17. SYARAHAN: PERANAN PELBAGAI PIHAK UNTUK
MEMUPUK MINAT MEMBACA DALAM
KALANGAN
MASYARAKAT
Mekar angsana
pandang tak jemu,
Bunganya luruh ke dalam raga;
Buku laksana lautan ilmu,
Dasarnya penuh mutiara berharga.
Bunganya luruh ke dalam raga;
Buku laksana lautan ilmu,
Dasarnya penuh mutiara berharga.
Terima kasih saudara pengacara
majlis. Yang Arif lagi bijaksana panel hakim,
penjaga masa yang setia bersama waktunya
dan rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum
dan selamat pagi.
Tajuk
syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat
Membaca dalam Kalangan Masyarakat”. Sebelum mengemukakan pendapat saya, izin kan
saya mendefinisikan tajuk syarahan saya pada pagi ini. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat, “Membaca” bermaksud suatu proses memerhatikan isi sesuatu yang
tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya.
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Pada
pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih
agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih
rendah. Malahan, Kampung Buku di
Langkawi yang diharapkan dapat menjadi
daya tarikan untuk memupuk budaya membaca, dilaporkan terbiar dan tidak
dimanfaatkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membinanya. Oleh
itu, usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah disambut
baik oleh semua pihak. “Negara Pembaca”
yang dihasratkan ialah negara yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca
dan berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai
kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan
baru. Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah
juga “Dasar Buku Negara” yang berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia
bukan sahaja suka membaca malah berupaya untuk menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang
sesuai dan berkualiti.
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Selain
dasar dan polisi kerajaan, prasarana yang sesuai dan mesra pengguna
hendaklah dibangunkan. Kerajaan boleh membangunkan perpustakaan di
tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu,
perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya
gerakan ini dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain kerajaan, pihak swasta
dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika
Syarikat, lending library atau circulating
library ini dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan
menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha ini telah dipelopori
oleh William Rind sejak tahun 1762 dan telah mendatangkan impak yang amat besar
terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu. Oleh itu, jelas bahawa pembinaan prasarana
yang banyak dan meluas, membantu masyarakat kita membudayakan membaca.
Saudara dan saudari,,
Pihak
swasta juga perlu memainkan peranan untuk memupuk masyarakat membaca.
Selain syarikat penerbitan menerbitkan banyak judul menarik dan mengusahakan
penterjemahan buku-buku yang berkualiti dari luar negara, media massa turut memainkan
peranan yang penting. United Kingdom, merupakan sebuah negara yang sememangnya
berbudaya membaca dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang terbina dalam sekelip
mata. Pada tahun 2004, mereka telah mengadakan program BigRead yang merupakan satu program untuk mencari 100 buah buku
paling popular di United Kingdom. Yang terpenting ialah program ini telah
dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet
dan juga usahasama dengan beberapa buah kedai buku. Caranya mudah sahaja. TV
UK, misalnya BBC 1, telah menyiarkan program yang mengulas 100 buah buku yang
tersenarai pada setiap minggu. Pada masa yang sama, orang ramai akan mengundi
buku-buku kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku pula akan menjual
buku yang tersenarai itu dengan melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas
yang tercetak BigRead di muka
depannya. Cara ini umpama carta muzik di kaca TV kita. Oleh itu, tuan-tuan dan
puan-puan, jika kita boleh menciplak banyak program tv realiti berbentuk hiburan dari negara Barat, apalah
salahnya jika kita menciplak idea yang sangat membina ini? Jika semua pihak swasta
menggembleng tenaga, saya yakin dan percaya, di samping mendapat keuntungan,
akan terlunaslah satu daripada tanggungjawab sosial mereka kepada negara iaitu
memupuk budaya membaca. Hal inilah yang dikatakan situasi menang-menang,
tuan-tuan dan puan-puan.
Hadirin yang dimuiakan,
Erasmus
Mundus, seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, ‘‘Sekiranya saya ada
wang, saya akan membeli buku. Seandainya ada wang lebih baharu saya akan
membeli makanan”. Apakah maknanya kata-kata itu, tuan-tuan dan puan-puan?
Maknanya, Erasmus melebihutamakan buku, sedangkan kepentingan makanan datang
kemudian. Pada Erasmus dan juga sebilangan besar masyarakat negara maju
yang lain, membaca itu amat penting buat santapan minda. Bekas
Perdana Menteri India, Nehru pernah berkata, “Saya sanggup dilabel sebagai
pemboros kerana membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan saya untuk
membeli buku”. Oleh itu, sebagai langkah yang keempat, kita perlulah memperuntukkan
sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan. Masyarakat kita bukannya tidak
mempunyai wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah, mempunyai radio dan
televisyen, malah melanggan Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak
lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan diri dan kesihatan, dan
sebagainya. Cuma mereka tidak terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi
membeli buku. Oleh itu, suatu gerakan
besar-besaran perlulah dilakukan supaya, masyarakat kita, terbudaya untuk
merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dengan memperuntukkan sejumlah wang
untuk pembelian buku. Diharapkan dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan
masyarakat yang walaupun tidak kaya tetapi berminda kelas pertama. Sebenarnya,
inilah modalnya untuk kita menjadi
negara yang maju dan kaya menjelang tahun 2020 ataupun 2058 sebagaimana yang
disasarkan oleh Perdana Menteri kita.
Tuan-tuan
dan puan-puan,
Akhirnya,
ialah peranan ibu bapa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya manakala melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca perlu
dipupuk sejak kecil lagi. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka
sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku
secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi
anak-anak untuk membaca. Ibu bapa bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu
menjadi suri teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu menunjukkan teladan yang
baik dengan mengamalkan tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh
dibacakan “cerita untuk tidur” sebelum mereka tidur. Apabila usia bertambah,
belikan buku-buku cerita yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik
perhatian mereka. Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak berbincang
tentang bahan bacaan yang dibaca oleh mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa.
Jika ini dilaksanakan, saya yakin dan percaya, anak-anak ini akan terus menghargai
buku dan ilmu seterusnya merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang hayat.
Keadaan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada hasrat negara untuk
mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggegarkan dunia
dengan tahap keilmuan yang tinggi.
Saudara dan saudari.
Tahukah anda berapa judul buku yang
menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000
buku baharu diterbitkan di seluruh dunia. Hal ini bermakna, pada setiap tahun,
sekitar 1.5 juta judul baharu menemui pembaca. Sejak mesin Gutenberg dicipta
pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi. Oleh
itu, jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000
tahun! Malah, kalau pun anda hanya membaca judulnya sahaja, anda memerlukan masa
selama 15 tahun! Bermakna, setiap hari,
begitu banyak ilmu yang ditemukan lantaran ilmu tersebut semakin berkembang dari hari ke hari. Oleh itu, jika tidak disemaikan budaya membaca
dalam kalangan masyarakat kita, kita akan ketinggalan dan menjadi masyarakat
seperti katak di bawah tempurung. Bertepatan dengan bulan Oktober iaitu Bulan Membaca
Negara, marilah sama-sama kita menyemai
budaya membaca supaya cabaran Wawasan 2020 yang keenam iaitu ”mewujudkan
masyarakat yang maju dan progresif” bukan fatamorgana semata-mata.
Sebelum
mengakhiri syarahan saya izinkan saya untuk membaca serangkap pantun buat
penutup bicara.
Cantik sungguh si bunga
kejora,
Buat hiasan di hari raya;
Marilah sahut seruan negara,
Bangsa membaca bangsa
berjaya.
Kalau ada sumur di bendang,
Dapat
kita menumpang mandi;
Kalau ada umur panjang,
Dapat
kita berjumpa lagi.
Sekian,
terima kasih.
Contoh soalan:
1. Peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca.
2. Peranan pelbagai pihak dalam memupuk budaya membaca.
3. Peranan pihak sekolah dalam membudayakan amalan
membaca.
4. Sebagai Pengawas Perpustakaan, jelaskan faedah membaca
untuk diri anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan