Jumaat, 12 November 2010

Belilah barangan buatan tempatan

Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran.Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara.

Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagung-agungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini.Rakyat Malaysai perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Kata peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negri sendiri lebih baik. Dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak. Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

Rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi memudahkan mereka membuat pilihan. Berikutan itu, FOMCA dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu boleh diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Maklumlah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana bermuafakat. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu.Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barangan buatan tempatan, serta kurang bergantung kepada produk import.

Seterusnya ialah peranan Media. Pihak media boleh memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media perlu bersedia membantu kerajaan dalam usaha membangunkan semangat pembelian barangan buatan Malaysia dari segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia. Ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Usaha mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing. Kempen yang bakal diadakan oleh media janganlah bersifat hangat-hanagat tahi ayam.

Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barangan tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapat barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan tetapi penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Maklumlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Semua pihak iaitu agensi kerajaan dan pihak swasta perlu memberikan keutamaan dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan mereka. Rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak-anak tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka yang setanding dengan produk import. Institusi kerajaan, swasta dan rakyat perlu mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti. Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

Kesimpulannya, tabiat rakyat dan pemimpin perlu diubah. Adalah malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen belilah barangan buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen. Jika bukan kita rakyat Malaysia yang mengutamakan dan memilih barangan buatan tempatan, siapa lagi?

Kesan-kesan kemasukan pendatang asing tanpa izin kepada negara ini.

Ekonomi Malaysia kebelakangan ini berkembang dengan pesat. Projek pembangunan raksasa berjalan dengan lancar. Sebagai hasilnya, wujudlah peluang pekerjaan yang meluas dan timbul masalah kekurangan tenaga kerja. Jadi, Malaysia kini menjadi tumpuan pendatang asing yang ingin mencari rezeki lumayan. Maklumlah di mana ada gula di situ ada semut. Namun kemasukan pendatang asing tanpa izin yang banyak telah menimbulkan pelbagai masalah.


Masalah utama ialah kesulitan yang dihadapi oleh kerajaan untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Pihak polis, tentera, dan Jabatan Imigresen terpaksa bekerja keras seperti aur dengan tebing untuk memberkas mereka. Mereka ditahan dan ditempatkan di kem tahanan sementara. Kedutaan asing pula kurang bekerjasama. Kedutaan asing enggan mengeluarkan dokumen perjalanan sementara kepada rakyatnya supaya mereka dapat dihantar balik. Kedutaan asing juga enggan membiayai kos penghantaran pulang. Hal ini menyebabkan banyak tenaga, wang, dan masa kerajaan terbazir dalam usaha mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.


Keselamatan sosial kita juga terancam. Ada antara pendatang asing tanpa izin ini merupakan penjenayah yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara asal mereka. Mereka melarikan diri ke Malaysia supaya terlepas daripada serbuan pihak berkuasa negara asal mereka. Malangnya, mereka terus melakukan jenayah di sini. Kes-kes rompakan, pembunuhan, dan rogol sering berlaku. Mangsa akan menanggung trauma sepanjang masa. Kata peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Malahan sesetengah taman perumahan dimasuki pencuri setiap malam buat satu tempoh yang panjang. Hal ini menyebabkan penduduk tempatan hidup dalam ketakutan. Kes-kes penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam serbuan polis bukanlah kes yang luar biasa lagi. Malah, tentera kita terpaksa dikerah ke Semporna, Sabah, untuk menghadapi lanun Filipina yang menggunakan senjata canggih untuk melakukan rompakan pada siang hari.


Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula. Banyak pendatang asing tanpa izin juga disahkan sebagai pembawa kuman HIV dan hepatitis. Hubungan mereka secara seksual dengan pelacur tempatan akan mempercepat jangkitan AIDS. Oleh itu, mencegah lebih baik daripada mengubati.


Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada mas a akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Kata peribahasa kerana nila ssetitik, rosak susu sebelanga.


Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih rendah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat kita. Tindakan ini umpama kera di hutan disusui, anak di pangkuan mati kelaparan.


Kita memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah airnya sendiri. Tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, dan tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

Khamis, 4 November 2010


Lihat gambar di atas dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam di Malaysia. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA

Dalam usaha menuju negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan berjalan lancar. Sistem pengangkutan yang cuba dibangunkan ini meliputi laluan darat seperti jalan raya dan jalan kereta api, laluan udara dan laut. Fokus utama pembangunan sistem pengangkutan ini bagi memudahkan orang ramai berhubung dengan masyarakat tempatan dan masyarakat di dunia luar.

Teksi digunakan sebagai alat pengangkutan mudah untuk pergi ke sesuatu destinasi. Kenderaan tersebut sebagai keperluan wajib untuk masyarakat ke destanasi yang diinginkan seperti ke sekolah, ke pejabat, ke surau dan ke pasar raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kerajaan telah mewartakan semua teksi bandar menggunakan sistem bermeter dan radio teksi.Kerajaan juga telah menggunakan warna yang berbeza untuk teksi bandar dan luar bandar.Bagi pengangkutan ke destinasi lapangan terbang, kerajaan telah memperkenalkan teksi limosen. Melalui keadah ini, mutu prkhidmatan dapat ditingkatkan dan diselaraskan serta memudahkam pengguna. Selain itu, penggunaan teksi bermeter dapat mengelakkan pemandu teksi melakukan penyelewengan dan menguntungkan pengguna.

Pengangkutan awam yang paling murah dan popular dalam kalangan pengguna ialah bas. Bas biasa digunakan oleh orang ramai untuk pergi bekerja atau ke pasar raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan ini, kerajaan telah menggalakkan pengusaha bas yang berskala kecil membentuk konsortium bagi meningkatkan aliran modal. Antara syarikat konsortium yang beroperasi ialah Transit Link, Couseway Link dan Pak May. Melalui keadah ini, syarikat pengangkutan akan dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dengan cara menggantikan kenderaan yang telah lama dengan kenderaan yang baru serta selesa. Keadah ini akan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.

Sementara itu, mereka yang ingin ke seberang laut, ramai yang memilih perkhidmatan kapal terbang dan kapal laut. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dan Air Asia telah menambah destinasi penerbangan baru dan membeli pesawat-peswat yang baru. Selain itu, syarikat penerbangan ini juga telah menawarkan pekej tambang murah khasnya yang telah dilakukan oleh Air Asia.Dengan cara ini, ramai pengguna akan mampu menggunakan perkhidmatan ini.

Sesungguhnya, sistem pengangkutan awam di Malaysia boleh dikatakan setanding dengan negara-negara maju. Oleh itu, menjadi tanggungjawab syarikat yang mengendalikan perkhidmatkan ini terus mengekalkan dan meningkatkan mutu perkhidmatan agar manarik minat pengguna menggunakannya.

Selasa, 2 November 2010

Bacaan umum

Usaha menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan akademik di rantau ini.

Dewasa ini , pendidikan semakin penting dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian , kerajaan Malaysia berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu menjelang tahun 2020 di rantau ini. Pusat kecemerlangan ilmu adalah sesuatu tempat rujukan ilmu dan mempunyai tenaga pengajar yang berwibawa. Bagi sesebuah negara, lazimnya, penanaman modal yang terbaik ialah dalam bidang pendidikan kerana ia selalunya memberi keuntungan dari segi jangka panjang.
Kerajaan Malaysia serius dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu. Oleh yang demikian , kerajaan Malaysia tentunya akan berusaha ke arah mencapai hasrat tersebut. Sejajar itu , kerajaan berpegang pada dasar menggalakkan kemasukan pelajar asing. Antara usaha-usaha yang dilakukan ialah memberi kelonggaraan dari segi bahasa iaitu Universiti Swasta dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Baru-baru ini kursus-kursus tertentu dalam Universiti Awam juga membenarkan bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu , kerajaan juga telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelajar-pelajar asing. Sebagai contoh , kerajaan menyedikan kemudahan asrama ataupun tempat tinggal untuk pelajar-pelajar yang datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu.Implikasinya , pelajar-pelajar asing akan berasa selamat dan selesa untuk berada di Malaysia dan seterusnya lebih ramai pelajar akan datang ke Malaysia.
Dalam pada itu , Malaysia sudah mempunyai banyak institusi pengajian yang meliputi Universiti Awam , Universiti dan Kolej Swasta serta program pendidikan jarak jauh. Pelajar-pelajar asing dari dunia ketiga ataupun kurang berkemampuan tidak perlu risau akan kos pendidikan tinggi yang perlu ditanggung oleh mereka. Hal ini demikian kerana pengajian tinggi di Universiti-universiti awam adalah jauh lebih rendah kosnya berbanding dengan universiti-universiti di luar negara. Selain itu , terdapat juga universiti awam yang telah diperbadankan seperti universiti Malaya. Keadaan ini secara langsung akan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan universiti. Tambahan pula , universiti dan kolej swasta di negara kita sudah mempunyai cawangan universiti luar negara yang terkemuka.Sebagai contoh , cawangan Universiti Monash di Universiti Kolej Sunway dan cawangan Universiti Reading di Kolej Taylor. Seterusnya , program pendidikan jarak jauh dapat memberi peluang kepada golongan pelajar yang tidak berjaya memasuki ke mana-mana institusi pengajian tinggi untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada masa yang sama , perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ) telah memberi nafas baru dalam sistem pendidikan di negara kita. Hal ini demikian kerana pelajar tidak akan ketinggalan dalam arus pemodenan melalui sistem pendidikan yang berlandaskan ICT. Lebih-lebih lagi , proses pemelajaran juga akan menjadi lebih berkesan kerana semua maklumat boleh didapati melalui internet. Perkara ini juga akan meringankan beban guru yang semakin bertambah. Seterusnya , nota-nota dan latihan akan diberikan melalui saluran rangkaian yang ditetapkan melalui internet. Senario ini secara tidak langsung telah menjimatkan masa untuk memberi dan menyalin nota. Implikasi daripada perkembangan ICT mutakhir ini akan meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Malaysia. Kualiti yang semakin baik pula akan menarik lebih ramai lagi pelajar asing ke Malaysia untuk meneruskan pengajian mereka.
Di samping itu , Malaysia juga merupakan sebuah negara yang stabil sosio politiknya. Oleh sebab itu , keadaan di Malaysia adalah aman dan tidak huru-hara seperti yang berlaku di Filipina untuk menumbangkan Presiden Aroyo. Kerajaan Malaysia juga senantiasa menjaga kepentingan semua warga di Malaysia tanpa mengira bangsa , asal usul dan agama sama ada rakyat tempatan ataupun asing.Oleh yang demikian , pelajar-pelajar tidak perlu bimbang akan keselamatan terancam. Keadaan yang selamat dan aman ini akan menjamin pembelajaran yang lebih efektif. Selain itu , para pelajar juga adalah bebas dan selamat untuk ke mana-mana tempat di Malaysia disebabkan keadaan yang aman. Senario ini akan menyebabkan ibu bapa di rantau ini untuk menghantar anak mereka ke Malaysia tanpa perlu berasa bimbang.
Malaysia bercita-cita untuk meletakkan dirinya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau Asia Pasifik dan atas matlamat itu, pelbagai kemudahan dan infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah diwujudkan. Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta program usahasama dengan institut pengajian tinggi di luar negara semakin giat diadakan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia.

Kestabilan politik, situasi dalam negara yang aman, kemajuan teknologi dan penyelidikan serta kadar tukaran asing yang rendah dianggap sebagai faktor-faktor yang menjadikan Malaysia persekitaran yang begitu kondusif untuk tujuan pembelajaran. Keharmonian kaum juga membuktikan bahawa masyarakat Malaysia bersedia menerima pelajar dari apa jua latar belakang agama dan budaya. Pada masa ini, negara mempunyai 32 buah sekolah antarabangsa dan seramai 8,055 anak warga asing sebagai pelajarnya. Sedangkan Thailand mempunyai 91 buah sekolah antarabangsa manakala Indonesia juga mempunyai jumlah yang tinggi, iaitu 82 buah sekolah. Bagi memastikan tujuan dan matlamat untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan ini dapat dicapai terutama pada tahun ini, beberapa fokus dan strategi tertentu telah diatur oleh KPM.
Kesimpulannya, Malaysia mampu menjadi pusat kecemerlangan akademik di dunia dengan adanya kerjasama daripada semua pihak. Maklumlah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Juga, adalah harapan semua pihak semoga anak-anak tempatan merebut peluang yang ada untuk membuktikan bahawa kita mampu bersaing dengan pelajar-pelajar dari seantero dunia. Jika tidak segala peluang dan prasarana yang diediakan akan hanya dinikmati oleh warga luar seperti kata peribahasa kera di hutan disusui, anak di pangkuan mati kelaparan.

Teknik Menjawab Soalan SPM BM2

Sila klik pautan di bawah:

Teknik_menjawab_soalan_BM

Membalas jasa guru

Guru sangat berjasa dalam kehidupan seseorang. Huraikan cara-cara yang perlu kita lakukan untuk membalas jasa guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Insan seperti Perdana Menteri, jurutera, doktor atau peguam mencapai kejayaan dalam hidupnya kerana diajar dan dididik oleh guru. Kejayaan mereka ini menunjukkan bahawa guru banyak berjasa kepada banyak orang. Insan yang bergelar cikgu ini ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain termasuk diri kita. Oleh itu, kita mestilah membalas jasa mereka supaya kita tidak dianggap sebagai kacang melupakan kulit. Kata Saidina Ali, “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya”. Begitulah mulianya kedudukan seorang guru.

Satu daripada cara untuk kita membalas jasa guru ialah kita hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Sebagai guru, mereka ingin melihat kita berjaya pada masa depan. Oleh itu, apabila guru mengajar, kita perlu memberi perhatian sepenuhnya dan janganlah menimbulkan masalah disiplin yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contohnya, guru ingin melihat kita berjaya dalam setiap peperiksaan yang kita duduki dengan cemerlang. Guru sudah pasti berbangga jika kita mencapai kejayaan.

Selain itu, kita mestilah menghormati guru pada setiap masa. Guru merupakan ibu bapa kedua bagi kita. Sebagai contohnya, kita mestilah mendengar nasihat atau tunjuk ajar mereka. Jika kita melawan atau ingkar arahan guru, ilmu atau pengajaran yang kita terima daripada guru tidak berkat. Apabila kita sudah dewasa, dan mungkin memegang jawatan yang tinggi sekalipun hendaklah sentiasa menghormati guru. Sabda Nabi Muhammad, “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu”. (Riwayat Abu Hurairah)

Seterusnya, kita perlu membalas jasa guru dengan sentiasa menolong atau membantu guru. Dalam hal ini, kita mestilah bersedia pada bila-bila masa untuk membantu mereka. Sebagai contohnya, kita hendaklah ringan tulang untuk membantu guru jika guru meminta bantuan daripada kita untuk menghantar buku latihan dari kelas ke bilik guru dan sebaliknya. Melalui cara ini, kita dapat membalas jasa guru yang mendidik dan mengajar kita.

Bukan itu sahaja. Kita juga perlulah membalas jasa guru dengan cara mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk mereka. Hal ini dapat kita lakukan apabila kita mengingati guru kita bila-bila masa. Sebagai contohnya, semasa sambutan Hari Guru, selain menghantar ucapan “Selamat Hari Guru”, kita hendaklah berdoa kepada Tuhan agar guru yang telah berjasa kepada kita sentiasa dirahmati oleh Tuhan. Melalui cara ini, kita akan dianggap sebagai murid yang baik dan sentiasa menghargai jasa guru yang telah menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini dan seterusnya.

Satu lagi cara untuk menghargai jasa guru ialah sentiasa mengunjungi guru di sekolah atau di rumah walaupun kita telah meninggalkan bangku sekolah. Jauh lebih baik apabila kita mengunjungi guru semasa guru kita sakit atau semasa mengalami sesuatu musibah. Pada ketika itu, guru akan rasa diri mereka dihargai. Juga lebih elok kita kunjungi rumah guru sesudah mereka bersara kerana guru yang membakar diri menerangi kehidupan kita umpama lilin.

Kesimpulannya, guru merupakan insan yang banyak berjasa dan bermakna dalam kehidupan kita. Guru ibarat pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Tanpa guru, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Guru juga umpama tongkat kepada orang buta. Oleh itu, kita wajar membalas jasa guru dan mengingati segala pengorbanannya pada setiap masa.

Isnin, 6 September 2010

Teknik Menjawab Soalan BM Kertas 1

Contoh Karangan: Amalan Gaya Hidudp Sihat. Sila klik pautan di bawah:

Karangan_ GAYA HIDUP SIHAT

Kepada anak-anak didik yang dikasihi, sila tekan pautan di abawah untuk mendapatkan persembahan powerpoint tentang teknik menjawab soalan BM K1 SPM. Bahan ini telah dikemaskinikan dan berharap berguna kepada mereka yang menduduki SPM tahun 2010 ini.

TEKNIK MENJAWAB SOALAN BM K1 SPM

Khamis, 2 September 2010

Gaya Bahasa

Berikut ialah neumonik untuk gaya bahasa. Harap anak-anak didik akan memanfaatkan neumonik ini kerana mudah untuk kita hafal.

Klik pautan di bawah:

GAYA BAHASA