Google+ Followers

Jumaat, 31 Oktober 2014

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM 2014

Kepada semua anak didik,
Selamat mengahdapi peperiksaan SPM 2014. Semoga segala usaha akan mendatangkan hasil yang diharap-harapkan. Doa ibu bapa, keluarga, dan guru mengiringi anda. Semoga sukses milik anda.

Karangan: Budaya Membaca

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba turutkan;
amalan membaca banyak faedahnya,
Untuk kegunaan masa hadapan.

Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi melahirkan perasaan  yang  telah terbungkam  dalam atma dan sukma mereka. Puisi di atas menggambarkan amalan membaca sangat penting dalam kehidupan seharian kita bagi melahirkan generasi yang berintelektual dalam mencorak masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan cabaran yang sarat dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu,  menerusi amalan membaca juga dapat mencetus kesegaran minda agar tidak wujud modal insan yang dibelenggu dengan cara berfikir yang sempit. Walaupun dunia sudah melepasi pelbagai zaman dalam beberapa dekad, namun budaya membaca tetap mendominasi kemajuan dan keagungan sesebuah bangsa. Sesungguhnya, dengan membaca kita mampu menguasai pelbagai cabang ilmu persis mutiara kata membaca itu jambatan ilmu.

Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita.  Amalan membaca dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri seseorang sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi ini.  ‘ Setiap  seseorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing’. Demikian mantan perdana menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat itu, membawa maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah andai individu itu berusaha melakukan  anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di takuk lama.  Jika ditelusuri, ungkapan ini boleh direalisasikan dengan amalan membaca yang pastinya dapat menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca.  Selain melalui proses pembelajaran secara formal di sekolah , nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca bahan-bahan ilmiah seperti Majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan sebagainya.) Cerdik pandai sering menganggap amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara manusia dengan dunia ilmu.  Tegasnya, amalan  membaca sememangnya dapat  menambah ilmu pengetahuan dan menjadi  persiapan untuk kesiagaan  kita bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di jagatraya ini.

Seterusnya , mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat seterusnya iaitu membaca dapat meningkatkan kepakaran. Kepakaran yang dimaksudkan ialah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Membaca dapat mewujudkan koridor kemajuan ekonomi demi meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan. Ibu bapa menjadi cerucuk utama dalam membentuk diri anak-anak supaya suka membaca. Hal ini demikian kerana, rumah merupakan institusi pendidikan yang pertama untuk anak-anak. Sebagaimana yang diketahui masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang maju dan kompetetif sehingga dapat mencetuskan gegaran minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat. Oleh sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai tahap yang maksimum dalam membentuk  individu yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung kepada kepakaran luar lagi.

Selain itu, membaca dapat meningkatkan kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang. Hal ini demikian kerana, membaca bertindak sebagai wahana pergerakan ilmu. Dengan membaca seseorang yang sudah memiliki pengetahuan dalam sesuatu bidang ilmu dapat menambah dan menjana kepakaran dalam bidang yang telahpun diterokai ilmunya. Tamsilannya, seorang doktor yang sudah memiliki pengetahuan dalam kariernya, dapat menjadi doktor pakar dengan membaca. Seorang yang pakar dalam sesuatu bidang mampu menjadi insan cemerlang yang dapat berbakti dalam masyarakat, negara dan agama. Dengan penguasaan ilmu yang mantap dan utuh, seseorang itu dapat menjadi seseorang yang profesional dalam bidang ilmu yang dimilikinya seperti seperti kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam. Tegasnya, membaca dapat menibgkatkan kepakaran seseorang dalam sesuatu lapangan ilmu. Tambahan lain, membaca merupakan tiang sandaran konkrit untuk barjaya dalam akademik. Namun begitu, cahaya amalan membaca semakin hari semakin malap dalam naluri pelajar. Kontradiksinya para pelajar tidak mempunyai kesedaran bahawa membaca itu penting dalam kehidupan. Sedangkan amalan membaca dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan mampumeluaskan horizon pemikiran.  Oleh sebab itu, para pelajar perlu menyemai bibit-bibit cinta dalam diri kerana membaca merupakan tonggak utama kejayaan. Sebagi contoh, pelabagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi memperkasakan minat membaca dalam kalangan pelajar seperti mengadakan minggu membaca dan program NILAM. Selain Berjaya dalam akademik, para pelajar juga boleh mengaplikasikan ilmu yang diperolehi melalui membaca dalam kehidupan seharian

Bagaimanakah membaca dapat memberi manfaat? Dengan membudayakan amalan membaca, rakyat yang berpengetahuan luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan ideologi dan buah fikiran yang bernas dalam memacu proses pembangunan negara. Di samping itu, membaca merupakan acuan untuk membentuk sesebuah tamadun yang gemilang seiring dengan Negara-negara yang telah mengecapi modenisasi mapanseperti Jepun. Di Jepun, atas dasar aplikasi dan pengetahuan sains dan inovasi mereka mampu mencipta teknologi yang tidak terdapat di negara-negara lain seperti mesin layan diri yang dapat memenuhi keperluan harian iaitu mesin menjual ketam hidup, telor ayam segar, sayur-sayuran segar dan baju hujan dan barang kemas. Kelebihan mesin layan diri ini dapat beroperasi sepanjang masa iaitu 24 jam sehari. Keadaan ini membolehkan para peniaga dan usahawan tidak perlu bersusah-payah menjaga premis perniagaan mereka kerana mesin layan diri ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sempurna selain mereka dapat memperuntukkan masa mereka dengan aktiviti yang dapat meningkatkan kemajuan negara mereka. Tuntasnya membaca dapat memperlihatkan kedewasaan dan mentaliti yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat yang mengamalkannya. Selain itu, membaca juga merupakan ramuanuntuk membentuk masyarakat yang berproduktiviti tinggi dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi negara untuk bertambah maju. Kemajuan yang dicapai mampu mengangkat Malaysia di persada antarabangsa dan seterusnya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Membaca jambatan ilmu. Pepatah ini jelas menunjukkan kepentingan membaca dalam peribadi setiap individu. Amalan membaca yang dipupuk dalam diri seseorang sebenarnya merupakan entiti penting mekanisma percambahan ilmusama ada ilmu duniawi mahupun ukhrawi khususnya dalam bidang akademik. Hal ini dapat dibuktikan semasa perkembangan ilmu pengetahuan kerajaan Islam Abbassiyah. Ketika itu, amalan membaca telah menjadi nadi kehidupan merekja dan menjadi asbab berlakunya letusan zaman kegemilangan Islam Abbassiyah sehingga ilmu-ilmu berkaitan dengan akademik mereka menjadi rujukan seluruh dunia termasuklah dunia barat. Sementelahan pula, amalan membaca telah dijadikan wasilah oleh pelajar-pelajar yang Berjaya dalam akademik. Sebagi contoh, Nik Nor Madihah yang telah Berjaya memperoleh 20A dalam SPM. Tegasnya, kejayaan akademik dan amalan membaca merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan lagi. Sesungguhnya, menuntut ilmu tanpa membaca ibarat basikal tanpa roda.

 Intihanya, sinergi semua pihak mampu mengadunkan satu kombinasi  horizon pemikiran yang harmonis dalam memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat demi meningkatkan imej negara dan bangsa. Amalan membaca merupakan permulaan positif sebagai langkah pertama penjanaan dan penyebaran ilmu. Hal ini terbukti berdasarkan peristiwa penuh bermakna dan agung dalam sejarah Islam melalui surah al-‘Alaq iaitu ketika Nabi Muhammad mendapat wahyu yang pertama di Gua Hira’ melalu perantaraan malaikat Jibril yang menyuruhnya membaca. Jelaslah membaca merupakan kunci ilmu yang memberikan impak positif dalam mempengaruhi perkembangan minda masyarakat.



Karangan : kerjaya yang mencabar dan berisiko

Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut. Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.

            Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

            Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.

            Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan.Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu saya contohi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya dengan semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.

            Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya untuk mengatur setiap langkah kehidupan.Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.

            Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini, banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.

            Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu untuk menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi ini. Saya juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang saya idamkan.

            Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.

Khamis, 30 Oktober 2014

SOALAN  1:
Slogan “Membaca Jambatan Ilmu” menunjukkan bahawa untuk menjadikan aktiviti membaca mendatangkan pelbagai faedah kepada seseorang. Huraikan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

1. sentiasa mengunjungi perpustakaan / gudang ilmu sama ada di sekolah
    atau di perpustakaan awam
-   Pada  tahun 2009,  Perpustakaan Negara Malaysia  mengumumkan bahawa      purata  membaca   setiap  rakyat  Malaysia  hanyalah  dua buah  buku 
    setahun . 

2. menyertai aktiviti-aktiviti membaca
-   Pada  tahun  2002,  Kementerian  Pendidikan  dan  Pelajaran  Malaysia   
   telah melancarkan Program  Nadi  Ilmu Amalan  Membaca  (NILAM)          
   di setiap  sekolah. 

3. rajin mengunjungi pameran buku atau ekspo
 -   Bulan Julai diisytiharkan sebagai bulan membaca peringkat kebangsaan 
-         Mengunjungi pameran buku antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra
     Kuala Lumpur   (PWTC)

4. menyediakan peruntukan untuk  membeli  bahan  bacaan  pada  setiap  bulan .
- Erasmus Mundus, seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, ‘‘When I
  have money,  I buy  books. If any is left, I buy food.’’. Maknanya, Erasmus 
  melebih  mengutamakan  buku,    sedangkan  kepentingan  makanandatang 
  kemudian. 

5. berdamping dengan rakan yang membudayakan amalan membaca / mencontohi sikap idola yang suka membaca
- mencontohi sikap pembacaan Tun Dr. Mahathir yang pernah dinobatkan
   sebagai Ikon  Membaca   Kebangsaan.



SOALAN  2:

Kelulusan
 akademik sematamata tidak lagi menjadi faktor penentu kejayaan  seseorang pelajar  setelah  mereka meninggalkan  institusi  pendidikan  formal. Berikan pandangan anda tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh seeorang  pelajar sebagai pelengkap untuk memasuki alam pekerjaan.
 
1. Kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi.
Berdasarkan  kajian  yang  telah  dijalankan  oleh  Institut  Penyelidikan  
   Pembangunan Belia   Malaysia,  dalam  kalangan 1,936  orang  generasi  
    muda   berumur   15  hingga  26  tahun  menunjukkan  58%  menyatakan  
    mereka  mahir  menggunakan  internet.

2. kemahiran berkomunikasi
 -  Kajian  menunjukkan  sekitar  80%  waktu  jaga  seseorang  individu 
    digunakan  berkomunikasi  dengan  pelbagai caradan  pendekatan.

3. kemahiran  berfikir  secara  kreatif dan  kritis

 -  Kemahiran  berfikir  telah  mula  diberi  perhatian istimewa  oleh  tamadun  
    manusia  sejak  zaman  Socrates, 2500  tahun dahulu  yang  juga  dikenali   
     sebagai  pemikiran  kritis  yang  merangkumi   pemikiran  kreatif.

4. kemahiran kerja berpasukan

5. kemahiran kepimpinan

Terima kasih Cikgu Analysa.


Karangan bahan rangsangan - Perpaduan Kaum Di Malaysia

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara memperkukuh perpaduan kaum di Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.


        “Rakyat Malaysia mestilah hidup bersatu padu”. Demikianlah kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selepas memperkenalkan Rukun Negara kepada rakyat Malaysia. Kata-kata almarhum memang ada kebenarannya kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Saya yakin bahawa banyak cara boleh dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan kaum kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

          Cara yang terbaik boleh kita lakukan untuk menyatupadukan rakyat adalah melalui sistem pendidikan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem pendidikan memainkan peranan penting sebagai agen perpaduan. Pihak sekolah bolehlah memasukkan murid-murid ke dalam kelas yang harmoni, yakni diduduki murid berbangsa Melayu, Cina, India, dan kaum-kaum lain. Oleh sebab rambut sama hitam, hati lain-lain, pelbagai kaum dapat belajar di dalam kelas di samping menyanyikan lagu kebangsaan untuk memupuk perpaduan nasional.

          Kerajaan pula mestilah bertindak bijak dengan menempatkan rakyat yang berbilang kaum di sesuatu tempat. Hal ini dapat mengelakkan polarisasi kaum dan tidak membina jurang pemisah antara kaum. Apabila tinggal bersama di sesuatu kawasan petempatan, kita dapat bergaul mesra dan hidup bagai aur dengan tebing. Sulaman kasih dan amala hormat-menghormati yang diamalkan pasti dapat membentuk rakyat supaya hidup harmoni dan bersatu padu.

          Pada masa yang sama, pelbagai program kemasyarakatan bolehlah diadakan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, kegiatan gotong-royong harus dijadikan aktiviti tahunan suoaya kita dapat memupuk perpaduan kaum. Semua kaum mestilah memahmi konsep berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat membersihkan tempat tinggal, malah dapat bergaul mesra dan hidup serumpum bagai serai. Amalan inilah yang dikatakan semangat 1Malaysia rakyat kita.

          Di samping itu, amalan ziarah-menziarahi pada hari perayaan juga merupakan rencah penting untuk menyuburkan semangat perpaduan antara kaum. Amalan rumah terbuka misalnya bolehlah diadakan pada hari perayaan. Dengan berbuat demikian, semua kaum dapat dikumpulkan bersama-sama meraikan hari perayaan dengan penuh bermakna. Apabila berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan, saya yakin bahawa kita dapat berkenalan dan lebih memahami kebudayaan masing-masing.


          Kesimpulannya, kita haruslah menyahut seruan Perdana Menteri untuk hidup bersatu padu. Hal ini dikatakan demikian kerana semangat bersatu padu amat penting untuk membina negara yang harmoni dan kukuh. Oleh sebab itu, tanpa rakyat tiadalah negara. Rakyat haruslah berpegang teguh pada prinsip ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni demi membentuk masyarakat majmuk yang bersatu padu. Malaysia Boleh!

Terima kasih Dr.Tan
Kerajaan perlu memperkasakan sektor pertanian.

Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh apabila sektor pertanian diperkasakan.

            Bak kata orang tua-tua, “Berbakti kepada bumi, bumi tidak pernah menipu”. Maksud di sebalik ungkapan tersebut menjelaskan bahawa kerja-kerja bercucuk tanam sudah pasti membawa hasil yang tidak mengecewakan. Kaitan peribahasa tersebut boleh dirujuk dengan aktiviti pertanian di negara ini yang memerlukan pemerkasaan semula setelah kerancakannya semakin malap akibat hambatan sektor-sektor lain terutama dalam sektor industri pembuatan. Sebagai sebuah negara yang dianugerahi Allah dengan kesuburan tanah-tanihnya, pihak kerajaan hendaklah meletakkan sasaran sektor pertanian dalam NKRA negara. Sebenarnya terdapat banyak habuan positif kepada semua pihak sekiranya sektor pertanian ini diperkasakan semula.

            Faedah yang pertama tentulah kepada pihak kerajaan sendiri apabila dapat mewujudkan suatu lagi saluran strategik untuk ekonomi negara. Pihak kerajaan dapat mengurangkan kadar pengaliran wang keluar kerana mengimport barangan makanan khususnya barangan pertanian. Statistik yang dikeluarkan dalam tahun 2013, sejumlah 30 bilion telah dibelanjakan untuk mengimport pelbagai jenis barangan makanan. Hal demikian amatlah ironi kepada sebuah negara seperti Malaysia. Sementara itu, sebagai suatu daripada maslahat tanggungjawab kepada rakyat, kerajaan dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat terutama yang tinggal di luar bandar. Pada hari ini, sektor pertanian terpaksa menerima penangan kuat daripada sektor-sektor lain sehingga keadaannya diibaratkan hidup segan mati tak mahu.

            Kumpulan yang kedua bakal memperoleh faedah tentulah sektor swasta yang mempunyai hubung kait perniagaan dalam bidang pertanian. Para peniaga yang terlibat secara langsung mengeluarkan input-input pertanian seperti pembekal jentera, pengeluar baja, racun dan biji benih akan dapat mengembangkan sayap perniagaan mereka dengan lebih meluas lagi. Jikalau selama ini syarikat-syarikat agro seperti BASF, ICI, sukar untuk mengembangkan produk mereka, namun apabila aktiviti pertanian kembali diperkasakan sudah tentu bidang pemasaran mereka akan berkembang. Dengan perkataan yang lain, semua syarikat yang ada hubung kait dengan produk pertanian bakal meraih untung daripada polisi kerajaan yang bersifat menang-menang dan mesra perniagaan seperti itu.

            Masyarakat tani ialah golongan sasar yang mendapat durian runtuh terbesar sekiranya dasar kerajaan yang lebih mesra pertanian benar-benar berlaku. Selama ini golongan tani yang dilihat sebagai komuniti kelas ketiga dalam strata masyarakat di Malaysia, sebaliknya apabila sektor pertanian kembali bernafas golongan inilah yang bakal menjadi entreprenuer dan pedagang yang mempunyai kuasa ekonomi terkuat. Kesuraman dalam sektor ini telah memberikan kesan yang amat negatif terhadap guna tanah selain turut terjadi penyelewengan ke atas tanah pertanian di seluruh negara. Belakangan ini, pengubahan status tanah pertanian kepada tanah industri dan tanah pegangan bebas semakin menjadi-jadi. Alasan utama yang diberi kerana wujud tanah terbiar dan tanah rang yang tidak diusahakan. Seharusnya, perkembangan negatif itu hendaklah dilihat sebagai suatu strategi untuk melenyapkan kuasa pemilikan tanah khususnya dalam kalangan rakyat tempatan, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

            Kalangan peniaga dan pedagang juga turut memperoleh faedah daripada prakarsa yang positif ini. Bidang perniagaan seperti eksport import akan memasuki fasa baru apabila Malaysia mula menjadi hub utama pengeluaran hasil-hasil pertanian. Bagi merancakkan lagi eksport, Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada eksport komoditi pertanian seperti minyak sawit dan getah sahaja. Pada masa ini kedua-dua bidang komoditi ini mula mendapat saingan hebat daripada negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Oleh itu, pemerkasaan sektor pertanian akan memberi ruang kepada bidang pertanian yang lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Langkah seperti yang diambil oleh kerajaan Perlis dalam menjenamakan pengeluaran mempelam Harumanis sepatutnya menjadi pembuka jalan kepada negeri-negeri lain. Oleh itu, motto Kementerian Pertanian dan Industri asas Tani dalam menjenamakan semula pertanian dengan logo, “Pertanian ialah Perniagaan” boleh memberikan nafas baru kepada semua pihak yang berkepentingan dalam sektor yang sangat dominan ini.

            Kesimpulannya, sektor pertanian memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan negara kita. Oleh itu anugerah Tuhan yang amat berharga ini wajar dimanfaatkan agar faedahnya dapat dirasai oleh semua pihak. Walaupun sektor petroleum dan pembuatan menjadi sumber kebergantungan ekonomi negara, justeru tidak salah sekiranya bidang pertanian turut menjadi pelengkap kepada seluruh kegiatan ekonomi di negara ini. Inisiatif yang paling penting, kita hendaklah melipatgandakan usaha dan menggemblengkan kepakaran kerana jika tidak dipecahkan ruyung, di manakan dapat sagunya?





Orang Kelainan Upaya (OKU) harus diberi peluang untuk berjaya.
Bincangkan pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.

                Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.

                Takrif OKU ialah insan yang kurang bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal sama ada dalam bentuk kecacatan fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak, cacat anggota, manakala cacat mental seperti ‘sindrom down’ dan tergencat akal. Mereka terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti golongan normal dek kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah diri, tersisih daripada arus perdana masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Pada hari ini jumlah OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga 4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan golongan tersebut tidak boleh dibiarkan meneruskan kehidupan dalam kedaifan. Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan hidup atas kudrat yang ada pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.

                Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU tidak mampu menguruskan kehidupan mereka sendiri hendaklah dikikis daripada minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan motivasi yang tinggi, golongan tersebut telah berjaya malah ada yang menjadi golongan profesional. Kemampuan personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim menjadi penasihat kepada beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma membuktikan golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang baik. Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa individu yang sudah berjaya itu, masih banyak OKU yang terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan untuk meneruskan hidup. Mereka bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat dan agensi tertentu yang ditugaskan, malah mereka tersisih juga daripada keluarga dan saudara mara sendiri.

                OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan mereka lebih berkemampuan mengatasi orang-orang yang normal. Mereka berjaya menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh, kulit, dan kemahiran tangan. Malang sekali semua usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah atas kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian. Dalam usaha membela nasib golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan sama ada oleh orang perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya orang normal pun memerlukan latihan yang intensif sebelum mereka boleh memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu diberikan perhatian yang lebih serius lagi. Malahan OKU  perlu menerima latihan dan bimbingan yang lebih terancang memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan risiko hidup yang lebih berat jikalau dibandingkan dengan golongan normal.

                Pada asasnya, OKU telah dikurniakan dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha berkuasa mentakdirkan mereka demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka memiliki sesuatu yang cukup istimewa. Bayangkanlah betapa kuatnya daya ingatan orang-orang buta yang mampu menghafal berjuzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula betapa mahirnya golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis, pertukangan tangan, dan melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk mereka maju dalam semua perkara. Sebaliknya kecacatan tersebut memberi dorongan kepada mereka untuk menumpukan dalam aspek-aspek yang tertentu pula.

                Sikap memandang lekeh masyarakat terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti itulah yang menjadi penghalang kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan kemudahan prasarana kepada OKU. Sehingga ke hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-benar memiliki kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun sekadar menumpang kemudahan sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU. Bagi golongan pekak pula tiada suatu pun IPT dan institusi kemahiran yang menyediakan perantara khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik Johor Baharu telah dipilih sebagai institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam kategori pekak, namun hingga ke hari ini IPT tersebut belum memiliki penterjemah bahasa isyarat yang profesional.

                Bagi membolehkan golongan tersebut tidak terus bergantung kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan, usaha bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka. Pihak berwajib terutama Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat hendaklah mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke kabinet sebagai usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah tiba masanya, golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran dan profesional untuk mereka. Dengan wujudnya institusi seumpamanya baharulah golongan tersebut tidak perlu bersusah payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.

                Sesungguhnya, tiada seorang insan pun yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita.



KOMSAS SPM 2014

Kepada anak-anak didik,
Sila beri tumpuan kepada tajuk-tajuk berikut:

1. Soalan Novel:
     a) Peristiwa yang menarik minat anda.
     b) Peristiwa yang meninggalkan kesan kepada pembaca.
     c) Konflik yang dialami oleh watak utama dan cara watak utama menghadapinya.
     d) Persoalan kegigihan / maruah.

2. Drama:
    a) Tiang Cengal Dinding Sayung
    b) 1400

3. Prosa Tradisional:
    a) Hikayat Opu Daeng Menambun
    b) Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

4. Puisi:
     a) Gurindam 12 Fasal Yang Keenam

5. Sajak:
    a) Di Perpustakaan
    b) Harga Remaja
    c) Mahsuri