SOALAN:
Usaha membangunkan negara amat bergantung pada
remaja yang bersahsiah terpuji. Jelaskan peranan yang perlu dimainkan untuk
melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.
Anak-anak ataupun digelar sebagai remaja ini mampu membangunkan sesebuah
negara jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini
sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Dalam era milineum yang kian mencabar ini, pelbagai episod sedih dan
malang terpapar di dada-dada akhbar malah sering kita terdengar di
corong-corong radio. Acapkali kita tersentak dengan masalah kebejatan akhlak
remaja yang berlaku di negara kita. Ada yang sanggup merogol remaja wanita
kerana perasaan cemburu butanya sehingga remaja malang tersebut meninggal dunia
akibat dikelar oleh manusia yang bersifat kebinatangan ini. Isu-isu seumpama
ini sudah tentu akan merencatkan ketamadunan bangsa malah akan turut
mencemarkan imej negara di mata dunia. Masalah
ini tidak seharusnya dipandang enteng. Langkah-langkah pencegahan perlu diambil
demi kesejahteraan hidup sejagat dan menjamin pembangunan negara. Oleh itu,
semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk
sebelah tangan takkan berbunyi.
Salah peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan
menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah
peribadi anak-anak. Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang
positif kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah bertutur dengan
bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami isteri di hadapan anak-anak,
tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan berbuat demikian,
anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri
teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah, “bagaimana
acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan
meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Dengan ini, usaha untuk
merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan lahirnya remaja yang
bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui
sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi
baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut
bersikap buruk.
Selain itu, ibu bapa
juga dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan dirikan agama yang mantap
kepada golongan remaja. Allahyarham Tan Sri P. Ramli ada menegaskan
bahawa irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka
pincanglah karya tersebut. Hal ini bertepatan dengan konsep remaja dan didikan
agama. Mereka akan pincang sekiranya ibu bapa memandang enteng dalam soal
memberikan didikan agama kepada remaja. Pembentukan sahsiah remaja ini akan
telus dan lancar jika mereka diberi didikan agama yang sempurna. Hal ini
dikatakan demikian kerana dengan didikan agama yang utuh, anak-anak akan dapat
membezakan antara intan dengan kaca, antara batu dengan permata serta
mampu untuk menangkis segala hasutan manusia yang bertopengkan syaitan. Sebagai
contoh, remaja akan sentiasa mengamalkan akhlak terpuji dan bertindak mengikut
hukum syariat Islam mahupun mengikut kefahaman agama masing-masing tanpa
paksaan atau menerima tempias masalah sosial yang kian membarah seperti kes pembuangan
bayi. Sekiranya remaja memiliki nilai kegamaan yang teguh maka teguhlah
pembangunan sesebuah negara itu. Jelaslah bahawa suntikan didikan agama ke
dalam jiwa setiap remaja kerana kedangkalan didikan agama akan melahirkan
remaja yang bersikap negatif dan tersasar dari landasan ibarat kapal
hilang nakhoda, karam di tengah laut.
Jika dilihat dari dimensi yang berbeza, pihak kerajaan juga berperanan dengan mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Kempen seperti ‘Kami Prihatin’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahaga akan kesedaran sejati itu. Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi. Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini. Oleh itu, peranan pihak kerajaan untuk mengadakan kempen ini dapat memastikan golongan yang disandarkan harapan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini akan terus dibasahi sahsiah-sahsiah yang mulia segali gus dapat membangunkan negara pada masa hadapan.
Seperkara lagi, guru
juga memainkan peranan yang penting dalam usaha melahirkan remaja yang
bersahsiah mulia untuk membangunkan negara. Kebanyakan remaja kita merupakan
golongan pelajar. Mereka banyak menghabiskan masa di sekolah selain di rumah.
Guru juga merupakan ibu bapa mereka di sekolah. Jadi, tidak hairanlah jika
dikatakan guru mampu membentuk sahsiah seseorang remaja itu. Guru perlu
mengajar murid tentang kepentingan bersahsiah mulia. Guru tidak seharusnya leka
dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap
ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam
kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek
pembentukan insan yang kamil dan holistik di dalam kelas di samping menekankan
kepentingan berperibadi mulia untuk membangunkan negara. Mata
pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru
dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya
objektif yang dirancang tidak tersasar. Izharlah bahawa peranan yang dijalankan
dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang bersahsiah
mulia.
Bukan itu sahaja,
sebagai anggota masyarakat, kitajuga tidak harus
mengambil langkahlepas tangan untuk memainkan peranan dalam
pembentukan sahsiah remaja yang syumul. Kita seharusnya peka terhadap
keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak, ponteng, penagihan dadah
yang dilakukan oleh remaja kita. Ada masanya kita harus menjaga tepi
kain orang dalam usaha untuk mewujudkan golongan remaja
yang lebih baik seperti menegur tingkah laku yang kurang memuaskan serta
melaporkan gejala sosial yang serius kepada pihak yang sepatutnya agar hal
ini tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah dalam masyarakat kita. Sifat
ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat yang mendokong
nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti
menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah
jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang
moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana
generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan
terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Ringkasnya, dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak komuniti maka
golongan remaja kita dapat membangunkan negara sekiranya mereka memiliki
sahsiah yang mulia.
Sebagai intihanya,
bayang kian jelas bahawa semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan
obligasi masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu
pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk
sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh
perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga sahaja. Tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk
melahirkan remaja yang bersahsiah mulia akan menjadi sia-sia seperti membuang
garam ke laut. Oleh itu, setiap lapisan rakyat perlu bersinergi bagai
aur dengan tebing dan mengamalkan sikap berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing untuk membangunkan negara. Sesungguhnya,
kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab
masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Ayuh, singkirkan semua bicara, kumpulkan tenaga raksasa, tiba
saat berbunga merah, serentak kita bersama ke arah masyarakat yang mendokong
nilai-nilai murni.
KARANGAN DI ATAS DIAMBIL
DARIPADA BLOG ANELIZA. TERIMA KASIH CIKGU ANELIZA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan