Keselamatan dan
ketenteraman awam adalah amat penting kepada pembangunan sesebuah negara. Bincangkan
peranan semua pihak dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman negara terus
terjamin.
Meminjamkan
kata-kata daripada pepatah Arab yang bermaksud, “Kasih akan watan
sebahagian daripada iman” membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap
negara adalah menjadi suatu kewajipan yang mutlak kepada setiap orang. Kasih
akan negara membawa maksud kesanggupan untuk menjaga dan melindungi negara
daripada sebarang ancaman yang boleh memporak-perandakan keamanan dan
ketenteraman dalam negara. Dalam konteks negara kita Malaysia, setiap
warganegara dituntut agar memberikan komitmen yang tinggi untuk mempertahankan
tanah air daripada sebarang ancaman. Kejayaan negara sama ada dalam aspek
politik, ekonomi mahupun sosial adalah bergantung kepada sejauh mana
kesanggupan rakyat untuk melindungi negara daripada sebarang anasir perosak. Dengan
hal yang demikian, semua lapisan masyarakat hendaklah menyumbangkan peranan
dengan berdasarkan kapasiti masing-masing demi melahirkan sebuah negara
Malaysia yang aman, selamat, dan makmur.
Dalam
konteks keamanan yang hakiki, tanggungjawab yang utama hendaklah dipegang oleh
pihak pemerintah yang telah dipilih oleh rakyat sebagai pemimpin negara.
Pemimpin ialah saf depan yang perlu melindungi negara daripada sebarang ancaman
sama ada luar mahupun dalam negara. Kegagalan pemimpin mempertahankan
solidariti negara boleh menyebabkan sistem pemerintahan menjadi kucar-kacir,
kesejahteraan rakyat akan terancam, malahan sistem ekonomi dan siasah negara
akan terbantut. Hal yang demikian dengan jelas dapat dilihat di beberapa
wilayah di dunia, seperti di Timur Tengah, negara-negara Afrika, Asia Tengah
dan wilayah Balkan yang tidak pernah kebah daripada peperangan. Sebenarnya,
pemimpin menanggung amanah yang besar untuik merancangkan strategi pertahanan
negara dengan mengenal pasti siapakah kawan dan siapakah lawan? Oleh itu,
jalinan kerjasama politik dan diplomatik sama ada dengan tetangga mahupun di
luar wilayah hendaklah dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Selain itu, para
pemimpin hendaklah peka dan sentiasa berwaspada terhadap segala perubahan senario
politik, sama ada wilayah, serantau, mahupun antarabangsa dengan mengamalkan
sikap berjaga-jaga dan berwaspada, bak kata pepatah Melayu ingat
sementara belum kena, jimat sementara belum habis.
Pasukan
keselamatan merupakan sayap kanan dan jentera kepada agenda keselamatan
sesebuah negara. Dalam siasah merekalah segala strategi pertahanan negara
diprogramkan. Semua selok belok dan strategi musuh sama ada dalam mahupun luar
perlu diketahui dengan lengkap oleh pasukan keselamatan. Pasukan keselamatan
yang terdiri daripada angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerak Am dan RELA adalah
bertanggungjawab menjadi benteng hadapan negara daripada sebarang ancaman musuh
dari luar dan dalam. Tindakan pantas dan cekap mereka diharap dapat membendung
gejala ancaman keselamatan terhadap negara yang ditunjangi oleh angkara
pemerdagangan manusia dan kemasukan pentadang asing tanpa izin (PATI) yang
mencurah-curah. Pada hari ini perbatasan negara sama ada laut mahu pun darat
telah ketara bocor. Di mana-mana pintu masuk sempadan negara dipenuhi
‘lubang-lubang tikus’ yang sebenarnya menjadi ancaman kepada negara. Oleh itu,
sama ada angkatan bersenjata mahupun polis bentuklah sinergi yang
benar-benar berkesan agar keselamatan negara terus terjamin.
Selain
itu, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hendaklah lebih peka terhadap
kepentingan dan keselamatan negara. Pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya
enam puluh NGO di Malaysia yang berdaftar dan bergiat secara aktif. Matlamat
perjuangan semua NGO adalah untuk memperoleh pembelaan yang saksama terhadap
kelompok atau pun berjuang untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan. Pertubuhan
seperti Mercy’s Malaysia, ABIM, Persatuan Bulan Sabit dan sebagainya adalah
cukup ikhlas bergerak untuk melaksanakan kebajikan. Namun demikian, tidak
kurang pula NGO yang diwujudkan untuk menjadi mata dan telinga terhadap isu-isu
politik, ekonomi dan sosial masyarakat. Sebarang ketidakadilan yang dirasai
akan mendapat tentangan daripada pertubuhan seperti ini. Walau bagaimanapun,
wujud pula NGO yang cuba berselindung di sebalik nama pertubuhan untuk
kepentingan kelompok sahaja. Mereka bergerak secara sulit dan terdapat
kegiataan yang boleh merosakkan imej negara terutama di luar negara. Kini
beberapa NGO sedang disiasat oleh pihak berkuasa atas beberapa
aktiviti yang bertentangan dengan dasar negara. Sepatutnya, dalam
situasi keselamatan negara yang tidak stabil bukan agenda peribadi yang menjadi
keutamaan tetapi keselamatan negara perlu didahulukan.
Dalam
menggalas amanah menjaga kestabilan negara, golongan pedagang dan korporat juga
hendaklah memainkan peranan yang aktif. Golongan ini hendaklah lebih iltizam
untuk memakmurkan negara dengan cara memanfaatkan segala hasil mahsul. Khazanah
alam Malaysia yang sangat kaya perlu dimanfaatkan untuk maslahat semua. Pada
hari ini korporat dan GLC seperti Petronas, FELDA, Tabung Haji (LUTH) dan
banyak lagi telah menyumbangkan pendapatan yang besar kepada negara.
Sebaliknya, Sikap pedagang yang menjadi lintah darat demi
tembolok sendiri sepatutnya tidak mendapat tempat di bumi Malaysia. Namun
begitu, terdapat segelintir golongan pedagang yang terlalu rakus untuk mengaut
keuntungan. Mereka sanggup mengorbankan harta alam seperti bukit bukau, hutan
belantara dan mencemarkan samudera demi keuntungan. Sementara itu, tidak kurang
pula yang telah menjadi kaya-raya mula beranggapan negara sendiri tidak
strategik untuk mereka dan rela melaburkan modal di negara luar. Inilah
golongan yang tiada iltizam untuk membela tanah air sendiri dengan sikap menggunting
dalam lipatan dan pepat di luar rencong di dalam.
Manakala
benteng yang terakhir untuk keselamatan negara ialah rakyat jelata. Inilah
golongan terbesar yang pastinya apabila bersatu mampu menjanakan kekuatan sama
ada politik, ekonomi, dan sosial. Sebagai rakyat yang bernaung di bawah
panji-panji kedaulatan negara, semua pihak hendaklah berusaha dengan lebih
gigih untuk memperkukuh ketahanan negara. sebarang aktiviti yang boleh
mengganggu gugat keselamatan negara seperti perhimpunan haram dan adu domba
hendaklah dijauhi. Setiap rakyat hendaklah memberikan sumbangan dalam kapasiti
masing-masing sama ada sebagai penjawat awam, pekerja swasta, usahawan, dan
golongan belia hendaklah memiliki suatu sikap iaitu sayang dan patriotik akan
negara. Mutakhir ini, pelbagai ancaman dalam bentuk penyebaran berita palsu,
penyeludupan dadah, pelacuran, dan penggubahan wang haram telah menjadi api
dalam sekam dan duri dalam dagingterhadap keamanan negara. Anak-anak remaja
negara sedang berhadapan dengan bahaya besar apabila dianggarkan satu juta yang
menjadi penagih dadah. Ke manakah akhirnya pria dan pertiwi bangsa ini
kesudahannya? Sesudahnya golongan ini sudah pasti membawa malapetaka kepada
negara yang tercinta.
Kesimpulannya,
kestabilan dan solidariti sesebuah negara adalah terletak di atas empat paksi
yang utama iaitu, para ilmuwan yang bijaksana, para pemimpin yang adil,
hartawan yang pemurah, dan sokongan serta doa daripada rakyat jelata. Oleh itu,
tiada pihak yang terkecuali malah iltizam semua pihak dituntut untuk memberikan
kerjasama agar maruah negara tidak tercemar dan sekali gus keamanan yang telah
kita kecapi selama ini dapat dikekalkan.
Dipetik daripada blog: ishakmdshah.blogspot.com (Terima Kasih)
2 ulasan:
terima kasih banyak banyak Cikgu Subra..atas jasa mulia anda..blog ini amat membantu saya utk last minute touch up..pray 4 us sir..TQ:)
terima kasih banyak banyak Cikgu Subra..atas jasa mulia anda..blog ini amat membantu saya utk last minute touch up..pray 4 us sir..TQ:)
Catat Ulasan