Pelancongan di Malaysia
“Cuti-cuti Malaysia”. Proklamasi kerajaan ini sering meniti di bibir-bibir warganegara kita marcapada ini. Kementerian Pelancongan Malaysia yang kini diterajui oleh Datuk Seri Dr.Ng Yen Yen telah merangka dan mengimplimentasikan pelbagai agenda untuk memantapkan sektor pelancongan Malaysia. Sudah terang lagi bersuluh, prakarsa ini telah memberi seribu satu manfaat kepada negara.
Dari daksina ke paksina, nama negara kini kian berdiri gagah di seantero dunia. Dengan memajukan sektor pelancongan ini, Malaysia kini bukan hanya gugusan semenanjung kecil di peta dunia, malah kita dilabelkan sebagai destinasi pelancongan kelas pertama yang popular. Hal ini terbukti bahawa dengan meningkatkan taraf pelancongan, Malaysia dapat dipromosikan. Lihat sahaja ketika musim percutian bermula, pengunjung-pengunjung dari luar dan dalam negara bertali arus dalam negara kita. Maka jelaslah, negara dapat diperkenalkan di serata pelosok dunia melalui sektor pelancongan.
Selain itu, pada zaman transisi modenisme ini, peningkatan ekonomi sesebuah negara amat dititikberatkan. Malaysia juga tidak terkecuali dalam memacu ekonominya melalui sektor pelancongan. Pengaliran wang masuk dan keluar dapat dikawal. Tambahan pula, pelancong-pelancong yang berbelanja di Malaysia akan dapat menguntungkan pengusaha premis-premis pelancongan. Impaknya, kadar ekonomi negara akan terus terjana kukuh. Industri pelancongan bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan per kapita negara malah sektor ini merupakan penyumbang kedua terbesar selepas petroleum. Justeru, tidak dapat dinafikan, industri pelancongan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Di samping itu, sektor pelancongan turut membuka peluang pekerjaan kepada warga Malaysia. “Sambil menyelam minum air”, selain dapat merasai pengalaman berurusan dengan warga asing misalnya, mereka turut dapat menikmati keindahan dan keunikan lokasi-lokasi pelancongan di Malaysia. Secara tidak langsung, kadar pengangguran dalam kalangan belia dapat diminimumkan. Dasawarsa ini, jutaan cangkaliwang dicetuskan golongan belia. Tamsilannya, budaya lepak, “rempit” dan “bohsia bohjan” bergelendangan di seluruh negara. Sehubungan dengan itu, dengan penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, sekurang-kurangnya masalah-masalah ini dapat diatasi.
Akhirulkalam, sektor pelancongan merupakan salah satu penanda aras utama kemajuan sesebuah negara. Kita ingin membina negara yang mapan dan terbilang pada masa hadapan. Justeru, perkembangan sektor ini wajar dipuji dan diteruskan secara konsisten untuk kegemilangan negara. “Jom Melawat Malaysia!”
Disesuaikan daripada karangan En.Firdaus. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan