Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid
menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini
menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras
dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan
hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk
Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua
adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua
murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan
berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat
Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh
pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah
amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat,
cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana
Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1
Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid
1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh
dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar
pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah
unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak
langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam
kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan
sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya
satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang
tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun
4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan
6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun
3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini
demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna
kepada bangsa dan negara melalui sukan.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan
dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli
masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan
berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri
semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar
semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran
terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang
mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario
ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap
pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011,
dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam
kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu,
tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada
masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas
sepanjang masa.
Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1
Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk
di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di
peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara
lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa
rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah
negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah
melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam
menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk
menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai
kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti
sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah
terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk
perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan
dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan
fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan
faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau
tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku”
kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka
beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada
diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri
mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan
ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam
bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet
dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa
lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.
Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1
Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini
memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk
digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan
mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan
dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan
merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan
dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan
berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan
negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada
antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann
David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya
diteruskan.
Konklusinya, Dasar 1 Murid 1
Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu,
semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai
semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar
1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar
1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang
ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak
kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita
untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam
sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan