Ahad, 30 Oktober 2011

Anda mengambil bahagian dalam satu pertandingan bahasa sebagai pemidato pihak pembangkang. Tajuk perbahasan ialah, " Pelaburan asing di negara-negara sedang membangun lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan". Sediakan teks perbahasan anda itu selengkapnya.

                                                  Andai tidak kerana bulan,
                                                        Takkan bintang terbit tinggi;
                                                  Andai tidak kerana keyakinan,
                                                        Takkan saya berdiri di sini.

     Terima kasih saudara pengacara majlis. Assalamualaikum dan salam 1Malaysia saya ucapkan kepada tuan pengerusi, panel hakim yang arif lagi adil, dif-dif kehormat, penjaga masa yang tidak lari dari landasan waktunya, pihak pencadang yang hormati, tuan-tuan dan puan-puan. Berdirinya saya pada pagi ini di dewan yang indah dan berseri ini adalah untuk membincangkan tajuk perbahasan yang berbunyi, "Pelaburan Asing di negara-negara Sedang Membangun Mendatangkan Lebih Banyak Kebaikan daripada Keburukan".
     Para hadirin yang dihormati,
     Walaupun sebentar tadi saya memperkenalkan tajuk perbahasan kita tetapi di sini  ingin saya tegaskan bahawa saya dan rakan-rakan saya yang berada di barisan pembangkang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Kami tetap akan mengemukakan hujah-hujah kami bahawa pelaburan asing di negara-negara membangun mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Sebelum itu, izinkan saya mendefinisikan tajuk perbahasan pada pagi ini. "Pelaburan asing", bermaksud modal dalam bentuk wang dan teknologi yang dibawa oleh negara maju atau syarikat asing ke dalam sesebuah negara. "Kebaikan", bermaksud membawa kesan-kesan positif. "keburukan", bermaksud membawa kesan-kesan negatif. "Negara-negara Membangun", bermakud dunia ketiga seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina yang baru mencapai kemerdekaan dan menuju ke arah negara maju.

                                               Pak Leman pergi ke bendang,
                                                      Sebelum itu mengasah parang,
                                               Berdirinya saya sebagai pembangkang,
                                                      Tidak gentar kepada pencadang.

     Pihak pencadang yang saya hormati, bukankah pihak pencadang mengetahui bahawa "Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora". Begitulah juga dengan pelaburan asing. Adakah anda pasti kedatangan mereka akan membawa kebaikan wahai pihak pencadang? Sesungguhnya pelabur-pelabur asing yang melabur di negara-negara membangun mempunyai tujuan lain selain matlamat mereka untuk memperoleh keuntungan yang besar. Bak kata pepatah, ada udang di sebalik batu. Mereka hanya menjadikan negara ini sebagai suatu 'persinggahan'. Saya berkata demikian kerana mereka melabur untuk mendapatkan keuntungan. Tahukah pihak pencadang bahawa negara-negara yang mempunyai pelabur-pelabur asing ini sebenarnya tidak bebas dari segi ekonomi di negara mereka sendiri? Sebagai contoh, renungkanlah apa yang berlaku di Filipina. Apabila presiden Filipina tidak mahu membaharui perjanjian berkenaan pangkalan tentera Amerika Syarikat, mereka cuba menarik balik segala pinjaman dan pelaburan dari negara itu. Justeru, presiden Filipina bagaikan kerbau dicucuk hidung terpaksa membaharui perjanjian ketenteraan dengan Amerika Syarikat.

      Tuan-tuan dan puan-puan,

      Hujah saya seterusnya ialah tentang pemindahan teknologi. Dalam hal ini, pelabur-pelabur asing tidak ikhlas. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan teknologi yang dibawa ke negara-negara sedang membangun tidaklah mesra alam dan boleh menjejaskan kesihatan pekerja dan memusnahkan alam sekitar. Lihatlah contoh yang berlaku di Bhopal, India. Kilang Union Carbide yang meletup telah mengeluarkan gas radioaktif dan menyebabkan 550,000  pekerja mengalami kecederaan  dan kesannya dapat dirasai sehingga sekarang, iaitu anak-anak yang dilahirkan telah mengalami kecacatan. Wahai pihak pencadang, renungkanlah apa yang berlaku di Papan, Menglembu pada tahun 1986. Asian Rare Earth telah melupuskan sisa toksik tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan dan berauts-ratus penduduk di Papan mengalami kanser. Adakah ini dikatakan keuntungan wahai pihak pencadang. Janganlah cuba menegakkan benang yang basah. Kebenaran tetap memihak kami - pihak pembangkang.

     Seterusnya, kesan buruk pelaburan asing ialah ke atas ekonomi negara kita dalam jangka panjang. Apa yang saya maksudkan di sini ialah bagaimana mereka mengaburkan mata kita semua dengan hanya memberi sedikit daripada keuntungan yang diperoleh sedangkan keuntungan yang berlipat ganda di bawa balik ke negara asal mereka. Buktinya UNCTAD telah mengadakan suatu kajina baru-baru ini dan kajian itu menunjukkan bahawa keuntungan yang mengalir dari negara-negara sedang membangun ke negara maju lapan kali ganda jumlah bersih modal pelabur asing. Wahai pihak pencadang, adakah kita sedar akan perkara ini? Tepuk dada tanya selera.

      Saudara dan saudari,

      Selain itu, kesan pelaburan asing juga dapat dirasai apabila negara-negara membangun mengalami kemelesetan ekonomi atau semasa ekonomi dunia merudum. Pelabur-pelabur asing yang membina kilang di negara-negara sedang membangun akan menutup kilang mereka dengan alasan mengalami kerugian atau muflis. Ketika itu, beribu-ribu pekerja akan diberhentikan daripada kerja. Masalah pengangguran akan berleluasa dan hal ini akan membawa kesan sampingan kepada negara-negara membangun. Dalam hal ini, pelabur-pelabur asing tidak ikhlas. Mereka hanya memirkan keuntungan. Oleh itu, jelaslah bahawa pelaburan asing memang mendatangkan keburukan kepada negara-negara sedang membangun.

     Sebelum salam penutup bicara, sebelum pergi tanpa berjumpa, saya ingin menegakkan pendirian kami bahawa, "Pelaburan asing membawa ebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada negara-negara sedang membangun". Berani Hang Tuah kerana Taming Sarinya; Berani pemimpin kerana rakyatnya; dan berani kami kerana hujah kami yang jitu lagi bernas.

                                                  Jual kuih di luar sekolah,
                                                       Dibeli oleh si gadis Jawa;
                                                   Undur saya bukan mengalah,
                                                       Undur saya ada pembela.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: