Sabtu, 26 Oktober 2013

KARANGAN SPM 2013

Sebagai remaja huraikan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan cabaran yang bakal anda hadapi.

Pendahuluan :
Tokoh pendidik dan motivasi terulung negara, Aminudin Baki pernah menyatakan, “Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan”. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran agar kita insaf dan bangkit segera daripada lamunan. Sebagai anak nusa yang mempunyai jati diri, kita dibebani amanah  untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Pemuda dan pemudi hendaklah segera bangkit dengan persediaan mental dan fizikal supaya dapat menjadi aset yang paling bernilai kepada tanah air tercinta. Sesungguhnya, di atas batu jemala kitalah terletak tanggungjawab besar sejajar dengan slogan, “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sesungguhnya, sebagai anak muda, inilah tanggungjawab yang perlu saya pikul demi mencapai matlamat murni negara itu.

Isi 1 :
AJ > Menyedari amanah besar yang sedang menanti, saya perlu memperlengkap diri sebagai orang muda yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
H1 > Hal yang demikian itu amatlah penting kerana sifat takwa akan ………………
H2 > Saya hendaklah melaksanakan segala tuntutan …………………………
H3 > Saya yakin benar bahawa insan yang bertakwa ialah ………………
H4 > Tanpa iman, diri akan hilang pedoman………… (Peribahasa : layang-layang terputus talinya)
PW > Justeru, sifat takwa juga bakal……… (Peribahasa Arab : “Kasih akan watan,,)

Isi 2 :
AJ > Mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, saya hendaklah bersedia memperlengkap diri dengan pakej fizikal, mental, emosi dan sahsiah yang sempurna.
H1 > Semua pakej asas tersebut amatlah penting dalam hal …………………………
H2 > Tanpa ketahanan dan jati diri……………….., (darah baru setampuk pinang)
H3 > Demi menyahut seruan negara, saya akan berusaha mengikuti teladan ………
H4 > Negara pasti berbangga apabila dapat melahirkan tokoh-tokoh …………
PW > Biarlah hidup dan mati saya mempunyai nilai….. (Peribahasa : Gajah mati …..)

Isi 3 :
Ayat laluan > Memetik kata-kata mantan Presiden Indonesia (Sukarno), “Aku mampu goncangkan dunia ……...
AJ > Menyedari hakikat tersebut, sewaktu usia masih muda saya perlu memanfaatkannya ……………
H3 > Hal ini amatlah logik kerana dalam era pascaperang kini, pertarungan di medan tempur sudah bertukar kepada persaingan dalam medan keintelektualan dan kepintaran teknologi.
H4 > Syaratnya, saya mestilah ………………………………………
H5 > Oleh hal yang demikian, saya perlu menguasai bidang-bidang ilmu baharu (contoh……………)
H6 > Sebenarnya semua strategi ini penting untuk negara dapat bersaing dengan……
PW > Sesungguhnya, inilah janji saya …………………. (“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.)

Isi 4 :
AJ  > Seseorang yang paling berjaya ialah insan yang mampu mengenali potensi diri ………
H1 > Potensi inilah yang perlu saya manfaatkan demi …………………………………
H2 > Ketika negara berada diambang negara maju ……………………………………
H3 > Bidang-bidang tersebut seperti …………………………………………………
H4 > Akibat kealpaan kita memenuhi tuntutan negara akhirnya empat juta warga asing ………………
H5 > Insaf dengan situasi begini saya dan …………………………………………
PW > Saya perlu menyedari akan tempelak peribahasa, ……………………………

Kesimpulan KCHP

ASRAMA PENUH

1.  Rumah terbuka sudah menjadi kebiasaan kepada rakyat Malaysia apabila menyambut sesuatu perayaan. Pada musim perayaan yang lalu, anda berkesempatan mengunjungi rumah terbuka jiran anda yang berlainan bangsa.
Ceritakan pengalaman dan faedah yang anda peroleh ketika menghadiri rumah terbuka tersebut.


2.  Kebanyakan anak remaja hari ini tidak suka membantu ibu bapa di rumah.
Huraikan peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk memperkasakan budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli keluarga.


Pendahuluan : Belakangan ini ungkapan-ungkapan negatif seperti ‘rumah yang membosankan’, ‘jom lepak-lepak’ dan sudah terlalu acap keluar daripada mulut anak-anak remaja.  Ucapan-ucapan seumpama itu menunjukkan jiwa anak-anak muda semakin terasing daripada keluarga dan rumahtangga. Hal demikian amatlah malang dalam usaha membentuk sebuah persekitaran “Rumahku Syurgaku”. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa nilai murni tradisional semakin memupus. Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun ini pupus ditelan arus pemodenan, ibu bapa hendaklah memainkan peranan hakiki untuk melatih anak-anak agar mesra keluarga dan mesra rumahtangga.

Isi 1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah – rumah sebagai paksi membentuk peribadi anak-anak - ibu bapa hendaklah membudayakan amalan tradisional – membiasakan anak-anak dengan latihan memasak, mengemas rumah – ibu bapa hendaklah menjadi role model dan kepimpinan melalui teladan – memanfaatkan cuti sekolah untuk melatih anak-anak

Isi 2 : Kurangkan tabiat suka mencari hiburan di luar– anak-anak berasa tiada keperluan untuk berada di rumah – mereka tiada latihan asas untuk berasa bertanggungjawab

Isi 3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang – ketika semua ahli keluarga bertemu – ibu hendaklah mengajak anak-anak masuk ke dapur – anak-anak perlu belajar dan membantu si ibu di di rumah – memberi peluang anak-anak mencuba resipi, menanam pokok dan menghias rumah – ibu bapa berilah panduan dan pujian

Isi 4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin – dengan disiplin anak-anak mudah menerima tunjuk ajar - setiap anak hendaklah diberikan tugas yang sepadan – tidak wajar ada yang terlalu berat tugasan dan ada yang berehat panjang (menunggu makanan terhidang ke lutut

Isi 5 : Memberi motivasi kepada anak-anak – anak-anak perlu diberikan semangat dan dorongan dari awal - menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan rumah tangga (majalah Anjung Seri, Majalah Laman, Saji, Didik, Muslimah dan pelbagai bentuk perisian CD/DVD) – membuka minda anak-anak mengikuti teladan daripada ikon keluarga yang berjaya

Kesimpulan : Pepatah Melayu yang menyatakan, anak gadis walau setinggi mana sekalipun ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa konotasi yang negatif. Sebaliknya, maksud yang tersirat adalah untuk mengilhamkan setiap individu akan kepentingan menghidupkan suasana kekeluargaan yang harmoni dan jannati. Seyogia, sebelum tradisi dan budaya murni ini luput, wajarlah semua pihak terutama ibu bapa mendidik anak-anak semula ke landasan yang betul.

3.  Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei bersempena dengan Sambutan hari Polis di tempat anda. Tajuk yang anda pilih ialah, “Membanteras Jenayah Tanggungjawab Bersama.
Tulis esei anda selengkapnya.

NOTA : Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan saya dalam buku Siri Target SASBADI. Dengan ihsan saya lampirkan di sini.

Selaku Ketua Polis Kontinjen Negeri, anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah dalam suatu majlis perhimpunan masyarakat. Tajuk ceramah yang disampaikan ialah, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”.
Tulis teks ceramah anda itu selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
                Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Beramang, Yang Dihormati Ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian.
                Dengan penuh rasa bangga saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana dijemput dan diberi peluang untuk menyampaikan ceramah dalam majlis himpunan yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini. Kebanggaan saya adalah kerana wujud sikap prihatin yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat di sini untuk turut sama terlibat dalam usaha mengembalikan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Kewujudan masyarakat prihatin seperti ini memberi isyarat bahawa agenda keselamatan dan ketenteraman dalam masyarakat dan negara terus diberi perhatian. Bersempena dengan pertemuan pada hari ini, saya diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan ceramah keselamatan yang bertajuk, “Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah”. Terima kasih sekali lagi atas kesediaan semua pihak untuk turut berkongsi pengalaman bersama-sama dengan saya.

Hadirin sekalian,
                Komitmen Masyarakat Terhadap Usaha Pencegahan Jenayah ialah sebuah ungkapan yang menerangkan tuntutan terhadap keprihatinan orang ramai dalam mendepani segala risiko jenayah dan apakah langkah-langkah yang boleh disumbangkan oleh masyarakat untuk membasmi gejala tersebut? Hal ini amat wajar sekali diambil berat oleh setiap anggota masyarakat memandangkan selama ini apabila diperihalkan sahaja persoalan jenayah, maka tanggungjawabnya diserahkan 100 peratus kepada polis. Oleh hal yang demikian, apabila masyarakat di kawasan ini mula prihatin dengan gejala ini, saya bagi pihak yang bertanggungjawab dengan persoalan keselamatan amat berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dengan tuan-tuan dan puan-puan.
                Jikalau kita berfikir secara rasional, isu jenayah bukanlah menjadi milik eksklusif pihak polis semata-mata. Usaha tersebut menyentuh secara langsung kepada kepentingan rakyat. Secara logiknya, apabila berlaku sesuatu kes jenayah jarang sekali pihak polis yang menjadi mangsa. Mangsanya ialah masyarakat umum. Oleh itu, apabila masyarakat tidak prihatin dengan masalah jenayah memberi maksud masyarakat tidak mementingkan keselamatan mereka. Orang yang cerdik tidak membiarkan perihal keselamatan dirinya dijaga oleh pihak lain dengan sepenuhnya. Walaupun pihak polis sedar bahawa tugas menjaga keselamatan adalah menjadi tanggungjawab profesional mereka, namun tanpa komitmen tinggi orang ramai, masalah jenayah tidak mungkin dapat dibanteras sampai bila-bila.
                Seyogia dengan pertemuan pada hari ini, saya mengambil peluang untuk menggariskan beberapa langkah perlu yang boleh disumbangkan oleh masyarakat. Jenayah sebenarnya boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu jenayah am dan jenayah berat. Jenayah berat meliputi penggunaan senjata berbahaya dan mengancam nyawa mangsa. Sekiranya terbukti bersalah, penjenayah boleh dihukum antaranya dalam Seksyen 302 yang boleh membawa hukuman mati mandatori atau Seksyen 304 yang membawa denda penjara sehingga 20 tahun. Jenayah berat boleh dikategorikan sebagai merompak, rompakan bersenjata, membunuh, merogol, dan pengedaran dadah. Sementara jenayah am termasuklah perbuatan salah laku yang boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat seperti mencuri, bergaduh dan lain-lain. Peningkatan kes jenayah dalam masyarakat adalah berpunca daripada sikap yang terlalu menurut hawa nafsu. Selain itu, pengaruh dadah telah dikenal pasti sebagai pendorong utama menularnya gejala jenayah dalam masyarakat. Pada hari ini suasana dalam masyarakat bertambah kompleks dengan kehadiran lebih ramai warga asing. Situasi tersebut turut mempertingkatkan kuantiti perlakuan jenayah terutama jenayah ragut.

Tuan-tuan dan puan-puan,
                Walaupun pihak polis tidak putus-putus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan, namun kudrat polis juga terhad dalam memastikan jenayah sifar. Oleh itu, tibalah masanya gemblengan tenaga dan sumbangan masyarakat untuk memastikan keselamatan sosial terjamin. Langkah terpenting ialah semua kawasan kediaman hendaklah diwujudkan satu pasukan Rakan Cops. Rakan Cops ialah organisasi sukarela masyarakat yang mengadakan hubungan langsung dengan pihak polis. Mereka bertanggungjawab menyalurkan segala maklumat keselamatan di sesuatu kawasan kepada pihak polis. Keberkesanan Rakan Cops diyakini berjaya terutama di bandar-bandar besar apabila gejala ragut semakin terkawal.
                Selain itu, masyarakat hendaklah sensitif juga terhadap persekitaran tempat tinggal mereka. Mereka hendaklah mengadu kepada polis sekiranya mengetahui di kawasan tersebut terdapat penagih dadah, kewujudan orang-orang yang tidak dikenali, dan sekiranya berlaku perkara-perkara yang luar biasa. Fenomena tersebut seperti wujud kekerapan kelompok-kelompok tertentu di sesuatu tempat sehingga lewat malam. Kehadiran warga asing di kawasan anda juga hendaklah sentiasa dipantau dan jikalau berlaku kesangsian segera melaporkannya kepada polis. Polis juga menasihatkan setiap rumah atau sekurang-kurangnya ketua-ketua unit menyimpan nombor telefon kecemasan polis. Saya amat yakin, sekiranya ditanya pada waktu ini hanya beberapa orang sahaja yang menghafal nombor telefon pondok polis yang terdekat. Demikianlah gambaran ketidakprihatinan masyarakat terhadap persoalan keselamatan.
                Dalam memastkan usaha membantu polis mengawal keselamatan juga, pihak penduduk boleh menjalankan rondaan  secara berkala atau tidak berjadual pada waktu malam untuk mendapat gambaran penuh senario pada waktu malam di kawasan tempat tinggal anda. Apabila berbuat demikian, anda akan memperoleh banyak info tentang pergerakan tanpa jadual pihak-pihak tertentu apabila menjelang malam. Dengan berbuat begitu, tuan-tuan dapat menyampaikan maklumat yang mudah kepada pihak keselamatan apabila berlaku sebarang peristiwa yang tidak diingini. Saya amat berharap akan ada insan yang berhati mulia untuk mengambil insiatif menggerakkan pasukan sukarela menjaga kemaman di kawasan tempat tinggal masing-masng. Hasrat ini diletakkan sepenuhnya di atas pundak dan batu jemala tuan-tuan untuk melaksanakannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,
                Bersatu teguh, bercerai roboh merupakan slogan yang sentiasa mendidik kita agar sentiasa bersatu, bersama, dan berusaha untuk mengelakkan ketenteraman dan keamanan di tempat kita. Marilah bersama-sama polis kita mempastikan slogan, ‘Hidup Sejahtera Tanpa Jenayah’.

                                    Kalau ada jarum patah,
                                                Jangan simpan dalam peti;
                                    Kalau ada silap salah,
                                                Jangan simpan dalam hati.

Sekian terima kasih.

4.  Ketidaksetabilan politik di sesebuah negara menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat dunia.
Bincangkan.

MRSM

1.  Khidmat bimbingan dan kaunseling di sekolah dapat membantu pelajar menangani maslah peribadi, akademik dan kerjaya.
Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh melalui khidmat bimbingan dan kaunseling.

PERHATIAN : SOALAN INI HAMPIR SAMA DENGAN SOALAN 1 (Dimensi diri) SPM 2012

2.  Selaku pegawai kesihatan daerah, anda diminta untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Amalan Baik Penjagaan Kesihatan’ sempena Hari Kesihatan Sedunia kepada masyarakat setempat.

Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.


Sejak belakangan ini terdapat pelbagai penyakit baru yang berpunca daripada amalan dan gaya hidup yang tidak baik. Selaku doktor pakar dalam bidang kesihatan masyarakat, anda dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang kegiatan hidup sihat.

Tulis teks ceramah anda itu selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengerusi Badan Musyawarah Masyarakat Taman Perdana Sejahtera, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Hadirin sekalian,
                Orang tua-tua sering mengungkapkan bahawa, kesihatan itu ialah harta yang paling bernilai daripada wang ringgit dan harta benda. Sementara itu, dalam sepotong Hadith Nabi turut diungkapkan akan nilai kesihatan adalah amat bermakna, seperti sabda baginda, “Jagalah masa sihatmu sebelum tiba sakit”. Apabila diteliti daripada dua ungkapan tersebut, justeru tanggungjawab menjaga kesihatan amatlah diberi penekanan sama ada dalam bidang agama malah masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang penuh pancaroba dan manusia sentiasa diancam kesibukan, pelbagai ragam kehidupan telah mendatangkan pelbagai ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian, dengan peluang yang diberkan ini, saya ingin berkongsi maklumat dengan hadirin sekalian tentang gaya hidup yang positif berdasarkan polisi ilmu kesihatan.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,
                Banyak orang yang berfikir bahawa terminologi sihat itu hanya terletak kepada tubuh badan yang sihat tegap dan sasa. Sebenarnya kesihatan adalah merangkumi kesejahteraan fizikal dan rohani iaitu yang meliputi tubuh badan, mental, emosi, dan rohani. Untuk memperoleh kesihatan seumpama itu, justeru setiap individu hendaklah memberikan perhatian dalam semua aspek kesihatan. Penjagaan fizikal yang sihat seperti memperoleh makanan yang berzat dan seimbang adalah amat penting. Hal tersebut memang penting kerana minda dan emosi yang sihat adalah terjana daripada tubuh badan yang sihat.
                Prasyarat terpenting untuk memperoleh kesihatan fizikal, kita hendaklah sentiasa peka terhadap alam sekitar. Dengan kata lain, kawasan sekitar hendaklah sentiasa bersih, bebas daripada sebarang anasir penyakit. Bagi memastikan persekitaran sentiasa dalam suasana bersih, amalan menjaga kebersihan seperti sistem pembuangan sampah yang teratur hendaklah dititikberatkan. Alam sekitar perlu dijaga juga terutama dalam aspek pelesterian iaitu penjagaan alam semula jadi.
                Dalam dunia yang kaya dengan sistem maklumat dan akses maklumat yang semakin canggih pula, kita haruslah proaktif mencari info tentang  kesihatan. Maklumat sama ada yang berkaitan dengan penularan penyakit-penyakit baru, serangan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan seperti Selesema Burung, SARS, dan pelbagai penyakit berbahaya harus diketahui. Selain mengetahui pelbagai jenis penyakit dan bahaya penularannya, kita wajar mendalami kaedah-kaedah penjagaan penyakit. Hal ini tepat seperti pepatah Inggeris yang menyatakan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat. Dengan kemudahan teknologi tersebut kita mampu mengakses sumber maklumat primer untuk mengawal penyakit. Sesungguhnya tanggungjawab membendung pelbagai gejala penyakit bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa kerajaan sahaja malah tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh individu atau organisasi terutamanya NGO.
                Aspek pemakanan turut menjadi penentu kadar serangan penyakit kepada individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama gula dan lemak sebenarnya telah mendedahkan diri kita kepada pelbagai bahaya. Memanglah jikalau diturut ‘hukum lidah’ setiap yang manis dan lemak itu sedap dan berselera, namun kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh badan harus difikirkan juga. Pada hari ini isu pengambilan makanan segera sedang meledak di tengah-tengah polemik masyarakat. Pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi yang bebeza apabila Kementerian Kesihatan tampaknya cukup tegas mahu membatalkan semua lesen pengiklanan makanan segera. Walaupun tindakan Kementerian Kesihatan itu dianggap terlalu drastik dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi negara, tetapi kita harus berfikir bahawa reaksi tersebut memberi isyarat bahawa pelbagai gejala penyakit yang berpunca daripada bawaan makanan turut menjadi ancaman besar kepada kesihatan sejagat.

Hadirin sekalian
                Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat adalah berkaitan dengan langkah membendung pelbagai gejala penyakit. Kita harus membuang budaya salah apabila sakit baru hendak berjumpa doktor. Doktor bukan sahaja berfungsi sebagai penyembuh penyakit, sebaliknya mereka amat profesional sebagai perunding dalam mengawal penyakit. Namun keadaan sebalik yang berlaku apabila majoriti daripada masyarakat hari ini akan hanya berjumpa doktor apabila sudah tiada harapan sembuh lagi. Ada segelintir pihak pula enggan berjumpa doktor kerana takut penyakit terpendam akan terbongkar. Daripada terpaksa memendam rasa kerana mengetahui menghidapi pelbagai masalah kesihatan, mereka berpendapat lebih baik tidak diketahui langsung. Akhirnya ramai yang menemui ajal sedangkan kemungkinan boleh diselamatkan sekiranya diketahui lebih awal. Oleh itu, kita wajar mengubah tanggapan yang salah itu dengan cara berusaha mengesan dan mengenal pasti punca penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa kita.
                Selain itu, tabiat merupakan bawaan sepanjang hayat oleh seseorang itu. Sekiranya dia mengamalkan tabiat yang baik, natijahnya baiklah seluruh amalan hidupnya. Sebaliknya jikalau habit yang buruk menjadi bawaan nescaya individu itu akan menanggung sengsara seumur hayat. Hal demikian amat berkait rapat dengan usaha mengubah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pemabuk, dan makan secara membujur lalu melintang patah. Ubahlah kepada tabiat yang sihat seperti bersenam secara berjadual, mengawal emosi, dan bergaul dengan rakan-rakan yang berfikiran positif. Semua yang tersebut boleh membantu menstabilkan kesihatan kita memperoleh umur yang panjang. Ingatlah kita kepada nasihat pepatah iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku bahaya padahnya.

Sekian terima kasih.


3.  Guru memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu.
Ulaskan pernyataan tersebut.

Pendahuluan : Khalayak ilmuwan pernah berkata, “Percikan liur basah seseorang guru mampu membentuk mutiara-mutiara yang memancarkan cahaya yang terang-benderang demi menyuluhi anak-anak didik dengan ilmu pengetahuan yang kekal abadi”. Demikianlah titipan mutiara kata yang mengiktiraf sumbangan para pendidik yang bergelar guru atas komitmen mereka melakar masa depan anak-anak didik. Dengan hal yang demikian, amatlah layak apabila dikatakan guru sebagai arkitek masyarakat dan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu.

Isi 1 : Watak guru itu sendiri sebagai insan yang berilmu – atas sifat guru (murabbi) para guru mudah untuk memindahkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak didik

Isi 2 : Guru telah diiktiraf oleh masyarakat sebagai ibu bapa kedua kepada anak-anak didik – sebagai ‘ibu bapa’ mudah mereka berinteraksi dengan para pelajar – anak-anak didik lebih mudah mendengar nasihat guru daripada pihak yang lain

Isi 3 : Karisme guru yang sentiasa menjadi rujukan anak-anak didik – sifat penyabar, petah dalam berbahasa dan bijak berpsikologi memberi peluang guru menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik

Isi 4 : Guru sebagai kerjaya yang profesional – para guru mempunyai pengetahuan yang mendalam dan pakar dalam bidang yang diajarkan – mempunyai pengetahuan yang mendalam dan mampu memindahkan pengetahuan kepada para pelajar

Kesimpulan : Tempelak peribahasa yang menyebut, guru kencing berdiri, murid kencing berlari menunjukkan peranan guru amatlah penting dalam mendidik ummah. Sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan boleh membawa kemusnahan kepada masyarakat. Oleh itu, para guru perlu berbangga dengan amanah yang digalas dan mereka perlulah lebih iltizam untuk melahirkan generasi yang berilmu.


4.  Penyertaan pelajar dalam pelbagai program dan pertandingan di peringkat antarabangsa dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

Jelaskan manfaat-manfaat yang diperoleh melalui penyertaan dalam program dan pertandingan itu.

Pendahuluan : Manusia pada dasarnya mempunyai impian dan matlamat yang sama iaitu untuk hidup bebas dan berjaya. Sementara itu, setiap orang dituntut agar menghormati hak asasi orang lain. Hak-hak tersebut seperti hak untuk kebebasan, hak memperoleh kasih sayang dan hak untuk mencari ilmu pengetahuan. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kepentingan tertentu masyarakat dunia sering bertelagah sehingga membawa kepada peperangan. Oleh itu, dalam abad milenium ini pelbagai usaha telah dijalankan oleh masyarakat antarabangsa untuk merapatkan semula jurang perbezaan yang wujud. Pelbagai program dan pertandingan sama ada sukan inovasi seperti reka cipta mula mendapat penyertaan kalangan masyarakat antarabangsa. Sebenarnya, banyak sekali faedah yang bakal diperoleh oleh setiap negara peserta apabila terlibat secara aktif dalam program-program seperti ini.

Isi 1 : Menjalinkan hubungan diplomatik antara negara – jalinan kerjasama dan keamanan di bawah payung PBB – memupuk semangat perpaduan dan berdamai dalam kalangan manusia sejagat

Isi 2 : Suatu usaha positif memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang ilmu pengetahuan – sifat ilmu yang akan berkembang apabila semakin luas jaringannya (rujuk kata-kata hikmat Saiyidina Ali KW) – memahami hakikat bahawa setiap bangsa memiliki keistimewaan tertentu dalam bidang ilmu (contoh : bangsa Cina tentang ilmu perubatan, Jepun dalam bidang sains dan teknologi, bangsa Arab tentang falsafah dan seni bina dan ilmu agama)

Isi 3 : Mempercepat transformasi kemajuan negara – transformasi amat berkait rapat dengan penguasaan ilmu pengetahuan – anak-anak Malaysia yang pulang dengan ilmu pengetahuan akan membantu mempercepat kemajuan negara – mereka menjadi penyebar pengetahuan dan menjadi agen penggerak negara maju menjelang 2020.

Isi 4 : Mendedahkan remaja dengan perubahan budaya dan sosial masyarakat asing – boleh mengubah cara berfikir dan bertindak secara lebih matang – bijak bergaul dan mempunyai jaringan komunikasi diseluruh dunia

Isi 5 : Mengadakan program pertukaran tenaga pakar dan tenaga akademik – membolehkan peluasan ilmu pengetahuan berkembang secara global – kemajuan dunia berkembang secara positif untuk manfaat semua warga dunia – tiada lagi penindasan dan peperangan
JOHOR

1.  Semasa cuti persekolahan remaja digalakkan membantu keluarga masing-masing.
Jelaskan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu keluarga semasa cuti persekolahan.

NOTA : Sila rujuk rangka isi soalan 2 SBP

2.  Warga tua merupakan golongan yang perlu dihormati oleh generasi muda masa ini.
Huraikan peranan ibu bapa untuk memupuk sikap menghormati warga tua dalam kalangan anak-anak.

Pendahuluan : “Warga Tua Teras Masyarakat”. Itulah suatu slogan yang memberikan pengiktirafan atas keberadaan warga emas di tengah-tengan masyarakat. Walaupun sebahagian mereka boleh dianggap sebagai Quran buruk, namun kewujudan mereka banyak memberikan impak positif untuk melahirkan masyarakat yang penyayang, prihatin dan tahu membalas budi. Malahan berdasarkan sepotong pepatah Cina yang bermaksud, “Apabila di dalam rumah kamu tersimpan seorang tua, tahulah bahawa di dalam rumah itu sudah menyimpan suatu barang yang berharga”. Oleh hal yang demikian, keberadaan warga tua perlu dianggap sebagai suatu rahmat dan hendaklah diberikan penghormatan pada kedudukan tertinggi. Dalam hal ini, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mendidik generasi muda agar tahu menghormati warga tua.

Isi 1 : Ibu bapa perlu banyak bercerita tentang kehebatan dan sumbangan datuk dan nenek kepada anak-anak – anak akan faham bahawa keidupan berkeluarga yang mereka sedang alami adalah hasil daripada pengorbanan warga tua

Isi 2 :  Kerap membawa anak-anak berziarah orang tua di kampung – penting kepada masyarakat bandar yang semakin terpisah jauh daripada warga tua – anak-anak dapat kenal dan bermanja dengan induk mereka

Isi 3 :  Mendidik anak-anak bersikap merendah diri kepada orang-orang tua – memberi ucapan hormat dan sedia mendengar cakap golongan tua – elakkan bercerita tentang sejarah silam orang tua terutama tentang perkara negatif

Isi 4 :  Lebih kerap membawa anak-anak ke majlis-majlis kenduri-kendara dan menziarah kematian – anak-anak akan lebih dekat dengan khalayak tua – boleh berinteraksi dan kenal cita rasa warga tua

Isi 5 :  Membawa ibu bapa bertandang atau tinggal bersama – anak berasa lebih mesra dengan datuk dan nenek mereka – cepat tumbuh perasaan kasih sayang.


Kesimpulan :  Warga tua ialah insan yang amat banyak meninggalkan jasa kepada generasi masa kini. Segala jerih payah mereka perlu dihargai dan diberi balasan yang setimpal dengan sumbangan mereka. Biarlah pengorbanan tersebut terus lestari dengan sikap tahu membalas budi daripada anak-anak dan cucu. Inilah hakikat hidup dalam rangkaian generasi dan salasilah keturunan yang tidak putus  selama-lamanya.

JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA TUAN HAJI ISHAK MD SHAH ATAS SUMBANGAN BELIAU. TERIMA KASIH CIKGU!

2 ulasan:

Unknown berkata...

Rujuk rangka isi Soalan 2 SBP ? Mana ?

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.