Ahad, 2 November 2014

Novel Renyah, Papa. Latar Masyarakat , Klimaks, dan peristiwa yang menarik

(a) Cerita dalam novel sememangnya memaparkan latar masyarakat sezaman. Nyatakan   tiga latar masyarakat yang  
terdapat dalam novel yang telah anda baca.


Conton Jawapan

PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!)

Salah satu unsur penting dalam sesebuah novel ialah latar. Jika sesebuah novel itu menceritakan kisah masyarakat, sudah sememangnya latar masyarakat dalam novel itu lebih jelas. Demikian juga dengan novel PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!). Ia memaparkan beberapa latar masyarakat dengan jelas sebagai salah satu unsur penting dalam penyampaian cerita.

Antara latar masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat pelajar dalam novel ini. Intan Julia belajar di tingkatan empat dan lima di Sekolah Seri Gading iaitu tempat ibunya mengajar. Semasa di tingkatan lima, Rasylan telah berpindah ke sekolah itu dan mereka berkenalan. Mereka telah menyambung pelajaran dan menjadi seorang siswa dan siswi setelah mendaftar di pusat Matrikulasi UIA. Mereka berjaya melanjutkan pelajaran di situ setelah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Mereka belajar di situ selama beberapa tahun sehingga ke kampus induk UIA. Sepanjang belajar di situ, mereka sering berjumpa untuk berbincang tentang pelajaran dan masalah masing-masing.

Dari sudut kemasyarakatan pula, novel ini menggambarkan beberapa ciri masyarakatnya. Antara lain ialah gambaran masyarakat yang penyayang. Watak utama iaitu Intan Julia sebagai anak amat sayang kepada ibunya Intan Maliana serta bapanya Jeffri. Jeffri juga amat sayang kepada isterinya Maliana. Hubungan mereka intim setiap masa sehingga Intan Julia berasa cemburu dan meluat melihat gelagat mereka. Dia tidak sanggup untuk berkahwin lagi apabila disarankan oleh Mak Cik Noraini walaupun isterinya sedang koma. Jeffri juga amat sayang kepada anaknya Intan Julia, tambahan lagi Intan Julian merupakan anak tunggalnya. Dia mengambil berat tentang pelajaran Intan Julia. Malah pada saat dia ingin ke majlis akad nikahnya, Jeffri sanggup membatalkan pernikahan itu jika Intan Julia tidak membenarkannya.

Latar masyarakat lain yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Jeffri memberikan sepenuh kasih sayang kepada isterinya Intan Maliana menjadikan hubungan dan rumahtangga mereka bahagia. Dia telah memberikan sokongan moral kepada isterinya semasa isterinya mengandung dan saat melahirkan anak. Semasa isterinya koma, dia sentiasa pergi ke hospital untuk melawat isterinya. Malah dia telah membawa isterinya pulang ke rumah supaya dia dapat selalu menjaga dan memerhatikan isterinya. Selama isterinya koma, dia menjalankan tanggungjawab untuk menghantar dan mengambil anaknya Intan Julia dari sekolah selain daripada mengambil tahu perkembangan pelajaran Intan Julia sehinggalah Intan Julia belajar di UIA.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan gambaran masyarakat dalam novel PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!) dipaparkan dengan jelas oleh pengarang. Paparan yang jelas ini membolehkan cerita yang disampaikan lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.


Renyah

Salah satu unsur penting dalam sesebuah novel ialah latar. Jika sesebuah novel itu menceritakan kisah masyarakat, sudah sememangnya latar masyarakat dalam novel itu lebih jelas. Demikian juga dengan novel Renyah. Ia memaparkan beberapa latar masyarakat dengan jelas sebagai salah satu unsur penting dalam penyampaian cerita.

Dalam novel ini pengarang menggambarkan masyarakat korporat yang diwakili oleh Datuk Dolhi sendiri sebagai watak utama dan Albert Lee sebagai rakan kongsi Datuk Dolhi. Mereka melaksanakan projek pembangunan seperti vila dan juga melabur dalam bidang pembalakan di Sarawak. Melalui dialog Datuk Dolhi yang ditujukan kepada anak-anaknya menggambarkan bahawa bidang korporat atau bidang perniagaan membawa keuntungan yang lumayan berbanding dengan bidang lain terutamanya sektor awam. Datuk Dolhi memujuk Hasnol agar bekerja dengan syarikatnya jka ingin hidup mewah dengan pendapatan tinggi.

Selain daripada itu pengarang juga menggambarkan masyarakat yang mengalami masalah kecelaruan dalam keluarga akibat daripada ahli keluarga yang tidak sefahaman. Bermula daripada Datuk Dolhi sendiri yang lebih cenderung dalam bidang perniagaan tidak mendapat sokongan daripada anak-anak. Malah anak-anaknya lebih suka memilih kerjaya sendiri berdasarkan minat dan keslesaan. Hasnol Lebih selesa dengan jawatan sebagai pegawai tadbir diplomatik dalam sentor awam. Dani lebih bangga sebagai penyanyi rock. Amera lebih bangga menjadi pendidik dan mempunyai peluang untuk berjaya serta menjadi guru cemerlang. Manakala Mukhlis pula tidak berminat langsung untuk mempunyai kerjaya yang boleh menjamin kehidupannya. Semua karenah mereka membuatkan fikiran Datuk Dolhi bercelaru.

Latar masyarakat lain yang digambarkan dalam novel ini ialah masyarakat yang terlibat dengan dakwah songsang. Mereka mengikut jemaah tanpa menyelidik latar belakang jemaah dan fahaman mereka. Lebih malang lagi mereka berdakwah tanpa ilmu pengetahuan agala yang mencukupi. Mereka terpegrahun dengan guru mereka yang berselindung di sebalik kegiatan agama dan dakwah untuk kepentingan peribadi. Guru mereka hidup mewah manakala pengikut termasuk Mukhlis hidup dalam keadaan yang daif. Mereka disogokkan dengan fahaman yang songsang. Mereka hanya menentingkan dakwah tanpa memikirkan soal kehidupan dunia. Mukhlis tidak mahu bekerja dengan ayahnya Datuk Dolhi kerana berpendapat bidang perniagaan penuh dengan riba.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan gambaran masyarakat dalam novel Renyah dipaparkan dengan jelas oleh pengarang. Paparan yang jelas ini membolehkan cerita yang disampaikan lebih hidup dan berkesan kepada pembaca.


(b) Klimaks merupakan unsur utama dalam plot sesebuah cerita. Daripada novel yang telah anda baca, jelaskan persitiwa yang menjadi klimaks dalam novel tersebut.

PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!)

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ia digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.

Peristiwa yang menjadi klimaks dalam novel PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!) berlaku pada bab 18 apabila Intan Julia pulang ke rumah dari asrama. Dia sampai ke rumah dalam keadaan diam sehingga bapanya dan Mak Cik Noraini tidak menyedari kepulangannya. Niatnya hanya untuk memeranjatkan Mak Cik Noraini dan membuatkan Mak Cik Noraini melatah. Semasa dia menuju ke dapur, dia terdengar perbualan Mak Cik Noraini dengan bapanya. Mak Cik Noraini menyarankan bapanya berkahwin lagi. Walaupun bapanya risau tentang Intan Julia yang mungkin tidak dapat menerima, Mak Cik Noraini berpendapat Intan Julia akan memahami dan dapat menerimanya suatu hari nanti.

Intan Julia terus naik dan masuk ke biliknya. Dia berdoa sambil menangis agar apa yang didengarnya sebentar tadi tidak akan menjadi kenyataan. Dia tidak rela bapanya mencari pengganti ibunya. Dia turun semula ke tingkat bawah dan mendapati bapanya yang membaca majalah yang mengandungi artikel tentang poligami. Intan Julia tidak menyenangi perbuatan bapanya itu, tambahan pula apabila mengingatkan hubungan bapanya dengan Aisyah. Intan Julia sudah tidak tahan lagi menanggung rasa marah terhadap sikap bapanya.

Intan Julia terus terang menyatakan tujuan bapanya membaca artikel tentang poligami kerana bapanya ingin berkahwin lagi. Intan Julia dengan jelas menyuarakan perasaan tidak senang hati dengan hubungan bapanya dengan Aisyah. Seterusnya dia mengatakan bahawa bapanya telah tidak setia dengan ibunya. Malah Intan Julia menuduh bapanya curang. Kata-kata itu menyebabkan bapanya marah dan Intan Julia ditempeleng. Intan Julia kecewa dengan tindakan bapanya dan pulangke asrama pada awal pagi keesokan harinya. Dia hanya berada di asrama dan tidak pulang selama beberapa minggu.


Renyah

Plot terdiri daripada empat unsur utama. Salah satu unsur plot yang penting ialah klimaks. Pada peringkat ini, perkembangan plot sesebuah cerita memuncak. Ia digambarkan dengan peristiwa pertentangan antara dua watak atau antara watak dengan dirinya sendiri.

Peristiwa yang menjadi klimaks dalam novel ini bermula pada Majlis perkahwinan telah diadakan di rumah Datuk Dolhi. Salah seorang jemputan yang datang ialah Ustaz Hashim yang merupakan kawan lama kepada Datuk Dolhi. Ustaz Hashim memberitahu Datuk Dolhi tentang keadaan Mukhlis yang sangat menyedihkan. Fikiran Mukhlis terganggu. Isterinya telah kembali kepada bekas suaminya. Mereka pergi ke Kampung Sungai Bakau untuk bertemu dengan Mukhlis. Mukhlis tiada di rumahnya.keadaan rumah itu sangat menyedihkan. Salah seorang pemuda memberitahu Datuk Dolhi bahawa Mukhlis telah tidak siuman. Dia dikatakan cuba menyerang gurunya. Mukhlis membawa sebilah pedang.

Hasnol telah dipanggil oleh Tengku Munir ke kejabatnya. Tengku Munir marah kerana tidak semua tender yang dimohonnya diluluskan. Walaupun Hasnol memberi penjelasan, Tengku Munir tetap berkeras supaya semua tendernya diluluskan. Hasnol pulang dengan perasaan tertekan sehingga dia tidak mahu mengikut isterinya ke Eropah. Tengku Munir dan pegawainya pergi ke pejabat menteri besar pada keesokan harinya dan melaporkan terdapat seorang kakitangan bernama Hasnol Datuk Dolhi meminta wang satu juta ringgit sebagai habuan untuk meluluskan 12 tender projek kerajaan. Pegawai BPR datang ke rumah Datuk Dolhi untuk menyiasat. Berita itu tersiar dalam akhbar pada keesokan harinya. Datuk Dolhi berasa malu dan Datin Tominah berasa sedih. Hasnol telah melarikan diri ke luar negara.

Dani dan kumpulannya dijadualkan mengadakan persembahan di sebuah pekan sempena Malam Ekspo Perdangan Pemuda anjuran persatuan belia. Pada malam persembahan, Dani tidak dapat naik ke pentas kerana ketagihan dadah. Dia menghilangkan diri mencari pembekal dadah. Kumpulannya mendadakan persembahan tanpa penyanyi. Penonton hampa. Anggota polis datang memberitahu Dani telah ditangkap. Berita penangkapan tersiar dalam akhbar keesokan hari. Wartawan datang ke rumah Datuk Dolhi.

(b) Novel yang telah anda baca mengandungi banyak peristiwa menarik. Nyatakan tiga peristiwa menarik dalam novel tersebut.

Conton Jawapan

PAPA…(Akhirnya kau tewas jua!)

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel tersebut. Antara peristiwa menarik bagi saya dalam novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) ialah peristiwa semasa Intan Julia telah berada di tingkatan lima. Jeffri telah membelikan beberapa kelengkapan bayi sebagai persediaan menyambut kelahiran walaupun ditegah oleh Mak Cik Noraini. Intan Maliana sakit hendak bersalin pada pukul empat pagi. Dia dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Intan Maliana terpaksa melalui satu pembedahan. Dia melahirkan dia orang anak lelaki kembar siam yang telah meninggal dalam rahim. Intan Maliana dimasukkan ke bilik ICU dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Jeffri membawa jenazah anaknya pulang dan menguruskan pengkebumiannya. Peristiwa ini menarik kepada ia menimbulkan perasaan suspens dan sedih pada diri pembaca.

Peristiwa lain yang menarik ialah semasa Intan Julia pulang ke rumah dari asrama. Dia tidak senang hati dengan perbuatan bapanya yang membaca majalah yang mengandungi artikel tentang poligami. Tambahan apabila mengingatkan hubungan bapanya dengan Aisyah. Intan Julia sudah berani menjawab kata-kata bapanya kerana tidak tahan lagi menanggung rasa marah terhadap sikap bapanya. Intan Julia dengan jelas menyuarakan perasaan tidak senang hati dengan hubungan bapanya dengan Aisyah. Seterusnya dia mengatakan bahawa bapanya telah tidak setia dengan ibunya. Malah Intan Julia menuduh bapanya curang. Kata-kata itu menyebabkan bapanya marah dan Intan Julia ditempeleng. Intan Julia kecewa dengan tindakan bapanya dan pulangke asrama pada awal pagi keesokan harinya. Dia hanya berada di asrama dan tidak pulang selama beberapa minggu. Peristiwa itu menarik kerana ia menunjukkan rasa sayang yang mendalam Intan Julia terhadap ibunya.

Satu lagi peristiwa menarik bagi saya dalam novel ini ialah peristiwa pada bahagian akhir cerita. Intan Julia dan Jeffri masuk ke bilik Intan Maliana. Intan Maliana sekonyong-konyong membuka mata. Intan Julia dan bapanya terkejut dengan perkembangan itu. Tiba-tiba Aisyah masuk ke bilik. Dia telah diperkenalkan oleh Jeffri kepada Intan Maliana. Intan Maliana terkejut dan marah. Dia melepaskan tangan Jeffri dan memalingkah mukanya. Dia menangis. Tiba-tiba dada Intan Maliana bergoncang kencang dan Intan Julia sempat menjagarnya mengucap kalimah syahadah. Dia kemudian meninggal dunia. Peristiwa ini menarik bagi saya kerana ia menjadi puncak kepada perasaan sedih Intan Julia.


Renyah

Sesebuah cerita dalam novel mengandungi banyak rentetan peristiwa. Terdapat beberapa peristiwa tertentu yang menarik bagi pembaca novel tersebut. Antara peristiwa menarik bagi saya dalam novel ialah peristiwa yang berlaku pada bab 13. Datuk Dolhi pergi ke Jepun untuk bercuti. Dia menginap di Hotel Tokyo Metropolitan. Pada malam itu Datuk Dolhi memberitahu Wahi bahawa Wahi adalah anak kandungnya. Wahi bagaimanapun tidak terkejut kerana telah mengetahui hal itu daripada neneknya. Datuk Dolhi meluahkan perasaannya kepada Wahi tentang anak-anaknya lain yang tidak mahu mengikut jejaknya dalam bidang perniagaan. Datuk Dolhi berjanji akan menjelaskan hal itu kepada keluarga. Peristiwa itu menarik bagi saya kerana tidak ada rahsia lagi antara mereka.

Peristiwa lain yang menarik bagi saya ialah peristiwa Hasnol dipanggil oleh Tengku Munir ke kejabatnya. Tengku Munir marah kerana tidak semua tender yang dimohonnya diluluskan. Tengku Munir dan pegawainya pergi ke pejabat menteri besar pada keesokan harinya dan melaporkan terdapat seorang kakitangan bernama Hasnol Datuk Dolhi meminta wang satu juta ringgit sebagai habuan untuk meluluskan 12 tender projek kerajaan. Pegawai BPR datang ke rumah Datuk Dolhi untuk menyiasat. Berita itu tersiar dalam akhbar pada keesokan harinya. Datuk Dolhi berasa malu dan Datin Tominah berasa sedih. Hasnol telah melarikan diri ke luar negara. Peristiwa itu menarik bagi saya kerana ia telah memberikan pengajaran kepada Hasnol.

Manakala peristiwa ketiga yang menarik bagi saya dalam novel ini ialah peristiwa Datuk Dolhi memberitahu rahsia perkahwinan pertamanya dengan Mastura dan Wahi adalah anaknya. Seluruh ahli keluarga terkejut dan tidak percaya. Datin Tominah menangis. Dia menceritakan hal itu kepada rakan-rakannya. Mereka mencadangkan Datin Tominah mengambil tindakan undang-undang. Datin Tominah mengambil sikap konfrantasi dengan tidak menghiraukan Datuk Dolhi. Datuk Dolhi juga tidak menghiraukan sikap Datin Tominah. Peristiwa itu menarik kerana ia telah meleraikan perasaan kusut pada diri datuk Dolhi selama ini.


Tiada ulasan: