Guru sangat berjasa dalam kehidupan seseorang. Huraikan cara-cara
yang perlu kita lakukan untuk membalas jasa guru.
Jika
hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika
hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika
hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika
hari ini seorang ulama yang mulia
Jika
hari ini seorang peguam menang bicara
Jika
hari ini seorang penulis terkemuka
Jika
hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya
dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan
lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Insan
seperti Perdana Menteri, jurutera, doktor atau peguam mencapai kejayaan dalam hidupnya kerana diajar dan dididik oleh
guru. Kejayaan mereka ini menunjukkan bahawa guru banyak berjasa kepada banyak
orang. Insan yang bergelar cikgu ini ibarat lilin yang membakar diri untuk
menerangi orang lain termasuk diri kita. Oleh itu, kita mestilah membalas jasa
mereka supaya kita tidak dianggap sebagai kacang melupakan kulit. Kata Saidina
Ali, “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya”. Begitulah
mulianya kedudukan seorang guru.
Satu daripada cara untuk kita
membalas jasa guru ialah kita hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh
ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Sebagai guru, mereka ingin
melihat kita berjaya pada masa depan. Oleh itu, apabila gur mengajar, kita
perlu memberi perhatian sepenuhnya dan janganlah menimbulkan masalah disiplin
yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contohnya,
guru ingin melihat kita berjaya dalam setiap peperiksaan yang kita duduki
dengan cemerlang. Guru sudah pasti berbangga jika kita mencapai kejayaan.
Selain itu, kita mestilah
menghormati guru pada setiap masa. Guru merupakan ibu bapa kedua bagi kita.
Sebagai contohnya, kita mestilah mendengar nasihat atau tunjuk ajar mereka.
Jika kita melawan atau ingkar arahan guru, ilmu atau pengajaran yang kita
terima daripada guru tidak berkat. Apabila kita sudah dewasa, dan mungkin
memegang jawatan yang tinggi sekalipun hendaklah sentiasa menghormati guru.
Sabda Nabi Muhammad, “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan
ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu
kepada orang yang mengajar kamu”. (Riwayat Abu Hurairah)
Seterusnya, kita perlu membalas
jasa guru dengan sentiasa menolong atau membantu guru. Dalam hal ini, kita
mestilah bersedia pada bila-bila masa
untuk membantu mereka. Sebagai contohnya, kita hendaklah ringan tulang untuk
membantu guru jika guru meminta bantuan daripada kita untuk menghantar buku
latihan dari kelas ke bilik guru dan sebaliknya. Melalui cara ini, kita dapat
membalas jasa guru yang mendidik dan mengajar kita.
Bukan itu sahaja. Kita juga
perlulah membalas jasa guru dengan cara mendoakan kesejahteraan dan kesihatan
yang baik untuk mereka. Hal ini dapat kita lakukan apabila kita mengingati guru
kita bila-bila masa. Sebagai contohnya, semasa sambutan Hari Guru, selain
menghantar ucapan “Selamat Hari Guru”, kita hendaklah berdoa kepada Tuhan agar
guru yang telah berjasa kepada kita sentiasa dirahmati oleh Tuhan. Melalui cara
ini, kita akan dianggap sebagai murid yang baik dan sentiasa menghargai jasa
guru yang telah menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita
menjadi insan yang berguna pada hari ini dan seterusnya.
Satu lagi cara untuk menghargai
jasa guru ialah sentiasa mengunjungi guru
di sekolah atau di rumah walaupun kita telah meninggalkan bangku sekolah. Jauh
lebih baik apabila kita mengunjungi guru semasa guru kita sakit atau semasa
mengalami sesuatu musibah. Pada ketika itu, guru akan rasa diri mereka
dihargai. Juga lebih elok kita kunjungi rumah guru sesudah mereka bersara
kerana guru yang membakar diri menerangi kehidupan kita umpama lilin.
Kesimpulannya, guru merupakan
insan yang banyak berjasa dan bermakna dalam kehidupan kita. Guru ibarat pelita
yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Tanpa guru,
kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Guru juga umpama tongkat kepada
orang buta. Oleh itu, kita wajar membalas jasa guru dan mengingati segala
pengorbanannya pada setiap masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan