Kepada anak-anak didik yang dikasihi, sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan bab 1 novel Renyah. Selamat mencuba.
Latihan Bab 1:
1. Mengapakah Datuk Dolhi berasa bimbang?
2. Berapakah bilangan anak Datuk Dolhi? Siapakah mereka?
3. Apakah pekerjaan Hasnol?
4. Siapakah anak Datuk Dolhi yang menjawat jawatan sebagai guru?
5. Siapakah anak Datuk Dolhi yang menjadi pencinta alam sekitar?
6. Apakah pekerjaan Dani?
7. Bagaimanakah dengan anak Datuk Dolhi iaitu Mukhlis?
8. Ada perkara yang dirahsiakan oleh Datuk Dolhi daripada keluarganya. Apakah perkara itu? Pada
pendapat anda, wajarkah Datuk Dolhi berbuat demikian?
Blog ini bertujuan memberi bimbingan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada calon-calon yang menduduki peperiksaan SPM.
Jumaat, 14 Februari 2014
Isnin, 4 November 2013
Novel
Unsur saspens:
A) Papa...
1. Peristiwa intan Maliana dikejarkan ke hospital untuk melahirkan anak.
2. Peristiwa Intan Julia ditampar oleh Jefri kerana Jefri menghalang hubungannya dengan Rasylan selepas mengetahui bahawa Rasylan ialah anak angkat Datuk Mustaqim.
A) Papa...
1. Peristiwa intan Maliana dikejarkan ke hospital untuk melahirkan anak.
- Pembaca tertanya-tanya apakah akan terjadi kepada Intan Maliana dan kandungannya. Intan Maliana kemudian koma akibat komplikasi semasa melahirkan anak kembarnya manakala anak kembarnya meninggal dunia.
2. Peristiwa Intan Julia ditampar oleh Jefri kerana Jefri menghalang hubungannya dengan Rasylan selepas mengetahui bahawa Rasylan ialah anak angkat Datuk Mustaqim.
- Pembaca ingin mengetahui kesudahan hubungan antara Julia dengan Rasylan. Akhirnya Jefri merestui hubungan mereka berdua selepas melihat keikhlasan hati Rasylan.
B) Melunas Rindu
1. Peristiwa Fuad pulang ke Sungai Ruan untuk menjejaki keluarga sebelah ibunya dengan cuba menjejaki pusara ibunya.
- Pembaca ingin mengetahui sama ada usaha Fuad itu membuahkan hasil atau tidak. Fuad bertanya tentang ibunya kepada Swee Lim dan Swee Lan dan seterusnya menjejaki ibunya hingga ke Lembah Klau.
2. Peristiwa Fuad menaruh harapan yang tinggi mencari ibu kandungnya apabila di Lembah Klau Pak Shamsudin menyatakan bahawa Mariana masih hidup kerana pusaranya tiada di kampung itu.
- Pembaca ingin mengetahui sama ada Fuad berjaya mencari ibu kandungnya atau tidak, Akhirnya, Fuad mendapat tahu bahawa dia dan Farhana bersaudara kerana nama ibu mereka sama dan kedatangan Robert Lim mengesahkan Mariana ialah ibu kandung mereka.
C) Azfa Hanani
1. Peristiwa Azfa Hanani diarahkan ke bilik pengetua kerana pada sangkaannya dia dipanggil kerana mesalahannya mencuri buku perpustakaan akibat kemiskinan hidupnya.
- Pembaca ingin mengetahui hukuman yang akan dikenakan terhadap Azfa Hanani. Hakikatnya Azfa Hanani ditemui oleh sepasang suami isteri yang ingin meminta pertolongannya.
2. Peristiwa Azfa Hanani bertemu dengan Datin Maziah selepas diajak oleh Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz untuk menyamar menjadi Tengku Murni yang telah meninggal dunia.
- Pembaca ingin mengetahui sama ada Azfa Hanani berjaya melaksanakan tugas penyamaran sebagai Tengku Murni. Ternyata Azfa Hanani berjaya kerana Datin Maziah percaya Azfa ialah anaknya yang telah mati.
D) Renyah
1. Peristiwa Mukhlis berjumpa dengan Datuk Dolhi di pejabatnya kerana ingin meminjam wang daripada bapanya untuk berdakwah di India.
- Pembaca ingin mengetahui sama ada Datuk Dolhi bersetuju untuk meminjamkan wang kepada Mukhlis atau tidak. Datuk Dolhi enggan berbuat demikian sebaliknya menyuruh Mukhlis mencari wang sendiri.
2. Peristiwa Hasnol menemui Tengku Munir di Teratai Inn.
- Pembaca ingin mengetahui tujuan Hasnol menemui Tengku Munir. Tengku Munir mahu Hasnol mempengaruhi jabatan tender agar meluluskan permohonannya untuk projek Jambatan kota yang bernilai RM80 juta dan sebagai balasan Hasnol diberikan saguhati sebanyak RM30 ribu.
E) Konserto Terakhir
1. Peristiwa yang berlaku semasa pertunjukan Orkes Perdana yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor dan pada masa yang sama Hilmi pula jatuh sakit.
- Pembaca tertanya-tanya sama ada pertunjukan akan diteruskan dan jika diteruskan pula siapa yang akan menjadi penggantinya. Akhirnya tempat Hilmi telah digantikan oleh Hayati.
2. Peristiwa Hilmi sakit dan dikejarkan ke hospital.
- Pembaca ingin mengetahui keadan Hilmi yang sakit tenat. Akhirnya Hilmi meninggal dunia di hospital apabila semua orang telah pulang.
F) Kembara Amira
1. Peristiwa Amira dan Itai berhadapan dengan makhluk berbulu yang ditakuti oleh penghuni rimba ketika mendapatkan sebutir emas untuk Jacinta.
- Pembaca tertanya-tanya sama ada Amira dan Itai berjaya menyelamatkan diri daripada makhluk tersebut atu tidak. Mereka berdua berjaya menyelamatkan diri keranan makhluk itu ingin memburu pemburu emas.
2. Peristiwa Amira menemui mobile disk yang dipercayai milik Malique di puncak Gunung Gua Gajah.
- Pembaca tertanya-tanya sama ada tekaan Amira itu betul atau tidak. Mobile disk itu memang kepunyaan Malique yang terlibat dalam satu kemalangan.
G)Kabus di Perbukitan
1. Peristiwa kehilangan Fardah dan Iqbal berhampirand engan kawasan kemalangan tanpa meninggalkan sebarang jejak.
- Pembaca tertanya-tanya kejadian yang telah menimpa Faridah dan Iqbal sehingga sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
2. Peristiwa Faridah terjatuh ketika mandi.
- Pembaca tertanya-tanya nasib Faridah selepas itu kerana Faridah telah dibawa ke hospital dan koma selama dua minggu.
H) Sutera Dalam Lukisan
1. Peristiwa Bujei menumbuk dan menguugut Alias dengan parang selepas Alias merosakkan radio baru yang dibelinya di pekan.
- Pembaca ingin mengetahui sama ada Alias terselamat atau tidak akibat tindakan Bujei itu. Alias hanya cedera ringan dan pergaduhan mereka berjaya dileraikan.
2. Peristiwa Alias memfitnah Adila dengan menyatakan Adila menghidap AIDS.
- Pembaca ingin mengetahui kesudahan hubungan antara Bujei dengan Adila akibat fitnah yang disebarkan oleh Alias.
Isnin, 28 Oktober 2013
Kehidupan Bermasyarakat @ Semangat Kejiranan
1. Langkah-langkah menyuburkan semangat
kejiranan.
2. Langkah-langkah menyuburkan semangat
kehidupan bermasyarakat.
Kedua-dua tajuk membawa maksud yang sama. Saya
sertakan contoh karangan untuk tatapan anda.
Marcapada
ini, rata-rata kehidupan masyarakat khususnya di kota-kota metropolitan lebih
bersifat nafsi ataupun individualistik. Semangat kejiranan dan altruism dalam kalangan
warga Malaysia mulai sirna. Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan
meniti dari bibir ke bibir rakyat. Siapakah yang harus dipersalahkan? Nescaya,
sebelum nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diambil bagi
menyuburkan semangat kejiranan dalam institusi masyarakat Malaysia kembali.
Pertama, pihak kerajaan
boleh menjalankan kempen-kempen bersesuaian di peringkat kebangsaan. Modus
operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menanam sifat perpaduan dan
bersatu padu dalam kalangan rakyat. Tamsilannya, proklamasi Perdana Menteri
Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia sangat menekankan semangat
perpaduan antara semua kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah yang
wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi
mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Bak kata pepatah, “ibarat telur
sesangkar, pecah sebiji pecah semua”. Justeru, kempen-kempen anjuran kerajaan
ini amat penting untuk menyemai semangat kejiranan. Selain itu, pihak
kerajaan juga boleh melaksanakan program-program yang melibatkan semua kaum di
setiap peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Hal ini demikian kerana
punca utama kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat bertitik
tolak daripada kurangnya semangat perpaduan.
Maka, dengan adanya
pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap
sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan
sayang-menyayangi antara satu sama lain, ibarat kata perbidalan, “serumpun
seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari
Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program
“Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di
sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Jelaslah, usaha
kerajaan ini amat sesuai bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan warga
Malaysia.
Di samping itu, pihak media
turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat kejiranan.
Sarwajagat mengetahui, media merangkumi media cetak dan media elektronik.
Sehubungan itu, pelbagai kaedah boleh diusahakan bagi menyuburkan semangat
kejiranan. Media cetak misalnya boleh memaparkan artikel-artikel tentang
kepentingan semangat kejiranan manakala media elektronik pula boleh menyiarkan
dokumentari dan rancangan yang menarik dan menekankan peri pentingnya semangat
kejiranan. Usaha Majalah 3 yang menyiarkan “Colours of Malaysian”, sebuah
dokumentari mengenai semangat kejiranan dan perpaduan di Malaysia wajar
disokong. Justeru, semangat ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’
ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.
Seterusnya,
persatuan-persatuan penduduk juga perlu peka akan masalah ini. Bagi memupuk
semangat kejiranan semula, persatuan ini seperti Rukun Tetangga perlu
berbincang dan bersepakat melaksanakan program bersesuaian demi kemaslahatan
penduduk. Sebagai contoh, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan
bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. “Sepakat membawa berkat,”
begitulah kata-kata ahli falsafah silam. Malahan, menurut laporan majalah The
Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan
antara yang terbaik di dunia. Pengiktirafan sebegini menunjukkan bahawa
perpaduan yang dijana melalui aktiviti kemasyarakatan sememangnya merupakan
jalan yang terbaik bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Akhir sekali, masyarakat
sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Dalam mencipta satu resipi
makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi hasil
yang memberangsangkan. Begitu juga dengan semangat kejiranan yang ingin
dibentuk. Kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan.
Nescaya, kerjasama dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat diperlukan
bagi memanifestasikan sebuah komuniti yang bersatu. Janganlah menjadi seperti enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Malah, hasil kajian Jabatan
Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri merupakan faktor utama
kelunturan semangat kejiranan. Lantaran itulah, sesebuah organisasi masyarakat
itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi kebaikan bersama.
Secara tuntasnya, segala
usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak boleh
dicapai dalam masa yang singkat. Namun, ingatlah, “tiada gunung yang tidak
dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni”. Justeru, demi melahirkan
masyarakat yang bersatu padu, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur
dengan tebing ke arah itu. Kenanglah kembali perjuangan tokoh-tokoh patriot
negara. Jika mereka boleh lakukan, kenapa kita tidak? Tepuk dada, tanyalah
selera.
Faktor-faktor remaja merokok
Faktor-faktor remaja merokok.
Remaja
merupakan golongan yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Dalam usia yang muda
dan mencabar ini, mereka mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental.
Perubahan demi perubahan ini menyebabkan ada dalam kalangan remaja yang
terpengaruh untuk berjinak-jinakdengan tabiat merokok.
Oleh hal yang demikian, kadar perokok remaja semakin merebak bak
cendawan tumbuh selepas hujan. Realitinya, remaja pada masa ini
semakin berani merokok di mana-mana sahaja tanpa segan silu. Saya berpendapat
bahawa banyak faktor yang menyebabkan gejala merokok terus merebak dalam
kalangan remaja.
Mengikut kajian yang dijalankan, kelemahan penguatkuasaan undang-undang merupakan faktor utama yang menjadi pemangkin gejala merokok dalam kalangan remaja. Hal ini berlaku kerana pihak berwajib dikatakan tidak serius melaksanakan undang-undang yang digubal. Oleh sebabpihak berkuasa bersikap melepaskan batuk di tangga, remaja menjadi tidak takut waimatidak gentar untuk melakukan kesalahan seperti merokok di tempat-tempat awam. Lama-kelamaan, fenomena merokok dalam kalangan remaja bagai bisul menjadi nanah yang sukar diubati lagi.
Selain kelemahan penguatkuasaan, pengaruh media massa yang bebas menyiarkan iklan juga merupakan penyumbang kepada masalah merokok dalam kalangan remaja. Remaja yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang sudah pasti mudah terpengaruh dengan ledakan iklan daripada media massa. Kajian juga mendapati remaja dan golongan muda-mudi merupakan penonton tertinggi siaran media. Oleh sebab itu, iklan rokok dan poster konsert yang ditaja oleh pihak pekilang rokok mudah meresap dalam jiwa remaja yang mendahagakan keseronokan. Remaja memang mudah mempelajari apa-apa sahaja tontonan mereka. Oleh hal yang demikian, kebanyakan remaja memberanikan diri membeli dan memegang rokok kerana pengaruh media massa.
Di samping itu, kawan merupakan insan yang paling istimewa dan memainkan peranan yang penting dalam pergaulan remaja. Walau bagaimanapun, ada antara remaja yang cuba merokok selepas dicabar atau diajak oleh kawan-kawan. Hal ini tidak mustahil kerana hubungan antara kawan yang rapat bagai isi dengan kuku sedikit sebanyak merangsang kepercayaan remaja terhadap kata-kata kawan mereka. Oleh sebab menjadi pak turut kawan, majoriti mereka sama-sama ponteng sekolah, sama-sama membeli rokok lalu merasai asap rokok tanpa menyedari kebahayaan rokok. Selepas terjebak dan ketagihan rokok, remaja tidak dapat mengelakkan diri daripada tabiat buruk ini lagi.
Ibu bapa yang kurang memberi kasih sayang dan tidak prihatin akan perubahan sikap anak-anak juga merupakan faktor remaja merokok. Hal ini demikian kerana ibu bapa pada zaman berteknologi ini terlalu sibuk mengejar kebendaan dan kemewahan sehingga mengabaikan tanggungjawab keibubapaan mereka. Sikap ibu bapa ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka sanggup mengabaikan kasih sayang dengan memberi wang kepada anak-anak mereka sebagai gantian kasih sayang. Anak-anak yang belum berfikiran matang pula menyalahgunakan wang tersebut tanpa kawalan ibu bapa. Hal ini menyebabkan remaja dapat membeli rokok dengan mudah kerana harganya masih murah.
Secara tuntas, saya berpendapat bahawa gejala merokok sebenarnya dapat diatasi sehingga akar umbi. Namun begitu, semua pihak haruslah bersikap bagai aur dengan tebing untuk bekerjasama membanteras gejala merokok dalam kalangan anak-anak. Remaja haruslah bangun daripada kesalahan yang dibuat oleh mereka kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh hal yang demikian, penjagaan kesihatan diri ialah tanggungjawab sendiri. Jika kita berkesedaran dan berfikiran matang, nescaya dapat meningkatkan tahap kesihatan diri dengan menjauhi tabiat merokok. Saya berharap pihak berkenaan, terutamanya kerajaan dapat mempergiat kempen antimerokok agar remaja dapat menjauhi gejala merokok yang mampu membawa maut dalam jangka masa panjang.
Terima
Kasih Cikgu Tan CL
Sabtu, 26 Oktober 2013
NOVEL SPM 2013
CALON SPM 2013, TOLONG BERI TUMPUAN TERHADAP TAJUK-TAJUK BERIKUT:
- UNSUR PENGAJARAN
- TEMA
- SASPENS
- WATAK SAMPINGAN
1M1S
Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.
Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi “ulat buku” kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Oleh itu, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan.
Akhir sekali, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.
Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’
LATIHAN CERPEN TINGKATAN 4
KOMSAS
(CERPEN)
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Itulah detik-detik yang tidak dapat aku
lupakan. Aku menyesal dan memohon ampun
banyak-banyak daripada ibu. Aku sendiri
tidak sedar sewaktu aku menjerit itu.
Barangkali niatku bukan kutujukan
kepada ibu, tetapi kepada orang lain.
Dan siapa orang lain itu tidak pula dapat aku pastikan. Kalau tidak kepada ibu, kepada siapa lagi
kalau bukan kepada diri sendiri.
Hal itu menusuk masuk ke dalam diriku
hinggalah ibu meninggal. Ibu meninggal dengan aman damai. Tidak sedikit pun menempuh kerumitan. Malam itu kami sudah pun berkumpul kerana ibu
mulai memandang langit. Isteriku membaca
Yasin. Aku duduk di sisi ibu sambil berbisik ke
telinganya tidak putus-putus agar ibu jangan lupakan Allah.
Ceper masih keruh airnya, tetapi masih
sedikit-sedikit boleh mengalir meskipun langkahnya lambat kalau dibandingkan
dengan waktu ibu rancak melompat ke sana dan berlari ke sini dulu. Waktu itu Ceper bukan main lagi cergasnya
bagaikan hendak bertanding dengan kecergasan ibu sendiri.
Tetapi semenjak ibu lumpuh dan
kemudian ibu mati, Ceper langsung tidak berbusa dan berombak lagi. Tebing-tebingnya pun tidak ditendang
lagi. Lubuk-lubuknya pun tidak dikorek
lagi, kerana Ceper mulai kenyang sangat-sangat dengan serbaneka serdak yang
bersisa.
(Dipetik daripada Ibu dan Ceper
oleh Shanon Ahmad dalam antologi Harga Remaja, DBP)
I) i) Berikan dua bukti yang menunjukkan ‘aku’ menyedari kesilapannya terhadap
ibu.
- ‘aku’ menyesal
- ‘aku’ memohon ampun daripada ibu (2
markah)
II) Sekiranya anda ialah ‘aku’, nyatakan tiga cara yang boleh anda lakukan untuk memulihara Sungai Ceper.
- gotong royong membersihkan sungai
- melapor kepada pihak berkuasa jika
melihat orang membuang sampah ke
dalam
sungai
- tidak membuang sampah ke dalam
sungai
- tidak menyalurkan najis ke dalam
sungai
(3
markah)
III) iii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain yang terdapat
dalam keseluruhan cerpen tersebut.
Pengajaran daripada petikan
- kita mesti menyayangi ibu bapa –
‘aku’ dan isterinya menjaga ibu yang
lumpuh
-
kita mesti menghargai sungai – tidak membuang sampah ke dalam sungai
(2
markah)
Pengajaran daripada
keseluruhan cerpen
- kita mesti berani menghadapi
cabaran hidup – ibu berani menentang banjir
untuk
menyelamatkan padi
- kita mesti gigih bekerja – ibu
gigih mengerjakan sawah
- kita mesti bertanggungjawab
menyara keluarga – ‘aku’ dan isteri bekerja di
sawah untuk
menyara keluarga
- kita mesti sabar dalam menghadapi
masalah keluarga – ibu bersabar dalam menghadapi karenah ayah yang leka dengan
burung ketitir.
(2 markah)
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Sebelum itu ibu tidak pernah berleter
apa-apa, malah ibu bagaikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki burung
ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat- bulat kepada
ibu. Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah
pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit.
Nyaring betul suara ibu.
“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih
cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”
Mungkin suara ibu macam suara air Ceper
yang memukul dan membedal tebing hingga tanah-tanah, hingga terbongkah
perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing.
Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang
denaknya ke paku di conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh
untuk menolong ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap. Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa
juga.
Himbauan air ceper kuat sangat sehingga
bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.
(Dipetik daripada ‘Ibu dan Ceper’ oleh Shanon Ahmad dalam antologi Harga
Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
I) i) Berikan dua perwatakan bapa menurut pandangan ibu. (2 markah)
- tidak sedar diri
- tidak bertanggungjawab
II) ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga
langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah
banjir. (3
markah)
- mengadakan kempen cintai sungai
- mendalamkan sungai supaya air
sungai tidak melimpah
- mendenda orang ramai yang membuang
sampah ke dalam sungai
membina penebat banjir
- membersihkan sungai daripada
sampah sarap
- mengesyorkan pendidikan alam sekitar di
sekolah
III) iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen
tersebut.
(4 markah)
Persoalan daripada
petikan
- sikap tidak bertanggungjawab dalam
keluarga - bapa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana
asyik berdenak ketitir
- kesan bencana alam - masalah
banjir memusnahkan tanaman padi hingga menyusahkan penduduk kampung
(2 markah)
Persoalan daripada
keseluruhan cerpen
- masalah pencemaran alam sekitar -
sampah sarap dibuang ke dalam
sungai
- kurangnya kesedaran masyarakat
terhadap penjagaan alam sekitar –
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam
sampah ke dalam
sungai.
- kasih
sayang yang terjalin antara manusia dan alam - kasih sayang aku
kepada ibu dan sungai yang
menjadi sumber air dan rezeki di
kampungnya.
- masalah kemiskinan penduduk
kampung - penduduk kampung bergantung sepenuhnya
kepada air sungai untuk kegunaan harian.
- semangat kejiranan-bergotong
royong ketika majlis kenduri
- peranan anak terhadap ibu bapa-
anak menjaga ibu bapa yang sakit
(2
markah)
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Pak Itam masih berdiri di pintu
pagar menunggu tamu. Walaupun hari sudah tinggi, tamu yang jauh masih tidak
nampak muka. Tempat letak kereta hanya ada dua tiga buah. Kereta yang
lalu-lalang, bas dan teksi meluncur laju, tidak nampak oleh Pak Itam tanda-tanda akan berhenti. Di manakah
jemputan yang lain? Di manakah budak-budak surat khabar? Televisyen pun tidak
ada. Yang datang hanya anak-anak Langat, itu kerana adanya kumpulan Kopratasa.
Pak Itam tiba-tiba menjadi sayu.
Terlalu cepat orang melupakan jasa dan pengorbanan orang tua. Pak Itam bukan
minta disanjung, Pak Itam bukan minta dihormati tetapi sekadar ingin bersua
muka. Pak Itam menarik sapu tangan dalam poket baju Melayunya, terketar-ketar
menyapu peluh yang mulai merintik di seluruh mukanya.
Tuk Mat yang ikut mengerumuni
pentas, terpesona dengan persembahan Teater Malini, cepat terasa. Dia terus
mendapatkan Pak Itam yang masih tercegat di pintu pagar menunggu tamu, tetapi
tamu yang diharapkan tidak datang.
“Saya dah jemput semuanya, pak,
orang surat khabar dan pihak TV saya hantar sendiri.” Tuk Mat bersuara, ingin
membela dirinya apabila melihat keredupan di wajah Pak Itam.
(Dipetik daripada cerpen
Memori Seorang Tua oleh Zahari
Affandi , dalam Antologi
Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka
2009)
i) Mengapakah
Pak Itam berasa sayu?
- orang melupakan jasa dan
pengorbanannya kepada negara
[2 markah]
ii) ii) Pada
pendapat anda, bagaimanakah cara untuk meningkatkan kesedaran pelajar agar
tidak melupakan jasa pejuang tanah air?
- mengadakan pertandingan menulis
esei / folio / buku skrap tentang tokoh
pejuang Negara
- mengadakan sambutan hari pahlawan
di peringkat sekolah
- menamakan bilik-bilik khas /
lorong / kelas dengan nama tokoh pejuang
[3 markah]
iii) iii) Huraikan satu persoalan berdasarkan petikan di atas dan satu persoalan berdasarkan keseluruhan cerpen.
Persoalan daripada petikan
- masyarakat yang tidak menghargai
pejuang negara – Pak Itam berasa sedih
kerana jasa dan pengorbanannya tidak dihargai.
(2 markah)
Persoalan daripada cerpen
- kesediaan
menghadapi cabaran
- Pak Itam terpaksa menempuh halangan
dalam
perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana
perjuangannya
Pertentangan dengan dasar pemerintahan
pada masa itu.
- tanggungjawab
terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa - Atas
dasar
tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk
bangsa Melayu kerana dia
ingin
melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak
menjadi
hamba di negara sendiri.
- jati diri yang
teguh -
Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh
dari usia
muda sehingga usianya mencecah 85 tahun. [2
markah]
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Pak Itam mengiring langkah Tuk Mat
yang bertubuh sasa itu dengan perasaan yang penuh kesyukuran. Budi Tuk Mat
bukan sedikit, kalaulah Tuk Mat tidak ada, hajat dan niatnya sudah tentu tidak
akan tercapai.
Kalau harapkan dia untuk menguruskan
segala-segalanya, manakan terdaya. Usahkan untuk ke sana ke mari, mahu
mengheret punggung sendiri pun rasanya sudah tidak terdaya. Tuk Mat dan
keluarganya dirasakan sudah jadi bukan orang lain lagi. Rogayahlah yang
menjaganya. Halimah anak gadisnya, bersama-sama Rokiah, selang berganti,
menghantar nasi dan mengambil kain baju untuk dicuci. Yang memeningkan kepala
Pak Itam, apabila dibagi duit, baik Tuk Mat, isterinya, Halimah dan Rokiah
semuanya menolak. Moga-moga Tuhan sahaja yang akan membalas budi Tuk Mat
sekeluarga.
Selepas sembahyang asar, ketika Pak
Itam menghulur kepala ke luar tingkap, semua khemah sudah terdiri, kain belon
yang berwarna-warni, biru, merah, kuning dan hijau, semuanya ada lapan buah,
beralun dan berombak ditiup angin petang.
Isa, Latif, dan Jali tersengih di
bawah khemah dekat busut jantan yang dikelilingi oleh rumpun pohon pisang lemak
manis. Mereka berhenti rehat setelah habis menampal dan menyusun atur segala
potongan akhbar, majalah, buku-buku, dan
gambar-gambar Pak Itam untuk pameran.
(Dipetik
daripada cerpen Memori Seorang Tua oleh Zahari Affandi , Dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i) i) Apakah
pertolongan yang diberikan oleh keluarga Tuk Mat kepada Pak Itam.
-
Rogayah menjaga Pak Itam
- Halimah dan Rokiah
selang berganti menghantar nasi dan mengambil kain baju Pak
Itam
untuk dicuci
[2
markah]
ii) ii) Pada
pendapat anda, apakah kebaikan amalan saling membantu dalam masyarakat?
- memudahkan sesuatu
pekerjaan
- mewujudkan
persefahaman antara satu sama lain / mengelakkan
persengketaan / - mewujudkan keharmonian dan
toleransi dalam sesebuah
masyarakat / perpaduan
- menjimatkan masa,
wang dan tenaga
[3 markah]
iii) iii) Jelaskan
satu perwatakan Tuk Mat
berdasarkan petikan di atas dan satu
perwatakan Tuk Mat dalam keseluruhan cerpen.
Perwatakan daripada petikan
- Ikhlas memberi bantuan / Baik hati
– tidak menerima/menolak wang
daripada Pak Itam (2 markah)
Perwatakan daripada keseluruhan
- rajin – membantu menguruskan persiapan
majlis ulang tahun kelahiran Pak
Itam.
- seorang yang boleh
diharap – Pak Itam mengatakan bahawa Tuk Mat boleh
diharap berbanding Isa dan Latif dalam
melakukan sesuatu pekerjaan.
(2 markah]
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
“Cekodok aje? Airnya pula macam air Sungai Kelang!” rungut
Israk bagaikan tuan besar.
“Abang ni macam perempuan. Cerewet tidak semena-mena. Makan sajalah! Atau abang mati kebuluran.” Asap kemarahan dilepaskan sedikit demi
sedikit.
“Buang masa saja tinggal di sini!” Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi
telinga Mikraj.
Bersarang perasaan geramnya di dalam hati
apabila Israk beredar. Lagak Israk
menewaskan orang yang berlagak. Dia
masih belum sedar daripada mimpinya.
Agaknya kalau ditimpa musibah baru dia akan sedar. Sudah terhantuk baru tengadah.
Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.
“TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan
suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.
Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah
meja. Mikraj menapak ke ruang tamu
seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya
memandang Israk yang mundar-mandir di situ.
Bagaikan cacing kepanasan.
Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah,
Kampung Sayong.
(Dipetik
daripada cerpen Israk oleh Erda Roslan Khairi dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) Mengapakah
Israk dikatakan cerewet?
- Merunggut kerana dihidangkan cekodok sahaja
- Tidak puas hati
dengan air minumannya [2
markah]
ii) Pada
pendapat anda, bagaimanakah caranya kita menyesuaikan diri apabila berada di tempat orang lain?
- Menghormati adat masyarakat setempat
- Rendah diri
- Mempelajari bahasa
dan budaya
- Menghadiri /
menyertai majlis-majlis yang diadakan [3 markah]
iii) Huraikan
satu persoalan yang terdapat dalam
petikan dan satu lagi daripada
keseluruhan cerpen.
Persoalan
dalam petikan
- Soal
ketidaksesuaian hidup di luar bandar – Israk berasa tidak selesa
dengan keadaan hidup di rumah Wah.
- Soal keegoan anak
muda – Israk merungut dengan hidangan cekodok dan
air sewaktu berada di rumah Wah [2
markah]
Persoalan
daripada keseluruhan cerpen
- Soal jati diri –
Israk yang dibesarkan di Perth Australia tidak mempunyai jati
diri ketimuran
kerana persekitaran dan cara dia dibesarkan / Mikraj kukuh
dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran
- Soal kasih sayang
nenek terhadap cucunya – Wah menyayangi Israk
walaupun cucunya itu amat ego dan melukakan
hatinya. [2 markah]
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Israk memandang Mikraj, Mikraj
tunduk. Israk bangun, Mikraj berundur.
“Mengapa paksa aku? Aku bukannya nak jadi petani. Nanti aku bergelar ahli korporat.”
“Abang terlalu bangga, riak, ujub, sombong,
bongkak, dan takbur! Kalau Allah tarik
balik rezeki tu, macam mana? Abang jadi
apa? Ahli keparat? Andai kata negara memajukan sektor pertanian,
abang ke mana? Mungkin abang jadi ahli
keparat yang memetik buah-buahan tempatan.
Tak mustahil semua ini akan berlaku”
“Aku bukan kau. Kalau kau pergi, kau boleh cipta lima enam
puisi. Tapi, kalau aku, ia hanya
membuang masa. Lebih baik aku duduk di
rumah saja.”
“Abang mahu jadi teruna yoghurt?” uji Mikraj.
“Lebih baik daripada kau yang liar tu,”
sambung Israk membela diri sekali gus menggelapkan lagi warna merah di jiwa
Mikraj.
“Kalau abang kata saya liar, abang tu lagi
liar. Akar hati abang ke sana ke mari
mencari kesalahan orang. Pucuk hati
abang pula menari tanda riak, ujub, sombong, berlagak!” Bom radang Ghaza dilepaskannya.
“Hii, mengapa gaduh-gaduh ni! Adik-beradik tidak manis bertikam lidah. Kata orang tua-tua carik-carik bulu ayam
bercantum jua akhirnya. Tapi, kamu
berdua ni bila nak bercantum?” Wah mula masuk campur.
(Dipetik
daripada cerpen Israk oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja, DBP)
i) Mengapakah
Mikraj menyatakan bahawa Israk seorang yang liar?
- Israk sentiasa mencari kesalahan orang lain
- Hati sanubari Israk
menebal dengan keegoan / riak, ujub, sombong, berlagak
[2 markah]
ii) Pada
pendapat anda, apakah cara untuk melahirkan remaja yang memiliki
keteguhan
jati diri?
- Mengikuti aktiviti persatuan belia
- Menyertai Program
Latihan Khidmat Negara
- Menerapkan nilai-nilai
murni
-Pegangan agama yang kukuh [3
markah]
iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar
masyarakat lagi daripada keseluruhan
cerpen.
Latar
masyarakat dalam petikan
- Masyarakat bandar yang sukar menyesuaikan diri
dengan kehidupan di
kampung Israk merasakan ketidakselesaan sewaktu berada
di rumah Wah
- Masyarakat yang sombong dan tinggi diri –
Israk sering bertikam lidah
dengan Mikraj kerana tidak biasa dengan
keadaan di rumah Wah
[2
markah]
Latar
masyarakat daripada keseluruhan cerpen
- Masyarakat yang
menghormati orang tua – Mikraj amat menghormati Wah
- Masyarakat yang
bertanggungjawab – Adam membiasakan anak-anaknya
dengan kehidupan di kampung agar mereka
tidak sombong dan lupa diri
- Masyarakat penyayang – Wah amat menyayangi
cucu-cucunya
[2 markah]
Baca petikan di bawah
dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan
ayat anda sendiri.
Sebaik-baik
duduk, sesuatu yang maha menyakitkan menyembur di bawah meja. Sebotol asid yang terkuis kaki Um
tumpah. Um menggelupur dan meraung
kesakitan. Seisi keluarga menjadi
gempar, rutup dan ruwet.
Ibu yang sedih kian berasa tertekan
dengan perbalahan anak-anak, menelan air
mata hiba. Ibu tidak pernah mendidik anak-anak berkelahi dan bermusuh-musuhan
untuk mendapatkan sesuatu. Angin sakit
berbuku di hulu hati ibu. Kerana tidak tertanggung dengan kesedihan yang
dipendam, ibu kejang kaki tangan serta seluruh badan bahagian kiri. Ibu
diserang angin ahmar.
Us, Uk, Ul dan yang lain-lain
menafikan apabila ditanya apakah mereka yang bertanggungjawab meletakkan botol
asid itu di bawah meja?
Um menuduh Uj yang mengkhianatinya
kerana takutkan kekalahan. Sementara Uj
menuduh Um yang meletakkannya di situ dengan hasrat mencederakan Uj kerana
tidak mahu dikalahkan.
(Dipetik
daripada cerpen Pemain Catur oleh Zaharah Nawawi
dalam
Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa
dan Pustaka)
i) i) Berdasarkan
petikan, apakah kesan perbalahan anak-anak terhadap keadaan ibu?
- ibu sedih
- berasa tertekan
dengan perbalahan anak-anak
- menelan air mata
hiba
- ibu kejang kaki
tangan serta seluruh badan bahagian kiri
(2 markah)
ii) Pada
pendapat anda, bagaimanakah kita mewujudkan keharmonian dalam keluarga?
- Saling menghormati
- Saling memahami
- Saling mengasihi
- Bertolak ansur /
bertoleransi (3 markah)
iii) Huraikan
satu persoalan dalam petikan di atas
dan satu persoalan lain daripada
keseluruhan cerpen.
Persoalan daripada petikan
-
perpecahan dalam keluarga – Uj dan Um sanggup saling menuduh sesama
sendiri tentang orang yang meletakkan asid
di bawah meja
- sikap mementingkan diri sendiri –
Sikap Uj dan Um yang tidak mahu
mengalah dan mahu menang menyebab mereka
bertelagah. Sedangkan
hubungan mereka adalah sedarah iaitu
adik-beradik.
[2 markah]
Persoalan daripada keseluruhan
cerpen
- kepentingan sukan – sukan catur
boleh memperkenalkan nama atau
keturunan sesebuah keluarga
-
kepentingan latihan dalam memantapkan sesuatu kemahiran – Um dan Uj
berlatih bermain catur untuk memantapkan
kemahiran dalam permainan
catur
-
peranan anak dalam meneruskan legasi keluarga dalam sesuatu bidang – Uj menurunkan kemahiran bermain catur
kepada Um supaya Um mampu
meneruskan kemasyhuran nama keluarga al-Hakam
(2 markah)
Baca petikan cerpen
di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
“Kita ialah zuriat kebanggaan,
kerana mampu meneruskan tradisi keluarga menjadi pemain catur yang disegani.”
Uj memberi kuliah panjang kepada Um yang ketika itu masih muda remaja.
“Tapi Um tidak tahu apa-apa tentang
catur. Um Cuma pandai main dam sedikit-sedikit. Dam haji dan dam apit. Itu
saja.” Um merenung mata Uj yang tersorok di bawah cermin hitam yang dipakai Uj
siang malam.
“Pandai main dam ialah permulaan
kepada catur.” Uj menentang mata muda adiknya yang gemerlap dengan cahaya kepintaran.
Uj menggilap bakat Um dengan apa
cara jua. Adik-adik lain tidak sesuai dengan jiwa Uj. Yang dia nampak Um sahaja
punya bakat anugerah alam semula jadi. Um akan lebih mudah dibentuk. Tegal itu
Uj hanya akan mengasuh Um. Diharap Um dapat menjadi tonggak keluarga
menggantikannya apabila dia tiada nanti. Adik-adik yang lain boleh saja
diketepikan. Um bertuah kerana diberi hak mutlak berbuat begitu. Itulah hak
keistimewaan Uj sebagai ketua keluarga yang dihormati.
Dipetik daripada cerpen
Pemain Catur oleh Zaharah Nawawi dalam antologi
Harga Remaja, Dewan Bahasa dan
Pustaka)
i) i) Kemukakan
dua sebab Uj ingin menggilap bakat
Um dalam permainan catur.
- Um mempunyai bakat
semula jadi dalam permainan catur.
- Um juga mudah
dibentuk / dilatih
(2
markah)
ii) ii) Pada
pendapat anda, nyatakan tiga usaha
yang perlu diambil untuk menggalakkan lebih ramai golongan remaja melibatkan
diri dalam permainan catur.
- Sekolah
menganjurkan lebih banyak pertandingan catur.
- kerajaan boleh
mengadakan kempen berkaitan catur kepada masyarakat.
- Ibu bapa juga boleh
menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam
permainan catur melalui sokongan dan
galakan. ( 3 markah)
iii) iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas
dan satu latar masyarakat lain yang
terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
Latar
masyarakat dalam petikan
- masyarakat yang
bercita-cita tinggi untuk menjulang kegemilangan keluarga
dalam permainan catur - Uj yang berusaha
membimbing adiknya, Um untuk
menguasai permainan catur bagi menyambung
tradisi kegemilangan
keluarga mereka dalam permainan catur.
- masyarakat yang
berpecah-belah dalam keluarga akibat perbalahan –
perbalahan antara Um dan Uj dalam permainan
catur sehingga keluarga
mereka berpecah-belah.
- Masyarakat yang
mahir dalam permainan catur - keluarga Uj.
- Masyarakat yang
bangga dengan keturunan - Uj yang
seringkali
menceritakan
kehebatan keluarganya dalam permainan catur kepada Um.
(2 markah)
Baca petikan cerpen
di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Dalam kesibukan dan kebisingan bunyi
mesin tulis dan komputer bercampur baur dengan deringan telefon dan suara manusia,
seorang lelaki berjalan ke arahnya yang sedang berdiri di samping Farid. Farid memang banyak mempunyai kawan kenalan
di sana. Berhenti di tiap-tiap meja. Menyapa dan bersalaman.
“Ini Syahid,” kata Farid
memperkenalkan lelaki itu kepadanya.
“Rasanya
kita sudah pernah berjumpa,” kata Syahid agak tidak malu apabila dia
menghulurkan tangan sebaik sahaja mereka diperkenalkan. Perasaannya tergugah
sedikit. Darah tersimbur naik ke mukanya. Seluruh kulit mukanya menjadi merah.
Dia pun tiba-tiba menjadi gugup. Di mana? Mahu sahaja dia percaya pada waktu
itu bahawa Syahid ini benar-benar penjelmaan daripada Hisyam. Aku tidak pernah
bertemu dengan orang ini sebelum ini, bawah sedarnya berbisik. Namanya, ya
pernah aku dengar sebab selalu disebut-sebut oleh Farid apabila sahaja
makalahnya tersiar dalam surat khabar itu. Syahid yang menolong menyiarkannya.
Nama Syahid juga selalu muncul dalam
akhbar itu kerana rencana yang ditulisnya di halaman rencana pengarang atau ada
berita by line. Hanya dari situ sahajalah
dia mengetahui nama lelaki itu, tetapi berjumpa belum.
(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah Hussain dalam antologi Harga Remaja, DBP)
i)
Apakah reaksi Mellisa apabila Syahid memperkenalkan dirinya?
- perasaannya tergugah
- berasa malu / mukanya menjadi
merah
- berasa gugup (2 markah)
ii) Pada
pendapat anda, bagaimanakah seseorang harus menyesuaikan diri ketika berada dalam sesuatu majlis?
- memberi salam / menyapa
- beradab sopan (pakaian, tutur
kata, perbuatan)
- beramah mesra / berbual / bergaul (3 markah)
iii) Huraikan satu latar masyarakat dalam petikan dan satu latar masyarakat
daripada
Keseluruhan cerpen.
Latar masyarakat dalam petikan
- Masyarakat yang peramah. Contoh, Syahid menghulurkan tangan kepada
Mellisa sebaik sahaja
diperkenalkan oleh Farid.
- Masyarakat penulis. Contoh, Syahid merupakan penulis rencana
dalam
akhbar.
(2 markah)
Latar masyarakat daripada
keseluruhan cerpen
- Masyarakat
muda yang amat cinta akan negara.
Contoh, Mellisa amat cinta
akan negara lebih-lebih lagi
setelah mengetahui peristiwa yang
menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya
dahulu.
- Masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni. Contoh, Keluarga Mellisa
yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan
keluarga Hisyam
dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku.
- Masyarakat
pelajar yang gigih. Contoh,
Mellisa amat tekun menyiapkan
tesisnya dengan membuat rujukan
terperinci dengan menyemak pelbagai
dokumen, buku, akhbar dan majalah.
(2
markah)
Baca petikan cerpen
di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Dia mulai suka dengan anak muda ini.
Sifatnya yang terbuka itu menyenangkan hatinya. Dia suka mendengar bicaranya.
Suka melihat mimik mukanya. Suka melihat senyumannya. Dia seperti Hisyam.
Barangkali juga Syahid telah jatuh cinta kepadanya dengan pertemuan pertama
itu. Melihat gerak-gerinya yang agak kaku itu dia rasa yakin tentang
anggapannya. Dia rasa Syahid sedang berusaha sungguh-sungguh untuk memikat
perhatiannya. Ya, dia sudah terpikat pun dengan lelaki itu. Sebab itu tanpa
banyak kerenah dia menerima ajakannya untuk makan tengah hari pada Sabtu depan.
Dia menolak ajakan makan malam kerana terpaksa balik ke Seremban. Sebab itu
jadual rutinnya pada tiap-tiap hujung minggu. Rumahnya di Seremban. Ibu bapanya
di sana.
Dalam perjalanan pulang dari pejabat
surat khabar itu, dia mulai diam. Perasaannya sedang bersimpang-siur. Dia cuba
menilai kembali kisah pertemuannya dengan Syahid sebentar tadi. Mengapa dia
begitu lekas tertarik kepadanya? Adakah kerana dia serupa dengan Hisyam?
(Dipetik daripada cerpen Mellisa oleh Abdullah
Hussain dalam antologi
harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) Apakah sebab-sebab Mellisa menyukai
Syahid?
- bersikap terbuka
- suka mendengar bicaranya.
- suka melihat mimik mukanya.
- suka melihat senyumannya.
- Syahid seperti Hisyam ( 2 markah)
ii) Pada pendapat anda, apakah
alasan-alasan untuk menolak ajakan daripada seseorang
yang tidak kita kenali?
- memerlukan masa untuk mengenalinya
- sibuk dengan urusan yang lebih
penting
- takut difitnah / pandangan serong
masyarakat
- bimbang akan keselamatan diri (3
markah)
iii) Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam cerpen ini dan satu daripada
keseluruhan cerpen.
Persoalan daripada petikan
- Sikap berhati-hati dalam
perhubungan dengan orang lain. Contoh,
Mellisa berhati-hati dalam perkenalannya dengan
Syahid.
(2
markah)
Persoalan daripada keseluruhan
- Persoalan
pengorbanan diri untuk negara. Contoh, Mellisa
sanggup
mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai
untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.
- Persoalan
persengketaan antara kaum. Contoh, Hasyim dan
ibunya telah
menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa
dalam perjalanan
pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium
Negara.
Baca petikan cerpen
di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
“Ayah
tidak boleh dipisahkan daripada samudera itu.
Ayah ialah samudera. Samudera ialah ayah.” Mulut Mir terus sahaja
terkumat-kamit.
Hakimah
mengeluh. Dipeluknya bahu Mir. Ada kengiluan mengalir dalam diri. Mir harus
diselamatkan sebelum segala-galanya menjadi pudar. Mir sahabatnya yang baik.
Dan dia juga harus menjadi sahabat yang baik kepada Mir.
Siapa
lagi yang ada di kampus hijau ini melainkan dia? Mir tidak ada orang lain lagi.
Ibu Mir tidak ada sebaik saja Mir dilahirkan. Mir cuma ada seorang ayah yang
sudah tua.
Mir
tidak memiliki apa-apa pun selain orang tua yang bersemangat waja itu. Mir
tidak ada setapak tanah pun miliknya yang sah. Benarlah. Mir kecawa.
“Samudera
itu juga terseksa seperti aku, Hakimah. Dia sakit. Dadanya bergelora. Dia
disakiti oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak berhati
perut. Mereka sengaja mahu melihat samudera menderita.”
Mir
menyeringai. Kemudian Mir memejamkan mata. Di dalamnya hanyut bayangan ayah.
Ayah menggawang-gawangkan pukatnya. Ayah mengacung-acungkan pendayungnya.
“Pembangunan
mewah itu telah menciptakan pisau tajam yang membenam di dalam dada ayah.
Tajamnya melebihi dayung ayah yang saban waktu membelah samudera.”
(Dipetik daripada cerpen
Biarkan Samudera oleh Raihanah Salleh dalam
antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa
dan Pustaka)
i)
I) Mengapakah Hakimah berasa perlu
membantu Mir?
- Sahabat baik
- Mir tidak ada ibu
- Ayahnya sudah tua
- Tidak memiliki
apa-apa harta / tidak ada setapak tanah pun miliknya yang
sah [2
markah]
ii) ii)Pada pendapat anda, nyatakan tiga
punca berlakunya pencemaran laut?
- Pembuangan sisa
toksik kilang
- Tumpahan minyak
dari kapal
- Pembuangan bahan
sisa domestik
- Pembuangan
sisa kotoran dari ladang ternakan
- Pembangunan di
kawasan pesisir pantai. [3
markah]
iii) iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu persoalan daripada keseluruhan
cerpen.
Persoalan
daripada petikan
- Pencemaran laut –
laut sangat terseksa, menderita, sakit dan dadanya
bergelora kerana disakiti oleh orang yang tidak
bertanggungjawab.
- Sahabat yang
sanggup berkorban dan bersama ketika susah dan senang-
Hakimah adalah sahabat baik Amirah yang
mengambil berat serta
berusaha untuk membantu Amirah yang mengalami
penyakit kemurungan.
[2
markah]
Persoalan daripada keseluruhan
cerpen
- Persoalan menghargai alam sekitar (laut) –
ayah Mir sangat menghargai
dan menyayangi laut sehingga tidak boleh
dipisahkan dengan laut.
- Persoalan konflik
jiwa yang dialami oleh remaja kesan daripada kesempitan
hidup mirah mengalami tekanan perasaan apabila
memikirkan nasib
keluarganya
yang hidup dalam kesempitan.
(2 markah)
Baca petikan cerpen
di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Suara
garau ayahkah yang menyentak lamunannya? Masih seperti dalam mimpi, Mir bangun.
Berdiri di tepi jendela dan merenung jauh. Melihat samudera yang sedang
bergelora ganas. Bergumpalan dan berteriakan. Pedih dan perit.
“Ayah
akur, Mir. Memang sudah suratan. Ayah
akan habiskan sisa-sisa hidup ayah di sini. Di rumah gantian ini. Cuma, apabila
kau sudah lulus nanti, ayah mahu kaucarilah kerja yang baik. Kemudian binalah
mahligai sendiri. Hakmu sendiri. Ayah akan bahagia.”
Mir
tersendu kepiluan. Digagahi diri untuk menahan gelombang di dalam dada. Dia mengeluh singkat, lantas memujuk diri. Digenggamnya hadiah pemberian Hakimah,
sahabatnya yang baik itu.
“Ayah
tidak mahu lagi membelah samudera itu? Bukankah samudera itu sering menantikan
ayah, pahlawan yang tangkas? Ombak laut yang bergulung-gulung itu, bukankah
juga sering menantikan lelaki yang berani seperti ayah? Menakluki dan menimba
khazanahnya. Namun, terus-menerus berterima kasih kepadanya tanpa
mengkhianatinya. Samudera terlalu lurus untuk dikhianati ya, ayah?”
“Ayah
yakin samudera tetap akan terus bergelora meskipun dadanya sakit. Dia tetap menyumbangkan baktinya walaupun
ayah tidak lagi menemaninya. Cuma ayah harap, engkaulah penerus dan pewaris
untuk menjaga samudera itu, Mir. Jangan biarkan dadanya sakit, biarkan ia terus
berbakti, selama-lamanya.”
(Dipetik daripada cerpen
Biarkan Samudera oleh Raihanah Salleh
dalam Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i) i) Apakah harapan ayah Mir kepadanya
setelah lulus nanti seperti yang terdapat dalam petikan.
- Mencari kerja yang
baik
- Membina mahligai
sendiri [2 markah]
ii) ii) Pada pendapat anda, nyatakan tiga
peranan anda untuk membahagiakan ibu bapa.
- Belajar
bersungguh-sungguh
-Mencapai kejayaan dalam pelajaran
- Mendapat pekerjaan
yang baik
- Menjadi anak yang
baik
- Menjadi anak yang
soleh
- Berbakti kepada agama, bangsa dan negara [3 markah]
iii) iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan satu pengajaran yang terdapat dalam
keseluruhan cerpen.
Pengajaran
daripada petikan
- Kita hendaklah
berusaha untuk memenuhi harapan ibu bapa - ayah
berharap agar Mir menjadi penerus dan pewaris untuk menjaga
samudera.
- Kita mesti
menghargai dan menjaga alam sekitar - ayah Mir amat
menghargai dan menjaga kebersihan laut yang telah banyak
berjasa dalam
kehidupannya.
[2 markah]
Pengajaran daripada keseluruhan
cerpen
- Kita perlu membantu rakan yang menghadapi
masalah, contohnya,
Hakimah berusaha untuk membantu Amirah yang mengalami
tekanan jiwa.
- Sebagai manusia,
kita perlu berdoa serta berusaha untuk mengatasi konflik
yang dialami
– Amirah haruslah mendekatkan diri kepada Allah dan berdoa
agar jiwanya
menjadi tenang.
(2 markah)
Langgan:
Catatan (Atom)