Sabtu, 26 Oktober 2013

3.  Barangan buatan tempatan seperti makanan, pakaian, dan perkakas rumah menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Tulis sebuah rencana tentang keistimewaan barangan buatan tempatan kepada pengguna.

Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan barangan buatan tempatan.
Huraikan kebaikan-kebaikan menggunakan barangan buatan tempatan.

Pendahuluan :  Peribahasa yang menyatakan ‘hujan emas di negari orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah di negeri sendiri’ mengajari kita betapa pentingnya menghargai dan membanggakan apa-apa jua yang menjadi milik kita. Dalam konteks ini, kempen belilah barangan buatan tempatan adalah menjadi wahana penting untuk dihayati dan seterusnya mendapat sambutan tidak berbelah bahagi oleh masyarakat. Kempen dan galakan ini menjadi inisiatif utama kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara yang dipacukan oleh aliran tunai domestik. Sementara itu, dalam beberapa perspektif yang lain, galakan ini turut memberikan impak yang positif kepada masyarakat pengguna dan meningkatkan perkembangan ekonomi negara amnya.

Isi 1 :  Membantu mempercepat pertumbuhan  dana dalam negara – menyokong pertumbuan Keluaran Dalam Negara Kasar di samping memberi kesan kepada meningkatnya pendapatan perkapita penduduk – dengan kata lain masyarakat memiliki tukaran yang cukup

Isi 2 :  Menyekat aliran tunai ke luar negara – kecairan tunai (modal) hanya berlegar dalam pasaran tempatan – kini, sudah melebihi RM20 bilion wang mengalir keluar kerana mengimport barang-barang makanan – aliran keluar meningkat berlipat ganda sekiranya barangan aksesori, pakaian, peralatan mesin dan jentera yang terpaksa diimport

Isi 3 :  Menyokong kreativiti anak-anak tempatan dalam sektor perniagaan – membantu mempercepat pertumbuhan sektor PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) – pembelian yang meningkat boleh mendorong pengusaha melipatgandakan keluaran di samping kualiti yang turut meningkat

Isi 4 :   Membantu merancakkan sektor perniagaan –perniagaan berkembang dengan lebih pantas apabila pasaran aktif

Isi 5 :  Pengguna memperoleh barangan yang relatifnya lebih murah dengan kualitinya yang setaraf – murah kerana kos produk yang lebih rendah dan berkualiti kerana pemproesan menggunakan teknologi moden dengan piawai ISO 9200

Kesimpulan :  Daripada peribahasa, jauh-jauh seluang melaut akhirnya baliklah ke muara membuktikan bahawa, selama-lama mana pun kita berbangga dengan kelebihan orang lain, namun tidaklah lama kerana akan balik juga kepada asal usul. Hal yang demikian samalah sifatnya apabila kita kesudahannya akan balik kepada cita rasa sendiri walaupun zahirnya sangat berbangga dengan barangan asing. Seyogia berilah sokongan yang tidak bergelah bahagi terhadap galakan membeli barangan tempatan.

4.  Peninggalan sejarah seperti Tembok Besar China di China, Taj Mahal di India dan Candi Brobodur di Indonesia sentiasa menjadi daya tarikan pelancong si seluruh dunia.
Bincangkan kepentingan peninggalan sejarah kepada sesebuah negara.

NOTA : Sila ubah suai soalan ini dengan rangka jawapan soalan di bawah

Pengetahuan tentang sejarah dikatakan teras kepada pembentukan tamadun sesuatu bangsa. Malangnya sejak akhir-akhir ini sindrom buta sejarah telah melanda generasi muda.
Ulaskan pendapat anda tentang kewajaran kerajaan mewajibkan lulus sejarah pada peringkat SPM.

Pendahuluan : Perbuatan mengoyak-ngoyak Jalur Gemilang, mempersendakan kalimat dalam lagu Negaraku, merosakkan sumber alam semula jadi, bersekongkol dengan musuh negara, rasuah, dan tidak menghormati undang-undang adalah antara  anasir kerendahan budi bahasa dan lunturnya jiwa patriotik. Namun demikian, fenomena seumpama itu seolah-olah menjadi kepuasan kepada sesetengah individu untuk menunjukkan diri mereka hebat. Mereka berbangga apabila dikatakan berjaya merobek-robek sistem perundangan, peradaban, dan budaya masyarakat. Tingkah laku keji seperti ini sudah pasti boleh meruntuhkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat seandainya tiada sebarang tindakan proaktif diambil. Menyedarinya, kerajaan telah mengambil pendekatan mewajibkan subjek sejarah kepada semua pelajar, malahan subjek tersebut diwajibkan lulus pada peringkat SPM. Walaupun terdapat reaksi pro dan kontra, saya berpendapat langkah tersebut sebagai kena pada masa dan situasi untuk mengembalikan hak dan maruah negara agar tidak dicacatcelakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Isi 1 : Dapat melahirkan rakyat yang sedar akan asal usul – kejahilan terhadap asal usul boleh melahirkan individu yang mudah menderhaka – sejarah memberikan maklumat tentang keadaan sebenar tanah air dan bangsa sendiri - dapat membezakan dengan situasi di negara lain – tidak dengan sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah negara

Isi 2 : Dapat menjelaskan tentang kedudukan sebenar masyarakat dan sistem politik masyarakat majmuk di Malaysia – mendidik rakyat agar faham dan tahu bertolak ansur dalam kalangan masyarakat majmuk – bersatu untuk membentuk bangsa Malaysia berasaskan permuafakatan dalam kontrak sosial

Isi 3 : Mendidik rakyat memahami sistem bernegara – sejarah sebagai sumber mengubah tingkah laku rakyat agar faham sistem pemerintahan sesebuah negara – mendidik rakyat menghormati pemimpin, menghormati kewujudan perbezaan kaum, agama, budaya, dan bahasa

Isi 4 : Elemen (alat penting) membantu mempercepat pembangunan negara – rakyat yang faham sejarah akan patuh kepada negara – sentiasa berusaha memajukan tanah air – tidak menimbulkan angkara yang membawa suasana ketidaktenteraman dalam masyarakat dan negara – keamanan boleh meningkatkan daya produktiviti negara

Isi 5 : Sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara – rasa sayang dan terhutang budi kepada negara – bersedia pada bila-bila masa menjadi tulang belakang pertahanan negara – menjaminkan ketenteraman dan keamanan negara

Kesimpulan : Ratusan tahun kita berjuang untuk mengembalikan maruah dan kemerdekaan tanah air. Kini setelah 56 tahun negara mengecapi kemerdekaan setiap rakyat harus merasai sendiri denyut nadi mengecapi nikmat kemerdekaan. Kita perlu ingat bahawa, mempertahankan kemerdekaan dan kemakmuran yang telah lama dikecapi adalah lebih susah. Oleh itu, seandainya wujud sikap talam dua muka akibat buta sejarah maka amat wajarlah kerajaan mengambil langkah segera untuk mewajibkan syarat lulus sejarah dalam peperiksaan seandainya langkah tersebut boleh menyelamatkan masa depan negara.

PULAU PINANG
1.  Anda telah berpeluasng bercuti bersama-sama dengan keluarga di tempat pelancongan yang terkenal di Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat dilaksanakan untuk menjadikan tempat pelancongan di Malaysia lebih menarik.

Pendahuluan :  Sudah acap kali penganjuran tarikan pelancong ke luar negara oleh pelbagai agensi sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan. Penganjuran tersebut turut disokong oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia. Kini Malaysia mula dikenali di saentero dunia sebagai destinasi pelancongan yang menarik, murah, dan eksotik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, Malaysia telah menyasarkan jumlah kemasukan pelancong kepada 30 juta orang dengan anggaran tukaran asing sebanyak RM30 bilion. Sejajar dengan hasrat negara untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, maka semua pihak di Malaysia patut memainkan peranan aktif masing-masing.

Isi 1 :   Penglibatan aktif agensi kerajaan - Kementerian Pelancongan - agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan perlu aktif mempromosikan Malaysia ke peringkat global

Isi 2 :   Inisiatif hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga -  menyokong dan mengambil bahagian dalam program galakan pelancongan di luar negara - membangunkan prasarana pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan

Isi 3 :   Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing -  mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan - membangunkan tempat-tempat yang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong

Isi 4 :    Minda masyarakat hendaklah lebih berfikiran terbuka dan positif terhadap industri pelancongan - melihat sektor pelancongan secara positif - menyokong usaha pihak kerajaan dan PBT menjaga alam sekitar - mengamalkan budaya sopan santun, peramah, dan berbudi bahasa

Isi 5 :   Penglibatan aktif duta-duta di luar negara - menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia

Kesimpulan :  Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi oleh pelancong-pelancong sama ada dari Timur atau Barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki jangan ditolak, aral jangan diraih.


2.  Kenaikan harga barangan harian telah menyebabkan ahli keluarga melakukan pelbagai usaha untuk menjimatkan perbelanjaan.
Huraikan usaha-usaha tersebut.

Pendahuluan : Semua pihak telah maklum, bahawa tahun 2008 hingga kini merupakan tempoh getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun amaran seperti itu perlu diambil serius agar dapat menyediakan payung sebelum hujan. Bagi mendepani keadaan darurat seperti itu, setiap keluarga haruslah mempunyai pelan dalam merancangkan perbelanjaan berhemat sekonyong-sekonyong tidak menjadi mangsa krisis kenaikan harga barang.

Isi 1 : Mengamalkan latihan berjimat cermat
      -  amalan yang harus dipupuk sejak kecil
      -  memupuk nilai-nilai murni dalam keluarga seperti menyayangi harta benda, berbelanja secara     
         berhemat, dan menjauhi amalan boros

Isi 2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan
      - penyimpanan melalui institusi kewangan dan pelaburan saham
      - berjimat cermat sewaktu senang dengan memperuntukkan lebihan belanja untuk simpanan

Isi 3 : Mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar sentiasa berpada-pada dengan kemampuan yang
          ada
      - tidak meminta-minta sesuatu yang berlebih-lebihan
      - tidak melampau dan meniru cara hidup di luar kemampuan

Isi 4 : Tidak terlalu terpengaruh dengan umpan kebendaan dan berbelanja di luar kemampuan
      - keinginan untuk hidup bergaya melebihi kemampuan
      - cepat terpengaruh dengan pelbagai iklan dan pujukan atau tawaran jualan murah dan pesta jualan

Isi 5 : Tidak terpengaruh dengan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk
     - elakkan sifat meninggi diri mahu bersaing dengan jiran dan tetangga
     - mendidik anak-anak supaya tidak terikut-ikut dengan gaya hidup mewah jiran atau rakan-rakan

Kesimpulan : Pendidikan daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa menanggung beban terutama dalam krisis  gawat seperti ini. Janganlah sudah terhantuk baru hendak menengadah. Oleh itu, rancanglah strategi perbelanjaan secara berhemat dalam erti kata hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.
3.  Makanan segera dan makanan ringan seperti burger, mi segera dan kentang goreng telah menjadi pilihan masyarakat sekarang.
Ulaskan pernyataan tersebut.

4.  kemasukan warganegara asing ke sesebuah negara telah meninggalkan pelbagai kesan.
Jelaskan kesan-kesan kemasukan warga asing ke negara tersebut.

            Sejarah telah memaparkan bukti apabila negara-negara perindustrian di Eropah memulakan era perindustrian dengan cara membuka dasar buruh yang telus. Dasar tersebut telah menggalakkan rakyat dari negara-negara Dunia Ketiga berhijrah ke negara mereka atas dasar keperluan buruh. Kini amalan seperti itu berterusan berlaku di Eropah walaupun dalam bentuk yang berbeza. Musibahnya, apabila dasar tersebut dipermudah, pelbagai implikasi negatif terpaksa ditanggung oleh negara-negara perindustrian di Eropah. Amalan tersebut kini turut sama dikongsi oleh negara-negara perindustrian baru termasuk Malaysia juga. Malang sekali apabila dasar buruh asing ini gagal diurus dengan sempurna telah memberi impak yang cukup negatif kepada negara penerima. Pelbagai kesan sama ada ekonomi, sosial, dan politik terpaksa ditanggung oleh negara-negara penerima. Keadaan tersebut tidak terkecuali kepada Malaysia juga.

Isi 1 : Masalah yang timbul dalam menentukan status pekerja - pekerja tanpa permit mengatasi yang sah - tidak terikat dengan segala sistem, peraturan dan undang-undang negara - sukar untuk mengambil tindakan terhadap golongan ini

Isi 2 : Pendatang bebas melakukan pelbagai aktiviti yang bertentangan dengan dasar dan peraturan negara - melakukan kegiatan jenayah – kini kadar jenayah terlalu kritikal di Malaysia - bebas menyusup masuk dan keluar terutama selepas melakukan jenayah (sindiket pengedaran dadah antarabangsa oleh warga Iran manakala masalah samseng dan jenayah oleh warga Afrika)

Isi 3 : Mengancam keselamatan negara - kehidupan aman dan harmoni yang dirasai rakyat sejak dulu benar-benar tergugat - pihak keselamatan negara tidak menang tangan untuk menangani gejala jenayah yang meningkat dengan mendadak

Isi 4 :  Dalam aspek sosial, merampas segala peluang rezeki rakyat tempatan -menguasai pasaran buruh dan sektor perladangan -membuka ruang agar majikan dengan sewenang-wenangnya melupakan tanggungjawab sosial terhadap warganegara sendiri

Isi 5 : Menyebarkan pelbagai pengaruh asing yang negatif dan destruktif - gaya hidup samseng dengan pergaulan bebas - membebaskan diri daripada sebarang ikatan adat, norma, budaya, dan etika masyarakat setempat - tiada rasa hormat terhadap masyarakat tempatan

Isi 6 : Menimbulkan pelbagai keresahan dan ketidaksetabilan dalam masyarakat -mengganggu gugat sistem masyarakat setempat - mengamalkan perkahwinan dengan rakyat tempatan yang tidak mengikut tatacara undang-undang dan agama - menculik dan melarikan anak-anak gadis tempatan ke luar negara

Kesimpulan : Tempelak peribahasa pernah menyatakan, iaitu hajat di hati nak peluk gunung, malang terpeluk biawak celaka. Inilah situasi yang terpaksa kita hadapi kini. Gejala pendatang asing yang pada hematnya untuk membantu mempercepat agenda pembangunan di negara ini telah memusibahkan kita dengan pelbagai ancaman. Sesungguhnya, sudah sampai masanya agar semua pihak menilai semula akan keperluan mengambil buruh asing tanpa mengambil kira masa depan negara..

WP KUALA LUMPUR

1.  Setiap murid perlu menghormati dan menghargai jasa guru di sekolah.
Huraikan pendapat anda dalam usaha menghargai jasa guru di sekolah.

“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.
Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.

Assalamualaikum dan salam sejahtera’
                Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Saujana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
                Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Ambang Saujana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.

Hadirin sekalian,
                                                Air jernih genang-genangan,
                                                            Alir deras jernih di hulu;
                                                Tempat jatuh lagi dikenang,
                                                            Inikan pula tempat menimba ilmu.

Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK Ambang Saujana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Hadirin sekalian,
                Sebelum menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang diraikan oleh phak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.

Para pendidik yang dihormati sekalian,
                Alhamdulillah, tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A  yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian .

Rakan-rakan sekalian,
                Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang.  Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.

Hadirin sekalian,
                Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Saujana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah, 

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
                Diri kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Selepas mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingitlah pesan peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.

Hadirin sekalian,
                Berat hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,

                                    Burung terbang melintas sempadan,
                                                Terbang menuju muara segara;
                                    Biar jauh berbilang lautan,
                                                Sebutir katamu menjadi mutiara.

Sekian terima kasih.

2.  Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha menggalakkan anak-anak mementingkan keindahan dan kebersihan alam sekitar. Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan dan kebersihan alam sekitar.

NOTA : Soalan ini terlalu hampir dengan isu soalan 2 dalam SPM NOVEMBER 2012.

3.  Andaikan anda seorang pemberita. Anda ditugaskan mewawancara seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tentang usaha menangani gejala rasuah dalam kalangan masyarakat.
Tuliskan wawancara tersebut selengkapnya.

Latihan 1 :  Pelbagai bentuk penyelewengan seperti rasuah, penipuan, dan menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan peribadi semakin menular sejak belakangan ini. Perbuatan keji tersebut boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada negara dan perlu ditangani dengan segera. Bincangkan kesan-kesan penyelewengan kepada negara dan cadangkan langkah-langkah untuk menanganinya daripada berleluasa.
Pendahuluan : Sekali dalam setahun, yakni pada setiap kali laporan audit oleh Ketua Audit Negara, pelbagai amalan salah laku dan penyelewengan yang membabitkan wang rakyat terpampang di dada-dada akhbar. Berdasarkan laporan audit pada Oktober 2012, sebanyak  RM42.138 Bilion wang negara telah dibelanjakan secara salah dan mengalami kerugian. Masya-Allah, alangkah banyaknya wang negara yang lesap angkara bikinan tangan-tangan yang tidak amanah. Inilah sikap telunjuk lurus kelengkeng berkait dan pepat di luar rencog di dalam yang masih menjadi duri dalam daging terhadap negara. Dengan kata lain, amalan keji ini adalah berpaksikan nafsu besar yang mementingkan diri sendiri mengatasi kepentingan negara dan masyarakat. Amalan-amalan mazmumah itu sudah pasti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada negara dan seyogia perlu ditangani segera dengan pelbagai tindakan yang tegas.
Kesan-kesan negatif :
Isi 1 : Menjadi penghalang kepesatan pembangunan negara – berlaku ketirisan dan ketidakjujuran - dana negara dicuri untuk kepentingan peribadi – matlamat menjadi negara maju menjelang tahun 2020 tidak akan terlaksana
Isi 2 : Negara akan muflis – perbendaharaan negara tidak mampu menyalurkan wang yang terlalu banyak – simpanan (rizab) negara kosong – berlaku krisis hutang ( contoh negara Greece, Sepanyol dan beberapa negara di Afrika sedang berdepan dengan ancaman muflis)
Isi 3 :  Boleh mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara – kemerosotan ekonomi menjadi punca utama sesebuah negara tidak stabil – berlaku protes dan tunjuk perasaan – runtuhnya kuasa politik
Langkah-langkah :
Isi  4 : Melaksanakan undang pencegahan jenayah rasuah dan penyelewengan yang lebih tegas – untuk mengurangkan tindakan salah laku dan amalan rasuah yang semakin leluasa – tindakan undang-undang berdasarkan Kanun Aturcara Jenayah Seksyen 406 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan sebatan dan Seksyen 409 kanun sama membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda – tindakan hendaklah sekata tanpa memilih bulu
Isi 5 : Menanamkan kesedaran dan integriti dalam kalangan pemimpin dan rakyat – masyarakat yang beramanah dan telus menjadi benteng ketahanan negara – melaksanakan pendidikan yang berterusan dari peringkat awal persekolahan – kerajaan mewujudkan Institut Integriti Malaysia (IIM)
Isi 6 : Memperkasakan pendidikan agama dan moral – wujud kesedaran atas rasa bersalah kerana tindakan yang menyalahi peraturan – memperkasakan moral yang lebh suka menyumbang daripada menerima – (mencontohi sikap ketelusan rakyat Jepun yang sanggup mengorbankan diri dan kedudukan apabila terbukti tidak telus)
Kesimpulan : Amat tepat sekali apabila dikatakan amalan rasuah ibarat anai-anai yang memakan sepohon kayu yang sasa pun pasti akan tumbang. Demikianlah, perbuatan rasuah yang menyamai musuh dalam selimut dan tindakan bagaikan api di dalam sekam. Penularannya amat sulit, namun kesannya terhadap kemusnahan sesebuah negara amat berbahaya sekali. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menjauhi sikap menggunting dalam lipatan untuk memenuhkan tembolok sendiri akhirnya negara menerima padah. Berwaspadalah dengan pesanan,“RASUAH MUSUH NEGARA”.
4.  Malaysia sentiasa mengadakan hubungan antarabangsa dengan negara-negara luar dalam pelbagai bidang. Usaha ini sememangnya mendatangkan impak yang baik ke arah pembangunan negara.
Huraikan faedah yang diperoleh negara-negara di dunia melalui kerjasama serantau.

Pendahuluan:  Ibarat hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing. Demikianlah hidup kita yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Kita tidak boleh hidup bersendirian bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Banyak perkara yang kita perlu kepada sokongan orang lain. Tuhan juga telah berfirman dengan maksudnya, “Aku jadikan manusia daripada bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar mereka saling mengenali dan bertolong bantu.” Oleh hal yang demikian, sebagai kerajaan yang bebas dan merdeka, Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan seluruh negara di  dunia tanpa memilih perbezaan pendapat, ideologi, bangsa, dan agama.

Isi 1: Memperluas jalinan hubungan diplomatik dalam dasar luar negara – menjalinkan persefahaman dan hubungan bilateral dan multilateral (hubungan dua hala dan pelbagai hala) dengan kerajaan di seluruh dunia - agar dunia mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka - mengelak perasaan curiga dan prejudis dalam kalangan masyarakat dunia

Isi 2: Mewujudkan jalinan sosial, ilmu, dan budaya di peringkat global - menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan global - mengeksport dan mengimport sumber maklumat dan ilmu pengetahuan melalui jaringan kerjasama di bawah badan dunia seperti UNESCO - mengenali cara hidup budaya dan adat resam pelbagai masyarakat dunia - menjalinkan persefahaman melalui misi sukan, kerja amal, dan sumbangan kemanusiaan

Isi 3: Mewujudkan rangkaian ekonomi dan perdagangan global - memperluas pasaran di peringkat global - memperkenalkan produk Malaysia di pasaran antarabangsa – menjalinkan hubungan dagang dan memperluas pasaran global – menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia

Isi 4: Mewujudkan jaringan serantau dan antarabangsa - mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti antarabangsa – persidangan tentang siasah, ekonomi, sosial, dan keamanan - menjaga kebajikan negara-negara serumpun dan serantau (ASEAN), negara-negara merdeka (KOMANWEL), kebudayaan (OIC), dan dunia (PBB)

Isi 5: Memenuhi tanggungjawab sosial untuk hidup sebagai warga dunia yang bersatu padu - menghormati hak asasi manusia untuk hidup bebas, berdaulat, dan diiktiraf - tidak bersikap mementingkan diri dan boleh berada dalam kelompok masyarakat dunia - memperluas sistem rangkaian maklumat global dalam jalinan maklumat siber -membangunkan minda dan peribadi bangsa Malaysia agar setanding dengan warga dunia

Kesimplulan :  Dalam abad milenium ini, umat Malaysia tidak harus terkongkong dalam belenggu katak di bawah tempurung. Kita tidak boleh lagi hidup bersendirian kerana sebarang gerak geri kita sentiasa diperhati oleh masyarakat luar. Daripada kita dianggap sebagai bangsa yang tidak mesra masyarakat dunia dan disisihkan dalam pelbagai agenda lebih baik kita memberi sumbangan sedaya yang mampu. Kita harus berbakti kepada masyarakat dunia sekadar yang upaya bak kata peribahasa sedikit tanda ingat, banyak tanda ada.

YAYASAN ISLAM KELANTAN

1.  Sekolah anda akan menganjurkan, “Minggu Kebersihan dan Keceriaan Sekolah”.
Berikan pendapat anda tentang program-program yang perlu dijalankan sepanjang minggu tersebut.

2.  Slogan “Membca Jambatan Ilmu” menunjukkan bahawa budaya membaca akan melahirkan masyarakat yang berilmu dan mendatangkan faedah yang besar kepada negara.
Huraikan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan keluarga mereka.

Pendahuluan : Apabila seseorang itu cuba mengkaji dan mendalami kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca adalah merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan sekadar menjadi pelengkap kepada sesuatu peperiksaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk melahirkan umat yang berjaya, bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Namun demikian, saranan membaca menatijahkan nilai yang paradoks apabila masyarakat Malaysia khususnya amat liat untuk membaca. Sama ada di peringkat masyarakat umum hinggalah ke pusat-pusat pengajian, amalan membaca gagal dibudayakan. Walaupun pelbagai kempen dan insentif diberi untuk menyemarakkan amalan tersebut, hasil yang diperoleh amatlah mengecewakan. Oleh itu, sejajar dengan sesuatu kejayaan itu bermula dari rumah, nescaya keluarga haruslah memainkan peranan aktif untuk memupuk semula amalan membaca.




Isi-isi penting :
Isi 1 :  Keluarga perlu membudayakan amalan membaca sama seperti aktiviti tetap yang lain – (amalan membaca Quran bagi keluarga Islam), amalan beriadah dan aktiviti menonton TV dijadikan sama penting dan seimbang dengan amalan membaca

Isi 2 :  Ibu bapa hendaklah memiliki habit suka membaca – menanamkan sifat meneroka dan mencari maklumat baru dengan membaca – membaca sebagai suatu  penerokaan minda – memberikan kesedaran kepada anak-anak tentang asyiknya membaca

Isi 3 :  Menyediakan prasarana dan sumber bacaan yang cukup – mempelbagaikan bahan bacaan mengikut minat dan tahap – tidak boleh bergantung kepada minat sebelah pihak – fikirkan minat dan kecenderungan anak-anak juga (ibu bapa tidak boleh terikat dengan membaca akhbar semata-mata)

Isi 4 :  Menghidupkan amalan mentor membaca dalam keluarga – ibu membaca kisah penerokaan dan pengembabaraan kepada anak-anak yang masih kecil – bapa membaca sumber-sumber berkaitan sejarah, politik dan ekonomi dengan anak-anak yang lebih matang

Isi 5 :  Mengadakan rutin tetap mingguan atau bulanan untuk berkunjung ke kedai buku atau pameran buku (sekiranya ada) – memberi inovasi dan perspektif baru kepada anak-anak tentang perkembangan dunia buku

Kesimpulan : Hidup dengan membaca ibarat minda yang sedang bergerak untuk meneroka ke seluruh isi alam. Membaca umpama kita sedang berinteraksi atau berdialog dengan seseorang insan bijaksana melalui huruf dan angka yang disusun untuk menjadi fakta. Oleh itu, keluarga yang sentiasa membaca boleh diibaratkan sebagai sedang mengembara ke seluruh polosok alam. Dengan hal yang demikian, pupuklah minda ahli keluarga dengan amalan membaca.


3.  Malaysia berpotensi menjadi destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Bincangkan sumbangan sektor pelancongan kepada negara Malaysia.

Pendahuluan : Apabila berbicara perihal melancong, banyak orang yang akan mengalih pandang sama ada ke negara-negara Barat mahu pun di negara-negara Asia Timur Jauh seperti Jepun, Korea, dan Taiwan. Sebenarnya dalam ghairah kita melancong ke tempat lain, tanpa disedari ramai pula pelancong asing yang datang ke negara kita. Oleh itu, jelaslah bahawa Malaysia pun tidak kurang hebat dengan destinasi pelancongan yang menarik. Peluang tersebut wajar sekali kita manfaatkan demi faedah kepada negara kerana industri pelancongan sangat banyak impaknya kepada kemajuan ekonomi, sosial, dan politik sesebuah negara.

Isi 1 : Dari segi politik, hubungan antarabangsa dengan negara asing semakin meluas – imej Malaysia akan dihebahkan oleh duta-duta tidak rasmi yang datang melancong

Isi 2 : Dalam aspek ekonomi – banyak sekali peluang ekonomi yang terjana – kemajuan kepada industri pelancongan itu sendiri seperti dalam bidang perhotelan – memajukan industri hiliran berkaitan pelancongan seperti makanan, pakaian, cenderamata, pengangkutan dan sebagainya.

Isi 3 : Dalam aspek sosial – masyarakat setempat memperoleh pelbagai pendedahan daripada interaksi dengan orang asing – aspek budaya – bahasa dan cara berfikir

Isi 4 : Malaysia dapat memaksimumkan potensi negara – sistem pengangkutan yang dibangunkan, kemudahan  prasrana, alam sekitar yang terjaga dan semua potensi alam berjaya dimanfaatkan

Isi 5 : Boleh mempertingkatkan tukaran asing – satu lagi peluang dalam bidang ekonomi – minat yang tinggi daripada pelancong-pelancong dari Timut Tengah, Jepun, Korea, dan Eropah boleh meningkatkan kadar tukaran mata wang negara.

Kesimpulan : Sektor pelancongan sebenarnya telah lama menjadi penjana ekonomi kepada banyak negara di dunia. Walaupun industri pelancongan sering dilabelkan dengan pelbagai implikasi yang negatif, namun imej tersebut boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia sendiri memiliki jati diri yang kuat terutama dalam aspek budaya dan agama. Janganlah sebabkan nilai setitik rosak susu sebelanga.


TERENGGANU

1.  Sebagai setiausaha sidang redaksi majalah sekolah, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan tentang Hari Kokurikulum yang diadakan di sekolah anda.
Sediakan laporan itu selengkapnya.

2.  Ibu bapa menjaga anak-anak dengan penuh kasih sayang, namun apabila anak-anak meningkat remaja ada antara mereka yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial.
Jelaskan faktor-faktor yang mendorong berlakunya keadaan sedemikian.

Pendahuluan :  Tokoh-tokoh psikologi menegaskan bahawa alam remaja ialah alam yang penuh mencabar, indah, futuristik, dan kadang-kadang pincang. Tempoh usia remaja juga menjadi wilayah usia yang memisahkan dunia kanak-kanak dan dewasa. Ada ketikanya remaja menjadikan diri mereka seolah-olah sudah dewasa sebaliknya dalam situasi yang lain pula mereka bagaikan keanak-anakan. Kadang-kadang mereka begitu agresif mencuba dan menuntut perkara yang bukan-bukan. Sifat agresif dan mudah memberontak itulah yang meletakkan remaja sebagai golongan yang sentiasa ghairah menuntut pelbagai kebebasan, namun kesudahannya mereka terjebak dengan pelbagai masalah sosial.

Isi 1 :  Remaja mahu mereka dilihat sudah benar-benar bebas
-          mahu segera keluar daripada sebarang kawalan dan kongkongan
-          berasa diri sudah bebas daripada tempoh alam kanak-kanak
-          sudah yakin untuk membuat keputusan sendiri

Isi 2 :  Remaja lebih yakin apabila berada dalam lingkungan rakan sebaya
-          mahu diri dan kelompok diiktiraf
-          berani membuat keputusan sendiri apabila berada dalam lingkungan rakan sebaya
-          beranggapan ibu bapa, guru-guru dan orang yang lebih tua tidak mampu menyelami hati dan perasaan mereka
-          menggunakan pendekatan memberontak daripada nasihat dan berunding

Isi 3 :  Amalan masyarakat kini yang lebih banyak memberikan kebebasan kepada remaja
-          kesibukan ibu bapa bekerja
-          kesuntukan masa ibu bapa memberikan peluang remaja lebih bebas
-          mula mengenali alam pembebasan lebih awal daripada yang sepatutnya
-          mula menunjukkan personaliti ingin bebas daripada sebarang kongkongan

Isi 4 :  Terpengaruh dengan ideologi pembebasan di Barat
-          pengaruh ideologi “Born to be free”
-          pengaruh daripada kumpulan muzik rock metal dan heavy metal
-          cuba mencari platform sendiri

Isi 5 :  Tandus nilai-nilai peradaban Timur
-          kejumudan dan kejahilan fahaman agama dan moral
-          cuba memutuskan cengkaman keluarga, adat, dan masyarakat
-          berbangga apabila dikenali sebagai remaja bebas
-          menganggotai kumpulan pemuda rempit, skinhead, dan muzik liar

Kesimpulan :  Kebebasan merupakan manifestasi daripada tuntutan semula jadi manusia. Kebebasan dapat melahirkan insan yang berdikari, berani, dan tabah. Dengan memiliki kebebasan, manusia dapat menentukan arah tuju dan pilihan ideologinya. Sungguhpun demikian, apabila kebebasan dijadikan sebagai matlamat hidup, berkemungkinan manusia melakukan pelbagai tindakan yang melebihi had etika, budaya, dan norma dalam masyarakat. Justeru, tidak salah remaja memcari kebebasan asalkan kebebasan yang diperoleh bakal mematangkan diri mereka.






3.  Gejala rasuah dalam masyarakat boleh membawa banyak kesan negatif seperti manfikan hak rakyat serta menjejaskan imej negara.
Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani gejala ini.



4.  Pergolakan dan peperangan yang berlaku di sesebuah negara bukan sahaja menjejaskan keamanan negara tersebut malahan turut menjejaskan negara-negara serantau.
Ulaskan peranan yang boleh dimainkan oleh pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan di peringkat serantau dan dunia untuk menangani krisis ini.

Pendahuluan : “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”. Petikan daripada peribahasa tersebut mendedahkan betapa besar sungguh impak daripada para pemimpin. Elok pemimpin eloklah rakyat, sebaliknya apabila pemimpin rosak maka rakyatlah yang akan menanggung sengsara. Pergolakan dan kempen berdarah yang melanda negara-negara Timur Tengah benar-benar mendedahkan tembelang buruk para pemimpin yang gagal menguruskan negara dan rakyat masing-masing. Demi keamanan sejagat, para pemimpin di seluruh dunia hendaklah insaf bahawa mereka ialah penentu sama ada dunia ini sebagai syurga kehidupan ataupun menjadi pentas neraka yang sengsaranya bertimpa-timpa ibarat lautan yang tidak bertepi.

Isi 1 :  Para pemimpin harus sedar mereka sebenarnya memikul amanah bukan sebagai penyebar fitnah – sedar akan tanggungjawab kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh berjuta-juta manusia berpunca daripada pemimpin – peristiwa Perang Dunia adalah berpunca daripada sikap tidak bertolak ansur antara blok ‘Triple Antante dan Triple Alliance’

Isi 2 : Pemimpin mesti peka terhadap order dunia sekarang yang lebih mengutamakan kebijaksanaan daripada kekerasan dan keganasan – kejatuhan beberapa pemimpin di negara-negara Timur Tengah boleh dijadikan iktibar

Isi 3 : Pemimpin-pemimpin blok negara kaya bertanggungjawab menyelamatkan kesengsaraan di negara-negara miskin dan tertindas – membantu atas dasar kemanusiaan bukan atas dasar muslihat politik

Isi 4 : Badan Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hendaklah diberi lebih peranan untuk menghalang penindasan pihak tertentu – kuasa veto kumpulan negara kuasa besar tidak wajar diamalkan

Isi 5 : Wujudkan musyawarah dan baiah pemimpin seluruh dunia bahawa dunia ini sebagai tempat keamanan dan berkasih sayang – elakkan sikap tamak dan gila akan kuasa

Kesimpulan : Berdasarkan kata-kata daripada Nabi SAW yang bermaksud, “ Tingkah laku rakyat adalah bergantung kepada tingkah laku pemimpin” membuktikan bahawa peranan pemimpin adalah amat besar dalam menerajui order dunia. Kebobrokan dunia yang terjadi pada hari ini bukanlah berpunca daripada malapetaka alam mahupun kemiskinan dan sebagainya, tetapi akibat tiada sikap tolak ansur antara pemimpin. Oleh itu, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.




JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA TH.HJ.ISHAK MD SHAH KERANA MENYEDIAKAN RANGKA KARANGAN DAN CONTOH KARANGAN.

Tiada ulasan: