Ahad, 24 Ogos 2014

Surat Kiriman Tak Rasmi

Sahabat karib anda yang berada di luar negara sedang mengalami tekanan perasaan  dan mula melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah. Tulsi sepucuk surat kepada kawan anda itu untuk memujuknya supaya tidak meneruskan perbuatan itu.

                                                                                                           
 Batu 6, Lereh,
Tanjung Bidara,
72000 Melaka,
Malaysia.

24 OGOS 2014


            Sahabatku Ella,
                Lembaran birumu telah selamat kuterima seminggu yang lalu. Aku mengharapkan    tatkala ini kau berada dalam keadaan yang menyenangkan. Bagi diriku  di bumi Melaka ini seperti biasa sahaja. Ya, Ella, aku tetap mengingati dirimu.  Aku selalu terkenangkan zaman kanak-kanak kita. Alangkah bahagianya kita ketika bermain bersama dahulu.

                Ella yang kusayangi,
                Kini kita telah menjangkau usia belasan tahun dan dalam usia begini kita telah dipisahkan terlalu jauh—beribu-ribu  kilometer jauhnya dan kau kini telahpun berada di negeri orang. “Biar jauh di mata, di hati jangan,”  ya,  kata-katamu itu masih subur dalam ingatanku. Aku pasti sahabatku… kerana kita telah berjanji bahawa persahabatan yang suci ini akan kekal selama-lamanya.

                Ella tersayang,
                Aku hampir-hampir menitiskan air mata ketika kubaca lembaranmu tempoh hari. Aku berasa sedih sekali dengan berita itu. Mengapakah kau sanggup melibatkan dirimu dalam  najis dadah itu? Aku sedia maklum, ibumu sentiasa sibuk dengan tugas-tugas hariannya, tetapi kesibukan ibumu itu untuk siapa? Pastinya untuk kau kerana kaulah satu-satunya anak bagi ibumu. Ingatlah Ella, ibu mana yang  tidak menyayangi anak-anaknya. Aku yakin kau kini  boleh berfikir dengan lebih matang lagi. Gunakanlah anugerah yang tidak ternilai harganya itu, Ella. Hargailah pemberian Allah swt itu. Aku yakin ibumu sangat menyayangi dirimu. Ibumu telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membiayai segala keperluanmu. Janganlah kaulupa, ibumu telah bersusah payah        memelihara dan mendidikmu dengan penuh kasih sayang sehingga kau dewasa. Apakah ini balasan terhadapnya? Adakah kau berasa gembira melihat ibumu berendam air mata?

                Ellah tersayang,
                Ke manakah hilangnya sifat belas kasihanmu itu? Janganlah kauhancurkan lagi hati ibumu. Ibumu juga menghadapi banyak masalah. Ya, seperti yang kauceritakan  ayahmu  baru sahaja menceraikan  ibumu dan pasti  ibumu  mengalami  tekanan  jiwa. Ibumu juga    manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Pasti ibumu berada dalam dakapan duka. Jadi harapanku, usahlah kau menambahkan lagi masalah ibumu itu.

                Tindakanmu menceburkan diri dalam najis dadah itu adalah satu tindakan yang kurang bijak. Hal ini bukanlah jalan keluar untuk mengatasi masalahmu. Ella sebagai anak tunggal dalam keluarga, kamu harus memainkan peranan yang penting dan bertanggungjawab untuk meredakan tangisan ibumu, tetapi sebaliknya kau sendiri terlalu lemah untuk   menghadapi segala dugaan Allah swt itu. Ke manakah perginya sikapmu  yang  sanggup  menempuh cabaran?

                Ella sahabatku,
                Kau harus ingat bahawa kita mempunyai Tuhan iaitu Allah dan kita harus mempercayai setiap dugaan yang diberikan-Nya tersimpan suatu nikmat. Kita juga harus bersabar menghadapinya. Di dalam hadis juga ada mengatakan bahawa kesabaran itu adalah senjata orang-orang yang beriman. Al-Quran juga menurunkan larangan ke atas khamar (dadah). Surah Al-Baqarah ayat 219 menyebut, “Mereka bertanya MU tentang khamar dan judi. Katakanlah keduanya itu terdapat dosa besar.” Aku sangat mengharapkan agar kau segera kembali ke pangkal jalan kerana kau belum lagi terlambat. Carilah cara yang diredahi Allah untuk menyelesaikan segala masalah atau tekanan perasaanmu. Gunakanlah kebijaksanaanmu. Aku berharap kau takkan menghancurkan harapanku ini. Aku ingin melihat kau sentiasa   gembira. Aku ingin menasihatimu agar kau bijak memilih teman kerana di London itu sememangnya sukar memilih yang mana satu intan dan yang mana satu kaca. Jauhilah dirimu daripada teman-teman yang dulu  cubalah mengubah dan menyesuaikan dirimu tanpa kehadiran mereka. Ingatlah mereka lebih suka melihat kau menderita dan mereka hanya ingin mempergunakan dirimu. Mereka hanya ingin menumpang kekayaanmu, Ella. Manusia seperti ini hanya akan dilaknati Allah. Carilah teman yang boleh diajak berunding dan mempunyai akhlak terpuji. Jangan lupa bahawa teman-temanlah yang boleh mempengaruhi peribadi kita.

                Ella, tahukah kau bahawa najis dadah itu merbahaya? Ia boleh merosakkan kesihatan malah masa    depanmu. Sanggupkah kau sekiranya masyarakat memandangmu sebagai sampah masyarakat? Bangunlah Ella… janganlah kau terus terlena dibuai arus zaman yang menjijikkan itu. Berusahalah untuk menjadi seorang yang    dipandang mulia. Berusahalah juga untuk menjadi seorang yang berhemah tinggi dan disegani oleh dunia. Aku  yakin kau pasti akan memperoleh kejayaan seandainya kau berusaha dengan gigih. Ingatlah wahai saudaraku,    di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Justeru itu, kau harus yakin dengan kebolehan dirimu. Kalau tidak   pecahkan ruyung manakan dapat sagunya?
               
                Ella,kau juga ada mengatakan dalam suratmu tempoh hari bahawa guru disiplin di sekolahmu telah    mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam najis dadah. Kau merupakan salah seorang daripada mereka yang dikenakan tindakan disiplin.Jadikanlah tindakan guru itu sebagai satu teladan dan janganlah kau  mengulangi kesilapanmu lagi.  Jadikanlah ia sempadan. Aku  menyokong tindakan gurumu seratus peratus.Tindakan itu adalah wajar. Sebagai seorang guru,  tugas mereka adalah untuk mendidik generasi baru menjadi satu generasi yang berakhlak mulia dan berhemah tinggi. Jadi amat sesuai dengan profesion mereka sebagai seorang guru untuk mengambil tindakan tegas terhadap murid-murid yang melakukan pelbagai kesalahan.Harapan saya ialah janganlah kau salah faham tentang tindakan gurumu itu.Tindakan gurumu itu adalah semata-mata untuk  menimbulkan kesedaran dan rasa insaf dalam dirimu. Janganlah timbulkan rasa benci terhadap gurumu.

                Ella.aku amat menyayangi dirimu. Kau adalah segala-galanya bagi diriku. Alu ingin melihat masa  depanmu yang lebih cerah dan bukannya masa depan yang gelap. Aku akan berasa sedih dan terkilan seandainya suatu hari kelak kau hidup dalam lembah kehinaan. Buktikanlah kepada diriku ini  yang kau bisa kembali  ke pangkal jalan dan aku juga mengharapkan agar kau menjadi anak yang baik dan seorang mukim yang solehah yang sentiasa bertaqwa kepada Allah. Berdoalah kepada-Nya untuk kesejahteraan keluargamu.

                Ella tersayang,
                Aku rasa masa tidak mengizinkan aku untuk terus berbicara di dada lembaran ini dan sebelum aku  mengakhiri bicaraku kali ini, aku sangat mengharapkan agar kau kembali ke pangkal jalan dengan meninggalkan tabiat penagihan najis dadah. Ingatlah sahabatku, aku sentiasa mendoakan agar kau tidak terus lena dengan    penyalahgunaan dadah itu. Ketahuilah `tanpa dadah hidup bahagia.’

                Akhir kata sambutlah salam rindu daripadaku yang jauh di tanahair. Dan sampaikanlah salamku buat ibumu yang  tersayang di sana.

                Sekian, terima kasih.

                                                                                                                                                                                                                                                             Yang jauh,

                                                                                  (ROZIH MOHD)         

Tiada ulasan: