PEMBENTUKAN KELUARGA YANG BAHAGIA BERGANTUNG
PADA PERANAN AHLI KELUARGA. BERIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG PERNYATAAN INI.
Marcapada,
masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi atas tanah datar ini. Masyarakat pada era
golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata
duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario
ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap
15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa
rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan
sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki
keluarga yang bahagia. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya
bergantung pada satu pihak sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen
daripada pelbagai pihak bak kata peribahasa Melayu, “bagai aur dengan
tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ahli keluarga menggalas kewajipan yang
dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang
memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.
Ibu
bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu
bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan
yang bahagia dan sempurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak
merupakan kain putih dan ibu bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan
kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan
asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta
dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap
pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang
keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati
hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya.
Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih
selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan
berpeleseran di luar rumah.
Selain ibu bapa, orang
yang lebih tua seperti datuk dan nenek yang merupakan ahli keluarga juga harus
mentarbiah anak-anak muda dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya
ketimuran dalam sanubari sejak berumur
setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari
rebungnya’. Datuk dan nenek sebagai ahli keluarga harus meluaskan skop
pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan
cucu dan cicit serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya mereka berasa
lebih selesa meluahkan perasaan kepada datuk dan nenek selain ibu bapa. Datuk
dan nenek juga perlu memastikan cucu dan cicit mereka menelusuri jalan
kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang
secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’.
Anak-anak – Abang, kakak
dan adik sendiri sebagai ahli keluarga perlu memainkan peranan dalam
pembentukan keluarga bahagia. Sebagai abang dan kakak mereka patut menjadi
contoh dan teladan kepada adik-adik mereka. Hal ini demikian kerana adik-adik
akan mencontohi tingkah laku mereka. Mereka perlu menjadi contoh teladan dengan
menghormati orang yang lebih tua dan memberi kasih sayang kepada ibu, ayah,
datuk, nenek dan siapa sahaja yang lebih tua. Sebaliknya adik juga berperanan
dalam pembentukan keluarga bahagia. Apabila mendapati abang atau kakak terlibat
dalam hal-hal yang kurang menyenangkan, mereka patut menjadi mata dan telinga
kepada ibu bapa mereka. Perkara berkenaan perlu disampaikan kepada ibu bapa
agar masalah berkenaan dapat diatasi dengan mudah sebelum menjadi lebih parah.
Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ahli
keluarga seperti ibu bapa, anak-anak dan datuk serta nenek, masyarakat juga
memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia. Masyarakat
merupakan antara elemen penting yang dapat menentukan pembentukan seorang
individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga
bahagia. Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah
sentiasa bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan
mengadakan kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka. Penduduk
yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama keluarga mereka dapat menjalin
semangat ukhuwah yang baik dengan penduduk setempat. Dengan ini ahli
keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa. Sudah
menjadi fitrah dalam melayari bahtera perkahwinan ada masam manisnya kerana
langit tidak selalu cerah. Oleh itu, masyarakat setempat hendaklah mengamalkan
sikap menjaga tepi kain orang bagi membendung krisis rumah tangga yang berlaku
dalam kalangan jiran kita. Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang
menghadapi konflik supaya berdamai demi kebaikan bersama terutamanya kepada
generasi muda. Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak
akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan
gengsterisme. Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan peranan
yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia.
Jika
dilihat dari dimensi yang lain, pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang
setimpal dalam usaha membentuk keluarga bahagia. Pihak kerajaan harus
menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak
keluarga. Hal ini dapat menyedarkan dan menginsafkan orang ramai
tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya, Akta
Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak yang
didera. Akta ini melindungi hak kanak-kanak sebagai individu yang
harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia. Ibu bapa akan
mengambil inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan
dan seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna. Kerajaan
juga mestilah menyediakan penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan
keluarga bahagia. Hal ini merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk
masyarakat madani pada hari muka. Sebagai misalan, pemberian
Anugerah Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah
anak-anaknya menjadi individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal
insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek merupakan satu usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif. Ringkasnya, kerajaan
memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan
menjamin kehormanian masyarakat.
Sebagai
konklusinya, dapat disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ahli
keluarga dalam usaha melahirkan keluarga bahagia. Sesungguhnya mencintai
keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat
denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik
akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.” Betapa
tingginya darjat manusia yang sentiasa berbuat baik terhadap ahli keluarganya.
Bertitik tolak dari sini, peranan ibu bapa dan ahli keluarga lain untuk
melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Namun
begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah
bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan
insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh pelbagai
faktor. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang dan
biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada
keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.