Lihat gambar di bawah dengan teliti. Kemudian huraikan peranan ibu bapa dalam memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak. Huraian anda hendaklah antara 200 - 250 patah perkataan.
- Membawa anak ke perpustakaan.
- Mewujudkan perpustakaan mini di rumah.
- Ibu bapa sebagai teladan.
- Membawa anak ke pameran buku
- Menghadiahkan buku.
PERANAN
IBU BAPA DALAM MEMUPUK AMALAN MEMBACA DALAM KALANGAN ANAK-ANAK.
Ayat
pertama dalam kitab Al - Quran ialah Iqra, bermaksud “Bacalah Kamu”. Amalan
membaca merupakan satu amalan yang mulia. Membaca amat penting dalam membentuk
masyarakat berilmu. Setiap anggota masyarakat harus menjadikan membaca sebagai
satu amalan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu berusaha untuk mewujudkan keluarga
berilmu dengan menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Salah
satu usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam memupuk minat membaca dalam
diri anak-anak adalah dengan membawa anak-anak ke perpustakaan. Amalan ke
perpustakaan akan menanam perasaan cinta dan sayang akan buku. Sebagai contoh,
ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan awam pada setiap hujung
minggu atau semasa cuti sekolah. Di sini, anak-anak boleh memilih pelbagai buku
yang digemari. Lantas, anak-anak akan gemar membaca buku seumur hidup.
Selain
itu, ibu bapa boleh mewujudkan perpustakaan mini di rumah. Perpustakaan ini
dapat dijadikan tempat menyimpan buku dan majalah. Malahan, boleh menjadi tempat
anak-anak membaca dan belajar. Perpustakaan mini di rumah mestilah dilengkapi
dengan buku-buku yang bersesuaian dapat menarik minat anak-anak untuk membaca.
Sebagai contoh, majalah, buku cerita dan surat khabar. Ruang
perpustakaan ini juga mestilah dalam keadaan selesa. Lantaran itu, ibu bapalah
memainkan peranan yang sangat penting dalam mendidik anak-anak mereka agar
gemar membaca buku ketika berada di rumah.
Di
samping itu juga, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh teladan yang baik untuk
dicontohi oleh anak-anak mereka.Tidak dapat dinafikan, contoh teladan yang
baik dari ibu bapa mempengaruhi jiwa dan minda anak-anak. Sebagai contoh, sikap
gemar membaca surat khabar, majalah, buku dan sebagainya patutlah
diamalkan oleh ibu bapa dalam mengisi masa lapang. Lama-kelamaan, tabiat ini
akan menjadi ikutan anak-anak. Bak kata peribahasa Melayu ‘bagaimana acuan,
begitulah kuihnya’. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu menunjukkan contoh
terbaik untuk dicontohi anak-anak.
Tambahan
pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran buku. Sehubungan dengan itu,
ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mengunjungi kedai buku ketika pergi ke
pusat beli-belah. Dengan mengunjungi tempat-tempat tersebut, minat mereka untuk
membaca akan dapat ditingkatkan, Di samping itu, mereka akan dapat mempelajari
cara memilih bahan-bahan bacaan yang sesuai. Bahan bacaan yang dijual
adalah berkualiti. Harganya pula adalah berpatutan. Natijahnya, ibu bapa yang
membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sebenarnya membawa
kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.
Seterusnya,
ibu bapa juga boleh menghadiahkan buku kepada anak-anak. Ibu bapa perlu
memberikan hadiah atau ganjaran kepada anak-anak apabila anak-anak berjaya
dalam peperiksaan dan sempena hari kelahiran. Anak-anak akan berasa gembira
kerana kejayaannya dihargai oleh keluarga mereka. Hadiah berbentuk buku lebih
sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa boleh membelikan buku berbentuk pelajaran,
novel ataupun komik mengikut kesesuaian umur. Amalan ini sepatutnya diterapkan
sejak kecil lagi dalam kalangan anak-anak. Bersesuaian dengan peribahasa
Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Kesimpulannya,
terdapat beberapa peranan ibu bapa dalam usaha untuk memupuk minat membaca dalam
kalangan anak-anak kerana membaca jambatan ilmu. Oleh itu,anak-anak yang rajin
membaca akan menjadi pandai dan bakal pemimpin pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan