Google+ Followers

Ahad, 24 Ogos 2014

Karangan jenis rencana - Masalah vandalisme

Gejala merosakkan kemudahan awam semakin berleluasa berlaku dewasa ini. Bincangkan saranan anda untuk mengatasi masalah tersebut untuk diterbitkan dalam ruangan Pendapat Pembaca.
Cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah kemudahan awam
Yang dirosakkan dengan sengaja di negara ini.
Oleh: Subrato Rengato

                Dewasa ini negara kita sedang mengorak langkah menuju ke arah Wawasan 2020 dan taraf kehidupan seluruh rakyat tempatan telah meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini. Hampir seluruh rakyat di negara ini berpeluang menerima pendidikan secara formal, malah     ramai yang telah berjaya memasuki institusi pengajian tinggi yang berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Perkara yang menghairankan kita semua ialah masalah  vandalisme di negara ini turut meningkat dan seolah-olah telah sampai ke satu tahap yang kronik sedangkan kebanyakan rakyat di negara ini berpendidikan tinggi.

            Masalah vandalisme iaitu perbuatan merosakkan kemudahan awam dengan sesuka hati merupakan duri dalam daging yang kini terbukti telah menular bagaikan barah dalam tubuh manusia. Kemudahan awam sering dijadikan sasaran rakyat tempatan melepaskan geram atau meringankan tekanan hidup. Para remaja pula ingin mencari keseronokan dengan merosakkan telefon awam, mengguris dan merosakkan lif serta menconteng dinding tandas awam. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini sangat dikesali kerana menyusahkan orang ramai dan meningkatkan perbelanjaan untuk membaikinya. Oleh yang demikian, langkah-langkah yang konkrit dan proaktif perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung masalah      tersebut.

            Antara langkah untuk mengatasi masalah tersebut ialah mengubah strategi atau sistem pendidikan yang sedia ada di negara ini. Sistem pendidikan sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan dan kegiatan kokurikulum selalu diabaikan. Natijahnya pelajar-pelajar sekarang hanya berminat untuk menghafal nota dan langsung tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Sebenarnya peyertaan dalam kegiatan kokurikulum seperti pengakap, Kelab Cinta Alam dan sebagainya boleh menyemai dan seterusnya menyuburkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, cinta kepada alam sekeliling dan sebagainya yang merupakan  elemen terpenting dalam usaha mengatasi vandalisme. Selain itu, Kementerian Pendidikan patut menekankan subjek Pendidikan Moral dan Agama menerusi pendidikan formal. Guru-guru wajar memberikan pendidikan dengan kreatif dan inovatif agar pelajar-pelajar dapat menghayati serta mempraktikkan nilai-nilai yang telah dipelajari dan seterusnya dapat  membasmi gejala vandalisme.

            Selain itu, media massa perlu memainkan peranan penting dalam usaha membendung masalah vendalisme. Media massa wajar memaparkan keadaan kemudahan awam yang          dirosakkan dengan serius dan artikel-artikel yang mengkritik perbuatan tersebut akan dapat menyedarkan anggota masyarakat. Setiap anggota masyarakat juga patut menyedari peranan mereka dalam usaha membendung masalah vandalisme. Anggota masyarakat juga wajar melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat individu yang merosakkan kemudahan awam. Jelaslah media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah tersebut      sebagaimana kata pepatah, “lidi segenggam kuat kudratnya dan tidak mudah patah   walaupun oleh si gagah”.

            Kalau asalnya benih yang baik, tercampak ke laut akan menjadi mutiara,  terhumban ke darat menjadi permata, terawang di angkasa akan menjadi Kejora. Begitulah    peribahasa Melayu yang menyatakan dengan jelas akan kepentingan pendidikan awal terhadap kanak-kanak. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, bertimbang rasa dan sebagainya sejak mereka kecil kerana kita semua  percaya kepada konsep “kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Kanak-kanak diibaratkan sehelai kain putih yang perlu dicorakkan peribadinya  oleh ibu bapa. Jika diwarnakan dengan warna pelangi, maka berserilah kain tersebut, tetapi       sekiranya ditumpahkan dengan warna hitam, maka gelaplah masa depannya. Ibu bapa perlu menunjukkan “role model” kepada anak kesayangannya supaya mereka boleh menjadi manusia yang berguna seperti kata peribahasa “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak  ke nasi  ”.

            Selain itu, pihak kerajaan patut menggubal undang-undang yang ketat bagi mengawal tindak-tanduk anggota masyarakat. Undang-undang wajar dilaksanakan oleh pihak berkenaan dan tidak terjadi seperti kata pepatah “bagai melepaskan batuk di tangga”. Kerajaan patut mengenakan denda yang tinggi kepada mereka yang bersikap seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Mereka yang melakukan perbuatan vandalisme patut   diheret ke mahkamah dan hukuman sebat wajar dilaksanakan.


            Akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Oleh itu kita patut menggembleng tenaga    untuk mengatasi masalah vandalisme agar imej negara kita sebagai antara negara yang    termaju di rantau Asia Pasifik tidak tercalar begitu sahaja. Kita perlu berhati-hati dan berwaspada seperti kata peribahasa “lengguknya biar bengkok tetapi mengena, tarinya biar senada tetapi berbisa, langkahnya lembut tetapi kejap” semasa melaksanakan langkah-langkah untuk membendung masalah tersebut supaya imej baik negara terus terlindung dan keamanan hidup masyarakat terjamin.

Tiada ulasan: