lebih serius lagi. Malahan OKU  perlu menerima latihan dan bimbingan yang lebih terancang memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan risiko hidup yang lebih berat jikalau dibandingkan dengan golongan normal.

                Pada asasnya, OKU telah dikurniakan dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha berkuasa mentakdirkan mereka demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka memiliki sesuatu yang cukup istimewa. Bayangkanlah betapa kuatnya daya ingatan orang-orang buta yang mampu menghafal berjuzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula betapa mahirnya golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis, pertukangan tangan, dan melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk mereka maju dalam semua perkara. Sebaliknya kecacatan tersebut memberi dorongan kepada mereka untuk menumpukan dalam aspek-aspek yang tertentu pula.

                Sikap memandang lekeh masyarakat terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti itulah yang menjadi penghalang kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan kemudahan prasarana kepada OKU. Sehingga ke hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-benar memiliki kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun sekadar menumpang kemudahan sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU. Bagi golongan pekak pula tiada suatu pun IPT dan institusi kemahiran yang menyediakan perantara khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik Johor Baharu telah dipilih sebagai institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam kategori pekak, namun hingga ke hari ini IPT tersebut belum memiliki penterjemah bahasa isyarat yang profesional.

                Bagi membolehkan golongan tersebut tidak terus bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan, usaha bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka. Pihak berwajib terutama Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat hendaklah mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke kabinet sebagai usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah tiba masanya, golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran dan profesional untuk mereka. Dengan wujudnya institusi seumpamanya baharulah golongan tersebut tidak perlu bersusah payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.

                Sesungguhnya, tiada seorang insan pun yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

karangan ini sama seperti dalam buku latihan bahasa melayu tingkatan 5 ms 14