JAZAKHALLAHU KAIRAN
KHATIRAN BUAT SAHABATKU TN.HJ.ISHAK MD SHAH.
1. Belakangan ini, isu kenakalan remaja
hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan
datang.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk
sahsiah diri yang terpuji.
Pendahuluan: Perubahan arus globalisasi semakin hari semakin
mencabar. Perubahan tersebut turut disokong oleh kecanggihan teknologi maklumat
yang dikuasakan pula dengan teknologi internet. Pelbagai maklumat baru boleh
diakseskan dengan serta merta. Fenomena tersebut amat mencabar jiwa ‘panas’
remaja yang turut disokong pula oleh semangat inkuiri menyebabkan remaja
bagaikan cacing kepanasan. Mereka kadang-kadang hanyut dalam ilusi
sendiri malah kadang-kadang mereka lebur dalam gejala kebejatan moral.
Akhirnya, berlakulah krisis remaja yang hilang identiti, tiada matlamat hidup
dan tercebur dalam gejala sosial. Walau bagaimanapun, remaja tidak boleh
selama-lamanya tenggelam dalam khayalan yang boleh memusnahkan diri dan negara pada
masa hadapan. Sesungguhnya, banyak prakarsa yang perlu diperkasakan oleh remaja
demi berhadapan dengan ancaman yang berbahaya itu.
Isi 1 : Mendalami ilmu agama dan moral – agama dan moral sebagai benteng
keruntuhan akhlak – faham akan konsep dosa dan pahala – memperoleh iman dan
takwa – faham bahawa segala perbuatan baik dan buruk akan diadili di akhirat
dan mendapat ganjaran yang setimpal
Isi 2 : Meletakkan keutamaan belajar dan mencari pengalaman
demi masa depan – hanya ilmu dan
pengalaman sebagai jaminan masa depan
Isi 3 : Memilih rakan yang sealiran – rakan sebagai pewarna kehidupan –
tersalah memilih rakan boleh mengundang mudarat – mengikuti program sosial
seperti persatuan dan NGO
Isi 4 : Membina motivasi – motivasi merupakan enjin yang menggerakkan individu
untuk mencari kejayaan – tidak mudah terpedaya dan mengikut telunjuk rakan –
mempunyai matlamat masa depan yang terjamin
Isi 5 : Memahami dan mendalami dasar dan visi negara – faham akan hala tuju negara –
memahami hasrat pemimpin – bersama-sama rakan berganding bahu menjayakan semua
agenda wawasan negara - tidak mudah terpengaruh dengan anasir perosak negara
Kesimpulan : Tokoh falsafah terkemuka Yunani iaitu Aristotle pernah
berkata, “Ketahanan sesebuah negara bukan bergantung kepada hasil buminya
yang mewah, sebaliknya berada dalam tangan anak mudanya yang gagah dan
bijaksana”. Apabila menghayati kata-kata hebat tersebut, saya begitu teruja
untuk menjadi anak muda yang berwawasan. Saya beriltizam untuk membina Malaysia
yang tercinta ini menjadi negara yang bebas daripada ancaman parasit dan anasir
perosak khususnya daripada kalangan anak-anak muda itu sendiri. Oleh itu, saya
dan rakan-rakan hendaklah memilih jalan yang betul yang telah dirintis oleh
generasi yang terdahulu.
2. Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang
menjadi tarikan pelancong sama ada pelancong tempatan atau pun pelancong asing.
Huraikan kepentingan-kepentingan industri pelancongan terhadap
pembangunan negara.
Pendahuluan: Apabila berbicara perihal melancong, banyak orang yang akan
mengalih pandang sama ada ke negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Asia
Timur Jauh seperti Jepun, Korea, dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah kita
melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula pelancong asing yang datang
ke negara kita. Berdasarkan laporan portal pelancongan negara, Malaysia berada
di tangga yang kesepuluh dalam kalangan negara-negara yang wajib dilawati.
Destinasi utama seperti Gunung Kinabalu dan taman pertanian Kundasang, Cameron
Highland, Pulau Perhentian, Pulau Langkawi dan banyak lagi destinasi telah lama
gah dan tersohor dan menjadi ciapan kepada pelancong asing dan tempatan. Oleh
itu, jelaslah bahawa Malaysia pun tidak kurang hebat dengan destinasi
pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita manfaatkan demi
faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada
kemajuan ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.
Isi 1: Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara
asing semakin meluas– imej Malaysia akan
dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong
Isi 2: Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan
yang berkaitan dengan industri pelancongan itu sendiri seperti dalam bidang
perhotelan – memajukan industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan,
pakaian, cenderamata, pengangkutan dan sebagainya.
Isi 3: Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan
daripada interaksi dengan orang asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir
semakin berkembang – gaya berfikir di luar kotak
Isi 4: Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang
dibangunkan, kemudahan prasrana, alam sekitar yang terjaga dan semua
potensi alam berjaya dimanfaatkan
Isi 5: Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang
ekonomi – minat yang tinggi daripada pelancong-pelancong dari Timut Tengah,
Jepun, Korea, dan Eropah boleh meningkatkan kadar tukaran mata wang negara.
Kesimpulan: Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana
ekonomi kepada banyak negara di dunia. Negara-negara terkemuka di Eropah
seperti Switzerland, Perancis dan walayah Scandinivia amat mesra kepada
pelancong. Demikian juga dengan di Asia, negara Jepun, Korea dan Thailand
sering menjadi pilihan. Sesungguhnya, industri pelancongan menjadi titian yang
menyambungkan interaksi budaya, cara hidup bahasa dan emajuan ekonomi. Walaupun
industri pelancongan pada awalnya sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi
yang negatif, namun imej tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia
sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam aspek budaya dan agama.
Janganlah disebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.
3. Kemasukan pelajar asing ke negara ini telah
menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang tersohor di peringkat global.
Huraikan faktor-faktor yang menarik minat pelajar-pelajar dari
luar negara untuk melanjutkan pelajaran di negara ini.
Pendahuluan: Bandar raya Kuala Lumpur semakin hampir mencapai taraf
kosmopolitan apabila berada sebaris dengan bandar-bandar besar dunia yang lain.
Situasi itu diwarnai oleh kepelbagaian aktiviti perniagaan, pendidikan, sosial
dan kemajmukan masyarakatnya yang datang dari seluruh dunia. Pada hari ini
apabila berkunjung ke bandar raya kebanggaan Malaysia itu, kita seakan-akan
terasa seperti berada di planet yang berbeza dengan lokasi yang lain di
Malaysia sebagai kesan daripada kepelbagaian sosial dan budayanya. Tempias di
Kuala Lumpur turut merebak ke bandar-bandar utama lain juga, seperti Pulau
Pinang, Johor Baharu, Ipoh dan kawasan Lembah Kelang yang semakin melimpah
dengan kebanjiran pelajar-pelajar asing. Kehadiran mereka ini adalah selaras
dengan dasar negara yang menggalakkan IPTA dan IPTS membuka pintu kepada
pelajar antarabangsa. Dikhabarkan kebanjiran mendadak pelajar-pelajar asing ke
Malaysia adalah disokong oleh pelbagai faktor positif sebagai daya tarikan.
Isi 1: Secara relatifnya kadar yuran pengajian dan kos sara
hidup di Malaysia adalah rendah
- Kadar mata wang RM adalah lebih rendah
daripada mata wang utama dunia
- Belanja kos hidup dan biaya pengajian
lebih murah
Isi 2: Situasi pengajian dan pembelajaran di Malaysia yang
selamat selesa dan kondusif
- Jaminan keselamatan dalam negeri yang
aman
- Tingkah laku masyarakat Malaysia yang
sopan dan berbudaya tinggi
- Semua kampus dan prasarana IPTA dan IPTS
yang moden dan kondusif
Isi 3: Silibus pengajian tinggi di Malaysia mendapat penarafan
akreditasi antarabangsa
- Lulusan IPT Awam mahupun swasta diterima
di mana-mana negara di dunia
- Tenaga pengajar yang profesional dan
ramai yang berkelulusan dari IPT di negara maju
Isi 4: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di
IPT memudahkan pengajaran
- BI sebagai bahasa antarabangsa dan bahasa
ilmu yang merentasi dunia
- Semua pelajar antarabangsa boleh
berkomunikasi dalam BI
- Sumber rujukan dalam BI juga mudah
didapati di premis-premis jualan buku mahupun di pusat sumber awam
Kesimpulan: Peribahasa telah menyatakan, di mana-mana ada air
di situ ada ikan, adalah dengan jelas menunjukkan manusia akan berpusu-pusu ke
sesuatu tempat apabila wujudnya peluang di tempat tersebut. Demikianlah halnya
dengan peluang menuntut ilmu seperti yang disajikan oleh Malaysia kepada semua
anak muda di seluruh dunia. Kepada Malaysia, peluang ini diibaratkan seperti
sambil menyelam minum air kerana pelbagai peluang ekonomi dan sosial boleh
dijanakan daripada polisi yang bersifat “menang menang” ini.
PERCUBAAN SPM SE-MALAYSIA 2018
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Atas segala limpah kurnia Allah, saya mengucapkan syukur ke
hadrat-Nya kerana masih mengurniai insan daif ini dengan sedikit ruang masa,
kesihatan, tenaga dan fikiran. Dengan rahmat tersebut, hamba berjaya menyempurnakan
rangka isi dan beberapa sampel karangan yang sempat dikutip daripada soalan
Peperiksaan Percubaan sekolah-sekolah Malaysia sesi 2018. Inisiatif ini adalah
atas komitmen hamba dalam memenuhi hasrat rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar
di 86 buah alma mater yang sudi menjemput hamba untuk berbicara tutur dalam
siri jerayawara BM Kertas 1 sesi 2018. Terima kasih rakan dan taulan.
Sementara itu, bahan yang seadanya ini hamba dedikasikan
kepada rakan-rakan murabbi yang cakna mendidik di seluruh negara yang berada di
dalam rangkaian grup GURU BMSPM dan grup-grup lain yang seumpama dengannya.
Mohon sampaikan oleh-oleh ini kepada semua anak-anak calon SPM 2018, moga-moga
boleh dijadikan rujukan terakhir sebelum mereka melangkah ke medan ‘tempur’ SPM
2018. Atas faktor ketiadaan pembaca kedua, kemungkinan berlaku banyak kesilapan
ejaan yang tidak disengajakan, hamba memohon kemaafan. Selain itu, koleksi
soalan pada sesi 2018 agak terhad atas kesukaran memperoleh soalan yang
terakrudari negeri-negeri selain kedaifan hamba sendiri dalam kudrat yang
terhad.
Sebagai lazim rangka dan contoh karangan ini bukanlah terbit
atas jaminan 100 peratus akan keluar dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun isu
dan tema adalah betepatan dengan silibus dan cukup berguna untuk anak-anak
didik jadikan panduan.
Atas kesudian anda manfaatkan buah hasil daripada cakna minda
dan cendekia hamba, seyogia salam kasih sayang dan terima kasih hamba hulurkan.
SELAMAT MAJU JAYA
KEDAH
1. Kini, alam pekerjaan
memerlukan individu yang memiliki pelbagai ilmu dan kemahiran.
Sebagai seorang murid, huraikan persediaan anda untuk
menempuh alam pekerjaan.
|
Samudera gelora pawana berpintal
Cuaca redup ditutup mega
Jikalau kail panjang sejengkal
Lautan dalam jangan diduga
Pantun yang tersebut di atas membawa amanat bahawa sesuatu
yang berisiko jangan sama sekali dicuba tanpa sebarang persediaan yang rapi.
Banyak padah yang boleh menimpa jikalau tersalah duga. Walau bagaimanapun,
dalam dunia yang mencabar seperti hari ini, kemampuan meneroka sesuatu yang
baharu dan lebih mencabar memungkinkan individu tertentu boleh mencapai
kejayaan sehingga di luar jangkaan. Sebagai individu yang inginkan cabaran,
saya mengidami kecemerlangan dalam kerjaya kelautan (anda boleh
masukkan sebarang kerjaya pilihan anda). Oleh yang demikian,
saya faham untuk memenuhi matlamat tersebut bukanlah boleh dicapai dengan
mudah. Persis untuk mencapai matlamat besar seperti itu, saya hendaklah
memperlengkap diri dengan pelbagai persediaan sama ada dalam aspek fizikal,
mental, emosi, dan berani menempuh segala cabaran
Isi 1: Memantapkan diri dengan persediaan yang
paling asas – persediaan fizikal,
mental, emosi, cita-cita dan motivasi (olahkan setiap satu persediaan tersebut)
Isi 2: Memprogramkan jadual harian yang amat teliti
dan berdisiplin – agar semua
perancangan dapat berjalan mengikut jadual – meletakkan cita-cita sebagai
perkara yang paling hadapan daripada aktiviti yang kurang berfaedah
Isi 3: Memantapkan psikologi dan emosi – agar sentiasa bermotivasi tinggi
– tidak mudah pudar semangat dengan cabaran-cabaran yang ditempuhi – mengenal
pasti seseorang yang boleh dijadikan idola dalam bidang yang akan diceburi
Isi 4 Membuat kajian dan mencari maklumat yang
tepat tentang bidang dan kerjaya yang ingin diceburi – usaha melalui pembacaan,
berbincang dengan rakan-rakan, guru, internet dan memperoleh maklumat daripada
tokoh-tokoh yang pernah terbabit dalam kerjaya berkenaan
Isi 5 Berusaha dan bertawakal dengan tidak pernah
melupakan ibadah kepada Allah SWT – sebagai sandaran agar segala usaha dan cita-cita
dimakbulkan.
Kesimpulan : Berpandukan maksud peribahasa hidup pokok berbuah, hidup
manusia berjasa, saya sudah pasti akan berusaha sehabis daya untuk
merealisasikan impian saya menjadi kenyataan. Saya amat yakin dengan cita-cita,
usaha, dan amal takwa Allah tidak akan menghampakan setiap niat yang baik
daripada hamba-Nya. Oleh itu, saya yakin setiap persediaan yang saya buat
secara berterusan akan memberi natijah yang besar kepada diri saya.
2. Amalan membaca belum dihayati sepenuhnya dalam
kalangan remaja pada hari ini.
Jelaskan peranan pelbagai pihak untuk memupuk
amalan membaca dalam kalangan remaja.
|
Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan
yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang
diperoleh tentulah amalan membaca iaalah suatu kewajipan yang penting.
Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan,
sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana,
dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca
menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat
liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke
pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai
kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang
diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan matlamat membangunkan
insan berminda kelas pertama melalui amalan membaca, nescaya seluruh
adiwangsa memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca khususnya
dalam kalangan remaja.
Kelompok sasar yang pertama untuk merancakkan budaya membaca
ialah ibu bapa. Peribahasa yang menyatakan,
getah daun akan mengalir ke perdu juga menunjukkan bahawa, segala tingkah laku
yang baik daripada ibu bapa akan menjadi turutan anak-anak. Al
hasil, sikap yang positif daripada ibu bapa seperti gemar mambaca, bercakap
perkara yang baik dan melakukan kerja-kerja yang berfaedah sudah tentu akan
singgah dan melekat pada diri anak-anak juga. Tanamlah sifat positif dalam
kalangan anak-anak seperti sifat gemar meneroka dan mencari maklumat baru
dengan cara membaca. Membaca juga boleh dijadikan sebagai suatu aktiviti
penerokaan minda yang membolehkan anak-anak menjadi lebih matang daripada usia
mereka. Sindrom ‘mabuk’ gajet yang tidak boleh lekang dengan budaya Whatsapp,
Facebook, Twiter dan Instagram yang mula menyerap ke dalam gaya hidup ibu bapa
haruslah dikurangkan. Sesungguhnya, inilah virus yang sedang bergerak aktif
untuk meletakkan manusia pascamilenium terperap dalam kopompong kebodohan
ciptaan sendiri.
Institusi alma mater merupakan pusat kemenjadian manusia yang
telah terserlah fungsinya sejak zaman-berzaman. Di sinilah insan mula membina
sahsiah, ilmu dan akal budi. Oleh sebab itu, sekolah berperanan penting untuk
melahirkan warga pelajar yang cinta akan ilmu melalui kalam membaca. Ejen
terpenting yang berfungsi menggerakkan insan pelajar yang gemar membaca ialah
para guru. Guru seharusnya membudayakan alma mater dengan menyuburkan minat
membaca dalam kalangan murid-murid. Cetusan daya berfikir seperti mencari
maklumat dan meneroka gaya berfikir seperti orang-orang bijaksana sewajarnya
digalakkan sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas. Dalam usaha
mengaktifkan minat membaca, semua medium maklumat hendaklah dimanfaatkan. Pihak
sekolah haruslah boleh menganjak paradigma agar bijak memanfaatkan peranti
elektronik sebagai sumber baharu bahan bacaan. Dalam wacana ilmu moden yang
semakin bekembang, para guru seharusnya tidak terperap dalam gaya lama,
sebaliknya berani keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung.
Masyarakat
massa termasuk rakan sebaya hendaklah menjadi rakan penggalak agar budaya
membaca terus diperkasakan. Belakangan ini kita amat kecewa apabila pelbagai
pegaruh negatif begitu aktif menguasai minda dan sikap anak-anak muda. Gejala
membuang masa seperti berhibur, bergelandangan dan merempit yang menjadi
kegilaan anak-anak muda hari ini akan membawa kecelakaan kepada negara pada
masa hadapan. Oleh sebab itu, masyarakat hendaklah menggempur habis-habisan
gejala pagan ini daripada terus menular. Sebarang bentuk tindakan sama ada
melalui nasihat dan kaunseling mahupun penguatkuasaan undang-undang perlulah
dilakukan dengan segera. Sementara itu, anak-anak muda yang sedang memenuhi
ujana ilmu hendaklah kembali kepada matlamat asal yakni untuk membentuk insan
kamil yang berbudaya dan berilmu. Carilah rakan sebaya yang sealiran dan saling
menyokong sebagai usaha melahirkan generasi cendekia. Sesungguhnya, rakan yang
baik itu ibarat cahaya sepanjang kehidupan.
Agensi kerajaan dan swasta merupakan institusi masyarakat yang
terpenting berperanan untuk menyemarakkan budaya membaca sebagai suatu tingkah
laku positif. Apabila agensi-agensi berpengaruh ini mula menggerakkan inisiatif
pardana amalan membaca, justeru masyarakat massa dengan sendirinya
akan membentuk jati diri membaca. Sudah tiba masanya agensi seperti Jabatan
Penerangan, Imigresen, hospital dan jabatan-jabatan lain menyediakan brosur dan
bahan bacaan berkala yang menarik untuk dibaca oleh pengunjung pada setiap kali
menanti giliran ketika berurusan dengan agensi berkenaan. Sementara itu, agensi
swasta terutama gedung-gedung perniagaan utama berpada-padalah menyajikan pengunjung
dengan sumber-sumber hiburan yang bermula daripada awal pagi hingga lewat
malam. Langkah mundur ke belakang seumpama itu hanya mengumpan masyarakat untuk
menjadi warga hedonistik yang pada akhirnya kokok berderai ekor bergelumang
tahi.
Tuntasnya, insan yang membaca ibarat minda yang sedang
bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang
berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui aksara dan
angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa
membaca boleh diibaratkan sebagai masyarakat yang sedang mengembara ke seluruh
polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli masyarakat dengan
amalan membaca kerana membaca jambatan ilmu dan bangsa membaca bangsa yang
berjaya.
4. 4. Prniagaan secara dalam talian
merupakan satu trend baharu dalam urus niaga tanpa sempadan.
Huraikan kebaikan urus niaga secara dalam talian kepada
masyarakat antarabangsa.
|
Pendahuluan: Nabi SAW telah bersabda dalam mafhumnya, “Sembilan persepuluh
daripada kekayaan datangnya daripada perniagaan”. Iktibar daripada Hadis
tersebut dengan jelas menerangkan bahawa bidang perniagaan mampu mengangkat
kuasa ekonomi seseorang untuk hidup senang-lenang. Sejajar dengan kemajuan
dalam bidang teknologi maklumat, bidang urus niaga juga turut mengalami proses
transformasi apabila urus niaga sistem tradisional telah bertukar kepada
transaksi secara dalam talian. Hal yang tersebut telah mengimpakkan anjakan
paradigma dunia perniagaan menjadi lebih efektif, mudah dan berkesan.
Isi 1: Sistem
urus niaga dalam talian benar-benar mempercepat urusan – urusan
berkaitan maklumat barangan dan jenama, iklan, tempahan dan bayaran amat mudah
dilaksanakan
Isi 2: Sistem
urus niaga yang berkaitan dengan tempahan dan bayaran cukup selamat dan mudah –
urusan hanya boleh dibuat di dalam talian dan terhindar daripada sebarang
tindakan jenayah – meminimumkan penggunaan tukaran tunai.
Isi 3: Sistem
yang menjimatkan dalam aspek pengurusan masa, tenaga dan kos –
tempahan boleh dibuat dari dalam bilik tidur sahaja walaupun premis perniagaan
yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya – tidak bersesak-sesak di jalan
raya dan tidak perlu bersesak-sesak dan beratur panjang di premis perniagaan.
Isi 4: Suatu
sistem perniagaan yang tidak memerlukan ruang dan tempat yang terlalu luas –
boleh dilakukan di premis tempat tinggal sahaja – secara relatifnya kos operasi
dapat dikurangkan manakala harga barang menjadi lebih murah
Isi 5: Suatu
inovasi yang mendidik manusia moden supaya lebih amanah, bertanggungjawab dan
menyantuni etika kehidupan – sistem ini amat mementingkan
tahap amanah dan sikap saling percaya – membentuk suatu jaringan saling
menyokong dan implikasi “menang menang” antara peniaga dan pengguna.
Kesimpulan:
Sesungguhnya, inovasi bijak niaga dan mesra pelanggan ini sudah pasti akan
berkembang dengan pantas dan mula menguasai dunia perniagaan. Hal yang
demikian, jika dimanfaatkan dengan baik akan melahirkan sebuah generasi umat
dunia yang lebih cakna, peka dan bertanggungjawab. Amalan monopoli dan menindas
mahupun tindakan jenayah sudah pasti dapat dikurangkan sesuai dengan
taraf kebijaksanaan manusia moden.
5. Slogan, ‘Jiran
Sepakat Membawa Berkat’ merujuk kepada hubungan yang erat antara
jiran bagi mewujudkan negara yang aman, harmoni dan sejahtera.
Berikan pendapat anda tentang cara-cara mengukuhkan
semangat kejiranan di negara kita.
|
NOTA: Sila rujuk modul saya edisi 2018, muka surat 85, soalan
latihan kendiri no. 3
IKUTI SETERUSNYA SOALAN NEGERI LAIN PULA.
SELAMAT MENCUBA.
Setelah sekian lama
menyepi, pada petang yang mulia saya kongsikan sedikit panduan untuk anak-anak
calon SPM 2018. Sila ikuti;
BIMBINGAN BAHASA MELAYU
SPM, KERTAS 1
PENGENALAN: Kertas 1 BM SPM merupakan bahagian
terpenting dalam keseluruhan aspek yang ditanya dalam soalan SPM. Bahagian ini
yang terdiri daripada 2 kertas iaitu Karangan Rangsangan (A) dan karangan umum
(B) memuatkan keseluruhan 130 markah.
KONSEP KARANGAN: Karangan boleh didefinisikan sebagai seni menyampaikan
idea yang bernas dengan perantaraan bahasa yang kemas, tersusun serta menepati
ciri-ciri hukum tatabahasa. Pelbagai ragam dan laras bahasa penting untuk
diadunkan ketika menulis karangan. Hal ini penting untuk membangkitkan kesan
yang mendalam terhadap idea dan hujah yang bakal disampaikan. Selain itu,
sejajar dengan penerapan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT),karangan
hendaklah ditulis dalam pemeringkatan idea dan keupayaan untuk mengaplikasikan
domain pengetahuan, menganalisis, mencerakin dan mencipta. Pada peringkat SPM,
KARANGAN B merupakan nadi utama yang menentukan calon mendapat skor
A+ atau sebaliknya. Hal demikian adalah penting kerana KARANGAN
B membawa muatan markah terbesar iaitu 100 markah.
BINAAN SOALAN: Binaan soalan adalah berdasarkan 6 kategori utama yang
dikenali sebagai dimensi. Terdapat 5 dimensi dan satu unsur sastera.
1. DIMENSI DIRI – Soalan dalam dimensi diri banyak menyentuh
isu umum yang ada kaitan langsung dengan individu. Hal-hal yang berkaitan
dengan jati diri, matlamat hidup, pembentukan personaliti, persahabatan,
pendidikan, kerjaya dan banyak lagi. Respon jawapan dalam dimensi diri
hendaklah merujuk kepada diri anda sendiri. Dalam jawapan yang dikemukakan,
calon hendaklah merujuk dirinya sebagai watak penting dalam jawapan tersebut.
Seandainya tentang cita-cita dan matlamat hidup, maka calon hendaklah
perihalkan matlamat dirinya sendiri. Sebagai lazim soalan dimensi diri akan
mengambil tempat sama ada dalam soalan 1 mahupun soalan 2.
2. DIMENSI KELUARGA - Soalan ini mengambil tapak
kehidupan berkeluarga sebagai asas binaan isu dan tema dan tugasan soalan.
Soalan yang ditanyakan adalah berkaitan dengan hubungan ibu bapa dengan
anak-anak. Pemberatan soalan terbahagi kepada:
i. Peranan ibu bapa atau keluarga kepada
anak-anak
ii. Peranan anak-anak kepada ibu bapa
PERINGATAN: Sebagai lazim soalan ini amat popular dalam soalan 2.
Amat jarang malah hampir tiada bentuk soalan yang ditanyakan melibatkan peranan
secara bersama di pihak ibu bapa dan anak-anak dalam satu-satu isu yang
dikemukakan. Isu-isu yang kerap dibangkitkan adalah berkaitan dengan kasih
sayang, tanggunggjawab, kecemerlangan pelajaran anak-anak, sikap membalas budi,
pembentukan keluarga bahagia dan membangunkan sahsiah anak-anak yang terpuji.
3. DIMENSI UMUM – Dimensi Umum turut dikaitkan
dengan Dimensi Masyarakat yang banyak membicarakan perihal
penglibatan umum sama ada individu, anggota masyarakat, institusi, organisasi,
NGO dan juga kerajaan. Kebanyakan tema soalan yang dikemukakan adalah yang
berkaitan dengan isu umum sama ada peranan masyarakat ataupun kesan terhadap
sesebuah institusi atau organisasi
i. Pemberatan jawapan hendaklah mengambil
kira peranan mana-mana pihak yang boleh dikaitkan dengan isu dan tema soalan.
ii. Penggantian diri seperti ‘kita’, pelbagai
pihak’ dan ‘masyarakat umum’ adalah sesuai digunakan untuk merujuk ketepatan
pihak yang terbabit.
iii. Sebagai rujukan mudah soalan yang
berkaitan dengan dimensi masyarakat kerap kali terdapat dalam soalan 2 @ 3.
4. DIMENSI NEGARA – Dimensi Negara yang dianggap
sebagai soalan aras tinggi oleh para pelajar sebenarnya tidak sesukar seperti
yang disangkakan oleh calon-calon. Dengan sedikit kelebihan rajin mengambil
tahu perihal dan fenomena semasa sudah mencukupi untuk calon menjawab soalan
ini. Rujukan mudah tentang isu yang dibangkitkan ialah tema yang berkaitan dengan
dasar, polisi, matlamat dan perancangan kerajaan/negara. Antara isu yang pernah
dikemukakan adalah seperti berikut:
i. Dasar perpaduan negara
ii. Dasar keselamatan sosial dan keselamatan
negara
iii. Dasar bahasa
iv. Dasar pelajaran
v. Dasar pemakanan negara
vi. Dasar pertanian
vii. Dasar kebudayaan dan warisan
5. DIMENSI ANTARABANGSA (GLOBAL) – Dimensi Antarabangsa ialah soalan
tetap yang ditanyakan dalam soalan 4. Soalan ini merangkumi segala aspek yang
berkaitan dengan situasi semasa dunia, hubungan luar Malaysia dengan masyarakat
antarabangsa. Isu-isu berbangkit adalah berkaitan dengan keselamatan, hubungan
diplomatik, kejiranan antarabangsa, isu penindasan, keamanan dunia dan amalan
saling bergantungan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
6. UNSUR SASTERA – Soalan Unsur Sastera merupakan
soalan tetap yang akan ditanyakan dalam soalan 5. Berpandukan soalan yang
lepas-lepas, unsur sastera terbahagi kepada 3 kategori soalan yang sering
ditanaya adalah seperti berikut:
i. Kategori kreatif – calon diberikan tema tertentu dan
mereka dikehendaki menulis cerita atau cerpen yang
mudah-mudah berkaitan dengan tema.
ii. Kategori separa kreatif – calon diuji berdasarkan pemahaman
mereka tentang bahan KOMSAS seperti unsur tema, persoalan, nilai, pengajaran,
perwatakan dan latar. Sejak belakangan ini, soalan dalam bentuk ini akan
diambil terus daripada mana-mana unsur sastera sama ada puisi mahupun prosa
berdasarkan teks kajian murid di dalam kelas.
iii. Kategori bukan kreatif – soalan dalam kategori ini
berdasarkan respon dan taakulan murid terhadap isu-isu semasa yang berkaitan dengan
isu seni dan kesusasteraan. Soalan akan dikemukakan dalam tema umum seperti
galakan supaya gemar membaca karya-karya sastera dan sebagainya. Respon jawapan
bagi kategori ini adalah dalam bentuk karangan biasa
PERINGATAN: Daripada 5 dimensi dan 1 unsur sastera yang ditetapkan
dalam sukatan peperiksaan SPM, satu dimensi akan digugurkan sebagai langkah
untuk mencukupkan 5 soalan. Daripada 5 soalan yang ditanya, calon hendaklah
bijak dan benar-benar menguasai satu soalan sahaja yang perlu dijawab. Kesilapan
mengenal pasti dimensi, isu dan tema pasti membawa padah kepada calon. Perlu
diambil ingatan kegagalan untuk memperoleh markah aras cemerlang bagi karangan
umum, peluang untuk calon memperoleh skor A+ atau A adalah
agak gayat.
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM 2018.
BERHATI-HATI MEMILIH SOALAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan