Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan
membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara
Sebahagian daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan
kumpulan nasyid Unic, saya petik untuk
menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini. Lagu yang menyuntik
semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan masa dengan sebaiknya
dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri masing-masing . Melalui usaha
yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta
memiliki sahsiah yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada
keluarga, masyarakat dan nusa. Isu
ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang
bergelar remaja. Justeru saya mempunyai
peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji agar memiliki ciri-ciri
remaja cemerlang dambaan negara.
Sebagai
seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami
ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri
seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah. Tiada ilmu yang lebih mulia
melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan Islam yang syumul.
Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh
ilmuan sains yang terkenal iaitu Albert Einstein yang menyatakan bahawa
agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat
bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang
mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan
merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah. Saya akan mendalami
ilmu agama dengan membaca dan memahami Al-Quran, dan mengkaji
hadis. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung dalam
Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi
membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah
yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan dan penelaahan yang mendalam
sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai yang
perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Jelasnya, saya akan terhalang
daripada menjadi penyumbang petanda yang tidak baik kepada generasi akan
datang.
Selain itu, modus operandi lain yang sepatutnya saya lakukan adalah
dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan
dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana sesudah saya dilahirkan di
muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka. Begitu besar
pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya
dengan jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan
jasa bapa yang bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun
cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh
bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau
Si Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan
taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat yang diberikan
mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang. Jika saya tidak
bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika
memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik
atau bertatasusila bagi menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai
dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang jernih. Jelaslah bahawa mentaati ibu
bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji
dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.
Di
samping itu, prakarsa lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan menghormati
guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar
pelajar, saya akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada
mereka kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu
berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan
berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak berjasa
bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka
tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap
satu daripadanya lantas menepati mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu,
‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke
jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan
dan tunjuk ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya
menjadi insan berguna yang mampu mendaki menara gading. Justeru, dengan
menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk
sahsiah diri yang terpuji.
Dalam
pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan
taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih
bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini
demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di hati, rakan merupakan
tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya
akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama
ada rakan saya berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang
mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan yang
memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu
ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu
berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua bidang kerana yang
berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita digalakkan mencari teman
yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi
musuh jangan sesekali dicari.’ Apabila saya menjalinkan hubungan baik dengan
rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup
saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah
terpuji.
Peranan
saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan
diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral
. Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan
perkara yang negatif yang mampu keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej
diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh
hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar
melakukan dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan
menyesatkan umat manusia. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah yang serba
‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang
Muslim yang cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Akhlak yang baik termasuklah
menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup sihat,
menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di
sekeliling kita.
Kesimpulannya, gagasan
dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak dalam
kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat
dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai
kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan lima prinsip yang saya
pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk sahsiah diri yang
terpuji. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar tidak lagi
menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab
nila setitik rosak susu sebelanga’
Dipetik dan
disesuaikan dari blog cikgu Mie. Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan