Ahad, 7 Februari 2016

DRAMA TINGKATAN 5 TAHUN 2016

BUKAN GILA
(ShariffShaary)
1.0       SINOPSIS

ADEGAN I

Drama ini mengisahkan tentang Azmir yang dimasukkan ke wad kerana dikatakan kurang siuman. Semasa di dalam wad, fikirannya bercelaru dan dengan membayangkan kehadiran Ani,  bapadan Pak Haji serta berdialog dengan mereka. Dialog-dialog  tersebut telah memperlihatkan perbezaan prinsip yang menjadi pegangan Azmir.

ADEGAN II

Azmir telah dilawati oleh doktor. Doktor telah mengizinkan Azmir untuk keluar bersiar-siar dari wad pesaki tjwa. Namun begitu, doktor berpesan supaya Azmir tidak pergi jauh, hanya di kawasan wad sahaja.

ADEGAN III

Dalam adegan ini terdapat sesi pementasan lakonan yang diarahkan oleh Arif dan tiga orang pelakon. Setiap watak menyatakan prinsip hidup yang berbeza tentang dunia. (dunia ialah kuasa, wang ialah dunia dan dunia ialah fikiran). Azmir pula berpendapat bahawa yang  penting ialah sistem. Sistem yang betul ialah sistem yang  prorakyat. Rakyat yang berkuasa menentukan segala-galanya. Dialog mereka berkisar tentang kehidupan ini  yang  berbentuk lakonan atau realiti. Azmir berpendapat bahawa sejarah membuktikan bahawa rakyat yang betul dan kemenangan sentiasa berpihak kepada rakyat. Pada masa yang sama Azmir sering melaung kesakitan pada kepalanya. Azmir diragui oleh kawan-kawannya sama ada Azmir benar-benar sakit atau hanya lakonan. Kemudian Doktor Razi telah datang dan membawa Azmir kembali ke wad setelah tiga hari telah hilang.

ADEGAN IV

Arif, Pelakon 1, Pelakon 2 dan Pelakon 3 telah menziarahi keluarga Azmir. Mereka ingin mendapatkan maklumat latar belakang hidup Azmir. Ibu bapa Azmi rnenceritakan kisah Azmir yang  tinggal dengan neneknya,  bersikap gila-gila, mula berpelakuan aneh apabila berada dalam tingkatan 6 dan tidak dapat menamatkan pengajian di universiti. Dia juga menggunakan nama W.A. Domski dan bercakap dalam bahasa  Indonesia. Rakan Azmir pula  mempunyai persepsi yang berbeza tentang diri Azmir. Rakan Azmir berpendapat mungkin Azmir kekurangan kasih sayang  dan sokongan daripada kedua ibu bapa. Pelakon 2  pula berpendapat Azmir sedang menanggung kesakitan  yang  berat. Pelakon 1 pula berpendapat mereka perlu membantu Azmir kerana pada tanggapannya dia memerlukan kasih sayang, bukan cemuhan dan penghinaan.

ADEGAN V

Azmir bermonolong tentang kisah lampau hidupnya bercinta dengan Ani. Azmir juga bermonolog tentang suka duka kehidupannya. Manusia sering tertipu dengan keindahan dunia tanpa pertimbangan  yang  rasional. Akhirnya dia memilih untuk hidup bersendiri dan menilai cinta dalam kehidupan. Manusia ialah pemburu dalam kehidupan

ADEGAN VI

Berita kematian Azmir dilaporkan dalam akhbar pada 21 Jun 1993. Kematiannya amat mengejutkan dan dikaitkan berpunca daripada penyakit barah otak dilamainya. Ani menyesal kerana meninggalkan Azmir

2.0       PEMIKIRAN

Setiap orang mempunyai prinsip hidup dan ideologi yang berbeza yang boleh mempengaruhi tindakan / cara hidup.

3.0       PERSOALAN

1.         Perbezaan pemikiran dan tindakan menyebabkan seseorang itu dianggap    janggal             oleh masyarakat sekeliling.
- Azmir dianggap gila kerana mempunyai pandangan  yang berbeza tentang hidup (cinta, sifat kemanusiaan, prinsip hidup) berbanding orang lain.
2.         Kepentingan cinta dan kasih sayang
            Contoh: Cinta dan kasih sayang amat penting bagi menjamin kebahagiaan
3.         Rencah kehidupan
            Contoh: hidup ini ibarat roda yang berputar, ada suka dan dukanya.
4.         Dunia ini ibarat pentas lakonan
            Contoh: dalam kehidupan  di dunia ini, manusia ialah pelakonnya yang
            Membawa pelbagai watak
5.         Kesakitan boleh membawa penderitaan
            Contoh: Azmir yang menanggung kesakitan kerana menghidap barah otak.
6.         Sokongan daripada ahli keluarga terdekat boleh memberi kekuatan dalam                              menghadapi cabaran hidup.
Contoh: Azmir menanggung cabaran hidup tanpa sokongan ibu bapa dan
Kekasih hati.
7.         Keprihatinan perlu ada dalam diri setiap manusia.
Contoh:Tindakan para pelakon  yang mengunjungi rumah Azmir untuk
Mengetahui latar belakang hidup Amir
8.         Setiap orang perlu mempunyai sikap bantu-membantu.
Contoh : Para pelakon yang membantu mengurangkan kesakitan dengan
memicit-micit kepalanya
8.         Kekuasaan Tuhan
            Contoh: perlu menerima takdir terhadap yang telah ditentukan oleh Tuhan
9.         Sifat berterima kasih
Contoh: setiap manusia perlu berterima kasih terhadap sumbangan orang lain
Dalam kehidupan mereka – ibu bapa, para petani.
10.       Hikmah di sebalik sesuatu kejadian
            Contoh: sesuatu kejadian yang berlaku mempunyai pelbagai hikmah yang

            tersembunyi

CERPEN TINGKATAN 5 TAHUN 2016


(SUMBANGAN BPK)

CINTA AHMAD MUTAWAKKIL
(Zainal Rashid Ahmad)

Sinopsis
          Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil( Zainal Rasyid Ahmad) telah menggunakan pendekatan sorot balik tentang kisah perjuangan Ahmad Mutawakkil dalam menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara. Ahmad Mutawakkil yang parah ditembak telah memeranjatkan penduduk kampung yang ketika itu sedang berdoa seusai solat maghrib. Setelah menjelaskan keadaan Ahmad Mutawakkil yang parah, terkulai lalu pengsan, penulis mula mengimbas kembali kisah perjuangan anak muda tersebut bermula daripada perubahan sosioekonomi penduduk kampung kesan kehadiran Tuan Booth sekeluarga. Kehadiran mereka bukan sahaja berjaya meningkatkan ekonomi penduduk kampung, malahan Ahmad Mutawakkil membesar sebagai pemuda berilmu hasil bantuan anak Tuan Booth, Sandra. Dia bukan sahaja menjadi penyebar maklumat tentang hal ehwal semasa kepada masyarakat di kampungnya, malahan turut bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti-Jepun.
Cerpen ini diteruskan lagi dengan Ahmad Mutawakkil menyampaikan khabar kepada penduduk kampung tentang pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang membawa kelegaan dan rasa syukur mereka. Ahmad Mutawakkil kemudiaannya digambarkan sebagai pemuda yang berjiwa pemimpin apabila dia dapat mempengaruhi penduduk kampung dengan pidatonya yang membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa mereka. Dalam masa yang sama Ahmad Mutawakkil berjaya mengajak penduduk kampung untuk menjalinkan silaturahim dengan Tuan Booth sekeluarga yang tidak pernah memusuhi masyarakat di situ. Cerpen ini juga dikembangkan dengan kisah hubungan antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra yang sering menjadi tanda tanya kepada penduduk di situ.
Plot dirumitkan lagi dengan situasi 16 Jun 1948 di Perak apabila darurat diisytiharkan kerana Parti Komunis Malaya mula menggila. Ahmad Mutawakkil tetap mengajak masyarakat kampungnya berjuang tanpa menghiraukan keselamatan dirinya walaupun pihak komunis telah memberi amaran kepadanya melalui Tuan Booth agar tidak menghasut orang kampung membenci komunis.

Kemuncaknya, Ahmad Mutawakkil berjaya meniupkan semangat perjuangan yang begitu mendalam dalam jiwa penduduk kampung melalui pidato citra merdeka dan kritikan terhadap bangsa Melayu yang sanggup diperalat Parti Komunis Malaya. Setelah ditemui oleh seorang budak lelaki yang tidak dikenali seusai majlis ceramah tersebut, Ahmad Mutawakkil pergi dan tidak pulang-pulang sehingga dia datang pada malam esoknya di surau kampung dalam keadaan berlumuran darah. Ahmad Mutawakkil terbunuh namun semangat perjuangannya terus membara dalam masyarakat kampung sama seperti mereka rindu akan kata-kata semangat anak muda itu “ Tanah Melayu pasti merdeka!”. Tuan Booth sekeluarga pulang ke England seminggu selepas Tanah Melayu merdeka namun rasa cinta yang mendalam Sandra terhadap Ahmad Mutawakkil telah membawa dia pulang ke kampung tersebut untuk meneruskan kehidupannya di situ. 

Tema
Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil (Zainal Rasyid Ahmad) memaparkan tema perjuangan mementang penjajah. Ahmad Mutawakkil yang merupakan watak utama dalam cerpen ini telah menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara melalui perjuangan menentang penjajah Inggeris, Jepun dan Komunis. Ahmad Mutawakkil telah menggunakan penguasaan ilmunya dalam menjadi penyebar maklumat tentang penjajah kepada mesyarakat di kampungnya. Sejak usia belasan tahun lagi, Ahmad Mutawakkil telah menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin muda yang berpengaruh. Hal ini dibuktikan melalui pidato- pidato yang disampaikan kepada masyarakat kampung untuk meniupkan semangat patriotisme dalam diri setiap ahli masyarakat. Ahmad Mutawakkil merupakan seorang pemuda yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi sehinggakan tidak sanggup menerima sebarang pujian selagi Tanah Melayu belum merdeka. Dia sanggup menggadaikan nyawanya untuk menentang komunis dan akhirnya dia terbunuh sebelum mengecap kemerdekaan Tanah Melayu. Perjuangan dan pengorbanannya terus diingati oleh masyarakat kampungnya sama seperti mereka mengingati kata-kata anak muda itu “Tanah Melayu pasti merdeka!”.

Persoalan
1.     Persoalan perubahan sosioekonomi masyarakat kampung
Contoh: Kedatangan Tuan Booth dan keluarga telah merubah sosioekonomi masyarakat kampung apabila beliau telah mengupah beratus-ratus buruh termasuk penduduk kampung sendiri untuk meneroka belukar bagi meluaskan penanaman getah. (m/s 40)

2.     Persoalan kepentingan sikap berdikari dalam kehidupan
Contoh: Ahmad Mutawakkil belajar berdikari setelah kematian bapanya, Wan Sadir dengan cara bekerja dengan orang putih. (m/s 41)

3.     Persoalan kesan kedatangan penjajah
Contoh:Kedatangan penjajah yang membawa kepada serangan telah menyebabkan seluruh ketenangan hidup masyarakat kampung hilang. (m/s 42)

4.     Persoalan tanggungjawab seorang pemimpin
Contoh:Imam Ngah Deraman bergegas meninggalkan surau selepas solat isyak untuk mencari Ahmad Mutawakkil yang kehilangan tempat menumpang nasib setelah pemergian Tuan Booth sekeluarga akibat kedatangan Jepun dan mengambil Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya.(m/s 43)

5.     Persoalan kepentingan menguasi ilmu dalam kehidupan
Contoh: Ahmad Mutawakkil menjadi tempat penduduk kampung mendapatkan
maklumat tentang hal ehwal semasa kerana dia boleh menulis dan bercakap
dalam bahasa Inggeris. (m/s 44)

6.     Persoalan semangat patriotisme dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan
Contoh:Ahmad Mutawakkil menyeru ahli masyarakat agar mengikis tabiat buruk,  berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa Melayu untuk merdeka. (m/s 50)


HIPERTENSI
Illias Zaidi
Sinopsis
          Cerpen Hipertensi  (Illias Zaidi) memaparkan watak utama, Aiman Aqil yang sering berhalusinasi. Aiman sering menimbulkan kemarahan gurunya kerana tidak menumpukan perhatian terhadap pembelajaran di dalam kelas. Dia sering berangan-angan menjadi tokoh-tokoh hebat dalam bidang Sains. Aiman Aqil mudah bosan dengan cara pembelajaran di sekolah menyebabkan dia sering ponteng sekolah. Hal ini menimbulkan kemarahan ayahnya sehingga dia kerap dirotan. Aiman sentiasa mengambil kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran. Dia pernah membayangkan dirinya telah lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun Aiman Aqil sering berhalusinasi, namun dia mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Dia tidak mahu berangan-angan seperti Mat Jenin dan Si Luncai. Angan-angan Aiman terus mekar apabila dia terus berhalusinasi menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di bawah Rusia. Kemudian, dia terus berangan-angan hendak memantapkan diri sebagai persediaan untuk berlepas ke angkasa. Halusinasi Aiman tidak terhenti setakat itu sahaja, malah dia turut membayangkan jutaan khalayak menyaksikan siaran langsung perlepasan kapal angkasa yang dinaikinya. Aiman akhirnya berjaya mendarat di bulan dalam halusinasinya itu.
         
Setelah asyik melayan halusinasinya, akhirnya Aiman teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika di planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu mengajaknya lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Akhirnya, Aiman sedar daripada khayalannya bahawa dia perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu bukan sekadar berangan-angan. Jauh di sudut hati Aiman, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi.

Tema
          Cerpen Hipertensi (Illias Zaidi) bertemakan halusinasi futuristik yang penuh cabaran. Mindanya sering dipenuhi dengan halusinasi tentang tokoh-tokoh hebat dalam bidang Sains. Aiman Aqil yang merupakan watak utama sering berhalusinasi sebagai seorang angkasawan. Aiman Aqil sentiasa berangan-angan tidak kira tempat sama ada ketika di rumah ataupun ketika sedang mengikuti pembelajaran di dalam kelas. Dia pernah membayangkan bahawa dirinya sudah lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun dia sering berhalusinasi, namun dia sekali-kali tidak akan membiarkan angan-angannya menjadi seperti angan-angan Mat Jenin dan Si Luncai yang tidak sampai ke mana-mana. Angan-angan tentang kehebatannya dalam bidang aeroangkasa semakin mekar sehinggakan dia bukan sahaja  membayangkan bahawa dia pernah mengikuti latihan intensif di bawah program aeroangkasa bersama dengan Rusia, malahan dia pernah mendarat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Persoalan
1.     Persoalan adab menuntut ilmu
Contoh: Sikap Aiman yang tidak fokus terhadap pengajaran Cikgu Faridah di dalam kelas telah menyebabkan Cikgu Faridah hilang sabar. (m/s: 43)

2.     Persoalan kebanggaan terhadap identiti diri
Contoh: Aiman Aqil bengga akan nama yang diberikan kerana nama tersebut mempunyai makna yang baik. (m/s:44)

3.     Persoalan kepekaan akan situasi sekeliling
Contoh: Aiman cepat-cepat membetulkan jawapannya apabila dia menyedari wajah Cikgu Faridah berubah dengan jawapan awal yang diberikannya. (m/s: 45)

4.     Persoalan sikap memandang rendah terhadap keupayaan orang lain
Contoh: Aiman menyindir adik-adiknya dan rakannya Chee Keong kerana lambat menyelesaikan tugasan Matematik. (m/s : 45 & 46)

5.     Persoalan peranan ibu bapa dalam keluarga
Contoh: Ayah dan ibu Aiman ingin mengetahui punca Aiman ponteng sekolah. (m/s: 46)

6.     Persoalan ketagasan guru dalam mendidik pelajar
Contoh: Guru kelas Aiman memberi amaran keras kepadanya kerana mengganggu rakan-rakan. (m/s: 46)

7.     Persoalan kepentingan prinsip hidup
Contoh: Aiman bertekad tidak akan menjadi seperti Si Luncai dan Mat Jenin yang hanya memasang angan-angan tanpa merealisasikan angan-angan tersebut. (m/s: 48)

8.     Persoalan kasih sayang seorang ibu
Contoh:Ibu Aiman begitu tersentuh hati apabila melihat Aiman dirotan oleh ayahnya. (m/s: 48)

CERPEN GERHANA MANUSIA
(Aminah Mokhtar)
SINOPSIS
Cerpen Gerhana Manusia karya Aminah Mokhtar mengisahkan kesibukan di Wad ICU sebuah hospital. Ketika itu, di wad ICU terlantar Tuan Dayusa yang sedang mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru akibat gaya hidupnya yang tidak sihat. Tuan Dayusa memerlukan pek darah yang banyak untuk meneruskan hidup. Nusia seorang jururawat yang bertugas membantu Dr Prajudi dan Dr Moralis di Wad ICU yang menempatkan Tuan Dayusa. Dr Prajudi dan Dr Moralis bertanggungjawab merawat semua pesakit di wad tersebut.
          Ketika itu, terdapat beberapa orang pesakit lain yang memerlukan  darah untuk membantu merawat mereka. Antaranya ialah Solehah yang tenat akibat keguguran dan Al-Hafiz pula terlibat dalam kemalangan yang teruk. Pada wad yang sama terdapat seorang bayi yang dibuang di tepi jalan dan telah cedera digigit oleh anjing liar. Selain itu, terdapat seorang gadis yang menjadi mangsa sumbang mahram oleh ayahnya dan seorang mahasiswa yang mengidap leukimia.
          Nusia telah dipertanggungjawab untuk membantu Dr Moralis merawat semua pesakit di wad ICU  dan dipantau oleh Dr Prajudi. Dr Prajudi lebih memberi perhatian kepada Tuan Dayusa kerana Tuan Dayusa merupakan seorang ahli korporat yang ternama. Tuan Dayusa banyak memberi sumbangan kepada kelab elit hospital berkenaan.Selain itu, Tuan Dayusa juga telah menderma beratus ribu ringgit untuk majlis makan malam hospital tersebut. Nusia tidak berpuas hati apabila Dr Prajudi tidak memperdulikan pesakit lain  disebabkan taraf  sosial berbeza.
          Nusia tidak berpuas hati dengan arahan Dr Prajudi yang menyuruhnya membawa lima pek darah untuk merawatTuan Dayusa sedangkan darah-darah tersebut sangat diperlukan oleh pesakit lain. Tuan Dayusa memang tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Nusia tidak berpuas hati terhadap tindakan Dr Prajudilalu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Dr Moralis.
          Dr Moralis tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana Dr Prajudi lebih berkuasa di wad tersebut. Namun demikian,  akhirnya Tuan Dayusa telah meninggal dunia dan Dr Moralis telah dipersalahkan kerana tidak memberi bantuan darah kepada Tuan Dayusa. Dr Moralis sedar bahawa  setiap insan wajib ditolong tidak kira pangkat dan darjat. Nusia dan Dr Moralis sendiri akhirnya yang menderma darah mereka untuk membantu 4 orang pesakit di wad tersebut yang masih memerlukan darah.
TEMA
Tema Gerhana Manusia menjurus kepada konflik terhadap etika kerja.Konflik antara memenuhi  etika seorang jururawat dan tuntutan dari pihak atasan dalam membantu pesakit yang lebih berpengaruh.
Contoh:
Doktor Prajudi menyuruh Nausiamemberi bantuan darah  kepada Tuan Dayusa kerana Tuan Dayusa banyak memberi sumbangan kewangan kepada hospital sedangkan pada masa yang sama masih ramai lagi pesakit lain yang sangat memerlukan darah tersebut.
Persoalan:
Persoalan yang terdapat dalam cerpen Gerhana Manusia adalah :
1.     Persoalan tanggungjawab seorang doktor terhadap pesakit.
Contoh: Dr Prajudi dan Dr Moralis bertanggungjawab merawat  pesakit di hospital.

2.     Persoalan perbezaan golongan berpangkat dengan masyarakat.
Contoh : Tuan Dayusa diberi layanan istimewa berbanding pesakit lain kerana dia seorang korporat ternama  dan juga menjadi penyumbang kepada kelab elit hospital.

3.     Persoalan kepentingan menderma darah dalam masyarakat.
Contoh : Tuan Dayusa, Soleha, Al-Hafiz, bayi dan gadis yang malang itu amat memerlukan bekalan darah untuk merawat mereka.

4.     Persoalan peranan wad ICU kepada pesakit kritikal.
Contoh : Soleha, Al-Hafiz, bayi dan gadis yang malang itu dimasukkan ke wad ICU kerana memerlukan rawatan yang rapi.

5.     Persoalan pengambilan alkohol memudaratkan kesihatan.

Contoh: Tuan Dayusa telah dijangkiti dengan virus pada paru-paru akibat pengambilan alkohol.

PROSA TRADISIONAL TINGKATAN 5 TAHUN 2016


(SUMBANGAN BPK)

Prosa Klasik : Burung Terbang Dipipiskan Lada

1.0 Sinopsis
Cerita memaparkan percubaan raja Siam, Bubunnya hendak menyerang kerajaan Melaka yang tidak kesampaian kerana kebijaksanaan pemerintah dan kesaktian hulubalang Melaka.
Ceritanya bermula pada zaman dahulu kala negeri Siam yang dikenali sebagai Syahrunnuwi begitu kuat sehingga semua kerajaan bawah angin telah ditakluki oleh Siam kecuali kerajaan Melaka. Apabila Melaka yang diperintah oleh Sultan Muzaffir Syah enggan memberi surat sebagai tanda tunduk kepada Siam, raja Siam telah menyuruh panglimanya Awi Cakri membawa hulubalang dan rakyatnya yang sangat ramai untuk menyerang Melaka melalui hulu Pahang. Apabila Sultan Muzaffir Syah mendengar berita tentang rancangan serangan Siam itu, baginda pun menghimpunkan rakyat Melaka dari segenap pelusuk negeri. Tun Perak dari Kelang telah datang  membawa  bersama-sama dengan anak isteri masing-masing. Pada masa itu, Seri Amerta dilantik oleh sultan sebagai bentara kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.
Seri Amerta telah diminta oleh sultan untuk menyiasat tindakan Tun Perak tersebut. Tindakan Tun Perak itu dipersoalkan sebanyak tiga kali oleh Seri Amerta. Tun Perak meminta Seri Amerta jangan mencampuri urusan orang lain. Baginda menjelaskan sekiranya orang Kelang yang datang dari jauh itu ditemani anak isteri masing-masing, mereka akan berperang dengan lebih bersemangat. Apabila hal ini disampaikan kepada Duli Yang diPertuan, baginda amat bersetuju dengan tindakan Tun Perak itu lalu menitahkan Tun Perak terus bermastautin di Melaka. Apabila serangan Siam itu telah dapat dipatahkan, Tun Perak telah dijadikan sebagai bentara di Melaka.
Tidak lama kemudian Seri Amerta menyuruh Tun Perak menghadap kerana ada seorang orang Kelang mengadu bahawa dirinya dianiayai oleh Tun Perak. Setelah disoal siasat, Tun Perak menyatakan bahawa Seri Amerta tidak memahami tugas dan tanggungjawab diamanahkan oleh Sultan. Sultan bersetuju dengan penjelasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja yang setaraf dengan Seri Nara Diraja.
Seri Nara Diraja sudah tua dan tidak mempunyai anak lelaki,hanya ada seorang anak perempuan yang bernama Tun Putih hasil perkahwinan dengan anak bendahara. Setelah isterinya  itu mangkat barulah Seri Nara Diraja mengakui bahawa baginda mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tun Nina Madi hasil perhubungan dengan gundik istana.
Pada masa itu masyarakat Melayu telah berpecah kepada dua puak iaitu puak Paduka Raja dan puak Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya mempunyai taraf yang sama. Kedua-dua orang besar ini tidak dapat bekerjasama kerana berbeza pendapat. Apabila hal ini diketahui oleh Sultan Muzaffir Syah, baginda amat kecewa kerana bimbang negara akan lemah jika pembesarnya saling tidak bermuafakat. Baginda telah memikirkan jalan penyelesaian dengan mencai jodoh baru kepada Seri Nara Diraja, tetapi semuanya telah ditolak oleh Seri Nara Diraja sehinggalah dia dijodohkan dengan Tun Kudu anak perempuan Bendahara Seri Wak Raja, saudara kepada Paduka Raja. Justeru, hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja kembali baik apabila baginda bersetuju supaya Paduka Raja dilantik sebagai bendahara manakala Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.
Tidak lama kemudian orang Siam di bawah pimpinan Awi Dicu  menyerang Melaka. Sultan mengetahui hal tersebut lalu menitahkan Paduka Raja dengan diiringi Seri Bija Diraja dan segala hulubalang untuk mempertahankan Melaka. Anak Seri Bija Diraja bernama Tun Umar yang berkelakuan aneh telah disuruh melanggar perahu pihak Siam, tiga buah perahu Siam telah dikalahkan dengan hanya sebuah perahunya. Pihak Siam menjadi takut dan membatalkan hasrat menyerang Melaka. Bendahara Paduka Raja menggunakan strategi memasangkan puntung api pada pokok-pokok di sepanjang pantai seolah-olah banyak perahu perang Melaka yang dibawa untuk mempertahankan Melaka. Angkatan perang Siam telah berundur. Setelah pihak Siam berundur, Bendahara Paduka Raja dan orang-orangnya telah dianugerahkan persalinan yang mulia.
Walau bagaimanapun, berita kegagalan serangan Siam itu sampai ke pengetahuan Paduka Bubunnya, raja Siam itu amat marah dan diri sendiri membuat keputusan untuk menyerang Melaka tetapi anaknya Cau Pandan menawarkan diri untuk menyerang Melaka. Raja Siam bersetuju lalu menggunakan lapan ratus buah kapal perang besar dan banyak kapal perang kecil di bawah pimpinan Pra Kelong untuk membantu Cau Pandan menyerang Melaka. Apabila berita rancangan Siam untuk menyerang Melaka itu diketahui oleh sultan Melaka, Sidi Arab yang mempunyai kesaktian ilmu memanahnya telah memanah Cau Pandan yang berada di Siam. Akhirnya Cau Pandan yang belum sempat menyerang Melaka itu telah terkena panahan tersebut di dada, telah muntah darah lalu mati. Kesaktian Sidi Arab itu amat dihargai sultan dan diberi ganjaran yang setimpalnya.
Setelah empat puluh dua tahun Sultan Muzaffir Syah memerintah Melaka, akhirnya baginda mangkat dan digantikan oleh anaknya Raja Abdullah gelaran Sultan Mansur Syah. Ketika menaiki takhta, Sultan Mansur Syah berusia 27 tahun. Baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja iaitu Tun Putih Nur Pualam. Baginda seorang raja yang kacak, adil, dan murah hati yang tiada tolok bandingnya pada masa itu.  

2.0       Tema
Keghairahan Siam menyerang Melaka tanpa menilai kelemahan diri sendiri dan menyiasat kekuatan pihak lawan terlebih dahulu sebelum mengatur serangan.

3.0       Persoalan
1.      Kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi menghalang serangan dari Siam
Contoh: Tun Perak membawa rakyat dari Kelang bersama-sama anak isteri untuk menaikkan semangat berperang
Tun Perak mengikat puntung api pada pokok bakau, pokok nyirih dan pokok api-api di sepanjang pantai bagi menakutkan pihak musuh.

2.      Semangat tidak mudah berputus asa.
Siam mengatur serangan ke atas Melaka sebanyak tiga kali walaupun kesemua percubaan tersebut menemui kegagalan.

3.   Kepentingan permuafakatan antara pemimpin memperkukuh
    ketahanan negara.
Konflik antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja telah menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh melemahkan kekuatan negara.

4.    Perkahwinan dapat mengeratkan perhubungan persaudaraan.
Contohnya, Sultan telah menjodohkan Tun Kudu anak saudara Tun Perak dengan Sri Nara Diraja.

5.      Tanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing tanpa        
       mencampuri urusan orang lain
Tun Perak meminta Seri Amarta tidak mencampuri urusannya dan mempersoalkan sesuatu tindakan yang diambil.

6.  Merahsiakan sesuatu perkara bagi mengelakkan konflik dalam
  keluarga.
Seri Nara Diraja merahsiakan anak hasil hubungannya dengan gundik bagi mengelakkan berkonflik dengan isteri

7.      Unsur kesaktian dalam peperangan

Sidi Arab mempunyai kesaktian dalam ilmu memanah. Beliau telah
      memanah dari Melaka sehingga dapat membunuh Cau Pandan
      yang berada di benua Siam.

PUISI TRADISIONAL TINGKATAN 5 TAHUN 2016

(SUMBANGAN BPK)

SELOKA BERBUAT ISTANA ZAMAN DAHULU

MAKSUD

Rangkap 1
Raja memerintah empatorang pembesar dan pawang raja membina istana yang tersergam indah.  Seramai 44 orang tukang yang mahir dipaksa bekerja tanpa henti siang dan malam.

Rangkap 2
Masa yang diambil untuk membina istana yang lengkap selama 7 bulan. Istana itu mengandungi sembilan bilik, sepuluh rembat guntung, sebelas pancung serong dan 12 anjung tinggi.

Rangkap 3
Tiga ruang di istana yang unik dan menarik dikhaskankepada lapan orang menteri.

Rangkap 4
Hiasan dalaman istana bermotifkan unsur-unsur alam. Corak ukiran amat indah dan halus seninya.

Rangkap 5
Setelah istana itu siap  tukangnya dibunuh agar tiada orang yang boleh meniru seni bina istana tersebut. Lalu istana itu pundipersembahkan kepada raja dan permaisurinya

TEMA
Sindiran terhadap golongan raja yang mengutamakan kepentingan sendiri  untuk kemahsyuran peribadi sehingga sanggup mengorbankan nyawa orang lain.

Contohnya: 
(R1)    Pawang mengerah orang bekerja.
             Empat puluh empat tukang dan utas.
            Siang malam tidak berhenti.
(R5)    Istana siap tukang pun mati.,
            Tiada orang dapat meniru:

PERSOALAN

1.    Persoalanseni bina istana masyarakat melayu tradisional.

(R3)    Galang-galangnya ular berang.
            Kasau kecil puteri menyembah.
            Kasau lentik helang berbega.

2.    Persoalangolongan raja yang mementingkan diri sendiri.

(R5)    Istana siap tukang pun mat.,
             Tiada orang dapat meniru:

3.    Persoalankehalusan seni ukiran melayu tradisional

(R4)    Lilit-melilit akar Cina:
            Garam sebuku sisa jeragan.
            Bunga kenanga dimakan ular.
            Layang-layang di pintu Raja.


GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP
TEMA

Nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Gurindam ini menekankan penghayatan yang perlu ada dalam diri setiap insan/seseorang

MAKSUD

Rangkap 1
Orang yang kurang berfikir dan belajar hidupnya akan tersasar/mengakibatkan mereka salah langkah.

Rangkap 2
Sesiapa yang bercakap kurang sopan dan biadap akan mengalami bencana.

Rangkap 3
Sesiapa yang suka bergaduh sesama sendiri hidupnya akan diselubungi kesedihan.

Rangkap 4
Sekiranya mempelajari ilmu separuh jalan/ tidak selesai tidak akan berguna dalam kehidupan

Rangkap 5
Ilmu pengetahuan boleh diperolehi sekiranya belajar dengan tekun.

Rangkap 6
Dunia merupakan tempat untuk bergaul dan berinteraksi serta mencari  rakan yang sesuai.

Rangkap 7
Sesiapa yang melakukan kebaikan namanya akan disanjung sepanjang zaman.

Rangkap 8
Orang yang menganiayai orang  lain akan dimurkai oleh Tuhan.

PERSOALAN

1.    Persoalan berfikiran baik dalam kehidupan.
Contoh : ( R1)           Kurang fikir kurang siasat
Tentu dirimu kelak sesat

2.    Menjaga percakapan sesama insan.
Contoh ; (R2)             Kalau mulut tajam dan kasar
Boleh ditimpa bahaya besar

3.    Persoalan memilih rakan baik dalam pergaulan.
Contoh (R6)             Dunia ini taman pergaulan
 Hendaklah pilih sahabat dan taulan

4.    Persoalan berbudi dan berjasa dengan ikhlas sesama manusia.
 Contoh : (R7)           Barang siapa berbuat jasa
Mulia namanya segenap masa

5.    Persoalan tentang setiap perbuatan akan ada balasan.
Contoh : (R8)            Barang siapa berbuat khianat
                                    Tuhan kelak memberi laknat.