Langkah-langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan di Malaysia.
Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru, sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif dan pragmatik perlu diambil bagi menangani masalah ini.
Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegas. Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya perlu disaman. Sehubungan dengan hal ini, pihak berwajib perlulah telus dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen tanpa menerima rasuah. Maklumlah rasuah lebih bahaya daripada dadah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan konsisten, kadar kemalangan dapat diminimumkan.
Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memastikan pengurusan kenderaan awam cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan itu amat bergantung kepada kecekapan pemandu dan keadaan kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan sesebuah syarikat kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga perlu diteliti semula agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diterima bekerja. Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, satu sistem pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan dilaksanakan. Maka jelaslah, pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya.
Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen-kempen bagi menerapkan kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika dalam kelangan rakyat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi sekolah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal kepada kanak-kanak misalnya amatlah wajar kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka tidak hairanlah apabila Kementerian Pelajaran sendiri berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program “Keselamatan Lalu Lintas dan Jalan Raya” yang dianjurkan saban tahun. Justeru, sudah terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut berupaya untuk menurunkan kadar kemalangan.
Kerajaan juga perlu menaik taraf jalan raya yang terdapat di seluruh negara. Hal ini penting kerana masih terdapat jalan raya yang berlubang dan berliku-liku. Jabatan Kerja Raya (JKR) baru-baru ini telah mengenal pasti beberapa lokasi yang dikenali sebagai kawasan maut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menurap jalan itu semula, meluruskan jalan yang berliku-liku, memasang papan tanda amaran yang jelas dan memasang lampu isyarat di simpang-simpang jalan yang sibuk. Janganlah kita tertunggu-tunggu dan bertangguh-tangguh sehingga negara mengalami kerugian dari segi harta dan nyawa. Justeru, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyat perlu bertindak dengan segera. Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jelaslah bahawa prasarana jalan raya yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan di negara kita.
Bidang pendidikan juga boleh memainkan peranan dalam hal ini. Kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, pendidikan tentang keselamatan jalan raya harus diperkenalkan kepada kanak-kanak sejak mereka di bangku sekolah lagi. Sehubungan dengan hal ini, Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah memperkenalkan mata pelajaran keselamatan jalan raya di sekolah rendah dan menengah. Generasi muda harus dipupuk dengan nilai mematuhi undang-undang jalan raya dan menghargai nyawa manusia kerana saban hari berpuluh-puluh nyawa melayang begitu sahaja. Kesannya bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah dalam jangka panjang, negara kita kerugian dari segi sumber tenaga dan kepakaran. Maklumlah pendidikan diperingkat sekolah mampu mengubah sikap pengguna jalan raya dalam jangka panjang.
Akhirulkalam, isu kemalangan jalan raya ini perlu dipandang serius oleh pucuk pimpinan negara khususnya. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Sekiranya hal ini mendapat perhatian semua rakyat, kita dapat merealisasikan Wawasan 2020. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa selamat!”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan