Google+ Followers

Sabtu, 27 Oktober 2012

peribahasa dan cogan kata untuk tema karangan

Salam sejahtera,
Kepada anak-anak didik yang akan menduduki peperiksaan SPM 2012, berikut ialah peribahasa, cogan kata dan kata-kata hikmat yang bersesuaian dengan tema karangan.

01. TEMA BUDAYA MEMBACA
  •  Ilmu pelita hidup
  • Membaca jambatan ilmu
  • Jauh berjalan luas pengalaman, banyak membaca luas pengetahuan.
  • Bangsa membaca bangsa berjaya
  • Membaca memerdekakan minda.
  • "Saya sanggup dipanggil sebagai pemboros kerana membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan saya untuk membeli buku". Mantan Perdana Menteri India - Nehru.
  • Orang yang tidak membaca umpama katak di bawah tempurung.
  • Socrates:"Bertambah banyak aku tahu, bertambah sedarlah betapa tololnya diriku".
02. TEMA SEMANGAT KEJIRANAN
  • Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
  • Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
  • Muafakat membawa berkat.
  • Tidak mahu menjaga tepi kain orang lain.
  • Anak orang anak sendiri
  • Beranak seorang mendidik ramai.
  • Bagai aur dengan tebing
  • Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
  • Hamka:"Kalau anda memberi sesuatu kepada jiranmu,bermakna memberi sesuatu kepada dirimu sendiri". 
03.  AMALAN MENABUNG
  • Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
  • Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
  • Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak.
  • Ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
  • Sediakan payung sebelum hujan.
  • Ikut hati mati, ikut rasa binasa.
  • Victor Hugo: "Tabungan adalah kebijaksanaan menghadapi bahaya".
04. PELANCONGAN
  • Jauh perjalanan luas pengalaman.
  • Budi bahasa budaya kita.
  • Kecil tapak tangan, nyiru sama tadahkan.
  • Negara Bersih, Rakyat Sihat .
  • Datuk Seri Ng Yen Yen: Pada tahun 2010 seramai 2.2 juta pelancong telah melawat Malaysia; Perbelanjaan  RM6 bilion.
  05. KEMALANGAN JALAN RAYA
  • Biar lambat asalkan selamat.
  • Malang tidak berbau.
  • Sudah terhantuk baru tengadah.
  • Nasi sudah menjadi bubur.
  • Alah bisa tegal biasa.
  • Hadis Nabi: Sabar itu sebahagian daripada iman. 
06.  BANGUNAN BERSEJARAH
  • Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
  • Hanya jauhari mengenal manikam.
  • Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
  • Genggam bara api biar sampai jadi arang.
  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  • Voltaire: "Sejarah manusia tak lain tak bukan hanyalah gambaran masa dahulu sebagai pengajaran masa sekarang.
07. KELUARGA
  • Bapa borek anak rintik.
  • Bagaimana acuan begitulah kuihnya.
  • Anak umpama kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkannya. Jika dilukis dengan warna pelangi, maka cerahlah masa depannya. Jika ditumpahkan dengan warna hitam, maka gelaplah masa depannya.
  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  • Tidak mahu menjadi seperti kata peribahasa,'Ketam menyuruh anaknya berjalan lurus'.
  • Ibu bapa sebagai  idola kepada anak-anak mereka.
  • Peribahasa Bahasa Arab: 'Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu'.
08. NEGARA / CINTAKAN NEGARA / PATRIOTISME
  • John F.Kennedy: "Jangan bertanya apakah sumbangan negara untuk anda. Sebaliknya bertanya apakah sumbangan anda untuk negara".
  • Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
  • Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
  • Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
  • Biar putih tulang, jangan putih mata.
  • Ibarat telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua.
  • Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
  • Seberkas lidi kuat kudratnya berbanding dengan sebatang lidi yang mudah dipatahkan.
  • Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak.  

Jumaat, 26 Oktober 2012

Karangan Dimensi Keluarga

Anak-anak yang dikasihi,

Isi-isi yang berikut tetap boleh digunakan untuk menjawab soalan dimensi kedua iaitu KELUARGA. Sesuaikan isi mengikut kehendak soalan.

1. PEGANGAN AGAMA YANG KUKUH.

    "Orang yang kurang pegangan agama umpama sebuah bahtera yang belayar di tengah samudera tanpa   jurumudi. Nescaya bahtera berkenaan akan tenggelam atau tidak akan sampai ke destinasinya."

   "Orang yang ada pegangan agama dapat membezakan intan dengan kaca, halal dengan haram, syurga dengan neraka, baik dengan buruk, pahala dengan dosa".

     "Orang yang ada ilmu tetapi tiada pegangan agama umpama Orang Kelainan Upaya (OKU)", kata Albert  Einstein.

2. MENGAMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

     "Otak yang cerdas berada dalam badan yang cergas".

      "Rakyat Sihat, Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera".

3. MEMBINA INTELEK DAN MENINGKATKAN ILMU PENGETAHUAN

     Ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia. Dalam al-Quran Allah S.W.T. telah Mengumpamakan ilmu itu sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolehi oleh manusia hanyalah setitis daripadanya. Walaupun begitu peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan, sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas:

Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menuntut  ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.” (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam konteks membina ‘syurga’ dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anak-anaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahan-kemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya.
4.
AKTIVITI BEREKREASI DAN BERIADAH

     Memberi peluang kepada ahli keluarga berbincang dan bertukar-tukar pendapat dan mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang dihadapi oleh anak. Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam ialah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama-sama keluarga kerana semua ahli keluarga pada waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama-sama  keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang mawaddah antara anggota keluarga.

5. MENGEKALKAN KEDAMAIAN DAN KERUKUNAN RUMAHTANGGA

  • Tolong-Menolong dan Bantu-Membantu Dalam Keluarga
  • Hubungan Kejiranan Yang Baik
  • Menunaikan Tuntutan Fardhu Kifayah ( Maksud fardhu kifayah dalam konteks kesejahteraan         keluarga ialah semua ahli keluarga khususnya anak-anak hendaklah dilatih dengan asas-asas kemahiran hidup ataupun ilmu-ilmu teknikal yang ada hubungkait dengan alam rumahtangga.)

6. KEDUDUKAN KEWANGAN YANG SEMPURNA

  • kedudukan kewangan penting untuk menangani segala keperluan asas.
  • Tanggungjawab ayah untuk memastikan keperluan material dipenuhi.
  • "Ada wang semua jadi".

kesimpulan:


“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.



ASEAN - Usaha Menjadikan Kawasan Pelancongan Bertaraf Dunia


Industri pelancongan mampu menjana kemajuan ekonomi  sesebuah negara
di dunia.  Bincangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh ASEAN untuk
 menjadikan negara serantau kawasan pelancongan bertaraf dunia.

1.Pengenalan
Industri pelancongan merupakan salah satu sektor yang memberi pulangan yang lumayan
 kepada pendapatan sesebuah negara.
a.       Menurut statistik Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 
(UNWTO). 
b.       Pada tahun 2010 seramai 940 juta  orang pelancong   bertebaran di seluruh dunia.
c.       Hasil pendapatan pada tahun 2010 ialah  US919  bilion.
d.      Prancis menjadi destinasi pertama tumpuan  pelancong

ASEAN mampu muncul sebagai kawasan pelancongan bertaraf dunia.

Faktor

i.       Kebudayaan yang unik
 ii.      Alam semula jadi yang eksotik
 iii.     Bangunan bersejarah
 iv.     Pendidikan bertaraf dunia
 v.        Perkhidmatan perubatan  bertaraf dunia
 vi.    Agropelancongan
 vii.    ASEAN  mempunyai fiil dan budaya hidup yang hampir sama.

ANTARA USAHA DAN KERJASAMA YANG BOLEH DILAKSANAKAN:

1. JALINAN KERJASAMA ANTARA SYARIKAT
     PENERBANGAN DAN PELANCONGAN ASEAN
a.  Mewujudkan perjanjian persefahaman.

b.  Syarikat penerbangan antara negara ASEAN 
     mewujudkan laluan  bersambung tanpa perlu
     pelancong dari luar ASEAN menempah sendiri  
     penerbangan mereka jika mahu melancong dari
     sebuah negara ASEAN ke negara ASEAN yang
     lain.

 c. Syarikat pelancongan mewujudkan kerjasama secara  kolaboratif.  

2. MEMPROMOSIKAN HASIL PRODUK PELANCONGAN NEGARA-NEGARA ANGGOTA 
DI NEGARA MASING-MASING
a.       Malaysia membantu negara-negara ASEAN yang  lain menjual produk pelancongan 
seperti batik dari Indonesia .

b.      Menyediakan maklumat tentang produk tersebut .

c.       Menggalakkan pelancong berkunjung sendiri ke negara Indonesia bagi mendapatkan
 pilihan yang lebih baik.

3. MEMANSUHKAN VISA LAWATAN ANTARA     ASEAN

a.       Rakyat di negara-negara ASEAN tidak perlu  mendapatkan visa lawatan apabila
 berkunjung ke  negara-negara ahli.

b.      Hanya menggunakan passport antarabangsa.

c.       Contoh: tiada pengunaan visa dan tempoh masa  bagi rakyat negara-negara ASEAN 
untuk melawat  Singapura dan rakyat Singapura pula tidak  dikenakan  cukai perjalanan apabila
 mahu ke luar dari negara mereka.

4. PENYERAGAMAN PENGGUNAAN PASPORT   ANTARABANGSA DI NEGARA-NEGARA ASEAN

a.       Kemasukan pelancong dari luar ASEAN hanya  menggunakan passport dan visa di negara 
pertama mereka masuk ke wilayah ASEAN.

 b.     Pelancong yang memasuki Malaysia sebagai  destinasi pertama, tidak perlu
 mendapatkan kebenaran masuk daripada pihak imigresen negara-negara ASEAN yang
 lain. Para pelancong bebas bergerak dan hanya melalui pemeriksaan  bagasi dan 
diri sahaja oleh pihak imigresen dan kastam setiap negara.

5. MEWARTAKAN  TAPAK-TAPAK WARISAN DUNIA  DI NEGARA-NEGARA ASEAN SEBAGAI
 TAPAK  WARISAN ASEAN YANG DIKONGSI BERSAMA- SAMA

a.       Lokasi-lokasi dan bangunan-bangunan serta tapak  geografi yang telah diisytuharkan oleh 
UNESCO sebagai tapak warisan dunia digazetkan sebagai Tapak Warisan ASEAN.

 b.     ANGKOR WAT di Viet Nam,  Bandaraya Melaka Bersejarah di Malaysia dan Candi 
Borobudur dijadikan aset milik bersama-sama negara ASEAN.

c.       Para pelancong dari luar ASEAN akan lebih mengenali ASEAN berbanding mengenali 
negara- negara ASEAN secara berasingan.

6. PUSAT PENDIDIKAN DAN PERUBATAN BERTARAF
    DUNIA

a.       Negara-negara ASEAN menaiktarafkan sistem pendidikan dan perubatan ke standard
 dunia  agar  menjadi pilihan rakyat antara negara ASEAN dan  dari luar ASEAN untuk 
belajar atau mendapat rawatan perubatan di sini.

 b.      Setiap negara ASEAN menetapkan tarif bayaran yang kompetitif dan mampu dibayar ,
 dengan cara ini, pelancong dari luar ASEAN akan  memilih  untuk mendapatkan perkhidmatan 
di sini terutama dari negara-negara dunia ketiga.

c.       Tenaga kerja yang bertaraf dunia boleh berkhidmat di mana-mana negara ASEAN yang 
menjadi pilihan mereka tanpa sekatan. 

 d.      Kesannya, di semua negara ASEAN ada pakar-pakar pendidikan dan perubatan yang 
berkualiti.
e.      Hal ini, menarik lebih ramai pengunjung dari luar ASEAN untuk mendapatkan perkhidmatan
 di  negara-negara ASEAN kerana kos perkhidmatan yang lebih murah berbanding
 di negara-negara   Eropah.

KESIMPULAN
a.       ASEAN mampu menjana pendapatan lumayan dari  sektor pelancongan
b.      Yang penting ialah kerjasama dan usaha gigih dan  promosi pemasaran yang berterusan
 diperlukan. 

Pengguna Bestari


Bijak Berbelanja Pengguna Bestari
Oleh: AMIR HAMZAH

                Aktiviti membeli-belah memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita mempunyai wang yang banyak yang membolehkan kita membeli apa-apa sahaja barangan dan perkhidmatan yang disukai. Malah ada orang yang menjadikan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti wajib yang mesti dilakukan sebaik sahaja menerima upah atau gaji pada setiap bulan.
                Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan pengguna. Tambah mengujakan pengguna, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai barangan berjenama di pasaran. Siapa yang tidak tergoda apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam sehingga 70 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun, yang membimbangkan ialah apabila keseronokan membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka.
                Walaupun aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada setiap individu meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa, pengguna perlu mengawal diri ketika berbelanja. Pengguna perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya pengguna dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Pengguna yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bangkrap atau muflis sebenarnya dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.
                Sementara itu, Indeks Kualiti Kehidupan mencatatkan Malaysia di tangga 36 dalam kalangan 111 negara di dunia. Indeks ini mengambil kira kesihatan, kehidupan keluarga, kehidupan masyarakat, kestabilan politik, pendapatan per kapita dan kuasa beli, kebebasan politik, iklim, keselamatan pekerjaan, dan layanan yang sama bagi lelaki dan wanita.
                Menurut Unit Perancang Ekonomi, pendapatan membolehkan individu menampung perbelanjaan bagi diri serta keluarga mereka manakala agihan pendapatan pula menggambarkan kesaksamaan dan pengagihan sumber ekonomi. Komponen pekerjaan atau status ini memberi ganjaran kepada individu melalui pemilikan tempat kediaman, kenderaan, pakaian atau makanan.
                Kenaikan harga barang keperluan, seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas dan petroleum menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak dan terus meningkat.
                Bagi mengatasi masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, pengguna perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat   membantu pengguna menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.
                Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian pengguna dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu pengguna berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan.
                Sehubungan dengan hal itu, pengguna perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Pengguna perlu sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan pengguna membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu, pengguna perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan.
                Pengguna juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan isteri, dan pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan. Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya pengguna dapat mengetahui ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan. Pengguna juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang.
                Penetapan sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu pengguna menentukan belanjawan diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan perbelanjaan menonton wayang dengan menonton cakera video digital (DVD) di rumah sebagai sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka panjang pula bermakna sebagai contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau menyimpan wang secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara tunai dan bukan secara hutang.
                Belilah barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi mendapatkan lebih penjimatan. Selain itu, pengguna juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini pengguna dapat membeli barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.
                Selain itu, elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika pengguna berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Hal ini dikatakan demikian kerana berbelanja dalam suasana begini akan mendorong pengguna untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan pengguna.
                Intihanya, pengguna memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan pengurusan kewangan keluarga cemerlang dan secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi negara. Pemantauan terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pengguna daripada berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, pengguna perlulah menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan. Sekiranya saranan ini dipraktikkan oleh rakyat Malaysia, sudah pasti Malaysia yang kita cintai dapat mengharungi zaman kemelesetan ekonomi. Maklumlah Bijak Berbelanja Pengguna Bestari.