Peranan pelbagai pihak dalam melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif.
Sememangnya Wawasan 2020, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), dan NKRA bertujuan untuk melahirkan rakyat yang kompeten, berkreatif dan inovatif. Hal ini kerana kita tidak seharusnya menjadi pengguna teknologi sebaliknya hendaklah menjadi penyumbang teknologi. Sehubungan dengan hal ini, pelbagai pihak memainkan peranan. Kita perlu senantiasa ingat akan kebenaran peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Faktor utama yang memainkan peranan untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif ialah sistem pendidikan negara kita. Sebagai menyahut seruan kerajaan ini, kurikulum sekolah telah mengalami perubahan mengikut peredaran zaman. Matlamat pendidikan adalah untuk melatih pelajar berfikir dan mencapai tahap kemahiran yang telah ditetapkan. Mata pelajaran Kemahiran Hidup, Reka Cipta, Teknologi Maklumat, Mata pelajaran Vokasional seperti landskap, perabot, katering dan sebagainya menggalakkan pelajar untuk mengembangkan kreativiti dan inovasi mereka. Selain itu, Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah merentasi kurikulum. Guru-guru digalakkan melatih pelajar untuk berfikir. Di samping itu, kerajaan telah menubuhkan pelbagai institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN), Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Giat MARA, dan sebagainya untuk melatih para belia menguasai kemahiran dan menjadi pekerja mahir yang berkreatif dan inovatif. Jelaslah institusi pelajaran ialah institusi yang paling sesuai untuk melatih dan melahirkan insan yang berkreatif dan inovatif.
Tugas ini seterusnya perlu dipikul oleh ibu bapa. Semasa anak-anak mereka masih kecil, ibu bapa perlu membeli alat-alat mainan yang boleh mengembangkan kemahiran kreatif dan inovatif anak mereka. Permainan seperti Lego amat sesuai untuk kanak-kanak. Dengan menggunakan bongkah-bongkah plastik ini, kanak-kanak boleh menghasilkan pelbagai bentuk termasuk bangunan, robot, dan sebagainya. Kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan unsur kreativiti dan inovasi dalam diri anak mereka sejak mereka kanak-kanak lagi.
Seterusnya, kerajaan memainkan peranan yang penting. Dalam hal ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Karnival Malaysia Inovatif 2010 di seluruh negara yang bertemakan “Meraikan Kreativiti”. Karnival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemikiran yang kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam kalangan rakyat di negara ini. Kumpulan sasaran meliputi semua lapisan masyarakat iaitu golongan OKU, wanita, belia, pelajar-pelajar sekolah, komuniti, penduduk bandar dan luar bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak swasta. Tindakan MOSTI ini amat dialau-alukan oleh semua pihak. Walau bagaimanapun, adalah harapan semoga usaha seumpama ini dapat dijalankan secara berterusan dan jangan bersifat hangat-hangat tahi ayam.
Pihak swasta khususnya sektor perindustrian juga perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Usaha untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif menuntut rakyat kita supaya terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Oleh itu, sektor swasta harus menggiatkan penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan kaki tangan mereka. Sejumlah wang sepatutnya diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan. Sebagai contoh, durian tidak dapat dieksport ke Singapura kerana faktor pencemaran. MARDI telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan ke atas durian dan akhirnya para penyelidik berjaya menghasilkan serbuk durian yang boleh dibungkus dan dieksport bukan sahaja ke Singapura malah ke luar negara. Pengguna hanya perlu mencampurkan serbuk durian dengan air dan mereka dapat menikmati durian. Serbuk ini pula boleh tahan dalam tempoh masa yang lama. Oleh itu, pihak swasta perlu mencontohi MARDI dalam menghasilkan barangan yang berkreatif dan inovatif. Kata peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Akhir sekali, kita tidak boleh menidakkan peranan para pendidik dalam melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Sehubungan dengan hal ini, para pendidik di seluruh negara sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah atau Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), termasuk kolej dan institusi kemahiran harus menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran pertama ialah mempertingkat profesionalisme. Para pendidik harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. Seterusnya, suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik. Cabaran kedua ialah kemahiran dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Pembestarian sekolah dan Schoolnet hendaklah dihargai dengan menggunakan segala kemudahan semaksimum mungkin untuk melahirkan insan yang kreatif dan inovatif. Cabaran ketiga ialah budaya fikir dan berakhlak. Pendidik yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian berkaitan kekeluargaan, komuniti, ekonomi dan sebagainya untuk mencari penyelesaian. Oleh itu, pendidik yang berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang yang boleh berfikir secara kritis dan berinovasi dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Intihanya, semua pihak hendaklah bekerjasama dalam usaha melahirkan masyarakat yang kritis, kreatif dan inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran baru serta peka kepada kepedulian sosial, keadilan sejagat dan solidariti antarabangsa. Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Kita perlu ingat bahawa generasi muda hari ini perlu mempunyai daya saing untuk berhadapan dengan globalisasi dan seterusnya negara kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan