Google+ Followers

Isnin, 13 Jun 2011

Bencana alam

Pada pendapat anda, apakah punca berlakunya bencana alam di negara kita?

      Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tiddak terancam.

      Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

       Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

      Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar umbinya.

       Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

     Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah selera, sebelum bertindak.

Sumber : blog Cikgu Mohd Khir Kassim (Terima kasih)

Sabtu, 11 Jun 2011

Peperiksaan BM 2011

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah. Panjang huraian hendaklah antara 200 – 250 patah perkataan.

Tidak dapat dinafikan, warisan negara yang telah diabaikan dewasa ini ialah bangunan bersejarah yang banyak terdapat di seantero negara. Jika ditinjau secara umum, kebanyakan bangunan bersejarah yang dipulihara akan disuaigunakan semula sebagai muzium, pejabat, tempat kediaman, premis perniagaan, dan kegunaan awam.Sejak UNESCO mengiktirafkan bandar Melaka dan Geogetown sebagai bandar warisan bersejarah, baru timbullah kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?

Bangunan-bangunan bersejarah memang mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai. Melalui darmawisata ke tempat-tempat bersejarah, generasi muda dapat menghayati fakta-fakta sejarah yang dipelajari dalam buku teks Sejarah. Misalnya, pembinaan kota A Famosa (bermaksud “Yang Termasyhur” dalam bahasa Portugis) atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka terhadap penjajah. Dengan erti kata lain, fakta-fakta sejarah ini dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.

Selain nilai sejarah, bangunan-bangunan bersejarah memaparkan seni bina awal yang begitu unik.Selain rumah kediaman, seni bina Melayu turut dizahirkan ke atas binaan-binaan lain seperti masjid, istana raja-raja, rumah wakaf, dan seni bina makam atau pusara. Ciri-ciri seni bina tradisional Melayu dapat dilihat pada bangunan-bangunan lama yang masih kekal ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panasseperti Istana Kenangan di Perak, Istana Balai Besar di Kelantan, Masjid Tengkera di Melaka, dan sebagainya.Pendek kata, seni bina Melayu yang indah ini bukan sahaja unik malahan memberikan nilai estetika yang begitu tinggi dan seharusnya dipelihara untuk pengekalan atau pelestarian identiti bangsa.


Tidak ketinggalan juga, bangunan bersejarah dapat menyumbang kepada kerancakan industri pelancongan negara kita. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan bersejarah yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina yang unik dapat menjadi tarikan pelancong. Tamsilnya, para pelancong yang berpendidikan akan terpesona oleh zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 apabila melihat Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Pendek kata, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Secara tuntas, pemuliharaan dan pelestarian bangunan bersejarah amat penting dalam penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara.Akhir kata, adalah tidak rasional jika bangunan-bangunan bersejarah ‘dikorbankan’ demi memberikan laluan kepada pembangunan negara. Hidup warisan Malaysia, hidup bangsa Malaysia!

Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga. Jadi, apakah punca-punca wujudnya pengangguran dan apakah cara-cara mengatasinya.

Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan. Jadi, apakah punca-punca yang mendorong isu ini berlaku.

Sudah pasti punca utama berkaitan dengan keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an.

Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer.

Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar.

Dalam usaha mengatasi ekonomi negara yang merudum, kerajaan telah menghantar rombongan perdagangan ke luar negara untuk menarik lebih banyak modal asing ke Malaysia. Rombongan ini cuba mengiklankan kelebihan negara jika pemodal asing itu sanggup menanam modal mereka di negara ini. Malah, kerajaan telah cuba menjalankan beberapa projek mega untuk memastikan ekonomi negara berjalan rancak semula. Projek Pembangunan Johor Selatan dan Kereta Api Laju KLSingpura dijangka mampu meninggikan pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan pelbagai cukai.

Selain itu, kerajaan telah menjalankan pelbagai program untuk memahirkan golongan belia seperti mengadakan program bahasa Inggeris dan mengutamakan penubuhan institut kemahiran dengan negara-negara luar seperti Jerman. Program ini mampu menyediakan satu sumber manusia yang mempunyai kemahiran tinggi untuk bersaing dalam era globalisasi. Kewujudan buruh yang berkemahiran tinggi ini turut menjadikan negara sasaran utama pelabur asing kelak.

Kerajaan turut memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecilkecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini. Belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.

Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.