Isnin, 12 Mac 2012

Sajak Arkitek Kota dan Bangkitah

Kepada anak-anak didik di tingkatan 5PA, sila baca nota sajak di bawah dan jawab soalan kefahaman.

Arkitek Kota (SN Muhammad Hj Salleh)

Maksud:

Rangkap 1

Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.

Rangkap 2

Hal ini demikian kerana, mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian dibuat dan mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut.

Rangkap 3

Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan malah perlu diperindah dengan landskap yang mempesona.

Rangkap 4

Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea yang bernas.

Tema:

Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.

Persoalan:

1. Persoalan keprihatinan penting dalam memahami sesuatu keadaan.Nilai ini penting supaya sesuatu

keadaan dapat difahami.

2. Persoalan pembangunan kota perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Pembangunan kota perlu dilihat

menerusi pelbagai sudut.

3. Persoalan kepentingan menjaga alam sekitar.Alam sekitar perlu dijaga.

4. Persoalan generasi muda memiliki pelbagai idea bernas.Golongan ini mempunyai idea-idea baru yang bernas.

Bentuk:

1. Bentuk bebas

2. Jumlah rangkap - 4 rangkap

- Rangkap 1 - 7 baris ayat

- Rangkap 2 - 6 baris ayat

- Rangkap 3 - 5 baris ayat

- Rangkap 4 - 2 baris ayat

3. Rima akhir setiap rangkap

- Rangkap 1 – abacdea

- Rangkap 2 – aabcdd

- Rangkap 3 – abcad

- Rangkap 4 – ab

Nada:

Sinis

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek

Contohnya : perasaan musim

2. Diksi – mudah difahami.

Contohnya : pemerhati tasik

3. Aliterasi – perulangan konsonan’p’

Contohnya : perenung di perpustakaan

4. Asonansi – perulangan vokal ’i’

Contohnya : fiil langit dan sabar bumi

5. Kata ganda

Contohnya : berbagai-bagai

6. Metafora

Contohnya : jiwa laut,diam batu, perasaan musim

7. Perlambangan

Contohnya ; pengadil, pemancing, pengawas, pendekar

Nilai:

1. Nilai cintakan alam sekitar. Alam sekitar perlu disayangi.

2. Nilai bertoleransi. Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian.terutama di kota.

3. Nilai bertanggungjawab Bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar. .

4. Nilai bijaksana dalam membuat keputusan Kebijaksanaan penting apabila membuat keputusan.

5. Nilai rasional dalam semua aspek.Kerasionalan penting dalam semua aspek.

Pengajaran:

1. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas semasa merancang pembangunan.

2. Kita hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara..

3. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana sebelum membuat keputusan.

4. Kita hendaklah memikirkan bencana alam yang mungkin timbul akibat pembangunan kota..

5. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang mempunyai pelbagai idea bernas dan alternatif.

Sumbangan :BPK, KPM

LATIHAN:

Berdasrkan sajak Arkitek Kota, sila jawab soalan-soalan berikut.

1. Apakah maksud rangkai kata , "harus sayangkan lagu burung"?

2. Nyatakan perkara-perkara yang perlu diambil kira oleh seorang perancang bandar?

3. Pada pendapat anda, mengapakah seorang perancang bandar perlu mengutamakan alam sekitar?

4. Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak ini.

5. Huraikan tiga unsur pengajaran yang terdapat dalam sajak ini.

6. Jelaskan gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini. Gunakan rumus: P7I2HA2RS


Bangkitlah

(Rejab F.I)

Maksud:

Rangkap 1

Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar daripada terlena dibuai kelalaian. Negara sudah lama

merdeka dan semakin maju.

Rangkap 2

Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air. Penyajak

tertanya-tanya mengapa anak bangsanya masih leka.

Rangkap 3

Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit dari lena agar mereka tidak menyesal. Kekayaan

hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.

Rangkap 4

Penyajak berasa risau akan masa depan bangsanya yang mungkis terus ketinggalan dan hidup dalam

kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.

Rangkap 5

Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih ada waktu

dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.

Tema:

Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan selepas

kemerdekaan. Mereka harus merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.

Persoalan:

1. Persoalan kepentingan mengejar arus pembangunan.Arus pembangunan perlu disedari dan diikuti oleh

anak-anak.

2. Persoalan kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang leka.Kemajuan

dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.

3. Persoalan sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan.Hal ini perlu disedari oleh semua

orang.

4. Persoalan masa depan anak bangsa yang masih leka. Kelekaan anak bangsa merunsingkan penyajak

tentang masa depan mereka.

Bentuk:

1. Bebas

2. Terdapat 5 rangkap

3. Rima akhir baris-baris ayat

· Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.

· Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rimanya abbbc

· Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abccd

· Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abcde

· Rangkap 5 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd

Nada:

Patriotik

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek

Contohnya : bangkitlah

2. Diksi – mudah difahami dan puitis

Contohnya : Anak-anak yang sedang lena

3. Aliterasi – perulangan konsonan’n’

Contohnya : burung-burung berterbangan di udara

4. Asonansi – perulangan vokal ’a’

Contohnya: : Anak-anak yang sedang lena

5. Sinkope

Contohnya; kau

6. Perlambangan

Contohnya ; anak-anak, matahari, puncak gunung, madu bumi, perut belantara

7. Personifikasi

Contohnya : burung-burung belum menjamah awan.

Nilai:

1. Nilai kegigihan.. Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan..

2. Nilai kerjasama ..Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.

3. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk memajukan diri.

Pengajaran:

1. Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka.

2. Kita perlulah merebut peluang yang ada.

3. Kita perlulah bersaing dengan bangsa lain untuk maju.

4. Kita janganlah leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit

kemiskinan.

LATIHAN:

Jawab soalan-soalan berikut berdasarkan sajak Bangkitlah.

1. Apakah maksud penyajak dengan, "Bangkitlah"?

2. Jelaskan gambaran suasana pagi seperti yang dinyatakan oleh penyajak dalam sajak ini.

3. Sekiranya anda berasal daripada keluarga yang miskin, terangkan tiga langkah untuk

mendapatkan kehidupan yang lebih baik?

4. Nyatakan dua persoalan yang terdapat dalam sajak ini.

5. Jelaskan bentuk sajak ini. Gunakan rumus B2P2R (Badan Pencegah Rasuah)

Selamat mencuba dan selamat bercuti!!!

Isnin, 5 Mac 2012

Kerja rumah semasa cuti sekolah

Kepada anak-anak didik di tingkatan 5PA dan 4S2, berikut ialah panduan karangan sebagai kerja rumah semasa cuti sekolah dari 12 hingga 18 Mac 2012. Selamat mencuba!!!

Industri desa (Dewan siswa Februari 2006)

Tajuk: Industri desa memainkan peranan yang tersendiri dalam pembangunan negara kita. Huraikan kepentingan industri desa dan cara-cara memajukan industri berkenaan.

Takrifan: Industri luar bandar ataupun industri tradisional yang mengeluarkan kerja tangan dan dihasilkan oleh masyarakat kampung yang masih menggunakan teknik tradisi tempatan yang diwarisi daripada nenek moyang.

Kepentingan industri desa:

· Membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak-anak kampung itu sendiri.

· Membantu menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia.

· Sesebuah kampung mempunyai identiti hasil pengeluaran produknya sendiri.

· Penduduk kampung memperoleh pendapatan tambahan.

· Dapat meningkatkan pendapatan negara.

· Mampu mengekalkan nilai-nilai seni tradisi dan kebudayaan yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Cara-cara memajukan industri desa:

· Galakan dan dorongan kerajaan serta perkhidmatan sokongan.

· Diberi nafas baru melalui suntikan teknologi terkini bagi menjadikannya berdaya saing tinggi, meningkatkan produktiviti dan menembusi pasaran global.

· Agensi kerajaan seperti SIRIM, MARDI dan institusi penyelidikan yang lain mencipta pelbagai mesin untuk menghasilkan pelbagai produk.

· Sektor swasta, terutamanya industri harus memperkenalkan produk tradisional secara komersial.

· Lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) harus dilakukan agar dapat meningkatkan nilai tambah untuk produk-produk industri tradisional dan kraftangan.

· Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melancarkan program satu daerah satu industri.

· Sekat peranan orang tengah dengan mengadakan jualan langsung.

· Melahirkan kakitangan terlatih tanpa mengorbankan nilai-nilai tradisi.

· Perlu menambah dan menimba ilmu serta kemahiran dari negara-negara jiran yang banyak menghasilkan produk-produk tempatan yang berkualiti.

Kesimpulan:

Industri desa memberi nafas baru kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini khususnya penduduk di luar bandar. Mereka tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan semata-mata. Mereka perlu melakukan perubahan yang sesuai dengan keadaan semasa dari segi berfikir, budaya kerja, kualiti produk dan sebagainya.

Peribahasa:

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Hangat-hangat tahi ayam.

Bukit sama didaki dan lurah sama dituruni.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Amalan Menderma – Budaya Hidup Yang Mulia. (Dewan Siswa Mac 2006)

Tajuk: Amalan menderma merupakan budaya hidup yang mulia. Bincangkan.

Pendahuluan:

Manusia sentiasa berhadapan dengan ancaman bencana alam seperti ombak besar tsunami yang mengorbankan ratusan ribu penduduk di Indonesia, Sri Langka, India dan Thailand. Sifat bermurah hati dengan menghulurkan derma atau bantuan kepada mereka yang memerlukan merupakan satu sifat yang sangat terpuji dan mulia di sisi Tuhan malah sesama manusia itu sendiri. Amalan menderma tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit, tetapi termasuk darah, organ dan harta benda.

Menderma darah.

· Dianggarkan 300 hingga 400 unit darah diperlukan setiap hari.

· Bekalan darah di Pusat Darah Negara (PDN) berkurangan dan adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan bekalannya berterusan, khususnya pada musim perayaan.

· Dapat menyelamatkan nyawa.

· Penderma darah didapati kurang berhadapan dengan risiko sakit jantung.

Menderma dalam bentuk kewangan dan material.

· Bencana alam membawa kerosakan kepada harta benda seperti rumah, ternakan dan kenderaan.

· Menderma dalam bentuk wang ringgit dan material membantu meringankan beban mangsa.

· Sebagai contoh, Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) mrayu rakyat Malaysia agar segra menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa gempa bumi di Pakistan dan India yang berhadapan dengan kematian apabila tiba musim sejuk.

· Sebagai contoh, kerajaan Malaysia memberi sumbangan RM20,000 kepada setiap waris setiap seorang yang terkorban dalam bencana tsunami.

· Sebagai contoh, kerajaan menderma RM12.95 juta kepada penduduk Acheh yang menjadi mangsa tsunami.

Menderma organ

· Satu lagi bentuk amalan menderma termasuk amalan menderma organ dan tisu manusia seperti jantung, hati, paru-paru, pankreas, buahpinggang, mata dan sebagainya.

· Sesetengah tisu yang boleh didermakan termasuk kornea, kulit, tulang, tulang tengah telinga, sumsum tulang, tisu-tisu penyambung, dan saluran pembuluh darah.

· Di Malaysia, amalan ini sangat kurang. Pada tahun 2005, ada seramai 12 orang yang menderma organ. Ini bermakna hanya terdapat 0.6 penderma setiap juta rakyat berbanding dengan negara-negra Eropah purata penderma organ ialah 30 hingga 35 penderma bagi setiap juta rakyat.

· Seawal 1950-an lagi, satu fatwa yang membenarkan pendermaan organ telah dikeluarkan di Mesir, disusuli di Arab Saudi dan bebeapa negara Islam yang lain. Oleh itu, kita perlu mencontohi negara-negara Islam yang lain dalam hal ini. Juga jelas bahawa agama tidak menjadi satu halangan untuk menderma organ. Begitu jugalah dengan ajaran agama yang lain yang mengharuskan pnganutnya untuk berbuat demikian.

Kesimpulan:

Secara tuntas, kempen untuk meningkatkan amalan menderma tidak kira wang ringgit, harta benda, organ, atau tenaga sebagai sukarelawan untuk misi bantuan kemanusiaan hendaklah mendapat perhatian semua pihak.

Memartabatkan Batik Malaysia (Dewan Siswa April 2006)

Tajuk: Industri Batik Malaysia semakin maju. Sehubungan dengan hal ini, jelaskan usaha-usaha kerajaan untuk memartabatkan batik di Malaysia.

Pendahuluan:

Seni batik merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia dan bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Batik berasal dari Indonesia. Walau bagaimanapun Ila Keller dalam bukunya Batik: The art and craft, berkata batik berasal dari Mesir sbelum tersebar ke Iran sejak 2,000 tahun dahulu. Di Asia Tenggera, batik mula diusahakan oleh penduduk Indonesia. Kesultanan Mataram pada kurun ke-17, memilih batik sebagai pakaian rasmi dalam adat istiadat istana.

Usaha kerajaan memartabatkan batik

· Mewjibkan pemakaian batik kepada setiap penjawat awam pada 1 haribulan dan 15 haribulan setiap bulan.

· Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia mengadakan promosi.

· Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan mengadakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) usahawan kraf, pembangunan tenaga mahir melalui Institut Kraf Negara (IKN).

· Penyelidikan dan pembangunan merangkumi aspek penggunaan kain baru, penggunaan warna asli, ketahanan warna, reka corak batik yang baru, dan juga pekerjaan pencetakan skrin.

· Program pemasaran dan promosi termasuk promosi betema, promosi in-store di pusat beli-belah, destinasi pelancongan dan hotel.

· Teknologi baru seperti penggunaan mesin dan bantuan komputer untuk menghasilkan rekaan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan.

· Memberi galakan dan sokongan kepada pengusaha batik agar sentiasa proaktif dalam menghasilkan batik yang berkualiti.

Kesimpulan:

Batik wajar dipertahankan terutama yang membabitkan seni dan budaya tempatan yang tersohor bagi masyarakat Melayu satu ketika dahulu. Justeru, sebagai warisan tradisi khazanah bangsa, seni batik perlulah dipelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan generasi akan datang.

Selasa, 14 Februari 2012

Budaya Membaca

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN ANAK-ANAK.

Ayat pertama dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Amalan membaca merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam membentuk masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Salah satu usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam diri anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke perpustakaan. Amalan ke perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung minggu atau semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku yang digemari. Lantas, anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.

Selain itu, ibu bapa boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini dapat dijadikan tempat menyimpan buku dan majalah. Malahan, boleh menjadi tempat anak-anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah dilengkapi dengan buku-buku yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak untuk membaca. Sebagai contoh, majalah, buku cerita dan surat khabar. Ruang perpustakaan ini juga mestilah dalam keadaan selesa. Lantaran itu, ibu bapalah memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka agar gemar membaca buku ketika berada di rumah.

Di samping itu juga, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang baik daripada ibu bapa mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap gemar membaca surat khabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah diamalkan oleh ibu bapa dalam mengisi masa lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini akan menjadi ikutan anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh terbaik untuk dicontohi anak-anak.

Tambahan pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran buku. Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika pergi ke pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka untuk membaca akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat mempelajari cara memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang dijual adalah berkualiti. Harganya pula adalah berpatutan. Natijahnya, ibu bapa yang membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sebenarnya membawa kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.

Seterusnya, ibu bapa juga boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak. Ibu bapa perlu memberikan hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya dalam peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa gembira kerana kejayaannya dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa boleh membelikan buku berbentuk pelajaran, novel ataupun komik mengikut kesesuaian umur. Amalan ini sepatutnya diterapkan sejak kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian dengan peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kesimpulannya, terdapat beberapa peranan ibu bapa dalam usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam kalangan anak-anak mereka. Kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sekiranya ibu bapa dapat memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan anak-anak mereka, sudah pasti dapat kita melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi yang dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Maklumlah bangsa membaca merupakan bangsa yang berjaya.