Latihan
1 : Pelbagai masalah yang timbul dalam keluarga seperti
masalah kewangan, masalah anak-anak dan masalah yang melibatkan ibu bapa itu
sendiri. Keadaan ini menimbulkan stres kepada setiap ahli keluarga. Huraikan
langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam menghadapi
tekanan atau stres ke arah melahirkan keluarga yang bahagia.
Pendahuluan
: Tragedi-tragedi pelik seperti bapa
mencurah asid ke muka anak, suami membunuh isteri di tempat tidur, anak
membunuh ahli keluarga dan pelbagai kerenah dalam keluarga bagaikan menjadi
suatu fenomena dalam masyarakat moden. Masyarakat yang kononnya semakin bijak
telah mula tenggelam punca dan sanggup melakukan tindakan ganas di luar
batasan. Pelbagai krisis yang melanda keluarga telah menjadi anasir peledak
sehingga keharmonian dalam rumah tangga bertukar menjadi neraka kehidupan.
Pelbagai tekanan emosi mula melanda keluarga sehingga boleh menimbulkan kesan
kemurungan, halunisasi, dan gila. Memandangkan fenomena ini boleh mengancam kesejahteraan
institusi tertua di dunia itu, pelbagai langkah menanganinya harus diambil
dengan seberapa segera.
Isi
1 : Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu dan kemahiran yang
mencukupi sebelum anak-anak mengharungi alam berumah tangga – anak-anak sudah mempunyai
persediaan yang cukup – dapat menangani segala masalah dengan tenang.
Isi
2 : Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan rumah tangga
adalah suatu amanah dan ibadah –
menjadi motivasi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera.
Isi
3 : Memperlengkap ahli keluarga dengan imu pengetahuan dunia dan akhirat – ilmu dunia sebagai alat untuk
kesenangan hidup sementara ilmu agama sebagai pengimbang dan kedamaian batiniah.
Isi
4 : Menjalinkan perasaan mesra dan seronok sesama ahli keluarga – mengetepikan perkara-perkara
negatif yang boleh mencetuskan perasaan marah – menikmati kehidupan berkeluarga
ibarat syurga.
Isi
5 : Merujuk kepada kaunselor terlatih – langkah penyelesaian terakhir sekiranya
masalah terlalu rumit – semua pihak hendaklan mengetepikan ego masing-masing –
menerima hakikat bahawa bukan semua masalah harus diselesaikan bersendirian.
Kesimpulan
: Fenomena semasa yang semakin
mencabar secara tidak langsung boleh mempengaruhi emosi seseorang. Oleh itu, jikalau darah
sudah mengalir ke mata, justeru padahnya terlalu besar. Jangan dibiarkan dendam
yang membara, sebaliknya setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan hemah dan
pemikiran yang positif. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan ibarat,
hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih. Maklumlah hidup tanpa stres hidup
bahagia.
Latihan
2 : Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama
ahli keluarga dapat membentuk keluarga yang penyayang. Berikan
pandangan anda tentang peranan ahli keluarga dalam melahirkan keluarga yang
harmoni dan penyayang.
Pendahuluan
: Kalangan bijaksana berpendapat
bahawa, rumah ialah syurga kepada kehidupan dan ada kalanya menjadi neraka.
Pengertian daripada pendapat tersebut menerangkan bahawa, rumah tangga menjadi
nukleus utama yang dapat membentuk keluarga yang bahagia ataupun sebaliknya.
Pelopor paling penting untuk melahirkan sebuah keluarga harmoni dan bermawaddah
tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakari nescaya eloklah keluarga yang
dibina. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi mencorakkan
sebuah rumah tangga yang dilingkungi oleh rahmat dan kasih sayang. Walau
bagaimanapun, sokongan daripada anak-anak dan seluruh ahli keluarga amat
penting juga dalam melahirkan sebuah keluarga yang penyayang.
Isi
1 : Pegangan agama yang kukuh - Menjadi
insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan seperti ini sentiasa berfikiran positif
dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk kecenderungan untuk
hidup yang diredai di dunia mahupun akhirat.
Isi
2 : Mengutamakan pendidikan kekeluargaan
dengan limpahan kasih sayang kepada anak-anak – anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih
cenderung untuk saling hormat dan saling menyokong.
Isi
3 : Berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan persekitaran rumah
tangga yang harmoni, sepakat, dan memperoleh berkat.
Isi
4 : Anak-anak perlu patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang dengan sikap anak-anak yang
mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi.
Isi
5 : Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara
hidup bermasyarakat dengan jalinan kasih sayang. Sepakat membawa berkat.
Isi 6: - Ahli
keluarga mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka akan mengamalkan pemakanan
yang seimbang, beriadah dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang
memudaratkan seperti merokok dan mengambil dadah.
Kesimpulan
: Sesungguhnya keluarga menjadi
markas utama untuk membentuk insan penyayang lagi cemerlang. Keluarga yang
porak peranda memberi impak negatif kepada masyarakat setempat. Oleh itu, persefahaman yang wujud
dalam kalangan ahli keluarga dapat membentuk masyarakat madani yang kompeten
dan harmoni. Lantas, dpat kita menyumbang ke arah merealisasikan cabaran ktujuh
Wawasan 2020, iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.
Maklumlah keluarga bahagia negara sejahtera.
Latihan
3 : Aktiviti riadah
dan rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan
hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan badan. Ulas pernyataan di atas.
Pendahuluan
: Kehidupan
pada hari ini sungguh mencabar. Pelbagai cabaran yang mewarnai kehidupan kita.
Bermula dengan cabaran dalam rumah tangga hinggalah cabaran di tempat kerja.
Pelbagai masalah yang kadang-kadang boleh memisahkan insan-insan tersayang.
Memandangkan kesibukan telah menjadi penghalang ikatan kasih sayang dalam
keluarga, justeru kesempatan mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi
bersama-sama keluarga amatlah digalakkan. Hal demikian bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan keluarga semula, malahan dapat mengekalkan kesihatan dan
kecergasan tubuh badan. Oleh hal yang demikian, setiap peluang keemasan untuk
bersama-sama keluarga beriadah dan berekreasi hendaklah diisi dengan sebaik
mungkin.
Isi
1 : Dapat mengikat tautan keluarga agar lebih rapat – wujud sikap saling menolong dan
saling menyokong. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.
Isi
2 : Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang secara santai –
melupakan sejenak masalah dalam rumah tangga dan masalah di tempat kerja –
menyihatkan minda dan mengembalikan tenaga.
Isi
3 : Dapat menikmati keindahan dan kesaujanaan alam secara bersama –
bersama-sama mensyukuri akan rahmat Tuhan – saling bermuhasabah dan membaiki
peribadi supaya lebih luhur.
Isi
4 : Berkongsi pendapat menyelesaikan masalah – apabila berhadapan dengan
cabaran dalam masa aktiviti (dalam aktiviti riadah) – saling menguji ketahanan,
kekuatan dan ketabahan.
Isi
5 : Aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti hidup – kesihatan fizikal dan mental –
ketenangan dan keseimbangan emosi – melahirkan zuriat yang sihat – cergas
fizikal dan cerdas minda. Otak yang cerdas berada dalam badan yang sihat.
Kesimpulan
: Keluarga ialah harta dan pada masa
yang sama menjadi teman penghibur serta menyejukkan jiwa yang lara. Oleh itu,
kesinambungan keluarga yang sihat, aktif dan harmoni hendaklah dilestarikan
agar hidup sentiasa riang dilingkungi oleh keluarga yang bahagia dan harmoni.
Saya yakin bahawa kegiatan beriadah dan berekreasi akan melahirkan rakyat yang
sihat dan seterusnya meningkatkan produktiviti negara supaya dapat kita berdiri
sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.
Maklumlah rakyat sihat, negara sejahtera.
Latihan
4 : Peranan
membentuk keluarga bahagia bukan terletak atas bahu ibu bapa sahaja. sebaliknya,
menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga. Tulis pendapat anda tentang
peranan ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang bahagia.
Pendahuluan
: “Air dicincang tidak akan
putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga”. Dua ungkapan
daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan
rapat yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan.
Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak
akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada
pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk
keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam
keluarga.
Isi
1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli
keluarga - keluarga
sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap
mementingkan diri sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah.
Isi
2 : Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar
dan berjaya sama ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh
teladan yang baik - membimbing dan memandu adik-beradik untuk berjaya terutama
dalam pelajaran - meletakkan asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan
tingkah laku yang baik - mengutamakan prinsip yang muda disayangi dan yang tua
dihormati.
isi
3 : Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri
sendiri – bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing - membantu
meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas
budi ibu bapa / tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat
jalinan kasih dalam kalangan adik-beradik.
Isi
4: Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun
selepas berkahwin - tidak
terputus silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni,
produktif, dan toleran.
Isi 5:
Pegangan agama yang kukuh. Ahli keluarga akan
menyedari perbezaan antara kaca dan intan, halal dan haram, syurga dan neraka,
baik dan buruk.
Isi 6:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka akan mengamalkan pemakanan yang
seimbang, beriadah dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang memudaratkan
seperti merokok dan mengambil dadah.
Kesimpulan
: Berdasarkan maksud sepotong
ayat Al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang
beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah
dan janganlah kamu berpecah-belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu
dengan sebanyak-banyaknya”. Dengan yang demikian, jalinlah kasih sayang dan silaturahim
demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Lantas, dapat kita menyumbang ke
arah merealisasikan cabaran ketujuh Wawasan 2020, iaitu melahirkan nasyarakat penyayang dan budaya
menyayangi. Maklumlah keluarga bahagia negara sejahtera.
Latihan
5 : “Ke manakah
tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi”. Tulis sebuah karangan berhubung
dengan peribahasa tersebut.
Pendahuluan
: Kehidupan berkeluarga telah
mendominasi dunia sejak manusia mula mengenal keperluan terhadap pasangannya.
Institusi keluarga merupakan komuniti sosial yang paling tua di dunia dan mampu
bertahan hingga ke hari ini. Daripada sebuah keluarga akhirnya berkembanglah
zuriat. Zuriat yang lahir akan meneruskan tradisi warisan keluarga dan
keturunan. Atas faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan
mewarisi tampang fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada
pewarisan zuriat yang turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan,
ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi.
Isi
1 : Anak sudah pasti mewarisi pembawaan serta bentuk rupa paras
daripada ibu bapa -sekiranya
ibu bapa memiliki ciri-ciri personaliti yang baik, justeru anak-anak pun
demikian - anak-anak dikatakan pancaran daripada ibu bapa - anak-anak perlu
menuruti semua acuan yang baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa. Bagaimana acuan
begitulah kuihnya.
Isi
2 : Pembentukan sahsiah dan perwatakan anak-anak akan bermula di rumah
- anak-anak akan mewarisi segala tingkah
laku dan tindak tanduk ibu bapa - budaya dan iklim dalam keluarga bakal
mewarnai setiap tindakan anak-anak. Bapa borek anak rintik.
Isi
3 : Bakat besar yang ada kepada bapa atau ibu hendaklah diwarisi oleh
anak-anak – anak-anak
hendaklah menjadi ikon baik ibu bapa – teladan daripada ramai pemimpin dunia yang
bakat mereka diwarisi oleh anak-anak – anak-anak mesti mempertahankan imej baik
yang telah ditunjukkan oleh ibu bapa.
Isi
3 : Anak-anak hendaklah bersikap terbuka untuk menerima segala bimbingan
daripada ibu bapa - anak
diibaratkan seperti sehelai kain putih semasa lahirnya, terpulanglah kepada ibu bapa untuk menentukan corak dan
warnanya - amalkan sikap melentur buluh biarlah semasa rebungnya – ibu bapa
telah lama hidup dan banyak pengalaman yang sewajarnya dituruti oleh anak-anak.
Mreka telah makan garam terlebih dahulu.
Isi
5 : Turunan bakat yang dimiliki oleh ibu bapa perlu diwarisi oleh
anak-anak – anak-anak
wajar berbangga kerana bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa – cuba
suburkan turunan bakat (seni kraf tangan, bidang seni lukis, seni tari. memasak
dan ketukangan) yang diwarisi secara turunan generasi – peribahasa ke mana
tumpah kuah kalau tidak ke nasi.
Kesimpulan
: Baka dan keturunan adalah
suatu kejadian Allah yang paling unik. Tiada sesiapapun yang mampu mengubah
suai ciptaan Tuhan yang sungguh agung itu. Oleh hal yang demikian, kita
sewajarnya menjaga zuriat dan keturunan daripada tercemar daripada pelbagai
anasir luar yang boleh merosakkan darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang
rapat antara ibu bapa dan anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan
yang baik terus produktif, ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
Keluarga bahagia rakyat sejahtera.
Latihan
6 : Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan
bebanan ekonomi dalam rumah tangga. Tulis pendapat anda tentang
langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak.
Pendahuluan
: Semua pihak telah maklum,
bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga terlalu
getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram.
Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan
krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana
ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda
negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan China amat
menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, tetapi amaran
seperti itu perlu diambil serius agar dapat menyediakan payung sebelum hujan.
Bagi mendepani keadaan darurat seperti itu, setiap ahli keluarga haruslah
mempunyai pelan tersendiri untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa
krisis tersebut.
Isi
1 : Mengamalkan latihan
berjimat cermat - amalan yang harus dipupuk sejak kecil - memupuk
nilai-nilai murni dalam keluarga seperti menyayangi harta benda, berbelanja
secara berhemat, dan menjauhi amalan boros.
Isi
2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan - penyimpanan melalui institusi kewangan
dan pelaburan saham - berjimat cermat sewaktu senang dengan memperuntukkan
lebihan belanja untuk simpanan – hayati budaya masyarakat silam menyimpan wang
di dalam tabung buluh. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Isi
3 : Anak-anak hendaklah memahami kemampuan ibu bapa - tidak meminta-minta sesuatu yang
berlebih-lebihan - tidak melampau dan meniru cara hidup rakan-rakan di luar.
Isi
4 : Tidak terlalu terpengaruh dengan umpan kebendaan dan berbelanja di luar
kemampuan - keinginan
untuk hidup bergaya melebihi kemampuan - cepat terpengaruh dengan pelbagai
iklan dan pujukan atau tawaran jualan. Ukur baju di badan sendiri.
Isi
5 : Tidak terpengaruh dengan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk -elakkan sifat meninggi diri mahu
bersaing dengan jiran dan tetangga.
kesimpulan
: Pendidikan daripada peribahasa
ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis amatlah tepat diamalkan
dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap yang terlalu
berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa menanggung beban
terutama dalam krisis gawat seperti ini. Janganlah sudah terhantuk
baru hendak tengadah. Oleh itu, rancanglah strategi perbelanjaan secara
berhemat dalam erti kata hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.
Latihan
7 : Setiap anak menjadi harapan keluarga. Menyedari hakikat
tersebut, anak-anak harus mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab
terhadap keluarga. Tulis persediaan-persediaan yang perlu dilakukan oleh anak-anak.
Pendahuluan
: Anak ialah cahaya mata yang
menjadi buah hati pengarang jantung kepada kedua-dua ibu dan ayah. Dengan
kelahiran seseorang anak, kehidupan ibu dan bapa menjadi lengkap dan sempurna.
Apatah lagi apabila anak yang dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta
menjadi insan yang berguna. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka
hendaklah bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung.
Elakkan daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa kerana
dosa yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh hal yang demikian,
setiap anak dituntut membuat persediaan sama ada dari segi mental, fizikal mahupun
sahsiah yang baik agar harapan ibu bapa terutama apabila menjelang
usia emas mereka tidak dikecewakan.
Isi
1 : Agama. Menjadi anak yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT – insan yang bertakwa sentiasa
melakukan kerja-kerja yang baik seperti menghormati ibu bapa – tidak melakukan
kerja-kerja yang terkutuk yang boleh menjejaskan maruah ibu bapa.
Isi
2 : Menjadi anak yang luhur pekerti dan bermoral tinggi – pekerti dan moral menjadi piawai
seseorang itu dipandang mulia – tidak mudah terjebak dalam angkara yang
merosakkan masa depan – menjadi imej (pancaran) hati nurani ibu bapa.
Isi
3 : Berusaha dengan gigih demi jaminan masa depan – mengisi dada dengan ilmu,
mempelajari pelbagai kemahiran sebagai jaminan memperoleh kerjaya yang baik –
bercita-cita membalas budi ibu bapa.
Isi
4 : Menjalinkan hubungan mesra dan mawaddah dengan adik-beradik dan
kaum keluarga –
mewujudkan keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek
material mahupun moral.
Isi
5 : Bercita-cita menjaga ibu bapa apabila tiba saat-saat akhir
mereka – maksud daripada firman Allah,
“Akan gugur dosa seseorang anak apabila dia dengan ikhlas menjaga ibu dan
bapanya hingga ke akhir hayat” - tindakan membalas budi ibu bapa
yang amat besar nilainya di sisi Tuhan.
Isi 6:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka akan mengamalkan pemakanan yang
seimbang, beriadah dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang memudaratkan
seperti merokok dan mengambil dadah.
Kesimpulan
: Meminjam kata-kata daripada
orang-orang lama bahawa, betapa kasihnya seseorang ibu kepada anaknya hatta
seekor lalat pun tidak dibenarkan hinggap ke tubuh si anak. Demikianlah
pengorbanan besar ibu bapa terhadap seseorang anak. Oleh itu, sikap yang sama
wajar dikembalikan oleh anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa
yang melahirkan dan membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang
gantinya sebatang sungai emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah
untuk menjadi seorang anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat
mereka bergantung.
Latihan
8 : Harapan ibu bapa terhadap anak-anak amatlah besar. Walau
bagaimanapun terdapat kes-kes seperti kacang melupakan kulit. Pada pendapat
anda, mengapakah wujud anak-anak yang bersikap demikian. @ Mengapakah anak-anak menghantar ibu bapa
mereka yang sudah tua ke rumah orang tua.
Pendahuluan
: Alam berumah tangga menjadi
cukup berseri dengan kehadiran cahaya mata. Si ibu dan si ayah akan segera
mencapai kematangan dan mula mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan si
anugerah daripada Tuhan itu. Itulah anak yang menjadi harapan kepada ibu bapa
sama ada di dunia mahupun di akhirat. Berbahagialah kedua-dua ibu bapa
sekiranya anak yang dilahirkan menjadi insan soleh, cemerlang dan tidak
tersasar daripada asal usul. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga ibu bapa
yang terpaksa menempuh hari-hari emas mereka akibat dipinggirkan oleh anak-anak
yang tidak berhati perut umpama kacang lupakan kulit. Sebenarnya, banyak faktor
yang boleh dijustifikasikan sehingga wujud anak-anak seumpama itu.
Isi
1 : Anak-anak yang cepat lupa daratan – lupa asal usul lalu menjadi anak derhaka –
tidak mahu berkorban untuk ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka.
Isi
2 : Jahil agama - Anak-anak tidak mempedulikan halal haram –
tidak menghayati balasan syurga adalah dengan reda ibu bapa. Syurga itu
terletak di telapak kaki ibu.
Isi
3 : Anak pascamoden atau Generasi Y yang terlalu leka dengan kebendaan – mengejar keselesaan dunia –
menganggap ibu bapa sebagai beban – sengaja membiarkan ibu bapa menderita di
desa pedalaman yang daif.
Isi
4 : Sikap ibu bapa sendiri – segelintir ibu bapa yang tidak mempedulikan
tanggungjawab terhadap anak-anak – lalai dengan keseronokan – tidak sedar akan
nasib pada hari tua.
Isi
5 : Masalah kebobrokan dan rumah tangga ibu bapa yang berantakan – berlaku perceraian – anak-anak
hidup terbiar dan melarat – anak-anak membawa haluan masing-masing – hilang
mawaddah terhadap ibu bapa.
Kesimpulan
: Sudah menjadi resam dunia, hidup
ibarat putaran roda. Demikianlah tentang hubungan ibu bapa dengan anak-anak.
Andai ibu bapa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas terhadap
anak-anak, insya-Allah balasnya akan baik juga. Malang sekali keadaan yang
berlaku adalah amat berbeza. Oleh itu, antara ibu bapa dan anak-anak seyogia
laksanakan tanggungjawab masing-masing semoga hidup memperoleh rahmat daripada
Allah.
Soalan
9 : Ramai remaja pada hari ini yang bertindak di luar
batasan sehingga memalukan ibu bapa. Perbuatan tersebut telah
menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada ibu bapa. Bincangkan.
Pendahuluan
: Belakangan ini, pelbagai isu
yang melibatkan remaja sering menjadi topik perdebatan utama. Sama ada di
dada-dada akhbar mahupun yang terpancar melalui kaca televisyen, isu panas yang
berkaitan tingkah laku remaja tetap menjadi sajian yang meloyakan.
Cerita-cerita tentang pergaulan bebas, merempit dan melepak, menagih dan
jenayah semakin meningkat hari demi hari. Sementara itu, ibu bapa
terpaksa menanggung malu akibat tidak tertahan dengan gelagat anak-anak. Adakah
mereka tidak dididik dengan sempurna? Ke manakah pergi ibu bapa mereka?
Sebenarnya, soalan-soalan seumpama itu terlalu acap kita dengar. Walau
bagaimanapun, amatlah tidak adil untuk menyalahkan ibu bapa semata-mata kerana
tindakan keji anak-anak muda hari ini sudah keterlaluan dan turut memalukan
induk sendiri.
Isi
1 : Ibu bapa menderita dan sedih kerana menanggung malu – kecewa apabila anak yang dididik
dan dibelai semasa kecil telah menconteng arang ke muka mereka – melakukan
pelbagai perbuatan keji dan lupa daratan.
Isi
2 : Ibu bapa disisih dan dipandang serong oleh masyarakat – berdepan dengan pelbagai tuduhan
(tidak pandai mengajar anak dan menyusahkan masyarakat) – mengalami masalah
untuk berinteraksi dan bercampur gaul dalam masyarakat.
Isi
3 : Ibu bapa mengalami kesan trauma dan fobia dengan tindakan ganas
oleh anak-anak –
berlaku kes anak yang menagih dadah mencekik dan memukul ibu – takut situasi
sama berulang.
Isi
4 : Ibu bapa dipanggil ke balai polis – diminta mengikat jamin anak yang terlibat
dengan perbuatan jenayah – mengalami tekanan perasaan dan malu.
Isi
5 : Hilang tempat bergantung – menghadapi hari-hari tua yang hambar, takut
dan mengecewakan – menghembuskan nafas yang terakhir dalam kekecewaan
(ditamsilkan mati pejam tidak rapat).
Kesimpulan
: Alangkah bahagianya bagi seseorang
ibu atau bapa yang pada saat-saat akhir perjalanan mereka dikelilingi oleh
anak-anak dan cucu. Ada bacaan ayat-ayat suci mahupun doa yang ditiupkan di
sisi telinga oleh anak-anak yang soleh. Namun, malang sekali nasib sebilangan
ibu bapa yang terpaksa manelan kepahitan akibat perbuatan anak-anak yang tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, wahai para remaja andai sesat di hujung jalan
baliklah ke pangkal jalan.
Soalan
10 : Sokongan daripada anak-anak amat penting dalam usaha mewujudkan
persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria. Bincangkan pendapat
anda tentang sumbangan yang boleh diberikan oleh anak-anak untuk mencapai matlamat di atas.
Pendahuluan
: Keluarga bahagia adalah
menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua
ibu bapa. Namun demikian, tidak semua hasrat tersebut mencapai matlamat. Ada
yang kecundang dan terbentur di tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa
menyimpan hasrat yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu
membalas budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan
matlamat keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah berperanan
penting untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang bahagia dan kondusif.
Isi
1 : Patuh dan hormat kepada kedua-dua ibu bapa – tidak melawan dan menyanggah
cakap ibu bapa – tunaikan dan penuhi segala hasrat mereka – tidak melakukan
aktiviti yang boleh menyakitkan hati ibu bapa.
Isi
2 : Menjalinkan hubungan yang akrab sesama anggota keluarga – bercakap secara hormat dan lemah
lembut sesama saudara mara – tidak bersikap ego dan mementingkan diri sendiri.
Isi
3 : Merancangkan perjumpaan keluarga secara berkala – bersama-sama pulang ke induk –
kesempatan pada cuti hujung minggu, cuti am, dan musim perayaan – menganjurkan
aktiviti mesra keluarga seperti makan bersama-sama.
Isi
4 : Mengadakan program fizikal dan kerohanian secara bersama – aktiviti riadah, gotong royong
dan solat berjemaah – ziarah.
Isi
5 : Menjalinkan hubungan persaudaraan dengan sanak saudara sama ada
di sebelah ibu mahupun bapa –
memperluas rangkaian kaum keluarga – membantu yang memerlukan dan menyokong
usaha memajukan tabung ekonomi keluarga.
Isi 6:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka akan mengamalkan pemakanan yang
seimbang, beriadah dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang memudaratkan
seperti merokok dan mengambil dadah.
Kesimpulan
: Keluarga bahagia merupakan
teras masyarakat yang maju dan harmoni. Masyarakat yang harmoni dan dinamik
bermula daripada sistem keluarga yang teratur dan sejahtera. Oleh itu, setiap
keluarga sama ada keluarga nukleus mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan
kehidupan yang saling menyokong dan bertoleransi.
Latihan
11 : Anak-anak remaja hari ini
dikatakan sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan amalan ke dapur telah
menjadi warisan turun-temurun. Bincangkan pendapat anda tentang peranan ibu
bapa untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam kalangan anak-anak.
Pendahuluan
: Menghayati lirik lagu klasik yang berbunyi, “Anak dara kalau
menyanyi di dapur, alamat mendapat suami tua”. Walaupun kata-kata tersebut agak
sinis untuk menasihati anak-anak gadis supaya lebih bersopan, namun di sebalik
kata-kata tersebut mengandung hakikat bahawa anak-anak perempuan sangat sinonim
dengan kerja-kerja di dapur terutama memasak. Sejak fasa silam lagi nilai diri
seseorang turut diukur berdasarkan kecekapannya menguruskan hal-hal di dapur.
Sebaliknya, selepas melalui beberapa peringkat pemodenan, anak remaja sama ada
perempuan atau lelaki amat liat untuk ke dapur. Fenomena ini jelas menunjukkan
gejala ketandusan budaya tradisional. Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun
ini pupus ditelan arus pemodenan, ibu bapa hendaklah memainkan peranan hakiki
untuk melatih anak-anak agar mesra ke dapur.
Isi
1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah – rumah sebagai paksi membentuk peribadi
anak-anak - ibu bapa hendaklah membudayakan amalan tradisional – membiasakan anak-anak
dengan latihan memasak, mengemas rumah – ibu bapa hendaklah menjadi role model
dan kepimpinan melalui teladan – memanfaatkan cuti sekolah untuk melatih
anak-anak.
Isi
2 : Kurangkan tabiat suka makan di luar – anak-anak berasa tiada keperluan untuk masuk
ke dapur – tiada peluang untuk mendidik anak-anak secara formal.
Isi
3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang – ketika semua ahli keluarga
bertemu – ibu hendaklah mengajak anak-anak masuk ke dapur – anak-anak perlu
belajar dan membantu si ibu di dapur – memberi peluang anak-anak mencuba resipi
mereka – anggota keluarga hendaklah memberikan kerjasama dan memberi
penghargaan.
Isi
4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin – dengan disiplin anak-anak mudah menerima
tunjuk ajar - setiap anak hendaklah diberikan tugas yang sepadan – tidak wajar
ada yang terlalu berat tugasan dan ada yang berehat panjang (menunggu makanan
terhidang ke lutut.)
Isi
5 : Memberi motivasi kepada anak-anak – anak-anak perlu diberikan semangat dan dorongan
dari awal - menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan rumah tangga
(majalah Anjung Seri, Majalah Laman, Saji, Didik, Muslimah dan pelbagai bentuk
perisian CD/DVD) – membuka minda anak-anak mengikuti teladan daripada ikon
keluarga yang berjaya.
Kesimpulan : Pepatah Melayu yang menyatakan,
anak gadis walau setinggi mana sekalipun ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa
konotasi yang negatif. Sebaliknya, maksud yang tersirat adalah untuk
mengilhamkan setiap individu akan kepentingan menghidupkan suasana kekeluargaan
yang harmoni dan jannati. Seyogia, sebelum tradisi dan budaya murni ini luput,
wajarlah semua pihak terutama ibu bapa mendidik anak-anak semula ke landasan
yang betul.
Latihan
12 : Anda telah memenangi
peraduan menulis esei yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di
tempat anda. Tajuk esei yang anda pilih ialah, “Permata Hatiku Sayang”.
Tulis
esei tentang siapakah anak yang dikatakan Permata Hati?
Pendahuluan
: Anak adalah menjadi buah
hati pengarang jantung kepada ibu bapa. Anak sebagai anugerah yang bakal
menyerikan kehidupan berumah tangga. Disebabkan kehadiran mereka terlalu
bermakna kepada kedua-dua ibu bapa, justeru anak digelar cahaya mata. Anak yang
dibelai dengan penuh kasih sayang serta diberikan ilmu pengetahuan mampu
menjadi insan yang berguna. Mereka pasti menjadi anak-anak yang pandai membalas
budi ibu bapa. Sebenarnya, inilah anak-anak yang menjadi impian ibu bapa dan
disebut permata hati.
Isi
1 : Anak yang patuh akan perintah Allah SWT dan menyayangi ibu bapa
- sentiasa taat akan perintah Allah –
meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan melaksanakan segala
perintah yang baik – sentiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.
Isi
2 : Anak-anak yang bermotivasi tinggi – berazam mahu mencapai kejayaan pada
hari muka –
gigih berusaha dan belajar – ingin membalas jasa ibu bapa dengan menghadiahi
mereka kejayaan.
Isi
3 : Anak yang cemerlang akhlak dan moralnya – sentiasa menjaga nama baik
keluarga –
berhati-hati dalam sebarang tindakan dan kelakuan – tidak mahu maruah ibu bapa
tercemar – hormat akan orang tua, kaum keluarga dan jiran tetangga.
Isi
4 : Anak yang ikhlas mahu mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa yang
telah tua dan uzur - mengambil
peluang untuk membalas jasa ibu bapa ketika mereka sangat memerlukan kehadiran
anak-anak – faham akan tuntutan bahawa semua dosa anak terhadap ibu bapanya
akan terhapus apabila si ibu atau bapa mati di bawah jagaan anak tersebut.
Isi 5:- Mengamalkan gaya hidup sihat. Mereka akan mengamalkan pemakanan yang seimbang,
beriadah dan menjauhi diri daripada perkara-perkara yang memudaratkan seperti
merokok dan mengambil dadah.
Kesimpulan
: Mafhum daripada sepotong
Hadith Rasulullah dengan maksudnya, “Apabila mati seseorang anak Adam itu,
justeru terputuslah segala amal baiknya, kecuali tiga yang masih tinggal.
Ketiga-tiga yang tersebut ialah sedekah kepada golongan yang memerlukan, ilmu
yang bermanfaat yang diajarkan, dan anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan
kesejahteraan ibu bapa mereka”. Demikianlah betapa besarnya erti kehadiran
anak-anak sama ada semasa hidup mahupun setelah mati.
Latihan
13 : Keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan amalan gaya
hidup sihat. Beri pendapat anda.
Pendahuluan
: Gejala serangan pelbagai penyakit
yang menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan ini amat dibimbangi oleh
warga dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai
penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan
ini. Selain wabak yang bersekala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang
bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu
masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO dan
kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani ancaman gejala penyakit,
namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak sentiasa
prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai keutamaan.
Inisiatif seperti itu hendaklah turut disokong oleh institusi
keluarga selaku penggerak utama pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.
Isi 1: Keluarga
perlu menjadikan agenda kesihatan penting setanding dengan keperluan asas yang
lain – kesihatan diambil sebagai suatu budaya dalam hidup – dalam konteks
mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Isi 2: Memantapkan
kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat berkait rapat dengan
kedudukan kewangan untuk menangani segala keperluan asas.
Isi 3: Mengamalkan pendidikan
kesihatan dalam keluarga
– keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – bahan bacaan, kempen,
dan amalan harian.
Isi 4: Mengutamakan makanan
untuk kesihatan daripada makan untuk kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan
panduan dalam piramid makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan
halal ( berpegang kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada
pemakanan yang baik dan berkhasiat).
Isi 5: Mengamalkan
rutin kesihatan – tidur yang cukup. Senaman yang sempurna, amalan
kebersihan, dan peka terhadapa segala serangan penyakit.
Isi 6: Peka
terhadap kejahteraan dan kebersihan alam sekitar – berpegang kepada
kesejahteraan alam sebagai penjanan hidup sihat..
Isi 7: Peka
terhadap keperluan masyarakat dan negara – masyarakat yang harmoni negara
dan jaya dan hidup sejahtera.
Kesimpulan
: Mafhum daripada sepotong
Hadith Nabi yang bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa
sakit” benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan merupakan
aset besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan tamadun. Dalam
merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga hendaklah
menjadi paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup sihat yang sentiasa
dicanang-canangkan.
Latihan
14 : Keluarga sepatutnya
menjadi institusi yang selamat. Namun begitu kejadian penderaan kanak-kanak
oleh ahli keluarga masih berleluasa.
Berikan
saranan anda tentang peranan institusi keluarga bagi membanteras gejala ini.
Pendahuluan
: Anak sebagai amanah Allah.
Anak juga sebagai anugerah kerana terdapat orang yang tertentu yang terlalu
berhajatkan kepada anak tidak diberikan zuriat, sebaliknya ada pula yang
memiliki terlalu ramai anak sehingga tidak terjaga. Anak-anak yang dibela jaga
dengan baik akan menjadi penyeri dalam kebahagiaan rumah tangga. Anak juga
menjadi sumber motivasi untuk ibu dan bapa berusaha dengan lebih gigih untuk
membahagiakan rumah tangga yang dibina. Alangkah rukun damainya sesebuah rumah
tangga apabila dikurniakan anak. Namun belakangan ini entah apalah yang telah
merasuk sebahagian kecil manusia sehingga mereka tergamak mendera,
mencederakan, malah ada yang sanggup membunuh darah daging sendiri. Seandainya
fenomena ini tidak ditangani segera, dibimbangi banyak lagi insiden yang di
luar jangkaan akan berlaku. Dalam hal ini institusi keluargalah yang lebih
diberikan peranan untuk membanteras gejala pagan seperti itu agar tidak
melarat.
Isi
1: Mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan
matlamat membina sesebuah keluarga .
Isi
2: Membina kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota keluarga
bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak-anak kecil – menjadikan kehadiran seseorang
bayi sebagai penambat kasih sayang – setiap anggota dalam keluarga faham akan
tanggungjawab masing-masing.
Isi
3: Mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan – setiap pasangan dikehendaki
menghayati betul-betul kemahiran tersebut sebelum boleh mendirikan rumahtangga
– ilmu yang meliputi persediaan mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan
dengan insan kecil.
Isi
4: Menghayati ilmu agama dan pendidikan moral yang sempurna – kesedaran terhadap tanggunjawab
agama dan ketuhanan boleh mencegah manusia mudah dirasuk syaitan – penghayatan
moral membolehkan seseorang menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai
sejagat.
Isi
5: Mendidik sifat prihatin dan sensitif ahli keluarga terhadap
keselamatan kanak-kanak –
tidak memberikan kesempatan ahli keluarga yang lain terus menerus mendera –
mengambil tindakan pantas mencegah, melapor, dan menyelamatkan kanak-kanak yang
didera.
Isi
6: Memperkukuh jalinan kejiranan – setiap anggota keluarga hendaklah dididik
supaya menghormati jiran – jiran yang rapat dapat membantu dalam segala
tindakan sama ada susah atau senang.
Kesimpulan
: Sesungguhnya keluarga
merupakan nukleus untuk melahirkan insan madani yang mampu memberikan sumbangan
berguna kepada masyarakat dan negara. Kejayaan sesebuah negara bergantung
penuh kepada modal insan yang cemerlang. Oleh hal yang demikian, keluarga
amatlah bertanggungjawab untuk menghalang segala anasir yang mendorong kepada
gejala penderaan. Maklumlah masyarakat harmoni dan negara sejahtera.
SUMBER: TERIMA KASIH KEPADA TUAN HAJI ISHAK MD SHAH. Dipetik daripada blog beliau.
www.ishakmdshah.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan