Sabtu, 11 Ogos 2012

Latihan Gurindam Tonggak Dua Belas


Latihan Gurindam Tonggak Dua Belas

1.  Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu menghargai masa?
·        masa yang lepas tidak akan berulang lagi
·        agar kita tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan
·        dapat menyiapkan kerja kita dengan lebih sempurna

2.  Sekiranya anda merupakan seorang pemimpin, apakah ciri-ciri  
      kepimpinan yang anda harap dapat diteladani oleh rakyat bawahan?
·        bersikap amanah dalam menjalankan tugas
·        bertindak adil dalam mengambil sesuatu tindakan
·        cekap dalam menjalankan tugas

3.  Apakah nasihat penyair kepada mereka yang berbakat?
·        memberikan tunjuk ajar kepada orang lain
·        meningkatkan bakat yang ada supaya lebih maju
·        jangan bersikap sombong dengan bakat yang ada

4.  Berikan maksud rangkai kata 'baik buruk dijadikan sempadan'.
·         perkara yang elok atau tidak menyenangkan perlu dijadikan panduan hidup.

5.  Mengapakah bakat yang ada harus dikembangkan?
·        agar kebolehan diri dapat dikenal pasti
·        dapat menjadi haluan kepada kerjaya masa hadapan
·        untuk menunjukkan potensi diri agar dapat dinilai oleh orang lain

6.  Berikan pandangan anda tentang cara-cara untuk menjadi insan yang
     cemerlang.
·        melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan
·        sentiasa berfikiran positif
·        bijak dalam mengambil sesuatu tindakan
·        menghayati dan patuh kepada ajaran agama

7.  Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu bergembira semasa bekerja?
·        agar tidak mengalami tekanan perasaan atau stres
·        supaya waktu bekerja berlalu dengan cepat
·        dapat menghasilkan kerja yang berkualiti
·        suasana bekerja menjadi harmoni

8.  Mengapakah sikap berjimat cermat perlu ada pada seseorang pekerja?
·        mengelakkan berlakunya amalan membazir
·        barangan yang dibeli haruslah mengikut keperluan
·        wang yang dijimatkan dapat digunakan pada masa depan
·        dapat memaksimumkan keuntungan syarikat atau jabatan

9.  Berdasarkan gurindam tersebut, nyatakan tiga ciri penting untuk
     melahirkan pekerja cemerlang.
·        bijak menguruskan masa
·        gigih ketika menjalankan tugas yang diamanahkan
·        berseronok semasa bekerja

10.  Pada pendapat anda, apakah kesan buruk amalan suka menangguhkan
        kerja?
·        akan hilang kepercayaan orang ramai atau pelanggan
·        kerja tidak dapat disiapkan mengikut jadual
·        akan menimbulkan masalah kepada orang ramai

 11.  Apakah kebaikan nilai sabar dalam gurindam tersebut?
·        fikiran menjadi tenang
·        pekerjaan yang sukar akan menjadi mudah
·        keputusan yang dibuat tidak mengikut perasaan
 

Gurindam Tonggak Dua Belasa dipetik daripada blog   http://blteng63.blogspot.com   Terima kasih.

Latihan Seloka Si Luncai


Latihan Seloka Si Luncai

1.  Berikan maksud rangkai kata 'ada kuat tiada buat'.
·         memiliki kemampuan tetapi tidak mahu melakukan sesuatu

2.  Pada pandangan anda, mengapakah manusia perlu menghindari sikap negatif           
     dalam kehidupan mereka?
·         agar hidup mereka lebih sejahtera
·         mereka tidak mudah ditindas oleh orang lain
·         mereka dapat bersaing dalam dunia moden ini

3.  Nyatakan sikap-sikap negatif Si Luncai.
 ·         tidak menjaga rumah yang dimiliki dengan baik
·         tidak mendidik anak dengan betul
·         tidak mengusahakan tanah kebun yang dimilikinya

4.  Seloka ini mempunyai unsur jenaka melalui gambaran sikap negatif Si Luncai.  
      Nyatakan tiga tujuan unsur jenaka ini digunakan.
·          penyair mengharapkan masyarakat menjaga anak dengan baik
·          jika mempunyai kebun, hendaklah diusahakan dengan tanaman yang  sesuai
·          jika hendak belajar, hendaklah belajar betul-betul sehingga memperoleh     pengetahuan

5.  Pada pendapat anda, apakah yang akan berlaku jika ibu bapa tidak mendidik  
     anak-anak mereka dengan baik?
·         anak-anak akan bersikap tidak sopan
·         anak-anak akan gagal dalam hidup
·         anak-anak akan mudah terjebak dalam gejala sosial.

Seloka Si Luncai  dipetik daripada blog   http://blteng63.blogspot.com   Terima kasih.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Sajak Di bawah langit yang sama dan Pasar perasaan


Kepada anak-anak didik tingkatan 5PA, sila baca sajak-sajak di bawah, kemudian siapkan latihan yang disediakan. Sila gunakan ayat yang grmatis dan lengkap untuk menjawab soalan kefahaman.

Di  Bawah Langit yang Sama
( Lim Swee Tin )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Di bawah langit yang sama
Kita hirup udara
Tanpa mengira Beirutmu
Atau Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama

Maksud: Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.

Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
tiada bezanya.
Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.

Maksud: Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keistimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.

Aku inigin menyeberang Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita - warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.

Maksud: Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.

Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza
gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sama.

Maksud: Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam.



Soalan Latihan Sajak Di  Bawah Langit Yang Sama:
1.   Terangkan maksud rangkai kata ‘lebur kebencian kuburkan            
      sejarah hitam’.
   -  buangkan perasaan benci dan lupakan kisah pahit.

2.  Pada pendapat anda, apakah manfaat yang akan diperoleh jika semua  
     orang sedar bahawa mereka            setaraf antara satu sama lain?
   -   manusia akan saling menghormati hak masing-masing;
   -   manusia tidak akan bermusuhan;
   -   manusia akan saling membantu;
   -   dunia akan aman dan damai.

3.  Mengapakah penyajak menyatakan bahawa kita hidup di bawah
      langit yang sama?

   -  kita menghirup udara yang sama;
   -  pokok-pokok di London dan Washington adalah sama;
   -  mereka yang tinggal di Australia juga seolah-olah tinggal di Afrika;
   -  manusia sejagat berkongsi siang dan malam.

4.  Terangkan maksud rangkai kata ‘tiupan harapan senada’.
- memperjuangkan sesuatu hasrat secara bersama-sama dan
   bermuafakat.

5. Apakah program-program yang dapat dilakukan untuk membentuk
    persahabatan dalam kalangan masyarakat dunia?

   -  pertandingan sukan seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik;
   -  program pertukaran pelajar antara negara;
   -  misi bantuan bencana alam kepada negara yang terbabit;
   -  persidangan dunia bagi membincangkan isu-isu dunia seperti proses
      damai, kerjasama antara negara dan sebagainya.

6. Apakah harapan penyajak berdasarkan sajak tersebut?

  - manusia hanya dipisahkan oleh sempadan tetapi sempadan wajar
     sentiasa   terbuka;
  - manusia perlu berusaha untuk bersatu;
  - kita perlu membuang perasaan benci untuk mengelakkan perbalahan.

7. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mengamalkan hidup
    berbaik-baik dengan bangsa lain di dunia?
 - kita memerlukan kedatangan mereka untuk memajukan industri
    pelancongan negara;
 -  rakyat Malaysia akan melanjutkan pelajaran di luar negara;
 - kita dapat mempelajari teknologi moden, mendapatkan sumber
    makanan serta barang keperluan lain daripada mereka.

8.  Nyatakan tiga kesan buruk jika dunia tidak aman.
   -  manusia akan hidup dalam ketakutan;
   - ekonomi negara akan lumpuh;
   -menyukarkan rakyat untuk pergi ke sesuatu negara atas urusan
     penting;
  - berlaku krisis kenaikan harga minyak.

9. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menjadi penghalang
     keamanan dunia?
    -sikap tamak pemimpin yang ingin meluaskan pengaruh dan
       penguasaan  ekonomi;
    - pertubuhan dunia gagal mencegah berlakunya peperangan;
    - kuasa-kuasa besar lebih mementingkan diri sendiri.



Pasar Perasaan
(T. Alias Talib)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.

Maksud: Penulis mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.

ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.

Maksud: Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih luahan perasaan dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.

mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.

Maksud: Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang makna dan fakta kukuh. Hujah-hujah yang begitu rapuh dan mudah disangkal.

ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.

Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.

ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.

Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.

kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

Maksud: Penyajak cuba terlibat dan menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pendebat-pendebat itu lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding fakta dan ilmu.

ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.

Maksud: Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa makna.

Soalan Latihan Sajak Pasar Perasaan:

1.  Apakah yang dimaksudkan dengan ‘akal cetek’ dalam sajak tersebut?
    -   fikiran yang dangkal.

2. Berdasarkan sindiran penyajak, kemukakan pendapat anda tentang
    ciri-ciri positif yang perlu dimiliki        oleh masyarakat.
-  berfikir sebelum bercakap;
-  berpengetahuan dalam sebelum berhujah;
-  rasional dalam sesuatu tindakan

3. Pada pendapat anda, mengapakah segelintir masyarakat gemar duduk-
    duduk dan berbual di warung?
- dijadikan tempat untuk bertemu kawan terutamanya bagi golongan
   yang  telah bersara;
- berasa bosan tinggal di rumah;
- dapat berbincang dan mendengar pelbagai isu semasa.

4.  Nyatakan teguran penyajak terhadap pengunjung warung.
- menegur sikap pengunjung yang bercakap tanpa berfikir panjang
    tentang sesuatu perkara;
-  menegur sikap pengunjung yang sering berhujah tanpa bukti / fakta;
- menegur sikap pengunjung yang banyak menghabiskan masa dengan
   berbual kosong

5. Pada pendapat anda, apakah kesan buruk jika seseorang itu
    memberikan pendapat mengikut emosi?
- dirinya tidak disenangi oleh orang lain;
- merenggangkan hubungan persahabatan;
- berlakunya pergaduhan.

6. Gambarkan keadaan di pasar perasaan.
 - penjual sentimental duduk di gerai;
 - pasar tersebut dikunjungi pembeli emosional;
 - berlaku perbahasan antara pengunjung

7. Berikan maksud rangkai kata ‘terbit daripada kalbu’.
-   lahir daripada hati.

8. Bagaimanakah penyajak menggambarkan hujah-hujah yang
    diperdagangkan di pasar perasaan?
-  luahan rasa hati yang dianggap rapuh / longgar;
- kata-kata yang mudah dipatahkan kerana tidak mempunyai fakta yang
    kukuh

9. Pada pendapat anda, apakah perkara yang sepatutnya dilakukan oleh
   orang ramai yang suka menghabiskan masa di warung kopi?
- bekerja mencari rezeki;
- melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan;
- menghadiri majlis ilmu.