Ahad, 18 Mac 2012

Latihan KOMSAS - Cerpen

Kepada anak-anak didik tingkatan 5PA, sila buat latihan KOMSAS berikut dari 19 hingga 25 MAC 2012 kerana saya akan mengikuti kursus di IAB. Latihan ini meliputi cerpen Pahlawan Buntung, Pungut@Zahara@Yap Siew Hong dan cerpen Idola.

SET 1 – PAHLAWAN BUNTUNG

Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dalam keadaan kami diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa, tiba-tiba Pak Husain menjongol dalam lingkungan kami di Kampung Dal. Tiap-tiap kami berasa bahawa kehadirannya bersama-sama cerita yang dibawanya, tanpa disedarinya telah memanjatkan gelaran `pahlawan` kepadanya. Ceritanya begini:

Waktu kami akan berangkat meninggalkan pangkalan, Pak Husain dalam perjalanan kerana memeriksa barang-barang rumahnya. Dengan tiba-tiba dia dicegat oleh dua orang tentera Jepun. Rupa-rupanya Jepun itu boleh berbahasa Melayu. Dia kenal orang Melayu. Dengan senapangnya, dia memaksa Pak Husain menguburkan mayat-mayat tentera dan orang mati. Ketika beberapa orang Jepun itu mahu mencari orang-orang kampung, Pak Hussain menyatakan semuanya sudah lari. Sekaliannya sudah pindah. Akibat daripada sikapnya yang berani itu, Jepun tidak turun ke pengkalan. Pak Husain dipaksa menggali kubur besar. Mayat-mayat yang berpuluh-puluh (di pantai Pak Amat sahaja) dikuburkan beramai-ramai. Dia bekerja sehari suntuk. Darah menyimbah ke seluruh badannya. Dia seorang diri. Hingga menjelang senja (dia pun diberi makan biskut dan air oleh tentera Jepun), dia meminta kepada tentera yang pandai berbahasa Melayu itu, mahu membuang air besar. Ketika itulah dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Hussain menyeberangi sungai ke Tuk Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.

(i) Apakah perkara-perkara yang terpaksa dilakukan oleh Pak Husain setelah bertembung dengan tentera Jepun.? [2 markah]

· Menguburkan mayat tentera dan orang mati.

· Menguburkan berpuluh-puluh mayat seorang diri.

· Gali kubur besar.

(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengenang jasa pahlawan seperti Pak Hussain? Berikan tiga usaha. [3 markah]

· Menulis jasa-jasa pahlawan seperti Pak Husain dalam bentuk media cetak dan media elektronik.

· Memberikan pingat dan anugerah.

· Memberikan bantuan untuk memulakan perniagaan

· Mengadakan satu pertubuhan atau persatuan

· Mewujudkan satu pertempatan untuk pahlawan yang cedera

(iii) Berikan dua latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut. [4 markah]


Dua latar tempat yang terdapat dalam petikan cerpen

· Di pantai Pak Amat untuk menguburkan berpuluh-puluh mayat

· Sungai untuk ke Kampung Tuk Lukup semasa melarikan diri

· Sungai Gali semasa melarikan diri


Dua latar tempat lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.

· Kampung Dal – tempat penduduk Kampung Pulau Pak Amat menumpang semasa perang

· Pulau Tukang Dolah –kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun

· Pulau Panjang -–kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun

· Pengkalan Cepa –kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun

· Di dalam perahu apabila penduduk kampung tersedar Pak Husain tiada dalam perahu.

· Di kota semasa pertemuan Khalid dan Pak Husain untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

SET 2 – PAHLAWAN BUNTUNG

Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Aku dapat bayangkan apa yang akan berlaku ke atas kami sekaliannya yang di pangkalan kalau tentera-tentera Jepun itu sempat turun. Bukankah keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun itu telah menyelamatkan kami? Alangkah besar jasanya. Alangkah!

Kisah Pak Husain dipaksa supaya menguburkan mayat sehari suntuk telah berkembang dari mulut ke mulut. Kisah itu mengapung terus dari Kampung Dal ke kampung-kampung yang lain. Berkembang di Tebing Tinggi, di Dasar,di Kemumin, di Pancur, di Pulau Tukang Dolah dan di Teluk Kitang. Cerita itu tidak dirasakan baktinya selain kami penghuni asli kampung Pak Amat.

Pak Husain telah menyelamatkan kami!

Kisah Pak Husain tidak berakhir di situ sahaja. Ketika Jepun menyerah pada tahun empat puluh lima, waktu itu rompakan menjadi-jadi. Rompakan berlaku di Tuk Lukup. Berlaku di Sabak. Berlaku di Pengkalan Datu. Awan ketakutan berkembang hitam di tiap-tiap buah kampung yang agak terpencil. Ketika pendaratan perompak di Kampung Pak Amat, Pak Husain telah membedil kawanan perompak yang masih di dalam perahu. Senapangnya yang diambil daripada seorang askar Punjabi yang telah mati (waktu dia menguburkan mayat-mayat mereka pada permulaan perang), telah dipergunakan buat pertama kali. Bedilannya itu telah menyelamatkan rumah Pak Ngah Isa. Menyelamatkan semua orang kampung. (Akhirnya Pak Husain menyerahkan senapang itu kepada kerajaan apabila semuanya normal).

(i) Berikan dua tindakan Pak Husain yang telah menyelamatkan orang kampung. [2 markah]


· Keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun

· Membedil kawanan perompak yang masih di dalam perahu


(ii) Pada pendapat anda,apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri pelajar? Kemukakan tiga cadangan anda. [3 markah]


· Belajar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat berbakti kepada negara

· Menghormati lambang-lambang kebesaran negara

· Membaca lebih banyak buku sejarah tentang pejuang-pejuang negara

· Mengharumkan nama negara dengan melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah

· Tidak terlibat dengan gejala sosial

· Melawat tempat-tempat bersejarah

(iii) Huraikan satu nilai murni yang terdapat dalam petikan dan satu nilai murni lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]

Satu nilai murni yang terdapat dalam petikan

· Nilai keberanian contohnya Pak Husain berani menghadapi tentera Jepun dengan membohongi mereka tentang penduduk Kampung Pak Amat

Satu nilai murni lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.

· Nilai kasih sayang. Mak Da menangisi kehilangan Pak Husain ketika mereka berpindah.

· Nilai kebijaksanaan, contohnya Pak Husain bijak menggunakan tipu daya untuk menyelamatkan diri daripada askar Jepun.

· Nilai patriotisme, contohnya Pak Husain sanggup menggunakan tongkat kayu untuk pergi menghadiri temasya sambutan hari kemerdekaan negara di sebuah kota kerana cinta akan negara.

· Nilai kerjasama. Penduduk Kampung Pulau Pak Amat saling bekerjasama ketika menyelamatkan diri daripada serangan askar Jepun.

SET 3 – PAHLAWAN BUNTUNG

Soalan 2(b) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Ketika itulah dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Husain menyeberangi sungai ke Tuk Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.

“Semua askar Punjabi mati. Kubu Kuala Pak Amat jatuh. Juga di Dasar dan Sabak.Jepun berada di mana-mana.”

Suara Pak Husain sangat lemah. Dia sudah dimandikan oleh Mak Bidah. Darahnya sudah dicuci. Tetapi semangat Pak Husain sudah hilang. Dia menjadi takut-takut. Dia selalu meracau dan menyebut apa-apa sahaja yang dilihatnya sebagai tentera Jepun. Dia melihat mayat di mana-mana, walaupun kami tidak melihatnya. Kwong yang menyerobot ke dalam perasaan Pak Husain sangat membimbangkan kami. Beberapa malam berikutnya ayahku tidak tidur-tidur kerana menjaga Pak Husain. Dia mesti dijaga. Dia yang bertanggungjawab dalam usaha menyelamatkan kami. Aku dapat bayangkan apa yang akan berlaku ke atas kami sekaliannya yang di pangkalan kalau tentera-tentera Jepun itu sempat turun. Bukankah keberanian dan sikap Pak Husain membohongi tentera Jepun itu telah menyelamatkan kami? Alangkah besar jasanya. Alangkah!

Kisah Pak Husain dipaksa supaya menguburkan mayat sehari suntuk telah berkembang dari mulut ke mulut. Kisah itu mengapung terus dari Kampung Dal ke kampung-kampung yang lain. Berkembang di Tebing Tinggi, di Dasar,di Kemumin, di Pancur, di Pulau Tukang Dolah dan di Teluk Kitang. Cerita itu tidak dirasakan baktinya selain kami penghuni asli kampung Pak Amat.

(i) Nyatakan keadaan Pak Husain setelah berjaya melarikan diri daripada tentera Jepun. [2 markah]


· Dia menjadi takut-takut.

· Dia selalu meracau dan menyebut apa-apa sahaja yang dilihatnya sebagai tentera Jepun.

· Dia melihat mayat di mana-mana, walaupun kami tidak melihatnya.


(ii) Pada pendapat anda, apakah bantuan yang akan anda berikan untuk mengembalikan semangat Pak Husain? [3 markah]

· Menemaninya dengan selalu berada di sisinya dan tidak meninggalkan Pak Husain keseorangan.

· Membacakan di telinganya dengan ayat-ayat suci al-Quran.

· Berbual-bual dengannya supaya dia dapat melupakan peristiwa hitam tersebut.

· Memanggil orang yang pandai mengubat secara tradisional untuk memulihkan semangat Pak Husain

(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4markah]

satu pengajaran yang terdapat dalam petikan:

· Kita mestilah berani bertindak untuk menyelamatkan nyawa. Pak Husain berani membohongi tentera Jepun untuk menyelamatkan orang kampung.


Satu pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.

· Kita hendaklah mengenang jasa seseorang yang banyak berbudi kepada bangsa dan tanah air. Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat mengenang jasa Pak Husain dan memanggilnya sebagai `pahlawan`.

· Kita hendaklah tabah menghadapi kesulitan dan keperitan hidup. Penduduk Kampung Pulau Pak Amat tabah menghadapi kesulitan dan keperitan sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

· Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sebarang pekerjaan. Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat bekerjasama ketika menyelamatkan diri daripada serangan askar Jepun.

SET 1 (Pungut / Zahara / Yap Siew Hong))

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mak Timah yang sedang sakit, terpaksa membersihkannya. Dengan termengah-mengah, Mak Timah menguruskan juga tugasnya menjaga dia yang tidak dapat bertindak apa-apa. Jika tidak dibersihkan akan sehari suntuklah dia dalam kekotoran. Sehari suntuklah dia akan berendam dengan air kencing, bergelumang dengan najisnya sendiri. Kadang-kadang Mak Timah hairan memikirkan nasib dia. Mak Timah memberi nama gelarannya Pungut. Nama sebenarnya ialah Zahara, manakala nama asalnya ialah Yap Siew Hong. Mak Timah hairan memikirkan keadaan bentuk fizikal Pungut. Sangat kecil, sangat halus. Menurut doktor, semasa Pungut masih bayi dahulu, Pungut hanya boleh hidup dalam jangka masa satu atau dua tahun. Pungut tidak boleh hidup lama, kata doktor, kerana seluruh organ dalam tubuhnya amat halus dan kecil. Jantungnya kecil, tetapi kuasa Tuhan, doktor bukan Tuhan, ramalan doktor salah. Kini Pungut telah berusia dua puluh empat tahun. Tuhan berkuasa atas segala-galanya. Pungut tidak mati-mati. Mak Timah hairan, orang yang sihat, orang kaya, semuanya mati. Tetapi Pungut tidak juga mati-mati.

“Mungkin Tuhan nak uji kesabaran aku, menjaga dia,” fikir Mak Timah.

“Mungkin Tuhan nak banyakkan dosa aku,” fikir Mak Timah lagi.

Pungut telah dimandikan. Kini tiba masa untuk memberinya makan. Semasa menyuapkan Pungut, Mak Timah terbayangkan kisah yang berlaku dua puluh empat tahun yang lalu.


i. Berikan maksud sehari suntuklah dia dalam kekotoran. [2 markah]

· Maksud sehari suntuklah dia dalam kekotoran ialah sepanjang hari Pungut tidak dibersihkan daripada najisnya sendiri.

ii. Gambarkan keadaan diri Pungut semasa kecil. 3 markah]

· bentuk fizikal Pungut sangat kecil, sangat halus.

· seluruh organ dalam tubuhnya amat halus dan kecil.

· Jantungnya kecil

· Perutnya kecil

iii. Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan dan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam cerpen. [4 markah]

Dua nilai kemanusiaan daripada petikan ialah :

· nilai nilai kasih sayang.

Contohnya Mak Timah yang sedang sakit, terpaksa membersihkan Pungut. Dengan termengah-mengah, Mak Timah menguruskan juga tugasnya menjaga dia yang tidak dapat bertindak apa-apa.

· nilai bertanggungjawab.

Contohnya walaupun Mak Timah sakit tetapi dia tetap menjaga Pungut.

Dua nilai daripada cerpen ialah:

· nilai simpati.

Contohnya Bibik simpati terhadap Pungut dan menyerahkan Pungut kepada Mak Timah.

· Nilai lain ialah nilai kerajinan.

Contohnya Mak Timah setiap hari membersihkan dan memandikan Pungut.


SET 2 (Pungut / Zahara / Yap Siew Hong))

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Bibik sebelah rumah, jiran Mak Timah tergesa-gesa datang ke rumahnya. Dari wajah Bibik jelas kelihatan rasa cemas dan penuh kesedihan. Mak Timah dan anak-anak sedang enak menggoreng pisang.

“Mengapa Bik?” Mak Timah bertanya.

“Siew Lan,” jawabnya lambat.

“Mengapa Siew Lan?” Tanya Mak Timah lagi, sementara mulut anaknya Katijah dan Munah melopong melihat Bibik.

“Siew Lan sudah beranak,” jawab Bibik.

“Huh, baguslah! Anak apa, jantan ke betina?” Tanya Mak Timah lagi.

“Mana ada jantan, betina. Ini bukan kucing,” jawab Bibik sedikit sinis.

“Perempuan, kita orang tak begitu suka anak perempuan, lagi-lagi yang ini,” kata-kata Bibik terhenti.

“Mengapa yang ini? Kenapa?” Mak Timah ingin tahu.

“Kecil, dua paun setengah, macam buah betik. Doktor tahan dekat hospital, tak kasi balik,” Bibik memberi keterangan lanjut.

“Dulu, belum dia beranak, kita pergi tengok datok. Kata datok ini anak tak guna, bawa sial. Sekarang Siew Lan susah hati,” Bibik memberi keterangan lanjut.

“Mana datok Bibik pergi tengok?” Mak Timah bertanya ingin tahu.

“Itu kita punya loktanglah. Kita punya bangsa itu macam, anak belum beranak kita pergi tanya datok, tengok dia punya nasib, ada baik atau sueh,” Bibik memberi keterangan lanjut. Mak Timah hairan melihatkan cara kehidupan Bibik, bernujum dan berdatok.

(i) Apakah berita yang disampaikan oleh Bibik kepada Mak Timah? [ 2 markah]

· Siew Lan sudah bersalin

· Anaknya perempuan

· Anaknya ditahan di hospital

· Anaknya kecil

· Siew Lan susah hati.

(ii) Pada pendapat anda, apakah keistimewaan-keistimewaan yang boleh disediakan kepada golongan orang kurang upaya. [3 markah]

· Menyediakan laluan khas

· Menyediakan tempat duduk khas di dalam kenderaan awam

· Kemudahan tempat letak kereta khas

· Kemudahan tandas OKU

· Pekerjaan yang sesuai.

· Potongan harga untuk semua urusan perkhidmatan

(iii) Nyatakan dua pengajaran daripada petikan dan dua lagi pengajaran daripada cerpen. [4 markah]

Pengajaran daripada petikan;

· Kita janganlah mempercayai perkara yang karut/tahyul. Contohnya Siew Lan mempercayai bahawa anak yang cacat akan membawa sial.

· Kita hendaklah mengasihi anak sendiri. Siew Lan sanggup memberikan anaknya kepada Mak Timah untuk dipelihara apabila menyedari anaknya cacat.

Pengajaran daripada cerpen;

· Kita hendaklah simpati terhadap orang kurang upaya. Mak Timah sanggup menjaga Pungut dengan baik walaupun Pungut anak angkat dan cacat.

· Kita hendaklah saling membantu sesama jiran. Mak Timah membantu Siew Lan dengan menjadikan Pungut sebagai anak angkatnya.

SET 3 (Pungut / Zahara / Yap Siew Hong))

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Hantarkan ke rumah kanak-kanak cacat. Buat susah-susah mak pelihara si Pungut tu, apa dapat? Kalau anak orang lain, dah besar dah boleh kerja, dah boleh bantu bayar duit air, duit api.” Pilu hati Mak Timah mendengar pendapat anak lelakinya tentang Pungut. Mak Timah hairan dengan sikap orang sekarang. Semuanya mengira duit, semuanya mahu untung, tidak mahu rugi. Pelihara anak mahu balasan. Orang sekarang, fikir Mak Timah, tidak seperti orang dahulu, memelihara anak ikhlas, menolong orang ikhlas, kerana Allah. Entahlah apa hendak jadi dengan orang sekarang ini? Setiap kali anak lelakinya mengeluarkan cadangan untuk menghantar Pungut ke rumah kanak-kanak cacat, Mak Timah akan menjawab, “Bila aku dah mati, hantarlah dia ke mana kau suka, apabila aku dah tak ada nanti. Selagi aku hidup ini, biarlah aku pelihara, selagi aku terlarat. Dah dua empat tahun pun aku pelihara dia, kalau kucing pun orang sayang, inikan pulak manusia. Aku hanya minta pada Tuhan biarlah Pungut mati dulu sebelum aku mati, biar dia tak susahkan kau orang lagi.” Itulah jawapan Mak Timah apabila terjadi pertengkaran dengan anak lelakinya. Anak lelakinya akan diam, tidak memberi sebarang cadangan apabila Mak Timah menyebut tentang mati.

i. Jelaskan maksud selagi aku terlarat. [2 markah]

· Maksud selagi aku terlarat ialah Semasa Mak Timah masih mampu /terdaya / bertenaga

ii. Jika anda mempunyai adik-beradik yang cacat, apakah yang wajar anda lakukan. [3 markah]

· Mengajarnya menguruskan diri/berdikari

· Melayannya sama seperti keluarga yang lain

· Bersabar dengan kerenahnya

· Mencadangkan kepada ibu bapa untuk dihantar belajar di sekolah khas untuk OKU.

iii. Huraikan satu sikap Mak Timah daripada petikan dan satu sikap Mak Timah darpada cerpen. [4 markah]

Sikap Mak Timah daripada petikan;

· Penyayang – menyayangi Pungut dan tidak membenarkan Pungut dihantar ke rumah kanak-kanak cacat.

· Seorang yang ikhlas – memelihara Pungut walaupun cacat.

Sikap Mak Timah daripada cerpen;

· Mudah simpati – simpati terhadap nasib Pungut yang didisihkan oleh ibu kandungnya.

Bertanggungjawab- bertanggungjawab memelihara Pungut yang tiada sesiapa inginkannya.

Set 1 (Cerpen : Idola)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat

anda sendiri.

“Apakan daya aku hanya si penjaga panggung, bukan si hero dalam cerita yang dipersembahkan itu. Aku hanya penonton yang hanya diperuntukkan dengan segumpal rasa kekaguman terhadap si hero,” bidik si penjaga panggung lagi, membiarkan sejenak fikirannya menerawang, mengingat-ingat kembali babak demi babak cerita yang mengisahkan perjalanan si hero ke istana impian lalu bertarung dengan dugaan demi dugaan, dan segala yang berantakan itu dapat dipatahkan dengan semangat kekar dan nyali pejal hingga benar-benar menampilkan kejantanan.

“Malam semakin merapat ke pagi,” bisiknya lagi, hampir tidak dapat didengarnya sendiri apa-apa yang dibisikkan itu. “Apa khabar isteri dan sepuluh putera puteriku? Apa khabar rumahku di sebatang lorong sempit dengan bau longkang dan dengingan nyamuk menakluki suasana?”

Si penjaga panggung memerhatikan kerusi-kerusi yang telah disusunnya.

“Setiap malam aku menyusun mimpi demi mimpi wangi yang anehnya kerap bertukar hanyir dan meloyakan. Setiap malam aku berdaya menyusun kamu, namun setiap detik aku masih belum berjaya untuk menyusun hidupku sendiri. Kalaulah aku dapat menjadi seperti si hero dalam setiap pementasan di sini, alangkah bahagianya anak isteriku, wahai kerusi! Aku … aku sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi hero, namun aku merasakan kamu seperti mengejek dan menyorakku. Alangkah sadisnya kenyataan ini.”

(a) Berikan maksud ‘menampilkan kejantanan’? [2 markah]

· Mempamerkan sifat-sifat kelelakian

(b) Pada pendapat anda, apakah tindakan si penjaga panggung untuk memperbaiki kedaifan hidupnya? [3 markah]

· Melakukan kerja sampingan

· Belajar lagi sambil bekerja untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik

· Meningkatkan kemahiran diri dalam bidang yang diminati seperti lakonan

(c) Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan dan satu nilai lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]

Nilai dalam petikan:

· Amanah : si penjaga panggung mengemas panggung dan menyusun kerusi sebaik sahaja persembahan tamat pada setiap malam.

Nilai dalam keseluruhan cerpen:

· Bertanggungjawab : si penjaga panggung bertanggungjawab menjaga panggung

· Berbangga dengan kebolehan diri sendiri : hero menasihati si penjaga panggung supaya berbangga dengan kebolehan dirinya sendiri

· Merendah diri : hero tidak sombong walaupun sering dipuji oleh penonton

Set 2 (Cerpen : Idola)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pada suatu petang, si penjaga panggung datang ke panggung meskipun dia tidak bertugas pada waktu itu, hanya bertugas pada waktu malam. Kedatangannya itu semata-mata didorong oleh keinginannya untuk bersemuka dengan si hero (memang saban petang para pelakon menjalankan latihan kerana pada sebelah malamnya harus menjayakan sandiwara).

Nasib si penjaga panggung memang ternyata baik. Dia sampai di panggung itu ketika para pelakon sudah selesai menjalani latihan. Sewaktu para pelakon bubar dan bersiap sedia untuk pulang, si penjaga panggung mendekati si hero, lalu berjabat salam dengan si hero pujaannya itu.

“Memang hebat lakonan saudara.”

“Biasa saja,” sambut si hero, merendah diri. “Hebat di atas pentas tidak semestinya saya juga hebat dalam kehidupan yang sebenarnya.”

Si penjaga panggung sedikit tertunduk, seolah-olah malu menatap wajah si hero.

“Memang saya hero dalam sandiwara ini, tetapi hero bikinan orang. Bukan hero bikinan saya sendiri. Saya menjadi hero kerana sutradara mempercayai saya untuk membawakan watak itu. Tidak lebih daripada itu,” sambung si hero.

“Tapi … tapi saudara memang benar-benar hebat. Err … maksud saya, hebat sebagai pelakon.”

(a) Apakah tujuan si penjaga panggung datang ke panggung walaupun dia tidak bertugas waktu itu? [2 markah]

· Untuk bertemu dengan si hero

(b) Pada pendapat anda, mengapakah seseorang hero sering dikagumi oleh para penonton? [4 markah]

· Hero itu seorang yang gagah

· Hero itu seorang yang baik hati

· Hero itu seorang yang tampan

· Hero sering berjaya menumpaskan kejahatan

(c) Huraikan satu perwatakan si hero yang terdapat dalam petikan dan satu perwatakan si hero yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]

Perwatakan yang terdapat dalam petikan:

· Merendah diri : hero menganggap lakonannya tidak seberapa dan tidak suka dipuji oleh si penjaga panggung

Perwatakan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen:

· Berbakat : hero berbakat besar dalam lakonan sehingga dikagumi para penonton

· Amanah : si hero menjaga mutu lakonannya kerana sedar pengarah memberi kepercayaan kepadanya

Set 3 (Cerpen : Idola)

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat

anda sendiri.

“Saudara, kita selalu lupa pada kenyataan yang membeliti hidup kita sebenarnya. Kita lebih terkesima akan sesuatu yang pada lahirnya tampak cemerlang dan cerlang sinarnya, walhal di sebaliknya tidak lebih daripada seberkas sampah yang hanya layak digilai lalat dan gagak. Hindarilah diri saudara daripada menjadi lalat dan gagak, saudara.”

Si penjaga panggung terus melongo.

“Saudara, bukankah hidup ini bagai sandiwara?”

Si penjaga panggung mengangguk-angguk lesu.

“Sudahlah, saudara. Kembalilah kepada diri sendiri. Kehidupan di luar panggung lebih menuntut perjuangan yang sesungguhnya. Lupakanlah kehidupan di dalam panggung ini. Kehidupan di sini hanya sementara. Saya … saya sendiri tidak akan selamanya memegang watak hero. Lambat-laun kehidupan saya di atas pentas ini akan berakhir jua. Sebenarnya saya lebih terkesima pada kehidupan di luar panggung, bukan di dalam panggung ini.”

Si penjaga panggung terus mengangguk-angguk.

“Saudara, apa sebenarnya yang ingin saudara dapatkan daripada saya?”

“Err … . Tidak ada apa-apa. Saya … saya cuma mengagumi saudara.”

“Saudara ingin menjadi seperti saya yang selalu diberi kepercayaan memegang watak hero?”


(a) Apakah nasihat si hero kepada si penjaga panggung? [2 markah]

· Kembali kepada diri sendiri

· Kehidupan di luar panggung menuntut perjuangan

· Kehidupan di panggung hanya sementara

(b) Pada pendapat anda, apakah ciri-ciri seorang pelakon yang sering menjadi idola kepada para penonton? [4 markah]

· Meningkatkan mutu lakonan

· Menjaga tingkah laku

· Menjaga penampilan diri

· Menjaga disiplin diri

· Mematuhi peraturan kerja

(c) Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan dua pengajaran yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [3 markah]

Pengajaran dalam petikan:

· Kita hendaklah menghargai diri sendiri dan mempunyai jati diri yang kental. Sebagai contoh ...

Pengajaran dalam keseluruhan cerpen:

· Kita hendaklah menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab. Sebagai contoh ...

· Kita tidak boleh terlalu memandang rendah kepada diri sendiri. Sebagai contoh ...

· Kita hendaklah mempunyai kekuatan untuk melawan nafsu yang boleh merosakkan diri sendiri. Sebagai contoh ...


Dipetik daripada program Jawakhir 2011 negeri Johor. Terima kasih.




Tiada ulasan: