Punca-punca berlakunya penderaan kanak-kanak
Anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa. Kata peribahasa haruan makan anak.
Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Kata peribahasa marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk puntung rokok,dan sebagainya. Apakah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu?
Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongan daripada Allah supaya hati kita lebih tenang. Maklumlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.
Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan kanak-kanak ini ialah kurangnya pendidikan agama dalam kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Orang yang kurang pegangan agama umpama sebuah kapal yang belayar di tengah samudera tanpa jurumudi. Nescaya kapal ini tidak akan sampai ke destinasi malah kemungkinan besar akan tersasar atau akan tenggelam dipukul ribut. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.
Tambahan pula, ahli psikologi berpendapat bahawa penderaan kanak-kanak juga berpunca daripada pengalaman pahit yang dilalui oleh ibu bapa mereka semasa mereka masih kecil lagi. Ibu bapa yang menjadi pendera, sebenarnya didera oleh ibu bapa atau orang lain semasa zaman kanak-kanak mereka. Pengalaman pahit ini terbuku di hati dan minda bawah sedar mereka. Apabila sudah dewasa dan mendirikan rumah tangga, dan seterusnya memperoleh anak, pengalaman pahit yang terpahat di alam bawah sedar muncul tanpa disedari dan mereka tergamak mendera anak mereka sendiri sebagai balasan atau unsur mendendam.
Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini demikian kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Kata peribahasa bapa borek anak rintik. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan