Google+ Followers

Ahad, 7 Februari 2016

CERPEN TINGKATAN 5 TAHUN 2016


(SUMBANGAN BPK)

CINTA AHMAD MUTAWAKKIL
(Zainal Rashid Ahmad)

Sinopsis
          Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil( Zainal Rasyid Ahmad) telah menggunakan pendekatan sorot balik tentang kisah perjuangan Ahmad Mutawakkil dalam menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara. Ahmad Mutawakkil yang parah ditembak telah memeranjatkan penduduk kampung yang ketika itu sedang berdoa seusai solat maghrib. Setelah menjelaskan keadaan Ahmad Mutawakkil yang parah, terkulai lalu pengsan, penulis mula mengimbas kembali kisah perjuangan anak muda tersebut bermula daripada perubahan sosioekonomi penduduk kampung kesan kehadiran Tuan Booth sekeluarga. Kehadiran mereka bukan sahaja berjaya meningkatkan ekonomi penduduk kampung, malahan Ahmad Mutawakkil membesar sebagai pemuda berilmu hasil bantuan anak Tuan Booth, Sandra. Dia bukan sahaja menjadi penyebar maklumat tentang hal ehwal semasa kepada masyarakat di kampungnya, malahan turut bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti-Jepun.
Cerpen ini diteruskan lagi dengan Ahmad Mutawakkil menyampaikan khabar kepada penduduk kampung tentang pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang membawa kelegaan dan rasa syukur mereka. Ahmad Mutawakkil kemudiaannya digambarkan sebagai pemuda yang berjiwa pemimpin apabila dia dapat mempengaruhi penduduk kampung dengan pidatonya yang membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa mereka. Dalam masa yang sama Ahmad Mutawakkil berjaya mengajak penduduk kampung untuk menjalinkan silaturahim dengan Tuan Booth sekeluarga yang tidak pernah memusuhi masyarakat di situ. Cerpen ini juga dikembangkan dengan kisah hubungan antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra yang sering menjadi tanda tanya kepada penduduk di situ.
Plot dirumitkan lagi dengan situasi 16 Jun 1948 di Perak apabila darurat diisytiharkan kerana Parti Komunis Malaya mula menggila. Ahmad Mutawakkil tetap mengajak masyarakat kampungnya berjuang tanpa menghiraukan keselamatan dirinya walaupun pihak komunis telah memberi amaran kepadanya melalui Tuan Booth agar tidak menghasut orang kampung membenci komunis.

Kemuncaknya, Ahmad Mutawakkil berjaya meniupkan semangat perjuangan yang begitu mendalam dalam jiwa penduduk kampung melalui pidato citra merdeka dan kritikan terhadap bangsa Melayu yang sanggup diperalat Parti Komunis Malaya. Setelah ditemui oleh seorang budak lelaki yang tidak dikenali seusai majlis ceramah tersebut, Ahmad Mutawakkil pergi dan tidak pulang-pulang sehingga dia datang pada malam esoknya di surau kampung dalam keadaan berlumuran darah. Ahmad Mutawakkil terbunuh namun semangat perjuangannya terus membara dalam masyarakat kampung sama seperti mereka rindu akan kata-kata semangat anak muda itu “ Tanah Melayu pasti merdeka!”. Tuan Booth sekeluarga pulang ke England seminggu selepas Tanah Melayu merdeka namun rasa cinta yang mendalam Sandra terhadap Ahmad Mutawakkil telah membawa dia pulang ke kampung tersebut untuk meneruskan kehidupannya di situ. 

Tema
Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil (Zainal Rasyid Ahmad) memaparkan tema perjuangan mementang penjajah. Ahmad Mutawakkil yang merupakan watak utama dalam cerpen ini telah menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara melalui perjuangan menentang penjajah Inggeris, Jepun dan Komunis. Ahmad Mutawakkil telah menggunakan penguasaan ilmunya dalam menjadi penyebar maklumat tentang penjajah kepada mesyarakat di kampungnya. Sejak usia belasan tahun lagi, Ahmad Mutawakkil telah menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin muda yang berpengaruh. Hal ini dibuktikan melalui pidato- pidato yang disampaikan kepada masyarakat kampung untuk meniupkan semangat patriotisme dalam diri setiap ahli masyarakat. Ahmad Mutawakkil merupakan seorang pemuda yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi sehinggakan tidak sanggup menerima sebarang pujian selagi Tanah Melayu belum merdeka. Dia sanggup menggadaikan nyawanya untuk menentang komunis dan akhirnya dia terbunuh sebelum mengecap kemerdekaan Tanah Melayu. Perjuangan dan pengorbanannya terus diingati oleh masyarakat kampungnya sama seperti mereka mengingati kata-kata anak muda itu “Tanah Melayu pasti merdeka!”.

Persoalan
1.     Persoalan perubahan sosioekonomi masyarakat kampung
Contoh: Kedatangan Tuan Booth dan keluarga telah merubah sosioekonomi masyarakat kampung apabila beliau telah mengupah beratus-ratus buruh termasuk penduduk kampung sendiri untuk meneroka belukar bagi meluaskan penanaman getah. (m/s 40)

2.     Persoalan kepentingan sikap berdikari dalam kehidupan
Contoh: Ahmad Mutawakkil belajar berdikari setelah kematian bapanya, Wan Sadir dengan cara bekerja dengan orang putih. (m/s 41)

3.     Persoalan kesan kedatangan penjajah
Contoh:Kedatangan penjajah yang membawa kepada serangan telah menyebabkan seluruh ketenangan hidup masyarakat kampung hilang. (m/s 42)

4.     Persoalan tanggungjawab seorang pemimpin
Contoh:Imam Ngah Deraman bergegas meninggalkan surau selepas solat isyak untuk mencari Ahmad Mutawakkil yang kehilangan tempat menumpang nasib setelah pemergian Tuan Booth sekeluarga akibat kedatangan Jepun dan mengambil Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya.(m/s 43)

5.     Persoalan kepentingan menguasi ilmu dalam kehidupan
Contoh: Ahmad Mutawakkil menjadi tempat penduduk kampung mendapatkan
maklumat tentang hal ehwal semasa kerana dia boleh menulis dan bercakap
dalam bahasa Inggeris. (m/s 44)

6.     Persoalan semangat patriotisme dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan
Contoh:Ahmad Mutawakkil menyeru ahli masyarakat agar mengikis tabiat buruk,  berjuang mengubah sikap dan pandangan sempit bangsa Melayu untuk merdeka. (m/s 50)


HIPERTENSI
Illias Zaidi
Sinopsis
          Cerpen Hipertensi  (Illias Zaidi) memaparkan watak utama, Aiman Aqil yang sering berhalusinasi. Aiman sering menimbulkan kemarahan gurunya kerana tidak menumpukan perhatian terhadap pembelajaran di dalam kelas. Dia sering berangan-angan menjadi tokoh-tokoh hebat dalam bidang Sains. Aiman Aqil mudah bosan dengan cara pembelajaran di sekolah menyebabkan dia sering ponteng sekolah. Hal ini menimbulkan kemarahan ayahnya sehingga dia kerap dirotan. Aiman sentiasa mengambil kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran. Dia pernah membayangkan dirinya telah lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun Aiman Aqil sering berhalusinasi, namun dia mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Dia tidak mahu berangan-angan seperti Mat Jenin dan Si Luncai. Angan-angan Aiman terus mekar apabila dia terus berhalusinasi menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di bawah Rusia. Kemudian, dia terus berangan-angan hendak memantapkan diri sebagai persediaan untuk berlepas ke angkasa. Halusinasi Aiman tidak terhenti setakat itu sahaja, malah dia turut membayangkan jutaan khalayak menyaksikan siaran langsung perlepasan kapal angkasa yang dinaikinya. Aiman akhirnya berjaya mendarat di bulan dalam halusinasinya itu.
         
Setelah asyik melayan halusinasinya, akhirnya Aiman teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika di planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu mengajaknya lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Akhirnya, Aiman sedar daripada khayalannya bahawa dia perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu bukan sekadar berangan-angan. Jauh di sudut hati Aiman, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi.

Tema
          Cerpen Hipertensi (Illias Zaidi) bertemakan halusinasi futuristik yang penuh cabaran. Mindanya sering dipenuhi dengan halusinasi tentang tokoh-tokoh hebat dalam bidang Sains. Aiman Aqil yang merupakan watak utama sering berhalusinasi sebagai seorang angkasawan. Aiman Aqil sentiasa berangan-angan tidak kira tempat sama ada ketika di rumah ataupun ketika sedang mengikuti pembelajaran di dalam kelas. Dia pernah membayangkan bahawa dirinya sudah lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun dia sering berhalusinasi, namun dia sekali-kali tidak akan membiarkan angan-angannya menjadi seperti angan-angan Mat Jenin dan Si Luncai yang tidak sampai ke mana-mana. Angan-angan tentang kehebatannya dalam bidang aeroangkasa semakin mekar sehinggakan dia bukan sahaja  membayangkan bahawa dia pernah mengikuti latihan intensif di bawah program aeroangkasa bersama dengan Rusia, malahan dia pernah mendarat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Persoalan
1.     Persoalan adab menuntut ilmu
Contoh: Sikap Aiman yang tidak fokus terhadap pengajaran Cikgu Faridah di dalam kelas telah menyebabkan Cikgu Faridah hilang sabar. (m/s: 43)

2.     Persoalan kebanggaan terhadap identiti diri
Contoh: Aiman Aqil bengga akan nama yang diberikan kerana nama tersebut mempunyai makna yang baik. (m/s:44)

3.     Persoalan kepekaan akan situasi sekeliling
Contoh: Aiman cepat-cepat membetulkan jawapannya apabila dia menyedari wajah Cikgu Faridah berubah dengan jawapan awal yang diberikannya. (m/s: 45)

4.     Persoalan sikap memandang rendah terhadap keupayaan orang lain
Contoh: Aiman menyindir adik-adiknya dan rakannya Chee Keong kerana lambat menyelesaikan tugasan Matematik. (m/s : 45 & 46)

5.     Persoalan peranan ibu bapa dalam keluarga
Contoh: Ayah dan ibu Aiman ingin mengetahui punca Aiman ponteng sekolah. (m/s: 46)

6.     Persoalan ketagasan guru dalam mendidik pelajar
Contoh: Guru kelas Aiman memberi amaran keras kepadanya kerana mengganggu rakan-rakan. (m/s: 46)

7.     Persoalan kepentingan prinsip hidup
Contoh: Aiman bertekad tidak akan menjadi seperti Si Luncai dan Mat Jenin yang hanya memasang angan-angan tanpa merealisasikan angan-angan tersebut. (m/s: 48)

8.     Persoalan kasih sayang seorang ibu
Contoh:Ibu Aiman begitu tersentuh hati apabila melihat Aiman dirotan oleh ayahnya. (m/s: 48)

CERPEN GERHANA MANUSIA
(Aminah Mokhtar)
SINOPSIS
Cerpen Gerhana Manusia karya Aminah Mokhtar mengisahkan kesibukan di Wad ICU sebuah hospital. Ketika itu, di wad ICU terlantar Tuan Dayusa yang sedang mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru akibat gaya hidupnya yang tidak sihat. Tuan Dayusa memerlukan pek darah yang banyak untuk meneruskan hidup. Nusia seorang jururawat yang bertugas membantu Dr Prajudi dan Dr Moralis di Wad ICU yang menempatkan Tuan Dayusa. Dr Prajudi dan Dr Moralis bertanggungjawab merawat semua pesakit di wad tersebut.
          Ketika itu, terdapat beberapa orang pesakit lain yang memerlukan  darah untuk membantu merawat mereka. Antaranya ialah Solehah yang tenat akibat keguguran dan Al-Hafiz pula terlibat dalam kemalangan yang teruk. Pada wad yang sama terdapat seorang bayi yang dibuang di tepi jalan dan telah cedera digigit oleh anjing liar. Selain itu, terdapat seorang gadis yang menjadi mangsa sumbang mahram oleh ayahnya dan seorang mahasiswa yang mengidap leukimia.
          Nusia telah dipertanggungjawab untuk membantu Dr Moralis merawat semua pesakit di wad ICU  dan dipantau oleh Dr Prajudi. Dr Prajudi lebih memberi perhatian kepada Tuan Dayusa kerana Tuan Dayusa merupakan seorang ahli korporat yang ternama. Tuan Dayusa banyak memberi sumbangan kepada kelab elit hospital berkenaan.Selain itu, Tuan Dayusa juga telah menderma beratus ribu ringgit untuk majlis makan malam hospital tersebut. Nusia tidak berpuas hati apabila Dr Prajudi tidak memperdulikan pesakit lain  disebabkan taraf  sosial berbeza.
          Nusia tidak berpuas hati dengan arahan Dr Prajudi yang menyuruhnya membawa lima pek darah untuk merawatTuan Dayusa sedangkan darah-darah tersebut sangat diperlukan oleh pesakit lain. Tuan Dayusa memang tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Nusia tidak berpuas hati terhadap tindakan Dr Prajudilalu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Dr Moralis.
          Dr Moralis tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana Dr Prajudi lebih berkuasa di wad tersebut. Namun demikian,  akhirnya Tuan Dayusa telah meninggal dunia dan Dr Moralis telah dipersalahkan kerana tidak memberi bantuan darah kepada Tuan Dayusa. Dr Moralis sedar bahawa  setiap insan wajib ditolong tidak kira pangkat dan darjat. Nusia dan Dr Moralis sendiri akhirnya yang menderma darah mereka untuk membantu 4 orang pesakit di wad tersebut yang masih memerlukan darah.
TEMA
Tema Gerhana Manusia menjurus kepada konflik terhadap etika kerja.Konflik antara memenuhi  etika seorang jururawat dan tuntutan dari pihak atasan dalam membantu pesakit yang lebih berpengaruh.
Contoh:
Doktor Prajudi menyuruh Nausiamemberi bantuan darah  kepada Tuan Dayusa kerana Tuan Dayusa banyak memberi sumbangan kewangan kepada hospital sedangkan pada masa yang sama masih ramai lagi pesakit lain yang sangat memerlukan darah tersebut.
Persoalan:
Persoalan yang terdapat dalam cerpen Gerhana Manusia adalah :
1.     Persoalan tanggungjawab seorang doktor terhadap pesakit.
Contoh: Dr Prajudi dan Dr Moralis bertanggungjawab merawat  pesakit di hospital.

2.     Persoalan perbezaan golongan berpangkat dengan masyarakat.
Contoh : Tuan Dayusa diberi layanan istimewa berbanding pesakit lain kerana dia seorang korporat ternama  dan juga menjadi penyumbang kepada kelab elit hospital.

3.     Persoalan kepentingan menderma darah dalam masyarakat.
Contoh : Tuan Dayusa, Soleha, Al-Hafiz, bayi dan gadis yang malang itu amat memerlukan bekalan darah untuk merawat mereka.

4.     Persoalan peranan wad ICU kepada pesakit kritikal.
Contoh : Soleha, Al-Hafiz, bayi dan gadis yang malang itu dimasukkan ke wad ICU kerana memerlukan rawatan yang rapi.

5.     Persoalan pengambilan alkohol memudaratkan kesihatan.

Contoh: Tuan Dayusa telah dijangkiti dengan virus pada paru-paru akibat pengambilan alkohol.

Tiada ulasan: