Murid-murid 4 Sains 1 yang dikasihi,
Sila buat latihan rumusan ini pada 24 April 2014 bersamaan hari Khamis. Terima kasih.
Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan
kemudian buat satu rumusan tentang langkah – langkah menanam minat
membaca dalam kalangan pelajar dan faedahnya. Panjang
rumusan anda hendaklah tidak melebih 120 patah perkataan.
Amalan membaca dalam kalangan pelajar di negara
ini berada pada tahap yang cukup membimbangkan. Secara puratanya, pelajar
membaca satu halaman buku setiap tahun. Hal ini menunjukkan bahawa tahap
pembacaan para pelajar masih lemah. Memang kita akui, ramai pelajar yang
membaca kerana desakan peperiksaan. Apabila peperiksaan telah tamat, tabiat
membaca ini tidak diteruskan. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus
bertanggungjawab dan berusaha untuk memupuk minat membaca khususnya dalam
kalangan pelajar.
Minat membaca dalam kalangan
pelajar dapat dipupuk oleh ibu bapa dengan cara menunjukkan model yang baik
kepada anak – anak. Sikap ibu bapa yang sering membaca buku di hadapan anak –
anak menyebabkan anak – anak mencontohi ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa
juga perlu menyediakan bilik bacaan atau perpustakaan mini dan menyediakan
pelbagai bahan bacaan yang sesuai dengan peringkat umur mereka.
Selain ibu bapa, guru turut
memainkan peranan dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.
Ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan misalnya, guru hendaklah
menekankan kemahiran asas iaitu membaca, mengira dan menulis. Dorongan daripada
guru supaya pelajar berkunjung ke perpustakaan sangat penting. Semasa di
perpustakaan, pelajar digalakkan membaca buku – buku yang berunsur ilmiah,
membuat rujukan atau menyiapkan kerja – kerja sekolah yang belum selesai. Pihak
sekolah juga boleh menyediakan “Medan Membaca” atau mewajibkan pelajar membuat
ulasan terhadap sebuah buku yang mereka baca pada hari perhimpunan sekolah. Usaha ini penting
kerana pelajar berasa bahawa membaca itu menyeronokkan.
Kempen – kempen
yang dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang faedah membaca perlu
dipergiatkan dari semasa ke semasa. Penggunaan kata – kata yang menarik seperti
“Membaca jambatan ilmu”, “Hidup membaca, hidup bahagia’’ mampu merangsang minat
pelajar untuk membaca. Pertandingan perbahasan, pidato dan bercerita di
peringkat sekolah, turut menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar. Melalui
pertandingan ini, pelajar yang muncul juara perlu diberi ganjaran sebagai
motivasi agar terus membaca. Pembinaan pondok – pondok bacaan di kawasan
sekolah yang dilengkapi dengan bahan – bahan bacaan seperti surat khabar lama,
buku – buku cerita mampu menyemai minat pelajar. Sebagai contoh, ketika waktu
rehat, sesetengah pelajar tidak ke kantin, jadi kesempatan ini mereka gunakan
untuk duduk di pondok bacaan sambil membaca buku.
Pihak kerajaan turut berperanan
dalam menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar. Kerajaan misalnya, boleh
mengurangkan cukai import bahan bacaan bermutu yang diimport dari negara luar.
Selain itu, penubuhan lebih banyak perpustakaan di tempat – tempat yang lebih
strategik perlu disegerakan. Perpustakan bergerak juga perlu disediakan oleh
kerajaan untuk kemudahan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar
bandar. Kesimpulannya, minat membaca dalam kalangan pelajar hendaklah
ditekankan di peringkat awal lagi. Peribahasa Melayu ada mengatakan, “melentur
buluh biar dari rebungnya”. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama untuk
menanam minat membaca dalam kalangan pelajar.
(Dipetik dan diubahsuaikan
daripada: Semua pihak Membantu
Kanak – kanak Membaca: Pendidik, BIL.
18-2006)