Sabtu, 6 Februari 2016

LATIHAN RUMUSAN

KEPADA ANAK-ANAK DIDIK 5ICT, SILA SIAPKAN LATIHAN RUMUSAN INI SEMASA CUTI TAHUN BAHARU CINA. SELAMAT MENCUBA.

PANDUAN MENCARI ISI TERSURAT:    KEBAIKAN ( BOLEH / MAMPU / DAPAT / AKAN / JUGA / DI SAMPING ITU )



Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan coklat dan cara-cara memajukan industri coklat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
   
Sejak turun-temurun, coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan dan minuman yang digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Pada zaman dahulu hanya orang yang berada dapat menikmati coklat. Pada masa itu, coklat ialah makanan yang dikhaskan untuk raja-raja, perwira dan pembesar negara. Kini, coklat yang dihasilkan daripada buah koko itu dapat dinikmati oleh semua orang. Hal ini menyebabkan industri berasaskan koko semakin berkembang dan menjadi  sumber ekonomi kepada banyak negara.
Coklat mempunyai kandungan serat yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan vitamin A, B, C, dan D. Mengikut kajian sains, pengambilan coklat dapat melegakan otot. Namun demikian, sekiranya diambil secara berlebihan, coklat boleh menyebabkan otot menjadi terlalu rehat sehingga asid perut mudah masuk ke dalam esofagus, iaitu bahagian saluran makanan yang terletak di antara tekak dengan perut. Keadaan ini boleh mengakibatkan kecederaan dalaman kepada manusia. Hasil penyelidikan pula mendapati bahawa coklat dapat memberikan perasaan gembira yang amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam mulut.
Hasil kajian mendapati bahawa ketika makan coklat, aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Di samping itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks kerana bahan kimia teobromina  yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Walau bagaimanapun, bahan kimia yang memberikan kesan relaks kepada manusia ini boleh menjadi racun kepada banyak haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Hal ini terjadi keranan haiwan peliharaan tidak mempunyai sistem penghadaman yang dapat melakukan proses penguraian terhadap bahan kimia tersebut.
Manfaat lainnya ialah coklat mampu melanjutkan usia seseorang yang selalu memakannya. Kajian mendapati bahawa sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka diramalkan dapat hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan coklat langsung. Selain itu, coklat boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana fungsinya yang dapat mencairkan darah dan mengelakkan daripada membeku di dalam jantung. Penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Kandungan bahan kimia dalam coklat yang diambil juga sesuai untuk melegakan batuk. Namun begitu, manusia perlu berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti.


Tiada ulasan: