Soalan Karangan: Bersempena dengan Hari
Guru, anda ingin menulis satu rencana tentang peranan guru dalam pembangunan
Negara.
Peranan
Guru Dalam Pembangunan Negara
Oleh
: Azmin Arshad
Saban tahun, 16 Mei merupakan
hari keramat lagi suci murni kepada warga sekolah, iaitu Hari Guru di tanah air
kita. Sekalung budi dan tahniah serta penghargaan yang setinggi-tingginya kepada insan
yang bergelar sebagai pendidik. Sehubungan dengan itu, setiap sekolah telah
meraikan Hari Guru dengan pelbagai aktiviti seperti mengadakan jamuan,
memberikan hadiah dan mengadakan persembahan kepada guru yang disayangi.
Ternyata, setiap warga sekolah perlu menghargai jasa dan sumbangan guru
terhadap pembangunan individu, bangsa dan Negara. Hal ini selaras dengan tema
Hari Guru 2010, “Guru Pembina Negara Bangsa”.
Walhal, guru memainkan peranan
yang signifikan dalam pembangunan umat sejagat. Atas bimbingan guru, lahirlah
golongan profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain lagi. Seperti kata mutiara
Sasterawan Negara Usman Awang, “Lahirnya seorang Perdana Menteri, Doktor,
peguam, dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang
mengajarnya baca dan tulis.” Dengan kata lain, tanpa guru, siapakah kita? Tepuk
dada tanya selera. Dengan kata lain, guru turut menentukan pembangunan negara
dengan melahirkan tenaga mahir dan pakar-pakar dalam setiap bidang untuk
menjamin kemajuan negara. Iltizam dan komitmen guru telah berjaya mencambah
insan yang berketerampilan dan berdaya saing untuk memartabatkan pembangunan
negara sehingga negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan
negara maju.
Pada era digital ini, guru tidak
lagi memainkan peranan sebagai penyampai ilmu kepada putera dan puteri yang
berjuang dalam medan ilmu. Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar berupaya
memperoleh ilmu melalui pelbagai wadah dan wahana, seperti internet, e-buku, majalah, surat khabar malah
televisyen satelit. Ekoran daripada itu, guru perlu bertindak sebagai
fasilitator untuk membimbing pelajar menimba ilmu. Mutakhir ini, guru bukan
sahaja perlu menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang majornya tetapi juga perlu
menguasai ilmu psikologi dan ICT supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif
dalam pembelajaran dan pemelajaran . Dalam situasi ini, pelajar lebih minat dan
beria-ia untuk mengikuti pelajaran. Sebagai impaknya, guru yang menguasai
teknologi maklumat dan komunikasi dapat membimbing pelajar mencapai akademik
yang cemerlang.
Salah satu tanggungjawab yang
dominan bagi setiap guru adalah melahirkan golongan yang memiliki mentaliti
kelas pertama kepada tanah air kita. Hal ini terjadi demikian kerana warga
didik bukan sahaja memberikan ilmu dunia tetapi juga perlu menyampaikan ilmu
akhirat kepada anak buahnya. Pendidikan kerohanian sangat mustahak kepada setiap
insan. Guru perlu sentiasa menyuntikkan nilai-nilai murni kepada pelajar supaya
mereka dapat menuju ke arah hakiki dan tidak mudah terpengaruh oleh hasutan
syaitan. Dengan bimbingan, prihatin, asuhan dan kasih sayang guru, insan yang
bersikap penyayang, bersemangat kental dan berfikiran terbuka akan bercambah.
Jati diri penggerak wawasan. Atas sumbangan guru, pelajar yang memiliki jati
diri dan bersahsiah mulia dapat menjanakan pembangunan negara.
Kita perlu mengakui pengorbanan
guru dalam melahirkan anak watan yang berguna. Malangnya, kini banyak pelajar
telah dipengarui oleh budaya barat dan hedonisme sehingga terbelenggu oleh
kemelut sosial . Remaja kita seolah-olah tidak dapat melepaskan diri dalam
kepompong sindrom sosial, seperti melepak, mat rempit, penagihan dadah, dan
lain-lain lagi. Sesungguhnya guru perlu mendukung cita-cita untuk membanteras
sindrom sosial dalam pekarangan sekolah dan masyarakat kita. Rentetan daripada
itu, guru perlu sentiasa bekerjasama dengan ibu bapa untuk mengetahui kemusykilan
pelajarnya . Para pendidik sentiasa mengorbankan masa dan tenaga untuk
memulihkan pelajar yang tersesat di hujung jalan supaya mereka dapat balik ke
pangkal jalan. Secara tidak langsung, guru berupaya mementuk masyarakat madani
dan sakinat. Jasa guru akan sentiasa dikenang dalam sanubari anak muridnya
hingga akhir hayat.
Guru selalu diibaratkan sebagai
lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Dedikasi guru dapat
membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurilum serta berakhlak
mulia. Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang bertanggungjawab dan amanah
sentisa dihormati oleh rakan sejawatan dan anak murid. Sekalung budi dan
sekeping kad Hari Guru sebagai tanda terima kasih yang tidak terperi kepada
semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa dikenang. Segala teguran dan
kritikan daripada guru semata-mata adalah demi kebaikan pelajar. Tampaknya,
profesion guru semakin mencabar berbanding dengan zaman silam. Oleh itu guru
perlu bersemangat waja diri dan gigih untuk meladeni kerenah pelajar yang
semakin liar. Jangan putus asa dan patah semangat malah perlu sentiasa
menyemarakkan semangat dan motivasi pelajar supaya mereka dapat menjadi insan
yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.
Natijahnya, komitmen yang utuh
dalam kalangan guru dapat memperkasakan pembangunan insan yang berkualiti
sehingga mencapai visi negara, iaitu 1 Malaysia. Guru cemerlang negara
terbilang. Pendidik perlu melengkapkan diri supaya dapat membimbing anak
pelajar ke arah cemerlang. Gemilang dan terbilang. Selamat Hari Guru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan