Ahad, 23 Oktober 2011

Semangat kejiranan

     Marcapada ini, rata-rata kehidupan masyarakat khususnya di kota-kota metropolitan lebih bersifat nafsi ataupun individualistik. Semangat kejiranan dan altruism dalam kalangan warga Malaysia mulai sirna. Paradigma ini sering menjadi polemik utama dan meniti dari bibir ke bibir rakyat. Siapakah yang harus dipersalahkan? Nescaya, sebelum nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diambil bagi menyuburkan semangat kejiranan dalam institusi masyarakat Malaysia kembali.

     Pertama, pihak kerajaan boleh menjalankan kempen-kempen bersesuaian di peringkat kebangsaan. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menanam sifat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Tamsilannya, proklamasi Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia sangat menekankan semangat perpaduan antara semua kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah yang wajar diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh. Bak kata pepatah, “ibarat telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua”. Justeru, kempen-kempen anjuran kerajaan ini amat penting untuk menyemai semangat kejiranan. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh melaksanakan program-program yang melibatkan semua kaum di setiap peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Hal ini demikian kerana punca utama kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat bertitik tolak daripada kurangnya semangat perpaduan.

     Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti “Rumah Terbuka Kebangsaan” bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, ibarat kata perbidalan, “serumpun seperti serai, seikat seperti sirih”. Hal ini dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang menunjukkan keberhasilan penganjuran program “Rumah Terbuka Kebangsaan” dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Jelaslah, usaha kerajaan ini amat sesuai bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan warga Malaysia.

     Di samping itu, pihak media turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat kejiranan. Sarwajagat mengetahui, media merangkumi media cetak dan media elektronik. Sehubungan dengan itu, pelbagai kaedah boleh diusahakan bagi menyuburkan semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh memaparkan artikel-artikel tentang kepentingan semangat kejiranan manakala media elektronik pula boleh menyiarkan dokumentari dan rancangan yang menarik dan menekankan peri pentingnya semangat kejiranan. Usaha Majalah 3 yang menyiarkan “Colours of Malaysian”, sebuah dokumentari mengenai semangat kejiranan dan perpaduan di Malaysia wajar disokong. Justeru, semangat “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” ini wajar kita tonjolkan melalui media massa.

      Seterusnya, persatuan-persatuan penduduk juga perlu peka akan masalah ini. Bagi memupuk semangat kejiranan semula, persatuan ini seperti Rukun Tetangga perlu berbincang dan bersepakat melaksanakan program bersesuaian demi kemaslahatan penduduk. Sebagai contoh, kegiatan rewang dan Hari Keluarga dapat dianjurkan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara penduduk. “Sepakat membawa berkat,” begitulah kata-kata filsuf silam. Malahan, menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Pengiktirafan sebegini menunjukkan bahawa perpaduan yang dijana melalui aktiviti kemasyarakatan sememangnya merupakan jalan yang terbaik bagi memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

     Akhir sekali, masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah. Dalam mencipta satu resipi makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dengan semangat kejiranan yang ingin dibentuk. Kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan. Nescaya, kerjasama dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat diperlukan bagi memanifestasikan sebuah komuniti yang bersatu. Janganlah menjadi seperti “enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Malah, hasil kajian Jabatan Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri merupakan faktor utama kelunturan semangat kejiranan. Lantaran itulah, sesebuah organisasi masyarakat itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi kebaikan bersama.

      Secara tuntasnya, segala usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat. Namun, ingatlah, “tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni”. Justeru, demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, semua pihak perlu berganding bahu ke arah itu. Kenanglah kembali perjuangan tokoh-tokoh patriot negara. Jika mereka boleh lakukan, kenapa kita tidak? Tepuk dada, tanyalah selera.

Disesuaikan daripada karangan En.Firdaus. Terima kasih.

Kemalangan jalan raya

Langkah-langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan di Malaysia.

     Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru, sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif dan pragmatik perlu diambil bagi menangani masalah ini.

     Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegas. Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya perlu disaman. Sehubungan dengan hal ini, pihak berwajib perlulah telus dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen tanpa menerima rasuah. Maklumlah rasuah lebih bahaya daripada dadah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan konsisten, kadar kemalangan dapat diminimumkan.

      Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memastikan pengurusan kenderaan awam cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan itu amat bergantung kepada kecekapan pemandu dan keadaan kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan sesebuah syarikat kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga perlu diteliti semula agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diterima bekerja. Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, satu sistem pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan dilaksanakan. Maka jelaslah, pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

      Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen-kempen bagi menerapkan kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika dalam kelangan rakyat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi sekolah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal kepada kanak-kanak misalnya amatlah wajar kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka tidak hairanlah apabila Kementerian Pelajaran sendiri berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program “Keselamatan Lalu Lintas dan Jalan Raya” yang dianjurkan saban tahun. Justeru, sudah terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut berupaya untuk menurunkan kadar kemalangan.

       Kerajaan juga perlu menaik taraf jalan raya yang terdapat di seluruh negara. Hal ini penting kerana masih terdapat jalan raya yang berlubang dan berliku-liku. Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini telah mengenal pasti beberapa lokasi yang dikenali sebagai kawasan maut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menurap jalan itu semula, meluruskan jalan yang berliku-liku, memasang papan tanda amaran yang jelas dan memasang lampu isyarat di simpang-simpang jalan yang sibuk. Janganlah kita tertunggu-tunggu dan bertangguh-tangguh sehingga negara mengalami kerugian dari segi harta dan nyawa. Justeru, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyat perlu bertindak dengan segera. Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jelaslah bahawa prasarana jalan raya yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan di negara kita.

       Bidang pendidikan juga boleh memainkan peranan dalam hal ini. Kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, pendidikan tentang keselamatan jalan raya harus diperkenalkan kepada kanak-kanak sejak mereka di bangku sekolah lagi. Sehubungan dengan hal ini, Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah memperkenalkan mata pelajaran keselamatan jalan raya di sekolah rendah dan menengah. Generasi muda harus dipupuk dengan nilai mematuhi undang-undang jalan raya dan menghargai nyawa manusia kerana saban hari berpuluh-puluh nyawa melayang begitu sahaja. Kesannya bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah dalam jangka panjang, negara kita kerugian dari segi sumber tenaga dan kepakaran. Maklumlah pendidikan diperingkat sekolah mampu mengubah sikap pengguna jalan raya dalam jangka panjang.

      Akhirulkalam, isu kemalangan jalan raya ini perlu dipandang serius oleh pucuk pimpinan negara khususnya. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Sekiranya hal ini mendapat perhatian semua rakyat, kita dapat merealisasikan Wawasan 2020. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa selamat!”

Dasar 1 murid 1 sukan

1.0 Pengenalan
Dasar 1M 1S mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Justeru, dengan adanya dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini juga adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.

2.0 Matlamat 1M1S
Dasar 1M1S berhasrat untuk:
2.1 Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh daripada
kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
2.2 Memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli
masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

3.0 Objektif Dasar 1M1S

Dasar 1M1S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut:
3.1 Meningkatkan kecergasan jasmani.
3.2 Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni.
3.3 Memupuk perpaduan dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai kaum.
3.4 Membentuk budaya sukan dalam kalangan murid.
3.5 Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal.
3.6 Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal.
3.7 Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.

Dasar 1M1S memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Ia juga juga membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Ia juga memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid yang aktif dibenarkan melibatkan diri dalam lebih daripada satu sukan. Selain itu, ibu bapa, agensi luar dan rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah. Hal ini menggalakkan kerjasama sekolah dengan pihak luar. Di samping itu, setiap sekolah yang sudah mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.

1 Murid 1 Sukan

Soalan Ramalan Kertas 1: SET 1

Bahagian A
[30 Markah]
[Masa yang dicadangkan : 45 minit.]

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan
1 murid 1 sukan. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



 Bahagian B
[100 Markah]
[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih
 daripada 350 patah perkataan.

1. Seorang guru dikatakan sangat berjasa kepada murid. Anda selaku sebagai murid,
     terangkan cara-cara anda akan membalas jasa guru anda.

2. Kini, masyarakat berhadapan dengan berbagai-bagai masalah dan ancaman dari luar
    seperti penculikan kanak-kanak, pengaruh dadah, dan sebagainya.

   Pada pendapat anda, apakah peranan keluarga dalam menjamin keselamatan ahli-ahlinya
   daripada bahaya dan pengaruh persekitaran.

3. Orang Kurang Upaya (OKU) juga memerlukan pembelaan pelbagai pihak supaya
     mereka juga dapat memberi sumbangan yang bermakna dalam pembangunan negara.

    Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu
     golongan ini?

4. Globalisasi dikatakan membawa kesan yang mendalam kepada sesebuah negara. Pada
     pendapat anda, apakah kesan globalisasi terhadap negara-negara membangun?

5. Peribahasa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh membawa maksud rakyat sesebuah
     negara perlu hidup bersatu padu.

    Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.

Soalan Ramalan Kertas 1: SET 2

Bahagian A
[30 Markah]
[Masa yang dicadangkan : 45 minit.]

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan
 memelihara bangunan bersejarah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250
 patah perkataan.



Bahagian B
[100 Markah]
[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]

Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada
350 patah perkataan.


1. “Pada abad ke-20, dunia akan mengalami gelombang ketiga” – Alvin Toffler.
     Kata-kata Alvin Toffler itu tepat sekali. Kini, seluruh dunia mengalami perubahan akibat
     perkembangan dalam teknologi maklumat dan komunikasi. Jelaskan faedah teknologi
     maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengajaran dan  pembelajaran.

2. Harga barang di pasaran semakin meningkat. Hal ini menuntut setiap rakyat Malaysia
     mengamalkan sikap berjimat cermat.

     Huraikan peranan keluarga dalam memupuk amalan berjimat cermat.

3. Pada tahun 2010, seramai 24.57 juta pelancong asing telah mengunjungi Malaysia.
    Justeru, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara sepuluh buah negara di dunia yang
    mempunyai daya tarikan dari segi pelancongan.

     Huraikan apakah faktor-faktor yang menarik pelancong asing datang ke negara kita.

4. Anda mengambil bahagian dalam satu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan
    ialah, “Pelaburan asing mendatangkan kebaikan kepada negara-negara membangun.”

    Sediakan teks syarahan anda itu selengkapnya.

5. Seseorang suka membaca novel kerana peristiwa dalam novel berkenaan boleh menjadi
    teladan kepada kita.

    Berdasarkan novel yang anda baca, jelaskan unsur teladan yang telah anda peroleh.