Masalah buang bayi dalam kalangan remaja semakin meningkat. Pada pendapat anda apakah punca berlakunya masalah ini dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kes pembuangan bayi di negara ini didapati semakin serius apabila ia meningkat lebih 154 peratus sejak Januari 2010 sehingga Ogos 2010 berbanding tempoh lapan bulan pertama tahun lalu. Statistik terbaru dikeluarkan oleh Bukit Aman menunjukkan terdapat 65 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara sejak Januari sehingga hari ini. Jumlah tersebut didapati meningkat lebih 154 peratus berbanding hanya 42 kes dicatatkan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun lalu.
Berita seumpama ini menghiasi dada akhbar tempatan sepanjang tahun. Kes buang bayi semakin menular dalam kalangan remaja negara kita seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Fenomena ini harus dikekang dari awal lagi. Jika tidak, kebobrokan dalam kalangan remaja akan semakin meningkat dan akan menggagalkan visi kudsi negara kita, iaitu Wawasan 2020.
Faktor utama berlakunya masalah buang bayi ialah kurangnya didikan agama. Maklumlah orang yang kurang pegangan agama umpama sebuah bahtera yang belayar di tengah samudera tanpa jurumudi. Nescaya, bahtera berkenaan akan tersasar dari destinasi yang ditujui atau akan tenggelam dipukul ribut. Begitu jugalah halnya dengan remaja kita yang tidak menghayati ajaran agama. Sehubungan dengan ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting. Hal ini demikian kerana kanak-kanak umpama kain putih. Ibu bapalah yang akan mencorak kain putih itu menjadi warna pelangi atau hitam. Kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai moral dan agama dalam kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi.
Seterusnya, ibu bapa juga menjadi satu faktor. Kini, kedua-dua ibu bapa bekerja. Mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing dan terlalu bersifat materialistik dan mata duitan. Sebilangan kecil ibu bapa ini tidak meluangkan masa bersama-sama anak mereka untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Mereka juga tiada masa untuk mengawasi gerak-geri anak-anak mereka. Justeru, remaja diberi kebebasan yang kerterlaluan. Hal ini menyebabkan mereka terjebak dalam gejala zina dan seterusnya terlibat dalam kes buang bayi. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam untuk mencari wang perlu sedar bahawa wang bukan segala-gala dalam hidup kita kerana anak itu satu amanah. Imam Al-Ghazali berkata: "Anak-anak ialah amanah atas ibu bapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Jika dibesarkan dalam suasana yang tidak baik, maka menderitalah dia dan binasa." Jelaslah bahawa ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dalam mendidik anak menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.
Faktor lain yang menyumbang kepada masalah buang bayi ialah pengaruh rakan sebaya. Dalam era mengejar kebendaan, ibu bapa tiada kawalan ke atas anak-anak mereka. Oleh itu, remaja yang berkawan dengan mereka yang sudah mengalami keruntuhan akhlak, mudah terpengaruh dengan nilai-nilai negatif. Kata peribahasa Cina, apabila kanak-kanak, dia berkata ayahnya betul dan kawannya salah; apabila sudah remaja, dia berkata kawannya betul dan ayahnya salah; apabila sudah dewasa, baru menyedari bahawa ayahnya betul, kawannya salah. Peribahasa Cina ini jelas menggambarkan kepada kita betapa kuat pengaruhnya rakan sebaya ke atas seseorang remaja. Sehubungan dengan ini, ibu bapa perlu memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka. Mereka perlu mengetahui latar belakang kawan-kawannya. Sebagai ibu bapa bimbinglah anak-anak ke arah jalan yang baik yang diredahi-Nya dan menghindari kemungkaran. Maklumlah mencegah lebih baik daripada mengubati.
Kes buang bayi juga berpunca daripada pengaruh media massa khususnya media elektronik. Hampir setiap remaja mempunyai telefon bimbit. Walaupun telefon bimbit membawa kebaikan tetapi apabila disalahgunakan, ia tetap membawa kesan buruk. Remaja dengan mudah boleh memuat turun gambar dan video lucah. Begitu juga dengan penggunaan internet. Dalam dunia tanpa sempadan dan dasar langit terbuka membolehkan remaja kita mengakses bahan pornografi dengan mudah. Selain itu, VCD lucah begitu berleluasa dan boleh dibeli dengan begitu mudah di kedai-kedai jualan video dan pasar malam. Hal ini meracuni minda remaja kita. Disebabkan naluri ingin tahu, mereka tergamak melakukan perkara terlarang dan sebagai jalan penyelesaian, mereka terpaksa membuang bayi. Sehubungan dengan hal ini, kerajaan harus bertindak tegas dengan mengambil tindakan ke atas mereka yang mengedar VCD lucah. Kementerian Komunikasi dan Multi Media harus mengawasi laman web yang menawarkan bahan lucah dan mereka yang terbabit harus dibawa ke muka pengadilan. Tindakan segera dapat menyelamatkan anak kita supaya tidak menjadi seperti kata peribahasa sudah terhantuk baru nak tengadah. Oleh itu, jelaslah bahawa kerajaan harus bertindak untuk menangani masalah ini.
Seterusnya, kita perlu menyalahkan masyarakat dalam hal ini. Ini disebabkan golongan dewasa harus menjadi contoh dan ikutan golongan remaja tetapi saban hari ada saja kes-kes zina, sumbang mahram, perceraian, simbah asid ke atas suami, isteri ditetak dengan parang dan sebagainya yang melibatkan orang dewasa. Kata peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya, dan bapa borek anak rintik. Segala perlakuan negatif orang dewasa akan menjadi ikutan anak-anak remaja yang memang setahun jagung dan masih naif dan tidak dapat membezakan antara baik dengan buruk, syurga dengan neraka, kaca dengan intan.Bagi yang muda, kegagalan orang tua untuk menjadi contoh dan model terbaik untuk diikuti menyumbang ke arah kebobrokan yang dialami oleh generasi muda. Justeru, ahli masyarakat perlu lebih prihatin dan menjadi contoh kepada remaja pada masa akan datang. Janganlah menjadi seperti ketam menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Oleh itu, setiap ahli masyarakat, khususnya yang sudah dewasa perlu menunjukkan budi pekerti yang baik agar menjadi ikutan remaja.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah pembuangan bayi yang sudah menjadi duri dalam daging. Jika tidak, segala impian kita untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 akan tetap menjadi impian dan tidak dapat direalisasikan. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Apabila semua pihak bekerjasama, masalah pembuangan bayi pasti dapat dikurangkan.
2 ulasan:
assalamualaikum, saya meminta izin unutuk menyalin artikel ini..boleh x?
assalamualaikum, saya meminta izin unutuk menyalin artikel ini..boleh x?
Catat Ulasan