Ahad, 6 November 2011


14. Kepentingan laman sesawang sosial. (Dimensi diri)

Laman sesawang sosial seperti friendster, twitter, facebook, blog, myspace dan sebagainya menjadi kegilaan pelabgai peringkat umur, khususnya golongan muda.
Pada pendapat anda, apakah kesan penggunaan laman sesawang sosial?

            Pada era modenisasi ini,  hidup tidak sempurna jika seseorang tidak memiliki komputer riba, telefon bimbit, dan melayari internet. Melayari laman sesawang sosial seperti friendster, facebook dan sebagainya sudah menjadi satu kemestian. Semua golongan manusia – pemimpin negara atau dunia, golongan profesional, remaja dan kanak-kanak mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri.

            Kehadiran pelbagai laman sosial dalam alam maya memang amat penting bagi individ mahupun organisasi. Pengguna laman sosial  dapat menambahkan kenalan yang  baharu di samping hubungan yang telah lama terputus kembali dieratkan. Apabila seseorang telah menamatkan sesuatu pengajian sama ada di peringkat sekolah menengah, kolej, mahupun institusi pengajaian tinggi menyebabkan mereka terputus hubungan antara satu sama lain. Hal ini disebabkan wujudnya  ruang dan peluang kerjaya yang berbeza. Laman sosial ini digunakan sebagai  stu wahana utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus atau mewujudkan alumni. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang diceburi oleh rakan-rakan dan dapat berinteraksi antara satu sama lain tanpa sempadan waktu, bahasa, budaya dan geografi. Maklumlah jauh di mata, dekat di hati. Gambar yang dimuatkan dalam profil boleh dilihat dan dikomen  oleh semua rakan. Selain ini, mereka yang mengunjungi laman sosial juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan sehingga hubungan itu menjadi seperti aur dengan tebing.  Mereka juga dapat bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu isu yang telah dikemukakan dalam laman sesawang tersebut. Fenomena ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi, jelaslah  bahawa penggunaan laman sesawang sosial dapat menambah kenalan yang baharu sama ada yang jauh mahupun yang dekat.

            Selain itu, penggunaan laman sosial tersebut juga dapat dimanfaatkan sebagai wahana untuk mengembangkan perniagaan atau memasarkan produk secara percuma tanpa seseorang itu bersemuka untuk kali pertama. Orang ramai dapat membeli sesuatu barangan seperti tudung, jubah, kasut, barangan perhiasan, kosmetik, buku, barangan elektronik seperti kamera digital, komputer dan sebagainya dengan menggunakan laman sosial tersebut. Mereka juga dpat menjadikan laman sosial tersebut sebagai alternatif menambahkan pendapatan bulanan mereka. Hal ini demikian kerana pada waktu pagi dan petang seseorang itu terlibat secara langsung denga kerjaya masing-masing. Pada waktu lapang, mereka dapat memasarkan sesuatu barangan yang dapat menarik perhatian orang ramai seperti kata peribahasa sambil menyelam minum air. Harga yang ditawarkan adalah berbaloi dengan pasaran semasa dan kualiti barangan tersebut. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Sesiapa yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Hal ini dapat menjimatkan masa dan  tidak perlu bersesak-sesak di pusat beli-belah. Tegasnya laman sosial seperti ini bukan sekadar mencari kenalan baharu, tetapi dapat mewujudkan perniagaan di hujung jari tanpa had dan mampu melahirkan banyak usahawan yang berjaya.

            Di samping itu, laman sosial turut memberi ruang dan peluang untuk pengguna menyuarakan apa-apa sahaja yang terlintas dalam fikiran masing-masing. Hal ini dapat dilakukan sesama rakan, antara guru dan murid, media massa dan orang awam, artis dan peminat, malah antara pemimpin dan rakyat sebagai medan komunikasi. Dengan adanya medium komunikasi baharu ini, secara tidak langsung membolehkan para peminat mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat apabila mereka berpeluang membaca apa-apa juga komen yang ditulis oleh setiap artis. Malah, sebagai pemimpin negara nombor satu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut gemar melayari web sosial Facebook dan Twitter. Selain beliau, Presiden AS, Barack Obama, dan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy antara pemimpin yang turut menggunakan Facebook. Mereka ini merupakan antara jutaan manusia di seluruh dunia terpanggil untuk menyertai rangkaian laman web sosial bagi berhubungan dengan orang ramai terutama rakyat Malaysia yang ingin merapatkan jurang politik antara golongan muda dan lama. Tegasnya, dengan jaringannya yang begitu meluas menjadikan hubungan antara insan semakin mesra, rapat dan dekat seperti diwarkan-warkan – “Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan”.

            Penggunaan laman sesawang sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif, malah mendatangkan kesan negatif. Sehungan dengan hal ini, fungsi dan peranan bahasa sebagai agen penting dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di negara kita turut terjejas. Kebimbangan ini berasas kerana sekiranya ayat dan perkataan ditaip terlalu ringkas, perkara ini pasti merosakkan kemurnian bahasa. Ada kalanya perkataan yang diminimumkan itu menjadi sukar difahami dan disalahtafsirkan maksudnya. Kelaziman menggunakan perkataan pendek dan akronim di laman sosial jika dibiarkan berpotensi memungkinkan penggunaannya menular dalam penulisan - khas dalam tugas dan kerja sekolah pelajar. Malah, paling menyedihkan apabila penggunaan bahasa standard dan tepat tidak dititikberatkan, sebaliknya mereka terpengaruh menggunakan bahasa komunikasi harian sekali pun dalam hal-hal berkaitan dengan urusan rasmi. Oleh itu, tindakan lebih awal perlu diambil dengan segera. Jangan sudah terhantuk baharu hendak menengadah”.

            Pada masa yang sama, di sebalik keghairan segala macam kelebihan pada ruang maya, pelbagai jenayah dan maslah sosial juga dilaporkan meningkat ekoran ketiadaan kawalan dalam melayari laman sesawang, sekali gus menyumbang kepada keruntuhan akhlak individu dan institusi rumah tangga. Bermula dengan berkenal-kenalan sebagai kenalan sembang, sehingga membawa kepada keinginan untuk bersua muka dengan kawan yang tidak dikenali tanpa mengetahui keperibadian menyebabkan kes jenayah seperti rogol dan perceraian berleluasa. Jenayah siber seperti ‘merompak ‘ wang dari akaun seseorang juga berlaku secara berleluasa apabila pengunjung ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan nombor akaun dan kata lalauan. Malah ada sindiket yang menyamar sebagai agen bank dan meminta pelanggan untuk memaklumkan butir-butir akaun dan maklumat peribadi yang seterusnya disalahgunakan. Ingatlah mencegah lebih baik daripada mengubati.

            Secara tuntas, populariti laman sosial itu terus berkembang pesat sehingga menjadi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan masyarakat celik teknologi maklumat apabila setiap saat ada pengguna baharu mendaftar. Oleh itu, harap semua pengguna laman sosial berkenaan dapat memanfaatkannya secara berhemah dan bijak. Maklumlah jimat sebelum habis dan ingat sebelum kena.

Sila baca rencana Di Sebalik Memanfaatkan Laman Sesawang Sosial, Majalah FOKUS, Nov. 2011 karya Tn.Hj.Samat Buang. Terima kasih.

Jumaat, 4 November 2011

Kepentingan sungai


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan
sungai. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



                                                              
sumber protein

Aktiviti Riadah

Peluang Pekerjaan

Kegunaan harian

               





 Pendahuluan:

Sejarah: Tamadun awal manusia bermula di tepi sungai. Sebagai contoh, tamadun Hindu – Sg.Indus; tamadun Cina – Sg Hwang Ho; tamadun Mesapotemia – Sg.Tigris dan Euphratis. Dahulu sampai sekarang dungai memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia.

Isi karangan:

1. Sebagai sumber protein
- sungai merupakan habitat haiwan akuatik seperti ikan, udang dan ketam yang   

   membekalkan sumber protein.
- hidupan akuatik ini merupakan sumber protein alternatif bagi manusia sekiranya sumber 
   protein dari   laut sukar diperoleh.

2. Sungai boleh dijadikan tempat untuk beriadah
- tempat berkelah
- aktiviti memancing
- pusat rekreasi – aktiviti bersampan, berkayak dan lain-lain.

3. Sungai mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan

- resort didirikan
- gerai-gerai dibina
- rumah persinggahan

4. Sungai sebagai sumber air kepada manusia
- manusia menggunakan air untuk pelbagai tujuan: untuk  minum, dan kegunaan domestik-   

  mencuci, memasak dan mandi.



Kesimpulan:

Kepentingan sungai kepada manusia memang sudah dikenal pasti sejak zaman-berzaman. Pada masa dahulu sungai dijadikan jalan perhubungan antara satu tempat ke satu tempat yang lain. Pekan-pekan dan kota terbina di sepanjang sungai. Fungsi sungai itu masih kekal sehingga sekarang. Oleh itu sungai perlu dijaga dan dipelihara. Kempen Cintai Sungai dan Program Sungai angkat perlu diteruskan dan diperkasakan semula demi kepentingan manusia dan mengekalkan kawasan bekalan air bersih.

Ahad, 30 Oktober 2011

Anda mengambil bahagian dalam satu pertandingan bahasa sebagai pemidato pihak pembangkang. Tajuk perbahasan ialah, " Pelaburan asing di negara-negara sedang membangun lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan". Sediakan teks perbahasan anda itu selengkapnya.

                                                  Andai tidak kerana bulan,
                                                        Takkan bintang terbit tinggi;
                                                  Andai tidak kerana keyakinan,
                                                        Takkan saya berdiri di sini.

     Terima kasih saudara pengacara majlis. Assalamualaikum dan salam 1Malaysia saya ucapkan kepada tuan pengerusi, panel hakim yang arif lagi adil, dif-dif kehormat, penjaga masa yang tidak lari dari landasan waktunya, pihak pencadang yang hormati, tuan-tuan dan puan-puan. Berdirinya saya pada pagi ini di dewan yang indah dan berseri ini adalah untuk membincangkan tajuk perbahasan yang berbunyi, "Pelaburan Asing di negara-negara Sedang Membangun Mendatangkan Lebih Banyak Kebaikan daripada Keburukan".
     Para hadirin yang dihormati,
     Walaupun sebentar tadi saya memperkenalkan tajuk perbahasan kita tetapi di sini  ingin saya tegaskan bahawa saya dan rakan-rakan saya yang berada di barisan pembangkang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Kami tetap akan mengemukakan hujah-hujah kami bahawa pelaburan asing di negara-negara membangun mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Sebelum itu, izinkan saya mendefinisikan tajuk perbahasan pada pagi ini. "Pelaburan asing", bermaksud modal dalam bentuk wang dan teknologi yang dibawa oleh negara maju atau syarikat asing ke dalam sesebuah negara. "Kebaikan", bermaksud membawa kesan-kesan positif. "keburukan", bermaksud membawa kesan-kesan negatif. "Negara-negara Membangun", bermakud dunia ketiga seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina yang baru mencapai kemerdekaan dan menuju ke arah negara maju.

                                               Pak Leman pergi ke bendang,
                                                      Sebelum itu mengasah parang,
                                               Berdirinya saya sebagai pembangkang,
                                                      Tidak gentar kepada pencadang.

     Pihak pencadang yang saya hormati, bukankah pihak pencadang mengetahui bahawa "Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora". Begitulah juga dengan pelaburan asing. Adakah anda pasti kedatangan mereka akan membawa kebaikan wahai pihak pencadang? Sesungguhnya pelabur-pelabur asing yang melabur di negara-negara membangun mempunyai tujuan lain selain matlamat mereka untuk memperoleh keuntungan yang besar. Bak kata pepatah, ada udang di sebalik batu. Mereka hanya menjadikan negara ini sebagai suatu 'persinggahan'. Saya berkata demikian kerana mereka melabur untuk mendapatkan keuntungan. Tahukah pihak pencadang bahawa negara-negara yang mempunyai pelabur-pelabur asing ini sebenarnya tidak bebas dari segi ekonomi di negara mereka sendiri? Sebagai contoh, renungkanlah apa yang berlaku di Filipina. Apabila presiden Filipina tidak mahu membaharui perjanjian berkenaan pangkalan tentera Amerika Syarikat, mereka cuba menarik balik segala pinjaman dan pelaburan dari negara itu. Justeru, presiden Filipina bagaikan kerbau dicucuk hidung terpaksa membaharui perjanjian ketenteraan dengan Amerika Syarikat.

      Tuan-tuan dan puan-puan,

      Hujah saya seterusnya ialah tentang pemindahan teknologi. Dalam hal ini, pelabur-pelabur asing tidak ikhlas. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan teknologi yang dibawa ke negara-negara sedang membangun tidaklah mesra alam dan boleh menjejaskan kesihatan pekerja dan memusnahkan alam sekitar. Lihatlah contoh yang berlaku di Bhopal, India. Kilang Union Carbide yang meletup telah mengeluarkan gas radioaktif dan menyebabkan 550,000  pekerja mengalami kecederaan  dan kesannya dapat dirasai sehingga sekarang, iaitu anak-anak yang dilahirkan telah mengalami kecacatan. Wahai pihak pencadang, renungkanlah apa yang berlaku di Papan, Menglembu pada tahun 1986. Asian Rare Earth telah melupuskan sisa toksik tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan dan berauts-ratus penduduk di Papan mengalami kanser. Adakah ini dikatakan keuntungan wahai pihak pencadang. Janganlah cuba menegakkan benang yang basah. Kebenaran tetap memihak kami - pihak pembangkang.

     Seterusnya, kesan buruk pelaburan asing ialah ke atas ekonomi negara kita dalam jangka panjang. Apa yang saya maksudkan di sini ialah bagaimana mereka mengaburkan mata kita semua dengan hanya memberi sedikit daripada keuntungan yang diperoleh sedangkan keuntungan yang berlipat ganda di bawa balik ke negara asal mereka. Buktinya UNCTAD telah mengadakan suatu kajina baru-baru ini dan kajian itu menunjukkan bahawa keuntungan yang mengalir dari negara-negara sedang membangun ke negara maju lapan kali ganda jumlah bersih modal pelabur asing. Wahai pihak pencadang, adakah kita sedar akan perkara ini? Tepuk dada tanya selera.

      Saudara dan saudari,

      Selain itu, kesan pelaburan asing juga dapat dirasai apabila negara-negara membangun mengalami kemelesetan ekonomi atau semasa ekonomi dunia merudum. Pelabur-pelabur asing yang membina kilang di negara-negara sedang membangun akan menutup kilang mereka dengan alasan mengalami kerugian atau muflis. Ketika itu, beribu-ribu pekerja akan diberhentikan daripada kerja. Masalah pengangguran akan berleluasa dan hal ini akan membawa kesan sampingan kepada negara-negara membangun. Dalam hal ini, pelabur-pelabur asing tidak ikhlas. Mereka hanya memirkan keuntungan. Oleh itu, jelaslah bahawa pelaburan asing memang mendatangkan keburukan kepada negara-negara sedang membangun.

     Sebelum salam penutup bicara, sebelum pergi tanpa berjumpa, saya ingin menegakkan pendirian kami bahawa, "Pelaburan asing membawa ebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada negara-negara sedang membangun". Berani Hang Tuah kerana Taming Sarinya; Berani pemimpin kerana rakyatnya; dan berani kami kerana hujah kami yang jitu lagi bernas.

                                                  Jual kuih di luar sekolah,
                                                       Dibeli oleh si gadis Jawa;
                                                   Undur saya bukan mengalah,
                                                       Undur saya ada pembela.

Sekian, terima kasih.

Ramalan SPM 2011 Kertas 2 (KOMSAS)

2b) Cerpen:

1. Ibu dan Ceper.
2. Israk
3. Memori seorang Tua
4. Pahlawan Buntong

     Drama
1. Gelanggang Tuk Wali
2. Tiang Cengal Dinding Sayung

 2c) Prosa Tradisional

1. Pelayaran Yang Penuh Peristiwa
2. Merah Silu
3. Hikayat Langlang Buana
4. Hikayat Opu Daeng Menambun

 2d)  Sajak

1. Harga Remaja
2. Di perpustakaan
3. Digahayu Bahasaku
4. Kecek (v)

       Puisi:
1. Pantun empat kerat
2. Pantun Enam kerat

Rabu, 26 Oktober 2011

Ramalan Novel SPM 2011

Berdasarkan novel yang anda baca, huraikan persoalan yang terdapat dalam novel berkenaan.
Renyah:
Novel yang saya baca ialah Renyah. Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah kepentingan ilmu dan pengalaman. Sebagai contoh, Datuk Dolhi membaca banyak buku sebagai persediaan sebelum menyampaikan ceramah. Selain itu, terdapat persoalan tentang kerajinan dalam memajukan diri. Sebagai contoh, Datuk Dolhi rajin melawat projek, pergi ke luar negara untuk mencari peluang perniagaan dan mencari rakan niaga. Juga terdapat persoalan penyalahgunaan pengaruh. Sebagai contoh, Tengku Munir, seorang ahli perniagaan dan juga kerabat diraja menggunakan tekanan dan ugutan supaya Hasnol meluluskan semua tender yang dipohon oleh syarikatnya. Persoalan lain ialah kegigihan dalam mencapai cita-cita. Sebagai contoh, Wahi gigih memajukan diri mengikuti kursus di Jepun sehingga diberi kepercayaan menerajui perniagaan Dolhi-Albert Holdings bagi menggantikan Datuk Dolhi.

Sutera Dalam Lukisan

Novel yang saya baca ialah Sutera Dalam Lukisan. Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah sikap masyarakat yang prihatin dan belas kasihan kepada orang lain. Sebagai contoh, Adila prihatin dan belas kasihan kepada Bujei. Adilah berusaha untuk mengubah hidup Bujei. Selain itu, terdapat persoalan masyarakat yang suka menabur fitnah. Sebagai contoh, Alias banyak menyebar berita yang tidak benar dalam kalangan masyarakat kampung bahawa Bujei menghidap penyakit AIDS yang menyebabkan pertunangan Adilah dengan Faisal telah putus. Juga terdapat persoalan tentang amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Sebagai contoh, Pak imam bersama-sama isterinya pergi ke rumah Sidang Saman sebagai wakil untuk merisik Adilah bagi pihak Alias sebagai menunaikan amanah kakaknya, Opah Arah. Persoalan lain ialah, kenangan pahit mengubah personaliti seseorang. Sebagai contoh, setelah dikecewakan oleh Faizal, Adilah membawa hati yang luka ke kampung bapa saudaranya dan menjadi seorang gadis yang berani dan tegas.

Kabus di Perbukitan

Novel yang baca ialah kabus di Perbukitan. Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah perpishan ibu bapa menyebabkan anak-anak menjadi mangsa. Sebagai contoh, Kamarudin meninggalkan Salmah tetapi membawa bersam-sama Rahayu ke Indonesia menyebabkan pasangan kembar tersebut terpisah dan merindui antara satu sama lain. Persoalan lain ialah ikatan kekeluargaan yang erat. Sebagai contoh, Rahayu dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, manakala Faridah dibela oleh ibunya sendiri. Namun, Rahayu sentiasa merindui kakaknya, Faridah. Selain itu, persoalan lain ialah sikap berdikari golongan siswqazah. Sebagai contoh, Azrul yang merupakan siswazah yang menganggur, berusaha untuk menjadi penternak kambing. Juga terdapat persoalan cinta terhadap alam sekitar. Sebagai contoh, Azrul aktif dalam program-program pemeliharaan alam sekitar.

Interlok

Novel yang saya baca ialah Interlok. Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah sikap tolong-menolong tanpa mengira kaum. Sebagai contoh, Musa menyelamatkan Maniam apabila dia dipukul. Maniam pula menolong Seman untuk mendapatkan kerja di ladang. Selain itu, terdapat persoalan berhijrah demi mencari rezeki. Sebagai contoh, Kim Lock meninggalkan kampungnya menuju ke Tanah Melayu dan mencari rezeki dengan pelbagai cara. Persoalan lain ialah sikap manusia yang sanggup menindas orang lain. Sebagai contoh, keluarga Seman ditipu oleh Cina Panjang untuk mendapatkan tanah. Juga terdapat persoalan perjuangan untuk membebaskan negara dripada penjajah. Sebagai contoh, Lazim menggerakkan orang Melayu untuk menentang Malayan Union.

PAPA...(akhirnya kau tewas jua)

Novel yang saya baca ialah PAPA...(akhirnya kau tewas juga). Persoalan yang terdapat dalam novel ini ialah masalah dalam kehidupan berpoligami. Sebagai contoh, Julia sukar menerima hakikat bahawa ayahnya berkahwin lagi dalam keadaan ibunya yang masih koma. Selain itu, terdpat persoalan tentang pengorbanan seorang isteri terhadap suaminya. Sebagai contoh, Intan Muliana sanggup mengandung lagi walaupun dia mengetahui risiko yang akan dihadapinya. Juga terdapat persoalan tentang kegigihan dalam emnuntut ilmu. Sebagai contoh, Julia tetap cemerlang dalampelajarannya sehingg aberjaya melanjutkan pelajarannya ke UIA walaupun ibunya dalam keadaan koma.

Isnin, 24 Oktober 2011

Konsep Satu Malaysia telah diperkenalkan oleh Dato’ Sri Najib Bin Tun Abdul 
Razak setelah beliau secara sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia
 yang ke-6. Pelbagai infrastruktur seperti Klinik 1 Malaysia telah disediakan. 
Jelaskan konsep-konsep Satu Malaysia.

Pendahuluan :

• Satu Malaysia - gagasan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia
 yang berbilang kaum,     berteraskan 8 nilai penting yang seharusnya menjadi amalan
 setiap rakyat Malaysia: budaya     kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan,
pendidikan dan lain-lain.

• Merupakan satu pelengkap - membantu negara mengorak langkah demi langkah
  dalam menuju ke arah    kemajuan dan kemakmuran negara• Aspirasi negara, yakni
  Wawasan 2020 tercapai sekiranya konsep    Satu Malaysia diterapkan ke dalam
  sanubari setiap rakyat dan diamalkan

Isi-isi:

1: untuk mencapai status negara maju, seperti yang diilhamkan melalui Wawasan 2020

- Membentuk sebuah negara yang kukuh dan stabil tidak kira sama ada dari segi politik
    ataupun dari segi ekonomi.

- Sejajar dengan tema Hari Kemerdekaan ke-53, iaitu Satu Malaysia Menjana
   transformasi - menekankan  transformasi/ perubahan terutamanya dalam aspek
    perindustrian dan pendidikan.

- Untuk mencapai matlamat ini, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu - padan
    dengan tema Hari Kemerdekaan ke-52 iaitu 'RakyatDidahulukan, Pencapaian
     Diutamakan'

- Sesebuah negara hanya akan benar-benar maju apabila rakyat memiliki ilmu
   pengetahuan yang tinggi

2: Memupuk dan mengukuhkan perpaduan antara kaum serta mengelakkan
    perselisihan faham

- kewujudan satu bangsa yang besar yang digelar “Bangsa Malaysia” dan
   menggantikan dasar perkauman    yang hanya menjauhkan hubungan antara
    kaum.

- Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dengan konsep
    asimilasi di negara-negara lain di mana identiti aum dan etnik akan lenyap dan diganti
    satu identiti nasional yang sama

- Sebaliknya konsep Satu Malaysia menghargai, menghormati dan memelihara adat
    istiadat, budaya dan segala pantang larang setiap kaum.

- Selaras dengan salah satu nilai, iaitu penerimaan - sesuatu kaum sanggup menerima
   keunikan kaum yang lain, saling menghormati, bertolak ansur dan bertoleransi
    agar mewujudkan keharmonian dan  ketenteraman negara.

3: Aspek pendidikan dititikberatkan

- Institusi-institusi pendidikan di Malaysia yang berlandaskan kurikulum seperti yang
   telah ditetapkan Dasar  Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan
   nilai-nilai 1 Malaysia dalam diri dan mentaliti   pelajar.

- Konsep ini juga merangkumi pembentukan sistem pendidikan yang ideal dan sesuai
    untuk keseluruhan  masyarakat amnya.

- Bermatlamat menghapuskan dasar pendidikan yang hanya berkepentinganan sesebuah
   bangsa dan  menafikan hak golongan tertentu.

- Pembentukan satu jenis sekolah - menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi
   iaitu bahasa Melayu  mampu melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi
    perhubungan antara kaum.

4: Aspek agama dan kepercayaaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil kira dalam
    usaha menjayakan gagasan 1 Malaysia.

- Soal agama dan kepercayaan ini merujuk kepada sikap keterbukaan masyarakat
    dalam menerima serta  menjunjungi prinsip dan amalan agama bangsa lain.

- Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian- agama yang dianuti sebahagian besar
    dalam masyarakat Malaysia - Sensitiviti agama dan perkauman perlu dipelihara
    serta tidak boleh dipermainkan bagi mengelakkan perselisihan faham dan ketegangan.

- Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjung- mengunjungi semasa musim
   perayaan oleh masyarakat  tempatan- salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu
   adat dan memahami sensitiviti sesuatu kaum   seterusnya memupuk sikap saling
    menghormati antara satu sama lain

5: Penubuhan Yayasan 1 Malaysia dan Klinik 1 Malaysia.

- Yayasan 1Malaysia menggerakkan, melaksanakan serta mendukung program yang
   dapat menyatupadukan  rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, kepercayaan
    agama dan kedudukan ekonomi.

- mempromosikan 1Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian dengan menyediakan
   capaian, pembabitan dan sokongan kepada penyertaan sektor awam dan masyarakat
    madani dalam menangani isu sosial utama semua masyarakat.

- Klinik 1 Malaysia ditubuhkan bertujuan untuk menyediakan rawatan perubatan
    ringan kepada penduduk setempat seperti demam,batuk dan selesema.

- Kebajikan dan kesihatan rakyat dijamin dan kehadiran klinik ini bertepatan dengan
   gagasan 1Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’

Dipetik dari blok Cikgu Analyza. Terima kasih.

Ahad, 23 Oktober 2011

Konsep 1 Malaysia

Anak-anak didik yang dikasihi,
Sila klik pautan di bawah untuk membaca dan menghayati konsep 1 Malaysia, iaitu gagasan YAB Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri kesayangan kita.

1 MALAYSIA