Bertepatan dengan
maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang berhadapan dengan arus
globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang pesat. Berkait rapat dengan
perkembangan tersebut generasi muda hari ini lebih terdedah kepada alam siber
dan permainan komputer sehingga seakan melupakan permainan tradisional yang
merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional
turut dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan
masyarakat. Sebagai individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya
bangsa kita lenyap begitu sahaja dek peredaran zaman yang berlaku? Dalam hal
ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu
mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan
tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan
tradisional ini patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat
status permainan tradisional di nusa tercinta ini.
Pihak ibu bapa dianggap
pihak yang paling dominan berperanan memperkenal serta mempopularkan permainan
tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini
demikian keranan kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang
sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada
anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya bagi tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh
membelikan anak-anak mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari
ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah.
Ibu bapa juga boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional melalui
Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama
rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli
keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain permainan tradisional
seperti permainan congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas
bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu
permainan tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli
keluarga,bak kata peribahasa sambil
menyelam minum air.
Selain itu, pihak
kerajaan melalui Kementerian
Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan permainan tradisional sebagai satu
daripada kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada itu, pihak sekolah
hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan permainan
tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional
seperti Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara
bermain dan mengetahui syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional.
Setelah mengetahui secara mendalam sesuatu permainan itu, pelajar akan rasa
berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional tersebut. Usaha
menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar
tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat
masa hadapan. Justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan
tradisional nescaya dapat mempopularkan permainan tradisional di Malaysia
daripada membiarkan seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja.
Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta,
maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang
berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan permainan tradisional
di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.
Seterusnya, usaha mengadakan
pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan
permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan dengan kerjasama
pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak
media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan
permainan tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan
lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu
memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan permainan tradisional
kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen
tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan
sebagainya. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih
popular di merata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan
tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti permainan tradisional menjadi semakin
popular khususnya kepada generasi baru.
Pertukaran budaya dengan
negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi
mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka
pelajar dari luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain
pelbagai permainan tradisional di sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka
kelak,mereka akan mengajar rakan-rakan dan ahli keluarga permainan yang pernah
mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama
Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh
berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong
ke Malaysia dan menginap di desa yang mana mereka akan diajar cara-cara bermain
tradisional seperti gasing, galah panjang dan teng-teng. Diharapkan langkah ini
akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara
yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran
budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan
permainan tradisional kepada masyarakat luar.
Tidak disangkalkan lagi, penganjuran
pelbagai bentuk pertandinganmerupakan
inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada
masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang
mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah
antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir
masyarakat memang suka bertanding dan ’berlaga’ untuk mendapatkan sesuatu.
Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO)
boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis
menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah,
kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang
terbaik ialah penganjuran Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang ,
Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan kerjasama pelbagai badan korporat.
Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang tersebut berjaya menarik
peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk turut
mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya
memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri
pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.
Konklusinya, semua etnik tidak
sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk permainan tradisional
terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang
tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta
bersedia melakukan pecutan akhir ke arah negara maju 2020, kita tidak
seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan
peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap
teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini
hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi
mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap anak watan Malaysia perlu
menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti beliung untuk merialisasikan impian negara tercinta ke arah
Menjana Transformasi Rakyat Cemerlang. Malaysia Boleh!.