Guru sangat berjasa dalam kehidupan seseorang. Huraikan cara-cara yang perlu kita lakukan untuk membalas jasa guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Insan seperti Perdana Menteri, jurutera, doktor atau peguam mencapai kejayaan dalam hidupnya kerana diajar dan dididik oleh guru. Kejayaan mereka ini menunjukkan bahawa guru banyak berjasa kepada banyak orang. Insan yang bergelar cikgu ini ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain termasuk diri kita. Oleh itu, kita mestilah membalas jasa mereka supaya kita tidak dianggap sebagai kacang melupakan kulit. Kata Saidina Ali, “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya”. Begitulah mulianya kedudukan seorang guru.
Satu daripada cara untuk kita membalas jasa guru ialah kita hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Sebagai guru, mereka ingin melihat kita berjaya pada masa depan. Oleh itu, apabila guru mengajar, kita perlu memberi perhatian sepenuhnya dan janganlah menimbulkan masalah disiplin yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contohnya, guru ingin melihat kita berjaya dalam setiap peperiksaan yang kita duduki dengan cemerlang. Guru sudah pasti berbangga jika kita mencapai kejayaan.
Selain itu, kita mestilah menghormati guru pada setiap masa. Guru merupakan ibu bapa kedua bagi kita. Sebagai contohnya, kita mestilah mendengar nasihat atau tunjuk ajar mereka. Jika kita melawan atau ingkar arahan guru, ilmu atau pengajaran yang kita terima daripada guru tidak berkat. Apabila kita sudah dewasa, dan mungkin memegang jawatan yang tinggi sekalipun hendaklah sentiasa menghormati guru. Sabda Nabi Muhammad, “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu”. (Riwayat Abu Hurairah)
Seterusnya, kita perlu membalas jasa guru dengan sentiasa menolong atau membantu guru. Dalam hal ini, kita mestilah bersedia pada bila-bila masa untuk membantu mereka. Sebagai contohnya, kita hendaklah ringan tulang untuk membantu guru jika guru meminta bantuan daripada kita untuk menghantar buku latihan dari kelas ke bilik guru dan sebaliknya. Melalui cara ini, kita dapat membalas jasa guru yang mendidik dan mengajar kita.
Bukan itu sahaja. Kita juga perlulah membalas jasa guru dengan cara mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk mereka. Hal ini dapat kita lakukan apabila kita mengingati guru kita bila-bila masa. Sebagai contohnya, semasa sambutan Hari Guru, selain menghantar ucapan “Selamat Hari Guru”, kita hendaklah berdoa kepada Tuhan agar guru yang telah berjasa kepada kita sentiasa dirahmati oleh Tuhan. Melalui cara ini, kita akan dianggap sebagai murid yang baik dan sentiasa menghargai jasa guru yang telah menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini dan seterusnya.
Satu lagi cara untuk menghargai jasa guru ialah sentiasa mengunjungi guru di sekolah atau di rumah walaupun kita telah meninggalkan bangku sekolah. Jauh lebih baik apabila kita mengunjungi guru semasa guru kita sakit atau semasa mengalami sesuatu musibah. Pada ketika itu, guru akan rasa diri mereka dihargai. Juga lebih elok kita kunjungi rumah guru sesudah mereka bersara kerana guru yang membakar diri menerangi kehidupan kita umpama lilin.
Kesimpulannya, guru merupakan insan yang banyak berjasa dan bermakna dalam kehidupan kita. Guru ibarat pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Tanpa guru, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Guru juga umpama tongkat kepada orang buta. Oleh itu, kita wajar membalas jasa guru dan mengingati segala pengorbanannya pada setiap masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan