Belilah barangan buatan tempatan
Sebagai negara membangun, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Sebut saja jenis produk, Malaysia mempunyai segala-galanya. Misalnya kereta, kita telah merintis lebih awal industri automotif, malahan kenderaan keluaran negara kita telah banyak yang menembusi pasaran luar negara.Barangan elektronik seperti televisyen, peti sejuk, penghawa dingin dan kipas juga semakin banyak jenama buatan Malaysia membanjiri pasaran.Ini tidak termasuk barangan berasaskan kain seperti pakaian, pelbagai jenis produk telah dihasilkan oleh pengusaha untuk menandingi produk luar negara.
Tindakan yang penting sebenarnya ialah perubahan dari segi mentaliti dan sikap orang kita sendiri untuk beralih kepada barangan tempatan. Selagi sikap dan mentaliti tidak diubah dan kita terus mengagung-agungkan barangan luar, maka selagi itulah kita tidak dapat mengembangkan produk tempatan negara ini.Rakyat Malaysai perlu mengutamakan barangan buatan Malaysia serta mengikis sikap prejudis terhadap barangan tempatan. Kata peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negri sendiri lebih baik. Dengan mengutamakan barangan tempatan, ia membawa manfaat serampang dua mata kepada pelbagai pihak. Pertama, ia akan mengelak aliran keluar wang negara ini. Kedua, ia menggalakkan pembangunan industri tempatan yang berkaitan untuk menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.
Rakyat dan pengguna tempatan tidak diberikan maklumat lengkap serta tidak tahu mana satu barangan buatan tempatan atau diimport bagi memudahkan mereka membuat pilihan. Berikutan itu, FOMCA dengan kerjasama semua gabungan persatuan pengguna di seluruh negara perlu mengumpul senarai bahan itu untuk diedarkan kepada pengguna. Senarai itu boleh diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pemasaran pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat-syarikat terbabit yang mengeluarkan barangan berkenaan. Maklumlah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana bermuafakat. Jika rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan, terutama makanan, kita dapat menjimatkan RM1.9 bilion setahun untuk mengimport bahan itu.Berikutan itu, pengguna dan rakyat perlu diberikan maklumat mengenai barangan buatan Malaysia dalam usaha membantu kerajaan mengatasi masalah kejatuhan nilai ringgit sekarang. Langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu kerajaan menggalakkan rakyat membeli barangan buatan tempatan, serta kurang bergantung kepada produk import.
Seterusnya ialah peranan Media. Pihak media boleh memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha-usaha menerajui isu pembelian barangan buatan Malaysia. Pihak media perlu bersedia membantu kerajaan dalam usaha membangunkan semangat pembelian barangan buatan Malaysia dari segi mengadakan halaman khas untuk berita-berita yang berkaitan barangan buatan Malaysia. Ini menunjukkan tahap kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan dan rakyat dalam pengeluaran barangan tempatan. Maklumlah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Usaha mengadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia haruslah diadakan secara berterusan. Ini akan dapat memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada seluruh rakyat dan sebagai usaha untuk membantu merangsang ekonomi negara. Kempen ini harus dijalankan sepanjang tahun dengan promosi untuk semua jenis barang buatan Malaysia. Kempen ini perlu diperluaskan ke seluruh negara untuk memberi impak kepada sektor ekonomi. Justeru, semua agensi, sektor swasta dan NGO harus memainkan peranan masing-masing. Kempen yang bakal diadakan oleh media janganlah bersifat hangat-hanagat tahi ayam.
Pegawai kerajaan yang bertugas dalam agensi-agensi yang berkaitan pengeluaran, promosi dan pemasaran barangan buatan Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada tugas mereka dan bukan sekadar bekerja melepaskan batuk di tangga. Dalam hal ini, infrastruktur serta sistem pengedaran mempunyai implikasi besar ke atas harga barangan tempatan. Di kawasan bandar, dengan infrastruktur yang baik rakyat mudah mendapat barangan buatan Malaysia dengan harga yang berpatutan tetapi penduduk di luar bandar serta kawasan dalaman terpaksa menghadapi masalah harga yang tinggi kerana kekurangan infrastruktur dan sistem pengedaran yang kurang efisien. Pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan perlu memberi perhatian serius kepada perkara ini dan mencari jalan untuk menangani masalah ini. Maklumlah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Semua pihak iaitu agensi kerajaan dan pihak swasta perlu memberikan keutamaan dan mengiktiraf pencipta tempatan yang menghasilkan produk berteknologi tinggi, sekali gus membuang rasa sangsi terhadap keupayaan mereka. Rakyat perlu memberi peluang dan galakan kepada anak-anak tempatan dengan cara membeli serta menggunakan produk ciptaan mereka yang setanding dengan produk import. Institusi kerajaan, swasta dan rakyat perlu mengutamakan produk berteknologi tinggi rekaan anak tempatan bagi membolehkan reka cipta tersebut berkembang maju dan lebih berkualiti. Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
Kesimpulannya, tabiat rakyat dan pemimpin perlu diubah. Adalah malang bagi kita jika kita mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita. Diharapkan kempen belilah barangan buatan Malaysia ini dapat dijalankan secara berterusan kerana sudah menjadi tabiat masyarakat kita yang mudah lupa dan perlu pula digerakkan melalui kempen. Jika bukan kita rakyat Malaysia yang mengutamakan dan memilih barangan buatan tempatan, siapa lagi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan