Google+ Followers

Ahad, 4 November 2012

Tatabahasa Soalan 3b

Kepada anak-anak didik yang dikasihi,

Semoga anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang akan bermula pada 5.11.2012. Yakin BOLEH. Semoga sukses milik anak-anak.

Cikgu tutup tirai untuk sesi 2012. Semoga blog ini telah memberi manfaat kepada anak-anak. Terima kasih kerana melayari blog saya. Terima Kasih. Kita akan jumpa dalam sesi 2013 nanti. BYE!

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas,

Cikgu Subra.


Tajuk-tajuk yang perlu difokuskan:

1.      Cakap ajuk dan cakap pindah

(a)   Cakap ajuk – ayat dialog
Contoh: “Apa khabar, Hanafi?” tanya Ramesh.

(b)   Cakap pindah – ayat penyata
Contoh: Ramesh bertanyakan khabar Hanafi.


2.      Ayat aktif susunan biasa dan ayat aktif susunan songsang

(a)   Susunan biasa – subjek (FN) + predikat (FN, FK, FSN, FA)
Contoh: Jambatan Pulau Pinang terpanjang di Asia Tenggara

(b)   Susunan songsang – predikat (FN, FK, FSN, FA) + subjek (FN)
Contoh: Terpanjang di Asia Tenggara Jambatan Pulau Pinang.


3.      Ayat pasif susunan biasa dan ayat pasif susunan songsang

(a)   Susunan biasa – subjek (FN) + predikat (FN, FK, FSN, FA)
Contoh: Buku itu telah saya baca / Buku itu dibaca oleh adik.

(b)   Susunan songsang – predikat (FN, FK, FSN, FA) + subjek (FN)
Contoh: Telah saya baca buku itu. / Dibaca oleh adik buku itu.


4.      Ayat aktif dan ayat pasif

(a)   Ayat aktif – Pelaku + KKT + objek (FN)
Contoh: Saya / Ibu sedang menggoreng ikan.

(b)   i. Ayat pasif (diri pertama dan kedua) – Objek + Kata ganti nama diri 1 atau 2 + kata kerja pasif (dibuang awalan meN-)
ContohIkan sedang saya goreng.
ii. Ayat pasif (diri ketiga) – Objek + di + Kata kerja pasif + pelaku diri ketiga.
ContohIkan sedang digoreng oleh ibu.


5.      Ayat Aktif

(a)   Ayat aktif transitif – ada objek dan BOLEH dipasifkan.
Contoh: Saya sedang membaca buku.

(b)   Ayat aktif tak transitif – ada pelengkap dan TIDAK boleh dipasifkan.
Contoh: Adik sedang menari di atas pentas.


6.      Ayat Majmuk

(a)   Ayat majmuk gabungan - dan, serta, atau, sambil, lalu, maka, sejak, semenjak, tetapi, kerana, hingga, sehingga, antara, apabila

(b)   Ayat majmuk pancangan:
i.                    pancangan relatif – yang
ii.                  pancangan komplemen – bahawa
iii.                pancangan keterangan - ketika, kerana, sekiranya, lantaran, andai kata dan sebagainya

(c)    Ayat majmuk campuran – gabungan + pancangan


7.      Ayat Perintah

(a)   Ayat Suruhan
Contoh: Minumlah, angkatkan, siapkan dsb

(b)   Ayat Permintaan – minta atau tolong

(c)    Ayat Larangan – jangan, usah, tak usah, dilarang atau ditegah

(d)   Ayat Silaan – sila atau jemput


8.      Jenis-jenis ayat

(a)   Ayat penyata – ayat keterangan atau ayat berita
(b)   Ayat songsang – pendepanan predikat
(c)    Ayat nafi – tidak / bukan
(d)   Ayat tanya – susunan biasa / susunan songsan
(e)    Ayat seruan
(f)    Ayat aktif – transitif / tak transitif
(g)   Ayat pasif – susunan biasa / susunan songsang
(h)   Ayat perintah – suruhan / permintaan / silaan / larangan
(i)     Ayat tunggal – satu subjek + satu predikat
(j)  Ayat majmuk – gabungan / pancangan / keterangan

Sumber: Cikgu Anelyza. Terima kasih



Soalan Percubaan MRSM 2012:

MRSM

1.  Isu kebersihan terutamanya di kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius. Sebagai pelajar yang prihatin, kemukakan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan persekitaran sekolah anda sentiasa bersih.

Pendahuluan :  Sekolah boleh diibaratkan sebagai taman-taman intelektual yang turut berperanan sebagai kilang yang mengeluarkan tenaga manusia yang berkaliber. Sekolah turut menjadi penyumbang pembinaan sebuah bangsa yang berperadaban dan lestari. Setiap insan yang keluar dari sesebuah institusi sekolah dengan jayanya pasti menjadi aset yang  bernilai kepada masyarakatnya. Sebagai sebuah organisasi yang banyak menabur budi kepada manusia, sekolah seharusnya memiliki ciri-ciri yang boleh dibanggakan seperti cemerlang, kualiti disiplin, dan landskap yang cantik dan bersih. Dalam merealisasikan hajat tersebut, pihak pengurusan dan guru sahaja tidak mampu untuk melaksanakannya, melainkan usaha tersebut harus menerima sentuhan ajaib daripada para pelajar sendiri. Oleh itu, saya sentiasa terpanggil dan beriltizam untuk turut sama menyumbang tenaga dan idea agar sekolah saya sentiasa bersih dan ceria.

Isi-isi penting :

Isi 1 :  Sedar dan insaf bahawa disiplin adalah antara penyumbang paling penting – kekebalan disiplin mampu menghalang pelajar berbuat sesuatu yang tidak sesuai semasa di sekolah – menyebabkan nama sekolah jatuh - menyeru, mengajak dan menunjuk teladan yang baik kepada raka-rakan agar sama-sama menyayangi sekolah

Isi 2 :  Membudayakan amalan 3K (Kebersihan, Keceriaan, dan Keselamatan) – program yang meletakkan sasaran supaya sekolah menjadi tempat yang selamat dan menyeronokkan pelajar – berganding bahu dengan semua warga sekolah

Isi 3 :  Mencadangkan kepada pihak sekolah untuk mewujudkan kawasan angkat untuk pelajar – pelajar melalui persatuan dan kelab menjaga dan menghiaskan kawasan kebanggaan yang menjadi milik mereka

Isi 4 :  Mencadangkan pihak sekolah menganjurkan pertandingan bersih dan indah –pertandingan termasuk bilik kelas dan kawasan angkat – melahirkan komitmen yang tinggi kepada pelajar untuk berbangga dengan kawasan angkat mereka

Isi 5 :  Menganjurkan pertandingan yang berbentuk koakademik – pertandingan melukis mural, poster, kata-kata hikmat dan pertandingan mengarang – mencungkil bakat dan apresiasi pelajar terhadap sekolah yang dicintai

Kesimpulan :  Pesanan daripada peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat belajar haruslah diterapkan ke dalam jiwa pelajar agar terus mencintai dan berbangga akan alma mater yang pernah mendidik mereka. Sebagai tanda sayang, saya akan terus komited untuk mengangkat imej sekolah saya dalam semua perkara termasuk menjadikan sekolah saya yang terbaik dan terindah landskap dan budayanya.


2.  Kejayaan anak-anak berkait rapat dengan keperihatinan ibu bapa. Ulaskan pernyataan di atas.

Pendahuluan :  ‘Keluarga’ ungkapan keramat yang wujud sejak berabad silam merupakan paksi yang melahirkan tamadun manusia hingga kini. Kesempurnaan keluarga menjadi penentu kepada masayarakat yang progresif dan dinamik.  Dengan yang demikian, saya berpendapat, ibu bapa yang perihatin akan menentukan kejayaan anak-anak mereka. 

Isi 1  :  Membina sebuah keluarga yang beriman dan bertakwa – hidup yang berpaksikan iman dan takwa akan mendapat taufik dan hidayah Allah – terlindung daripada perkara-perkara keji yang boleh memporak-perandakan keluarga

Isi 2  :  Dapat melahirkan zuriat yang sempurna dan seimbang dalam aspek fizikal, mental, rohani dan emosi - asuhan dan belaian yang sempurna menjadi ‘baja’ kepada pertumbuhan sahsiah anak-anak -  interaksi keluarga yang lemah lembut dapat membentuk sikap penyayang (mawadah)

Isi 3  :  Dapat membina sebuah keluarga yang mementingkan akhlak, agama, dan ilmu pengetahuan - anak-anak yang berakhlak dan beragama bakal menjadi modal insan yang berkualiti - anak-anak akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam pelajaran dan memperoleh kerjaya yang cemerlang

Isi 4  :  Menghindari segala tindakan negatif daripada anak-anak – mengawal emosi yang tenteram dalam kalangan anak-anak – memebentuk minda yang cerdas - ibu bapa dapat mengawal anak-anak daripada anasir buruk dan memberi motivasi untuk memburu cita-cita dan ingin menjadi cemerlang

Kesimpulan :    Keluarga pasti menjadi nukleus utama untuk anak-anak. Keluarga merupakan institusi tertua menentukan arah dan hala tuju seseorang. Oleh itu, keluarga yang harmoni pasti menjanakan kejayaan yang cemerlang terhadap anak-anak.



3.  Kebiasaan mengambil makanan segera seperti burger, piza dan mi segera menjadi suatu trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Sehubungan dengan  itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang akan disiarkan dalam akhbar tempatan yang bertajuk, “Kesan-kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan”. Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera
oleh
Abdul Rauf Bin Muhammad
                                                    

            Makanan segera ialah makanan yang paling disukai oleh golongan muda. Kanak-kanak juga menggemarinya. Terdapat banyak makanan ringan yang dijual di restoran dan gerai. Contoh makanan segera ialah burger, kentang goreng, pizza dan ayam goreng. Ada banyak keburukan makanan segera.

           Salah satu keburukan makanan segera ialah makanan itu menjadi penyebab penyakit. Sebagai contoh, penyakit kencing manis. Hal ini kerana makanan segera banyak mengandungi gula. Contohnya ialah donut dan kek. Oleh itu, makanan segera dapat menjadi penyebab penyakit berbahaya.

                Selain itu, makanan segera juga dapat menyebabkan kegemukan / obesiti / kegendutan. Hal ini kerana, makanan segera banyak mengandungi lemak. Sebagai contoh, ayam goreng, pizza dan burger. Kandungan lemak dalam ayam goreng sangat tinggi. Oleh hal yang demikian, makanan segera dapat menyebabkan berat badan seseorang itu mudah menjadi gemuk.

                 Di samping itu, makanan segera juga menyebabkan perubahan gaya hidup. Kanak-kanak dan golongan muda akan hilang nilai ketimuran. Hal ini kerana kebanyakan makanan segera berasal dari Barat. Kanak-kanak dan golongan muda akan menganggap makanan dari Barat lebih berkhasiat daripada makanan tempatan. Oleh itu, makanan segera akan menyebabkan perubahan gaya hidup.

                Tambahan pula, makanan segera dapat mengganggu emosi. Ahli-ahli sains mendapati ada kaitan antara makanan segera dengan perlakuan ganas. Makanan manis seperti kek dan donut akan menyebabkan ketidakseimbangan bahan kimia berbahaya di dalam badan. Makanan manis akan menaikkan paras gula darah. Kenaikan paras gula menyebabkan seseorang itu mudah letih dan mudah marah. Oleh itu, makanan segera dapat menyebabkan gangguan emosi. Dengan itu janganlah suka makan makanan segera.

              Akhir sekali, makanan segera menyebabkan tumbesaran seseorang terencat/terganggu. Makanan segera bukan makanan seimbang. Makanan segera banyak mengandungi lemak dan garam. Contohnya, ayam goreng, pizza dan burger. Apabila makan makanan yang tidak seimbang, tumbesaran tubuh/badan akan terganggu.Berat badan tidak sepadan dengan umur. Badan akan menjadi tidak sihat dengan perut yang buncit. Oleh itu, makanan segera akan menyebabkan kerencatan tumbesaran tubuh seseorang.

            Kesimpulannya, terdapat banyak keburukan / akibat / kesan makan makanan segera. Ibu bapa hendaklah pastikan anak-anak tidak mengambil terlalu banyak makanan segera. Pihak sekolah pula hendaklah menjelaskan keburukan makanan segera kepada murid-murid. Oleh itu, kita akan dapat melahirkan anak-anak yang sihat tubuh badan. 
Rakyat sihat negara maju.

4.  Beberapa buah negara di dunia sedang mengalami pergolakan politik dan peperangan yang berlarutan sehingga menyebabkan rakyat hidup sengsara. Oleh itu, penglibatan Malaysia dan beberapa buah negara yang lain menganggotai misi keamanan dunia amatlah dipuji. Jelaskan usaha-usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan misi tersebut.

Pendahuluan : Gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah. Peribahasa tersebut benar-benar menggambarkan nasib malang yang ditanggung oleh rakyat jelata apabila kuasa-kuasa pemerintah bertelagah sesama sendiri. Korban rakyat Iraq yang sudah mencecah hampir sejuta orang berpunca daripada sikap angkuh mantan Presiden Amerika George W. Bush. Pada hari ini rakyat di rantau Timur Tengah sedang bertumpah darah demi menumbangkan regim kuku besi yang menzalimi mereka. Malahan malapetaka yang sudah sekian lama menimpa rakyat Palestin, Pakistan, Afghanistan, Kashmir, Darfur, dan pembersihan etnik yang berlaku di beberapa negara di Afrika telah menyaksikan sejarah peradaban manusia semakin ternoda. Oleh itu, selagi peluang masih ada, kita wajarlah menelusuri akan punca gejala tersebut membara dan seterusnya bertindak atas hemat untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan tersebut.

Isi-isi penting :

Isi 1 :     Misi keamanan melalui misi kebudayaan dan seni - menghormati kebudayaan, kesenian, adab, dan fahaman agama – menyampaikan mesej bahawa semua manusia mempunyai hak untuk hidup, untuk bernegara dan memiliki kebebasan

Isi 2 :   Duta kecil dalam bidang ilmu pengetahuan – membuka peluang belajar sama ada di IPTA atau IPTS untuk seluruh warga dunia – menyampaikan mesej melalui saluran ilmu pengetahuan – inspirasi daripada keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia - bertukar-tukar pengalaman tentang isu budaya, dan adab resam - menjalinkan hubungan mesra atas misi sebagai pelajar

Isi 3 :   Menghantar pasukan misi damai dan pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB – menghalang perang saudara, memastikan genjatan senjata– tentera pengaman di Somalia, di Balkan dan Lebanon

Isi 4 :  Misi kemanusiaan di wilayah yang sedang bergolak – bantuan keperluan asas (makanan, ubat-ubatan dan pakaian) – misi bantuan ke Palestin (Viva Palestina), Rohingya, Kemboja – bantuan diberi tidak memilih perbezaan ideologi politik, agama, atau wilayah

Isi 5 :  Menganjurkan persidangan untuk keamanan di peringkat antarabangsa – Kuala Lumpur sering dipilih sebagai tuan rumah – berusaha menyatukan pihak yang bertelagah untuk kembali ke meja rundingan

Isi 6: Misi keamanan melalui khidmat tentera pengaman - dianjurkan di bawah payung misi keamanan PBB - untuk mengawal kawasan yang dilanda perang saudara - membantu menyelamatkan mangsa perang oleh pasukan perubatan, khidmat masyarakat, kaunseling, dan pendidikan - delegasi tentera dapat menjadi duta kecil menjalinkan hubungan kemanusiaan dan sosial dengan negara tempat bertugas – MALBAT dan MALCOM mendapat pujian dan pengiktirafan semasa di Bosnia

Kesimpulan :  Sesungguhnya setiap insan mempunyai hak untuk hidup dan hak untuk memperoleh kebebasan. Maha kaya Tuhan telah menciptakan pelbagai bentuk bumi dan pelbagai bangsa dengan setiap bangsa diperuntukkan tanah air sendiri. Sudah sewajarnya bangsa tersebut memakmurkan bumi mereka sendiri. Secara tegas pula, mereka dilarang mengancam peluang orang lain untuk hidup selamat. Seyogia, angkara sombong yang mengganggu hak orang lain untuk hidup bebas perlu dibanteras sepenuhnya.

Diubahsuaikan daripada blog Cikgu Ishak Md Shah. Terima kasih.

Sabtu, 3 November 2012

Peranan pelbagai pihak dalam memupuk semangat patriotisme

Kepada:
Saudara alai_ram, berikut ialah contoh karangan tentang tajuk berkenaan.

Usaha pelbagai pihak:

1. PIHAK SEKOLAH
2. KURIKULUM SEKOLAH
3. KERAJAAN - KEMPEN BERTERUSAN
4. PERANAN AGENSI KERAJAAN
5. SURI TELADAN OLEH PARA PEMIMPIN
6. PERANAN IBU BAPA
7. PERANAN MEDIA MASSA


 
        Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.
 
        Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah denganmemberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
 
        Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
 
        Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaranmelalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
 
        Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
 
        Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
 
        Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Terima kasih kepada Cikgu Anelyza.