Ahad, 6 November 2011


14. Kepentingan laman sesawang sosial. (Dimensi diri)

Laman sesawang sosial seperti friendster, twitter, facebook, blog, myspace dan sebagainya menjadi kegilaan pelabgai peringkat umur, khususnya golongan muda.
Pada pendapat anda, apakah kesan penggunaan laman sesawang sosial?

            Pada era modenisasi ini,  hidup tidak sempurna jika seseorang tidak memiliki komputer riba, telefon bimbit, dan melayari internet. Melayari laman sesawang sosial seperti friendster, facebook dan sebagainya sudah menjadi satu kemestian. Semua golongan manusia – pemimpin negara atau dunia, golongan profesional, remaja dan kanak-kanak mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri.

            Kehadiran pelbagai laman sosial dalam alam maya memang amat penting bagi individ mahupun organisasi. Pengguna laman sosial  dapat menambahkan kenalan yang  baharu di samping hubungan yang telah lama terputus kembali dieratkan. Apabila seseorang telah menamatkan sesuatu pengajian sama ada di peringkat sekolah menengah, kolej, mahupun institusi pengajaian tinggi menyebabkan mereka terputus hubungan antara satu sama lain. Hal ini disebabkan wujudnya  ruang dan peluang kerjaya yang berbeza. Laman sosial ini digunakan sebagai  stu wahana utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus atau mewujudkan alumni. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang diceburi oleh rakan-rakan dan dapat berinteraksi antara satu sama lain tanpa sempadan waktu, bahasa, budaya dan geografi. Maklumlah jauh di mata, dekat di hati. Gambar yang dimuatkan dalam profil boleh dilihat dan dikomen  oleh semua rakan. Selain ini, mereka yang mengunjungi laman sosial juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan sehingga hubungan itu menjadi seperti aur dengan tebing.  Mereka juga dapat bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu isu yang telah dikemukakan dalam laman sesawang tersebut. Fenomena ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi, jelaslah  bahawa penggunaan laman sesawang sosial dapat menambah kenalan yang baharu sama ada yang jauh mahupun yang dekat.

            Selain itu, penggunaan laman sosial tersebut juga dapat dimanfaatkan sebagai wahana untuk mengembangkan perniagaan atau memasarkan produk secara percuma tanpa seseorang itu bersemuka untuk kali pertama. Orang ramai dapat membeli sesuatu barangan seperti tudung, jubah, kasut, barangan perhiasan, kosmetik, buku, barangan elektronik seperti kamera digital, komputer dan sebagainya dengan menggunakan laman sosial tersebut. Mereka juga dpat menjadikan laman sosial tersebut sebagai alternatif menambahkan pendapatan bulanan mereka. Hal ini demikian kerana pada waktu pagi dan petang seseorang itu terlibat secara langsung denga kerjaya masing-masing. Pada waktu lapang, mereka dapat memasarkan sesuatu barangan yang dapat menarik perhatian orang ramai seperti kata peribahasa sambil menyelam minum air. Harga yang ditawarkan adalah berbaloi dengan pasaran semasa dan kualiti barangan tersebut. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Sesiapa yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Hal ini dapat menjimatkan masa dan  tidak perlu bersesak-sesak di pusat beli-belah. Tegasnya laman sosial seperti ini bukan sekadar mencari kenalan baharu, tetapi dapat mewujudkan perniagaan di hujung jari tanpa had dan mampu melahirkan banyak usahawan yang berjaya.

            Di samping itu, laman sosial turut memberi ruang dan peluang untuk pengguna menyuarakan apa-apa sahaja yang terlintas dalam fikiran masing-masing. Hal ini dapat dilakukan sesama rakan, antara guru dan murid, media massa dan orang awam, artis dan peminat, malah antara pemimpin dan rakyat sebagai medan komunikasi. Dengan adanya medium komunikasi baharu ini, secara tidak langsung membolehkan para peminat mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat apabila mereka berpeluang membaca apa-apa juga komen yang ditulis oleh setiap artis. Malah, sebagai pemimpin negara nombor satu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak turut gemar melayari web sosial Facebook dan Twitter. Selain beliau, Presiden AS, Barack Obama, dan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy antara pemimpin yang turut menggunakan Facebook. Mereka ini merupakan antara jutaan manusia di seluruh dunia terpanggil untuk menyertai rangkaian laman web sosial bagi berhubungan dengan orang ramai terutama rakyat Malaysia yang ingin merapatkan jurang politik antara golongan muda dan lama. Tegasnya, dengan jaringannya yang begitu meluas menjadikan hubungan antara insan semakin mesra, rapat dan dekat seperti diwarkan-warkan – “Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan”.

            Penggunaan laman sesawang sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif, malah mendatangkan kesan negatif. Sehungan dengan hal ini, fungsi dan peranan bahasa sebagai agen penting dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di negara kita turut terjejas. Kebimbangan ini berasas kerana sekiranya ayat dan perkataan ditaip terlalu ringkas, perkara ini pasti merosakkan kemurnian bahasa. Ada kalanya perkataan yang diminimumkan itu menjadi sukar difahami dan disalahtafsirkan maksudnya. Kelaziman menggunakan perkataan pendek dan akronim di laman sosial jika dibiarkan berpotensi memungkinkan penggunaannya menular dalam penulisan - khas dalam tugas dan kerja sekolah pelajar. Malah, paling menyedihkan apabila penggunaan bahasa standard dan tepat tidak dititikberatkan, sebaliknya mereka terpengaruh menggunakan bahasa komunikasi harian sekali pun dalam hal-hal berkaitan dengan urusan rasmi. Oleh itu, tindakan lebih awal perlu diambil dengan segera. Jangan sudah terhantuk baharu hendak menengadah”.

            Pada masa yang sama, di sebalik keghairan segala macam kelebihan pada ruang maya, pelbagai jenayah dan maslah sosial juga dilaporkan meningkat ekoran ketiadaan kawalan dalam melayari laman sesawang, sekali gus menyumbang kepada keruntuhan akhlak individu dan institusi rumah tangga. Bermula dengan berkenal-kenalan sebagai kenalan sembang, sehingga membawa kepada keinginan untuk bersua muka dengan kawan yang tidak dikenali tanpa mengetahui keperibadian menyebabkan kes jenayah seperti rogol dan perceraian berleluasa. Jenayah siber seperti ‘merompak ‘ wang dari akaun seseorang juga berlaku secara berleluasa apabila pengunjung ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memaklumkan nombor akaun dan kata lalauan. Malah ada sindiket yang menyamar sebagai agen bank dan meminta pelanggan untuk memaklumkan butir-butir akaun dan maklumat peribadi yang seterusnya disalahgunakan. Ingatlah mencegah lebih baik daripada mengubati.

            Secara tuntas, populariti laman sosial itu terus berkembang pesat sehingga menjadi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan masyarakat celik teknologi maklumat apabila setiap saat ada pengguna baharu mendaftar. Oleh itu, harap semua pengguna laman sosial berkenaan dapat memanfaatkannya secara berhemah dan bijak. Maklumlah jimat sebelum habis dan ingat sebelum kena.

Sila baca rencana Di Sebalik Memanfaatkan Laman Sesawang Sosial, Majalah FOKUS, Nov. 2011 karya Tn.Hj.Samat Buang. Terima kasih.

Tiada ulasan: