1. Kebaikan amalan
melancong di dalam negara bersama-sama keluarga (KELUARGA)
Melancong dapat
ditakrifkan sebagai pergi bercuti atau berlibur ke sesuatu tempat untuk makan
angin atau menenangkan fikiran sama ada bersama-sama dengan keluarga ataupun
dengan rakan-rakan. Dewasa ini, destinasi-destinasi pelancongan di dalam negara
semakin mendapat sambutan dan perhatian dalam kalangan warganegara tempatan
mahupun orang luar. Hal ini merupakan hasil daripada usaha-usaha kerajaan
mengadakan kempen dan mempromosikan destinasi pelancongan tempatan seperti
Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Melaka dan lain-lain destinasi
kepada rakyat pribumi Malaysia dan rakyat luar negara. Menurut Datuk Seri Utama
Dr. Rais Yatim, mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri
pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi
pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain
sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong
oleh rakyat jelata. Sehubungan dengan itu, salah satu obligasi yang perlu
dipikul oleh ibu bapa ialah ibu bapa seyogianya membawa ahli keluarganya
melancong di dalam negara dengan lebih kerap untuk memartabatkan industri
pelancongan negara di peringkat global. Berpijaklah di bumi yang nyata bahawa
melancong bersama keluarga di dalam negara sememangnya membawa pelbagai
kemaslahatan yang tidak dapat dinafikan. Marilah kita bersama-sama menghalusi
dan meneliti keberkesanan aktiviti melancong bersama keluarga tercinta di tanah
tumpahnya darah kita sendiri kerana kata orang, ”tak kenal maka tak cinta”.
Kebaikan yang perdana
ialah hubungan kekeluargaan dapat dipererat. Dalam sesebuah institusi keluarga,
kesibukan melayani aktiviti harian masing-masing memang tidak dapat dinafikan.
Si ibu dan si ayah sibuk dengan kerjaya mereka manakala si anak pulak sibuk dengan
tugasan sekolahnya. Situasi ini menyebabkan masa untuk bersama-sama dengan ahli
keluarga amat terbatas. Sehubungan dengan itu, aktiviti melancong di dalam
negara bersama keluarga ini sudah pasti dapat menyediakan satu ruang untuk ahli
keluarga merapatkan hubungan yang kian renggang. Kata orang, yang jauh kita
dekatkan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti di dalam negara
pada musim cuti sekolah di pusat peranginan seperti di Tanah Tinggi Cameron,
Genting Highlands dan Bukit Fraser. Percutian seumpama ini dapat menenangkan
fikiran seisi keluarga kerana berada di kawasan yang jauh dari kesibukan. Bukan
itu sahaja,Masa
percutian ini juga boleh diguna untuk menyelesaikan masalah keluargaan dengan
cara berbincang mengenai masalah keluarga berkenaan. Ibu bapa dan anak-anak
dapat memahami antara satu sama lain. Dengan ini, anak-anak serta ibu bapa akan
berasa lebih terbuka untuk berbincang mengenai keadaan keluarga mereka. Hal ini
secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi
keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang sakinah dapat dilahirkan. Tegasnya, melancong di dalam negara dapat mempererat
hubungan kekeluargaan agar menjadi bagai isi dengan kuku.
Selain itu, percutian
di dalam negara bersama keluarga juga dapat mengurangkan gejala sosial dalam
kalangan anak-anak daripada berleluasa. Melancong merupakan salah satu cara
yang berkesan untuk mengisi masa lapang kita. Lazaimnya, semasa cuti
persekolahan bermula anak-anak akan mempunyai banyak masa terluang. Sekiranya
masa ini tidak dirancang dengan bijak oleh ibu bapa maka anak-anak akan hanyut
dalam dunia hedonisme yang akhirnya akan membawa kedurjanaan dalam kehidupan
anak-anak. Oleh itu, di kesempatan ini ibu bapa sering merancang percutian
terutamanya di dalam negara untuk mengisi masa terluang ahli keluarganya dengan
aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Destinasi percutian yang sering menjadi
tumpuan ibu bapa pada musim cuti persekolahan ialah taman tema air yang kini
dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Taman tema yang sering dikunjungi
oleh ahli keluarga ialah Taman Tema Sunway Lagoon, Taman Tema Bukit Gambang dan
Taman Tema Air A’Famosa. Kesannya, anak- anak akan terhindar daripada melakukan
perkara negatif terutama pada waktu cuti sekolah seperti bercampur gaul dengan
remaja yang rosak akhlak. Ibu bapa juga dapat mengetahui aktiviti anak-anak
kerana sepanjang waktu melancong, anak-anak sentiasa bersama mereka. Hal ini
secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi
keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang harmoni dan marem dapat dilahirkan.
Izharlah bahawa penglibatan anak-anak dalam gejala tidak sihat dapat dielakkan
melalui aktiviti melancong bersama keluarga di dalam negara.
Seperkara lagi, ilmu
pengetahuan ahli keluarga juga dapat ditingkatkan. Ilmu yang berharga ialah
ilmu yang diperoleh melalui pengalaman yang dialami sendiri. Jadi, membawa ahli
keluarga melancong di dalam negara membolehkan ahli keluarga kita menimba ilmu
pengetahuan yang akan kita ingati selagi hayat dikandung badan. Janganlah kita
taksub dengan keunikan dan keistimewaan di negra orang sedangkan keunikan di
negara sendiri masih seperti katak di bawah tempurung. Jika situasi ini
berlaku, sudah pasti kita akan berasa malu apabila pelancong asing bertanyakan
keunikan negara kita kepada kita yang kecetekan ilmu tentang negara sendiri.
Sebagai contoh, kunjungan ke tempat-tempat bersejarah seperti Melaka dan
Georgetown dapat mendedahkan banyak sejarah negara kepada keluarga kita
terutamanya kepada generasai muda. Kita sepatutnya menghargai pengiktirafan
’Tapak Warisan Dunia’ yang telah diberikan oleh UNESCO kepada Melaka dan
Georgetown. Bandaraya Melaka perlu dijelajahi oleh ahli keluarga kerana bandar
ini kaya dengan peninggalan sejarah Tanah Melayu seperti Kota A’Famosa, Bangunan
Stadthuys, Perigi hang Li Po, Makam Hang Tuah dan sebagainya. Kunjungan ke
bandar-bandar bersejarah ini sudah pasti dapat mengukuhkan pengetahuan ahli
keluarga kita tentang sejarah negara yang dipelajari di sekolah. Secara implisitnya,
khazanah sejarah tanah air akan terus terpelihara dan sentiasa terpahat dalam
memori setiap anak watan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Ringkasnya, ilmu pengetahuan ahli keluarga tentang keunikan negara sendiri
dapat dicapai melalui aktiviti melancong di dalam negara bersama keluarga.
Jika kita kaji dari
perspektif yang berbeza, aktiviti melancong di dalam negara bersama-sama dengan
keluarga juga dapat meningkatkan ekonomi negara supaya dapat duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain di seantero dunia. Hal
ini disebabkan oleh setiap ahli keluarga tidak perlu membazirkan wang mereka
untuk bercuti ke luar negara kerana bagi mereka, hujan emas di negeri orang,
hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Oleh itu, apabila
ahli keluarga melancong di dalam negara sahaja, pengaliran wang ke luar
negara dapat dielakkan seterusnya negara dapat menggunakan pusingan wang
tersebut untuk memajukan sektor pelancongan negara lagi. Malah, kemasukan pelawat-pelawat
asing juga dapat meningkatkan kadar tukaran wang sekali gus dapat
menambahbanyakkan jumlah pendapatan negara. Sektor perhotelan memperoleh laba
yang besar apabila para pelancong menginap di hotel seperti Hotel Seri
Malaysia, Hotel Vistana Kuala Lumpur dan Hotel Bahagia Langkawi. Hal ini
dibuktikan melalui pertumbuhan pesat bangunan-bangunan hotel di serata pelosok
negara. Di samping itu, terdapat juga motel dan chalet didirikan oleh pengusaha
pusat-pusat peranginan bagi kemudahan pelancong yang datang. Semakin banyak
tempat penginapan dibina, maka semakin banyak peluang pekerjaan terbuka kepada
rakyat Malaysia. Dengan ini, kadar pengangguran rakyat kita semakin menurun.
Jelaslah bahawa melancong bersama keluarga dalam tempatan dapat merancakkan pertumbuhan
ekonomi negara.
Dalam nada yang
berbeza, melalui aktiviti pakej pelancongan bersama-sama keluarga di dalam
negara juga dapat meningkatkan taraf destinasi pelancongan negara di mata
dunia. Perkara ini dikatakan demikian kerana apabila sesebuah pusat pelancongan
itu sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara, pelancong lain
yang sebelum ini tidak pernah melawat tempat tersebut akan mempunyai semangat
inkuiri untuk melihat sendiri keistimewaan dan keunikan destinasi tersebut. Oleh
itu, apabila destinasi tersebut sering menjadi tumpuan dan sebutan seperti
Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron, maka tempat tersebut tidak akan
putus-putus menerima pelawat seperti air yang mengalir di kali. Dengan
demikian, destinasi pelancongan tersebut akan diiktiraf sebagai destinasi
pelancongan antarabangsa yang tersohor. Seterusnya, misteri dan keanehan yang
terdapat di dalam negara juga menyebabkan pelancong ingin menerokai alam
tersebut seperti misteri bunga Refflesia iaitu bunga yang terbesar di dunia.
Secara tidak langsung, hal ini memberikan tempias kepada industri tempatan
terutamanya industri desa. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan lagi bahawa
lawatan-lawatan di dalam negera membolehkan destinasi pelancongan di dalam
negara dinobatkan di peringkat antarabangsa.
Secara konklusinya,
sudah terang lagi bersuluh bahawa melancong di dalam negara bersama-sama dengan
keluarga banyak memberikan kebaikan sama ada kepada institusi keluarga
tersebut, mahupun negara kita, Malaysia yang indah permai ini. Industri
pelancongan ini sememangnya menjurus ke arah kemajuan ekonomi sesebuah negara.
Malah, industri pelancongan juga menjadi pemangkin bagi industri-industri lain
untuk sama-sama berkembang maju dan seterusnya menambahkan hasil ekonomi negara.
Oleh itu, ibu bapa dan ahli keluarga haruslah menyokong industri pelancongan
tempatan untuk memartabatkan industi ini di persada antarabangsa. Namun begitu,
usaha ini tidak seharusnya diletakkan atas pundak kerajaan dan keluarga sahaja
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, marilah sekalian
rakyat Malaysia bersatu ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Everest untuk mempopularkan
industri pelancongan di pentas dunia. Diharapkan komitmen jitu daripada
pelbagai pihak dapat merealisasikan harapan kita agar suatu masa nanti
destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia akan mendapat publisiti yang
meluas, malah mendapat perhatian semua penduduk dan menjadi destinasi
pelancongan yang terunggul di mata dunia. Oleh itu, rakyat Malaysia yang
berhasrat untuk bercuti di luar negara perlu berfikir terlebih dahulu kerana
hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri
sendiri. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar,
biarlah industri pelancongan negara terus maju di seantero dunia. Malaysia
Boleh!
2. LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN
INDUSTRI PELANCONGAN DESA (NEGARA)
Sedasawarsa
ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang
pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke
Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia
sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China
dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di
mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada
pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan
adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk
kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai
pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya,
apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar
terus berkembang maju?
Minhaj
pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak
kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik.
Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat
disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan
memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa ini, kerajaan boleh
membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan
sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya
pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk
memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan
zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu,
pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan
pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
ditelan arus kemodenan.
Minhaj
seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak
kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Menteri Pelancongan
dan Kebudayaan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz Nadem
haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan
adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara
kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu,
kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di
negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya
mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi
menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air
bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi
pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil
berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan
tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri desa akan terus
berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri
desa di negara kita terus berkembang maju.
Selain
itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi
sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita.
Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti
tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong
tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan
industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan
pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan
permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan
sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai
padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan
budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan
hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai
murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai
aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati
gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak
dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan
terus mundur dan berada di takuk lama. Ringkasnya, pihak pengurusan inap desa
perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk
memajukan industri pelancongan desa di negara kita.
Di
samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga
haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di
desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Pihak Kementerian Pelancongan
haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan
pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan
melawat kawasan desa di negara kita. Antara langkah yang dapat diambil untuk
mempromosikan kawasan pelancongan di desa adalah dengan mengadakan kempen.
Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka
dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan
lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak
kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan
festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih
untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam
tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Sebagai
contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara
adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan
masyarakat di kawasan desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan
mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang
kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Pendek kata,
peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada
pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara
ini.
Jika
dilihat dari skop yang berbeza, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan
perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri
pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih
terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai
tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu,
pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan
membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan
bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa
seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa
haruslah diperkembangkan supaya tidak lesu serta dapat memberikan pulangan yang
lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak
berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di
negara kita dapat terus berkembang maju. Izharlah bahawa untuk memajukan
industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah
membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.
Secara
intihanya, bayang kian jelas bahawa usaha semua pihak sangat signifikan dalam
memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Seandainya langkah untuk
mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak
kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat
dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita.
Oleh itu, pihak yang berautoriti perlulah melakukan pelbagai anjakan paradigma
untuk memastikan industri desa terus bersinar di negara kita. Namun begitu,
kita tidak seharusnya meletakkan obligasi berat ini kepada pihak tertentu
sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Jadi, semua pihak
haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam
merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita.
Komitmen jitu daripada semua pihak dapat memacu pertumbuhan industri-industri
berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan
mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Diharapkan usaha bersama ini
dapat dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu ketika
dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya
tinggal di atas pokok dan bercawat. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah
matahari terus bersinar dan biarlah industri pelancongan desa dapat menaikkan
nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di
atas peta. Malaysia Boleh!
3. Usaha-usaha memajukan
industri pelancongan negara (NEGARA)
(a) Kempen dan usaha
mempromosikan Malaysia di persada dunia
(b) memajukan infrastruktur awam
dan prasarana negara
(c) menitikberatkan aspek
kebersihan
(d) keselamatan pelancong
harus dipertingkatkan
(e) pihak berkuasa perlu
menghapuskan atau mengurangkan cukai belian barangan di negara ini
4. Kebaikan sektor
pelancongan kepada negara kita (NEGARA)
(a) memajukan ekonomi negara
– pengaliran wang masuk – pelancong berbelanja
(b) meningkatkan imej negara
– layanan mesra rakyat tempatan
(c) memajukan industri
tempatan – industri kraftangan, inap desa, industri perhotelan – peluang
pekerjaan - mengurangkan kadar pengangguran negara
(d) memperkenalkan budaya dan
adat resam kepada rakyat asing
(e) dapat menjalinkan
hubungan diplomatik dengan negara luar
5. Keistimewaan / Keunikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan (NEGARA)
(a) Keindahan flora dan fauna
(b) Keunikan adat resam dan
kebudayaan masyarakat Malaysia
(c) Kestabilan politik
(d) Keindahan pantai yang
bersih
(e)
Keramahan rakyat
Terima kasih cikgu Anelysa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan