Selasa, 2 November 2010

Bacaan umum

Usaha menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan akademik di rantau ini.

Dewasa ini , pendidikan semakin penting dalam kehidupan manusia. Oleh yang demikian , kerajaan Malaysia berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu menjelang tahun 2020 di rantau ini. Pusat kecemerlangan ilmu adalah sesuatu tempat rujukan ilmu dan mempunyai tenaga pengajar yang berwibawa. Bagi sesebuah negara, lazimnya, penanaman modal yang terbaik ialah dalam bidang pendidikan kerana ia selalunya memberi keuntungan dari segi jangka panjang.
Kerajaan Malaysia serius dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu. Oleh yang demikian , kerajaan Malaysia tentunya akan berusaha ke arah mencapai hasrat tersebut. Sejajar itu , kerajaan berpegang pada dasar menggalakkan kemasukan pelajar asing. Antara usaha-usaha yang dilakukan ialah memberi kelonggaraan dari segi bahasa iaitu Universiti Swasta dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Baru-baru ini kursus-kursus tertentu dalam Universiti Awam juga membenarkan bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu , kerajaan juga telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelajar-pelajar asing. Sebagai contoh , kerajaan menyedikan kemudahan asrama ataupun tempat tinggal untuk pelajar-pelajar yang datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu.Implikasinya , pelajar-pelajar asing akan berasa selamat dan selesa untuk berada di Malaysia dan seterusnya lebih ramai pelajar akan datang ke Malaysia.
Dalam pada itu , Malaysia sudah mempunyai banyak institusi pengajian yang meliputi Universiti Awam , Universiti dan Kolej Swasta serta program pendidikan jarak jauh. Pelajar-pelajar asing dari dunia ketiga ataupun kurang berkemampuan tidak perlu risau akan kos pendidikan tinggi yang perlu ditanggung oleh mereka. Hal ini demikian kerana pengajian tinggi di Universiti-universiti awam adalah jauh lebih rendah kosnya berbanding dengan universiti-universiti di luar negara. Selain itu , terdapat juga universiti awam yang telah diperbadankan seperti universiti Malaya. Keadaan ini secara langsung akan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan universiti. Tambahan pula , universiti dan kolej swasta di negara kita sudah mempunyai cawangan universiti luar negara yang terkemuka.Sebagai contoh , cawangan Universiti Monash di Universiti Kolej Sunway dan cawangan Universiti Reading di Kolej Taylor. Seterusnya , program pendidikan jarak jauh dapat memberi peluang kepada golongan pelajar yang tidak berjaya memasuki ke mana-mana institusi pengajian tinggi untuk meneruskan pengajian mereka.
Pada masa yang sama , perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ) telah memberi nafas baru dalam sistem pendidikan di negara kita. Hal ini demikian kerana pelajar tidak akan ketinggalan dalam arus pemodenan melalui sistem pendidikan yang berlandaskan ICT. Lebih-lebih lagi , proses pemelajaran juga akan menjadi lebih berkesan kerana semua maklumat boleh didapati melalui internet. Perkara ini juga akan meringankan beban guru yang semakin bertambah. Seterusnya , nota-nota dan latihan akan diberikan melalui saluran rangkaian yang ditetapkan melalui internet. Senario ini secara tidak langsung telah menjimatkan masa untuk memberi dan menyalin nota. Implikasi daripada perkembangan ICT mutakhir ini akan meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Malaysia. Kualiti yang semakin baik pula akan menarik lebih ramai lagi pelajar asing ke Malaysia untuk meneruskan pengajian mereka.
Di samping itu , Malaysia juga merupakan sebuah negara yang stabil sosio politiknya. Oleh sebab itu , keadaan di Malaysia adalah aman dan tidak huru-hara seperti yang berlaku di Filipina untuk menumbangkan Presiden Aroyo. Kerajaan Malaysia juga senantiasa menjaga kepentingan semua warga di Malaysia tanpa mengira bangsa , asal usul dan agama sama ada rakyat tempatan ataupun asing.Oleh yang demikian , pelajar-pelajar tidak perlu bimbang akan keselamatan terancam. Keadaan yang selamat dan aman ini akan menjamin pembelajaran yang lebih efektif. Selain itu , para pelajar juga adalah bebas dan selamat untuk ke mana-mana tempat di Malaysia disebabkan keadaan yang aman. Senario ini akan menyebabkan ibu bapa di rantau ini untuk menghantar anak mereka ke Malaysia tanpa perlu berasa bimbang.
Malaysia bercita-cita untuk meletakkan dirinya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau Asia Pasifik dan atas matlamat itu, pelbagai kemudahan dan infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah diwujudkan. Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta program usahasama dengan institut pengajian tinggi di luar negara semakin giat diadakan untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia.

Kestabilan politik, situasi dalam negara yang aman, kemajuan teknologi dan penyelidikan serta kadar tukaran asing yang rendah dianggap sebagai faktor-faktor yang menjadikan Malaysia persekitaran yang begitu kondusif untuk tujuan pembelajaran. Keharmonian kaum juga membuktikan bahawa masyarakat Malaysia bersedia menerima pelajar dari apa jua latar belakang agama dan budaya. Pada masa ini, negara mempunyai 32 buah sekolah antarabangsa dan seramai 8,055 anak warga asing sebagai pelajarnya. Sedangkan Thailand mempunyai 91 buah sekolah antarabangsa manakala Indonesia juga mempunyai jumlah yang tinggi, iaitu 82 buah sekolah. Bagi memastikan tujuan dan matlamat untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan ini dapat dicapai terutama pada tahun ini, beberapa fokus dan strategi tertentu telah diatur oleh KPM.
Kesimpulannya, Malaysia mampu menjadi pusat kecemerlangan akademik di dunia dengan adanya kerjasama daripada semua pihak. Maklumlah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Juga, adalah harapan semua pihak semoga anak-anak tempatan merebut peluang yang ada untuk membuktikan bahawa kita mampu bersaing dengan pelajar-pelajar dari seantero dunia. Jika tidak segala peluang dan prasarana yang diediakan akan hanya dinikmati oleh warga luar seperti kata peribahasa kera di hutan disusui, anak di pangkuan mati kelaparan.

Teknik Menjawab Soalan SPM BM2

Sila klik pautan di bawah:

Teknik_menjawab_soalan_BM

Tiada ulasan: