Google+ Followers

Jumaat, 26 Oktober 2012

Contoh karangan


SOALAN : Keharmonian dalam rumah tangga dapat diwujudkan daripada sikap yang baik dalam kalangan anak-anak. Bincangkan sikap yang perlu ada kepada anak-anak bagi melahirkan sebuah keluarga yang harmoni.

Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga. Keluarga bahagia menjadi terminal untuk membangunkan sebuah masyarakat yang sihat sama ada dalam aspek mental, fizikal, emosi mahupun sahsiah. Namun demikian, bukan semua impian untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni boleh mencapai matlamat. Sekiranya semua impian boleh dicapai dengan begitu mudah, nescaya tiadalah keluarga yang pincang dan terbentur kecundang ditelan gelombang. Walaupun, tanggungjawab membangunkan keluarga yang harmoni terletak atas kebijaksanaan ibu bapa, namun anak-anak turut tidak terkecuali. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera.

Strategi penting untuk menjayakan matlamat di atas, anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh kepada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu, jadilah anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat adalah dengan redha ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani . Sesungguhnya, inilah watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam harapan menjadikan “Rumahku Syurgaku”.

Selain itu, anak-anak yang baik adalah yang mulia budi perkerti dan bermoral tinggi. Budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian peribadi. Apabila elok pekerti nescaya terserlahlah nilai-nilai insani. Sudah sewajarnya, anak-anak mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita. Hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi. Seandainya, karekter seperti ini kekal diperkasakan, insya-Allah lahirlah sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih.

Sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke dunia adalah atas limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang demikian, balasi ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi sebuah keluarga yang harmoni dan prihatin.

Resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu, sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan  keluarga.

Bertolak ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resepi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga beroleh aman dan tenteram. Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit peha kiri peha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun, carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh mawaddah.

Sesungguhnya, keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap penyayang ibu bapa dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.

Terima kasih kepada Tuan Haji Ishak Md Shah.

Dipetik daripada blog Tuan Haji Ishak Md Shah: www.ishakmdshah.blogspot.com 






              Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik kedatangan pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi Malaysia dan tinggal di negara ini. 



            Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. 



            Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi faktor penting dalam menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana ini akan menentukan sarna ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. 



            Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat- tempat baharu yang dikenal pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan mewujudkan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun lalu menandakan usaha serius pihak terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak.

            Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada sesuatu yang baru. Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri pelancongan dengan rnemperkemas persembahan yang sedia ada. 



            Mengadakan promosi di luar negara juga merupakan langkah yang wajar dilakukan oleh LPPM dalam usaha menarik lebih banyak pelancong mengunjungi negara ini. Pelbagai aktiviti seperti rnengadakan Minggu Malaysia di beberapa buah negara di seluruh dunia dan acara pertukaran delegasi kebudayaan dengan negara tertentu adalah antara usaha berkesan memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing. Tindakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membuka pusat penerangan di beberapa buah negara membuktikan bahawa usaha yang berterusan telah dilakukan dalam menarik pelancong. Buktinya, program seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM) ternyata berjaya menarik ramai pelancong datang ke negara ini, sekali gus memberi keuntungan besar melalui tukaran mata wang asing. Promosi pula perlu dipertingkat bagi menarik kehadiran pelancong walaupun terpaksa rnembelanjakan wang yang besar, namun pulangannya juga lumayan.



            Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menarik pelancong datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan, mudah, dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi, tanggungjawab untuk mempromosi keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus dikongsi bersama kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.






Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju? 



          Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.



Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang maju. 



          Selain itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Tegasnya, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. 



Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, untuk meningkatkan keberkesanan promosi ini lagi, pihak kerajaan juga haruslah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kehadiran pelancong dalam negara kita ini lagi. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di negara kita. Lebih-lebih lagi, ekonomi negara Malaysia juga bergantung kepada sektor pelancongan dengan pertambahan pelancong dari luar dan dalam negara dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber ekonomi negara kita lagi. 



Minhaj yang lain adalah dengan mengadakan kempen secara giat dan efektif. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Tegasnya, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara ini. 



Minhaj seterusnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekangdek panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Tegasnya, untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.



Intihanya, peranan semua pihak sangat signifikan dalam memajukan industrI pelancongan desa di negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Selain sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia luar. Senario ini secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat. Industri pelancongan secara tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta. Oleh itu, kita sepatutnya mengusahakan industri pelancongan desa di negara kita dengan sebaik-baiknya.

Terima kasih kepada cikgu Anelyza.

Dipetik daripada blog cikgu anelyza: http://anelyza.blogspot.com/

2 ulasan:

alai_ram berkata...

Cikgu, apakah peranan pelbagai pihak dalam menanam sikap patriotisme dalam kalangan remaja?
-Blogger

Lucas Ting berkata...

Karangan yang sangat mantap! Terima kasih :) Saya juga telah menulis sedikit tentang isu kekeluargaan. Sila datang ke blog saya untuk melihat sebentar. :)